Sesungguhnya penyakit yang kita alami sama sekali tidak menghilangkan kesenangan nikmat Illahi, malah sebaliknya. Sebenarnya ia menjadikan kita semakin merasai nikmat itu, mengindahkannya lagi buat kita dan menambahkan kenikmatannya. Ini adalah kerana apabila sesuatu itu berterusan dalam keadaan asalnya, ia hanya akan menyebabkan hilang rasa dan kesannya. Ahli al-Haqq sepakat mengatakan, “Sesuatu itu dikenali melalui perkara-perkara yang bertentangan ataupun yang berlawanan dengannya.”
Seperti contoh, sekiranya tidak kerana kegelapan, pasti cahaya tidak dikenali atau diketahui. Maka ia akan terus berada dalam keadaan kita tidak merasai nikmatnya cahaya. Sekiranya tidak kerana kedinginan, pasti kehangatan tidak dikenali atau diketahui. Maka ia akan terus berada dalam keadaan kita tidak merasai nikmatnya kehangatan.
Begitulah juga sekiranya tidak kerana lapar, pasti kita tidak merasai nikmatnya ketika makan. Sekiranya tidak kerana tekak kita yang dahaga, pasti kita tidak merasai kenikmatan memuncak semasa menghirup air yang dingin. Sekiranya tidak kerana penyakit, pasti kesihatan yang kita alami itu tidak mempunyai apa-apa kenikmatan dan pastinya juga sekiranya tidak kerana penyakit, pasti kesihatan yang kita peroleh itu tidak mempunyai sebarang kelazatan.
Tuhan yang Maha Mencipta dan Maha Bijaksana mahu supaya manusia dapat merasa dan mengecap pelbagai jenis kenikmatan yang dikurniakannya supaya manusia bersyukur kepadaNya. Maka Dia menyediakan terlalu banyak peralatan pada diri manusia supaya manusia dapat merasa dan mengecapnya. Oleh kerana itu juga, Tuhan menurunkan pelbagai jenis penyakit sebagaimana Dia memberikan nikmat kesihatan dan kesejahteraan kepada manusia di mukabumi ini.
Saya ingin bertanya kepada saudara, “Sekiranya bukan kerana sakit yang menimpa kepala, tangan ataupun perut saudara, adakah saudara mampu merasai kenikmatan yang tersembunyi di sebalik kesihatan yang terdapat pada kepala, tangan ataupun perut saudara itu?”
Saya juga mahu mengetahui, “Adakah saudara dapat merasai kenikmatan itu, seterusnya bersyukur pada nikmat Illahi itu? Tetapi biasanya saudara berada dalam keadaan lupa dalam keadaan sepatutnya saudara bersyukur ataupun mungkin saudara menguruskan kesihatan saudara itu dengan melampau, lalu saudara melakukan sesuatu yang bodoh tanpa saudara sedari?”
-Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)
*************************************************************************************
-Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)
*************************************************************************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan