Khamis, 14 Ogos 2008

Sketsa Merdeka...Untukmu, Anakku...

Assalamualaikum.

Pagi ni ummi di’buli’ lagi oleh Puteri 1. Sejak semalam merengek-rengek minta ummi bantu dia buatkan skrip untuk sketsa hari kemerdekaan. Malangnya permintaan tu dibuat sejurus sebelum maghrib. Selepas maghrib, dah kena ke klinik pulak. Aduhai...

Maka bertanyalah ummi kepada sang puteri:

”Bila cikgu nak?”
”Esok ummi!”
”Hah? Kenapa cikgu kakak selalu mintak urgent macam tu?”

Heh,heh,heh..tersengih-sengih aja puteriku, tak mau menjawab..

”Haa..ni mesti cikgu saja mintak dengan anak murid sebab cikgu tak de idea. Betul tak?”
”Yalah ummi..ummi tolong,ya!”
”Hmm..lagu tulah sokmo” (loghat Terengganu: macam tulah selalu...)
”Masalahnya, macamana ummi nak tolong. Ummi dah nak gi kerja ni. Balik malam, kakak dah tidur.”

Maka mencelahlah Abi...”Isy! Apa pulak suruh ummi buat? Kakak buat sendiri dulu. Nanti dah siap, Ummi dan Abi cek..”

He,he..keputusan Abi pasti tak de bangkangannya...

Selesai solat subuh berjemaah pagi ni bersama Puteri 1 dan Puteri 2 :

”Ummi..kakak dah cuba buat semalam, cari rujukan kat internet..tak dapatlah ummi. Kakak tak tahu macamana nak buat sketsa tu.” Laa..kesian pulak mendengar rintihannya..

”Ok, cikgu kakak cadang nak buat cerita camana?”

“Cikgu suruh buat sketsa lawatan ke tugu bagi mengenang jasa pahlawan”

“Isy, mana boleh! Buat apa nak lawat patung pulak..cara terbaik nak kenang jasa..doakan dia, bukan gi lawat patung. Tu cara tak betul, kakak. Tambah lagi kalau kita gi kalungkan bunga dan bertafakkur pulak kat patung tu..berdosa tau!”

”Tulah ummi..kakakpun fikir cam tu. Ntah macamana cikgu pulak tak faham. Tak pelah ummi. Kita buat cerita lain je.”

He,he..fahampun anak aku..dah selalu kena tazkirah siang malam..

”Ok..jom kita search kat internet sama-sama kot ada input yang boleh membantu”

”Yeahhh!” ...bersorak riang le dia bila ummi nak tolong...

Setelah search sana, search sini...maka timbullah idea untuk dibuatkan sketsa yang berkisar kepada tema Hari Kemerdekaan tahun ini yang bertajuk Perpaduan Teras Kejayaan.

Jom kita hayati bersama sketsa yang diolah oleh ’pensketsa’ yang tak asing lagi di dunia sketsa...’Ummu Ammar’..he,he...bukan apa, nak kasi senang sikit kat ibu-ibu di luar sana yang menerima nasib sama seperti diriku...di ’buli kasih’ (term baru ni) oleh anak-anak tercinta. Nah! Kau orang cedok jelah sketsa ni, sure menang no.1 punya..hi,hi,hi...

Sketsa Hari Kemerdekaan Untukmu, Anakku...

Bilangan Peserta :
17 murid (semua sekali member kelas kakak Amirah le ni)
Suasana Di Pentas : 14 murid sedang duduk dalam dua kelompok..sekelompok murid perempuan, sekelompok murid lelaki..(kasi suasana soleh sikitlah, tak bercampur gaul lelaki & perempuan..)

Ali naik ke pentas sambil memberi salam..

Ali : Assalamualaikum!
Murid-Murid (menjawab serentak) : Waalaikummussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kemudian Ah Chong pula naik ke pentas...

Ah Chong : Hello kawan-kawan...Selamat Pagi!
Murid-Murid : Selamat Pagi Ah Chong...

Ramasamy pula naik...

Ramasamy : Good morning…Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!
Murid-Murid : Merdeka! Merdeka! Merdeka! (sambil mengangkat & mengibarkan bendera Malaysia serentak)

Suasana : Ali, Ah Chong & Ramasamy berdiri di pentas..murid-murid lain masih duduk...

Ali : Eh, apa tema hari kemerdekaan tahun ini?
Ah Chong : Laa..engkau tak tau lagi ke? Apalah engkau ni Ali. Tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah Perpaduan Teras Kejayaan!
Ramasamy : Hmm..bagus bunyinya tu. Perpaduan ertinya bersatu. Kalau kita bersatu kita akan gagah, kalau kita bercerai kita akan rebah!
Ali : Wah! Pandai pulak kau bermadah, Ramasamy. Betul-betul…aku setuju…berpadu bulat kata sepakat, menjadi cita negara jaya!
Ah Chong : Hayya! Manyak pandai kawan-kawan aku aa..Siapa tau apa bentuk logo sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan tahun ini?
Murid-Murid : Kami tau! Ni dia...! (sambil mengangkat tinggi-tinggi logo hari kemerdekaan)

Ramasamy : Wau..hebatnya! Tapi aku tak fahamlah. Yang warna biru, kuning, merah tu apa dia?
Amirah (bangun) : Yang warna biru, kuning, merah tu adalah bentuk gambaran manusia yang saling berganding bahu, Ramasamy! Ia menunjukkan sebuah perpaduan yang erat bagi melambangkan ’Perpaduan Teras Kejayaan’!
Ramasamy : Oooo..itu macam...
Amirah : Selain daripada itu, 3 ikatan bentuk manusia yang saling berganding bahu itu juga membawa maksud…rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
Ramasamy : Ok, faham-faham…

Ali : Kenapa ia diwarnakan berlainan pulak? Ada merah, ada kuning, ada biru?
Ammar (bangun) : Itu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia..ada melayu, ada cina, ada india dan macam-macam lagilah..tetapi mereka tetap berganding bahu dan saling faham memahami sehingga tercapainya perpaduan.
Ali : Hmmm..(sambil mengangguk-angguk)...
Ah Chong : Kenapa pulak warna putih, merah, biru, kuning yang dipilih? Bukannya warna lain?
Wani (bangun) : Haa..kasi Wani jawab yang ini. Warna merah – simbol keberanian rakyat. Warna putih – simbol kesetiaan seluruh rakyat Malaysia. Warna biru pula – melambangkan perpaduan yang dijalin oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning – melambangkan sistem beraja dan Yang Dipertuan Agong. Ia juga membawa maksud warna kegemilangan atau keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.
Ramasamy : Wah, hebat sungguh kawan-kawan kita ni. Hmm..kalau dah ada tema dan logonya, mestilah tak lengkap kalau tidak ada lagu khas untuknya, kan?
Ali : Betul tu. Jom kita nyanyi sama-sama lagu tema hari kemerdekaan tahun ni. Nak tak kawan-kawan?
Murid-Murid : Nakkkk...

Amirah : Tunggu dulu!
Ali : Apa lagi Amirah ni?
Amirah : Sebelum kita nyanyi, Amirah nak peringatkan kat kauorang semua erti kemerdekaan yang sebenar. Nak tau tak?
Murid-Murid : Nakkk...(asyik nakkk je..he,he..skrip untuk yang ramai-ramai ni kena kasi simple)
Amirah : Ingat ya...erti kemerdekaan yang sebenar ialah pembebasan diri kita dari belenggu jahiliyah..maksudnya, kita bebaskan diri kita dari yang sesat menjadi ?
Murid-Murid : Tidak sesat!
Amirah : Dari yang jahat menjadi?
Murid-Murid : Tidak jahat!
Amirah : Baiklah tu maksudnya! Dari yang mungkar menjadi?
Murid-Murid : Nakir! (sambil ketawa)
Amirah : Hoi, tak betul tu! Dari yang mungkar kepada?
Murid-Murid : Yang benar!
Amirah : Hmm..bagus murid-murid..(berlagak jadi cikgu daa...). ok, jom kita nyanyi sekarang...

Suasana : Beramai-ramai menyanyikan lagu ’Perpaduan Teras Kejayaan’...klik di sini untuk download...

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN

Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa

Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Dipersada
Dalam Hidup Harmoni

Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Dihati Murni
Menjadi Kekuatan Kita

Bersatu.......Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan

Berpadu......Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan

Tamat...maka pagi ini puteriku Amirah melangkah ke sekolah dengan penuh bersemangat kerana telah berjaya 'membuli kasih' ummi untuk menyiapkan sketsa ini dalam masa 30 minit! Huwaaa...

*************************************************************************************

1 ulasan:

kin hashim berkata...

wa..menarik sketsa kak han nih... ada bakat kak han jd penulis skrip! hehehhe...