Memaparkan catatan dengan label Politik: Tragedi Memali. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik: Tragedi Memali. Papar semua catatan

Khamis, 19 November 2009

Tragedi 19 November!

Assalamualaikum.

Hari ini 19 November. Tarikh berlakunya tragedi berdarah Memali! 24 tahun yang lalu, ketika Ummi dalam cuti sekolah hujung tahun Tingkatan 3, terpapar di kaca TV berita penembakan beramai-ramai terhadap suatu kumpulan agama yang didakwa mengamalkan ajaran sesat. Dalam masa yang sama pula, bonda tercinta menafikan… ‘Tidak! Mereka bukan pengamal ajaran sesat. TV tak pernah bercakap benar. Mak pasti mereka adalah orang-orang agama yang digeruni oleh parti kerajaan!’.

Akhirnya terbukti kata-kata bonda adalah benar. Al-Fatihah untuk semua syuhada’ Memali.

Rentetan daripada itu, entah kenapa tarikh ini menjadi begitu terkesan kepada Ummi sehinggakan Ummi juga turut melahirkan 2 orang puteri pada tarikh yang sama, 19 November dalam tahun yang berlainan. Jauh dilubuk hati ini, Ummi mengharapkan mudah-mudahan anak-anak Ummi kelak bakal menjadi mujahid dan mujahidah yang akan turut berjuang melawan kemungkaran dan menegakkan kebenaran.


Sama-sama kita hayati sajak karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuatkan jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa para syuhada Memali yang begitu cekal dan tekal dalam menentang penangkapan tanpa bicara (ISA).

Hari itu Selasa malang
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah

setelah malap cahaya lokap

panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari

negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah

enggan ditahan tanpa kesetaraan

enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia

penjara tanpa bicara

warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.


Sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah
merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba

tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya

mentah kedarah para petani dan buruh

mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah


Iya, mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah
tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.


Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional
Tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional

Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan

melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis Syaitan Act (ISA)


ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras
Penguasa pujanya Iblis
Kuasa
penguasa sembahnya Syaitan rasuah

Penguasa berkuku besi pelindungnya ISA (Iblis Syaitan Act.)


Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim

Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat
Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa

Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan

Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang Iblis dan Syaitan

akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara


Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta

pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh
memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa
memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata


ISA gari yang merantai kejujuran
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta

ISA adalah tangisan

ISA adalah ketakutan


Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara

pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam,

sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling,

siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba

ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,

di balas kereta perisai dan senjata

Memali adalah sejarah melawan ISA paling berani

merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru

gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara


akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang

rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis

benang-benang kusut

fikiran hanyut

keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa

merah mengalir darah merdeka

korban ISA dan kekejaman negara

syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga,
mencabut nyawa suami dan ayah,

para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa


*************************************************************************************