Kadang-kadang Ummi termenung sendiri. “Bilalah agaknya Along dan Angah ni nak benar-benar matang?”
Kalau dah belum matang tu, faham-faham ajalah. Kadangkala terguris hati ibu dek kerana tabiat ketidakmatangan mereka. Namun gurisan itu segera disembuhkan atas dasar kefahaman bahawa akal fikiran mereka belum sampai ke tahap kematangan seorang dewasa.
Sepanjang perjalanan menghantar anak-anak lelaki kembali ke asrama bagi meneruskan kursus persediaan ke Mesir yang hanya tinggal sebulan sahaja lagi itu, Ummi tak kering gusi menyelitkan kata-kata nasihat dan perangsang buat Along dan Angah.
Kerana itulah juga barangkali kata-kata nasihat atau ungkapan dari seorang ayah lebih diambil cakna oleh si anak. Yalah, seorang ayah lebih jarang bercakap dan berkata-kata dengan si anak berbanding perbualan dan percakapan di antara anak dan ibu. Maka sekali ayah bersuara, seolah-olah itu adalah suatu amanat atau perintah yang amat penting. Tak begitu?
Maka di antara senggang leteran Ummi yang tiada noktahnya itu, mencelahlah Abi ;
“Along dan Angah dengar sini, Abi nak cakap. Along dan Angah ni kan, selagi tiada kesedaran dalam diri sendiri, Along dan Angah tak akan berubah! Biarlah sebanyak manapun Ummi dan Abi curahkan nasihat, pesan itu dan ini, tetapi selagi kesedaran itu tidak Along dan Angah cungkil dari diri sendiri, maka semuanya tak akan menjadi. Percayalah! Jadi pesan Abi, carilah kesedaran! Cungkillah keinsafan! Jangan buat sesuatu hanya kerana Ummi dan Abi nakkan begitu dan begini. Biar ia datang dari kesedaran dan keinsafan diri sendiri…”
Terimakasih Abi. Mudah-mudahan seperenggan nasihat dan ungkapan dari Abi itu akan menjadi titik permulaan ke arah sebuah perubahan nilai yang diharapkan…
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
*************************************************************************************





