Rabu, 28 Januari 2009

Nak Jumpa Doktor Lelaki Atau Perempuan?

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Akhirnya hasrat Ummi untuk mengeluarkan artikel ini tercapai jua dengan bantuan sepupuku, 'Dianah and her little business' yang telah menterjemahkannya. Jazakillahu khairan kathira dan terimakasih tak terhingga buat Dik Yanah atas khidmat yang disediakan. Almaklum..nak tulis artikelpun tak sempat-sempat, apalagi nak menterjemahkannya. Bagi sesiapa yang nak dapatkan khidmat perterjemahan, bolehlah contact Dianah di sini. InsyaAllah dengan khidmat yang terbaik dan harga yang berpatutan. He,he..saja tolong promote, tak de sharing tau!

Isu yang ingin Ummi bawa kali ini mungkin agak sensitif, namun amat menyedihkan sekali kerana ianya tidak dianggap serius di kalangan masyarakat kita dan seringkali dipandang remeh. Apa isunya? Tak lain tak bukan, isu nak pilih doktor untuk dapatkan rawatan! Nak jumpa doktor lelaki ke, nak jumpa doktor perempuan? Kalau ditanya, tidak ramai yang mengambil kira isu aurat dalam membuat pilihan. Lebih ramai yang beranggapan, aurat boleh didedahkan kepada mana-mana doktor sewenang-wenangnya atas maslahat keperluan. Benarkah begitu? Sama-sama kita menghayati terjemahan artikel soal-jawab bersama Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid. Artikel asal dalam Bahasa Inggeris boleh didapati di sini.

Soalan :


Boleh anda terangkan kepada saya, masalah mengenai pemilihan doktor untuk merawat kita? Menurut apa yang diberitahu oleh cikgu saya, apabila pesakit itu seorang muslimah, sepatutnya pemilihan doktor adalah mengikut urutan keutamaan sebagaimana berikut :
1. Doktor perempuan muslim ;
2. Doktor perempuan bukan muslim ;
3. Doktor lelaki muslim ; dan yang terakhir ialah
4. Doktor lelaki bukan muslim.

Ini bermakna, apabila tiada doktor perempuan di dalam sesuatu bidang pengkhususan rawatan, barulah kita boleh memilih doktor lelaki.

Namun begitu, kawan saya pula mengatakan bahawa cikgunya berkata, doktor yang muslim sama ada perempuan atau lelaki menjadi keutamaan, kemudian barulah doktor perempuan atau lelaki bukan muslim.

Saya tertanya-tanya di dalam hal ini. Saya faham bahawa sebagai doktor yang beragama Islam, mereka tentunya lebih amanah daripada yang bukan muslim. Namun, bukankah persoalan mengenai aurat adalah lebih penting di dalam hal ini, dan seterusnya mengelakkan fitnah?

Sebahagian daripada kawan saya (perempuan) telah memilih doktor perbidanan lelaki (muslim) untuk memantau kandungan mereka dan seterusnya menyambut kelahiran bayi mereka, sedangkan di sana masih ramai doktor perbidanan perempuan (muslim dan bukan muslim).

Mohon nasihat dari ustaz.
Terima kasih.
Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas bantuan ustaz, InsyaAllah.

Jawapan :

Setinggi-tinggi pujian kepada Allah, Tuhan sekalian alam dan selawat serta salam ke atas insan yang diutuskan sebagai rahmat ke dunia ini, iaitu junjungan kita Nabi Muhammad SAW, seluruh ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Berikut ialah beberapa dasar dan panduan berkenaan isu ini :

Pertama:

Aurat (yang perlu ditutupi) oleh seorang lelaki ialah di antara pusat dan lututnya, kerana Nabi S.A.W pernah berkata:
“Bahagian di antara pusat dan lutut itu adalah aurat.”
(Hadis Hasan diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawood dan al-Daaraqutni)

Ia merupakan pendapat majoriti ulama’.

Kedua:

Seluruh bahagian seorang perempuan adalah aurat dan perlu ditutupi daripada orang yang bukan mahramnya, berpandukan ayat (terjemahannya):
“Dan apabila kamu ingin meminta (daripada isteri-isteri mereka) apa-apa yang kamu perlukan, mintalah daripada sebalik tabir”
(Al-Ahzab 33:53)

Juga berpandukan hadith,
“Seluruh bahagian badan seorang perempuan adalah aurat.”
(Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dengan isnad sahih)

Ini adalah pendapat yang benar menurut Mazhab Hambali, salah satu dari pendapat Imam Maliki, dan salah satu dari pendapat Imam Shafi’i.

Ketiga:

Memandang aurat dengan sengaja adalah salah satu perkara yang sangat ditegah. Seorang muslim itu perlulah menundukkan pandangannya dan menahan diri dari melihat kepada yang bukan mahramnya.

Allah telah berfirman (terjemahannya) :

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (dari melihat perkara yang haram), dan memelihara kehormatan mereka (dari melakukan zina dan yang seumpamanya). Demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (dari melihat perkara yang haram), dan memelihara kehormatan mereka (dari melakukan zina dan yang seumpamanya)…”
(Al-Nur 24:30-31)

Nabi SAW bersabda :
“Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki yang lain dan seorang perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan yang lain.”
(Diriwayatkan oleh Muslim)

Dan baginda S.A.W pernah berkata kepada Saidiana Ali r.a :
“Janganlah kamu melihat peha seseorang, samada yang masih hidup atau yang telah mati.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, hadis sahih).

Keempat :

Jika ianya haram untuk melihat aurat, ianya juga haram untuk menyentuh aurat, walaupun berlapik dengan kain atau pakaian. Nabi SAW pernah bersabda:
"Aku tidak berjabat tangan dengan perempuan."
(Diriwayatkan oleh Imam Malik dan Imam Ahmad, hadis sahih)

Dan baginda SAW juga pernah bersabda:
“ Jika salah seorang daripada kamu hendak ditikam di kepalanya, itu adalah lebih baik baginya daripada dia menyentuh seorang perempuan yang tidak dibolehkan untuknya sentuh (bukan mahram).”
(Diriwayatkan oleh Imam Tabrani, hadis sahih)

Imam Al-Nawawi r.a pula pernah berkata:
“Di mana ianya dilarang untuk melihat, ianya juga dilarang untuk menyentuh, dan menyentuh itu lebih ditegah, kerana ianya lebih disukai (mendatangkan keseronokan).”

Kelima:

Perkara yang dikira aurat terdiri daripada pelbagai jenis dan tahap-tahapnya. Bahagian yang “paling aurat” ialah bahagian kemaluan samada depan atau belakang. Kemudian, bahagian yang “kurang aurat” ialah seperti peha seorang lelaki di depan sesama lelaki.

Keenam :

Kanak-kanak kurang daripada 7 tahun tidak termasuk di dalam peraturan aurat ini. Aurat seorang kanak-kanak lelaki yang sudah dapat membezakan perkara (mumayyiz) – antara umur 7 hingga 10 tahun – adalah bahagian kemaluan, manakala aurat kanak-kanak perempuan seusia itu pula ialah dari pusat sehingga ke lutut (peraturan di atas adalah di dalam keadaan tiada ketakutan atau fitnah).

Aurat mayat pula ialah sama seperti aurat bagi orang yang masih hidup. Manakala bagi orang yang jantinanya tidak jelas pula (khunsa), auratnya ialah seperti seorang perempuan, kerana dia mungkin sebenarnya seorang perempuan.

Ketujuh :

Di dalam keadaan keperluan, perkara yang biasanya haram adalah dibenarkan. Para ulama’ bersepakat bahawa adalah dibolehkan untuk seorang doktor lelaki melihat bahagian sakit seorang pesakit perempuan apabila perlu, tetapi di dalam batasan syari’at. Begitu juga, doktor lelaki adalah dibenarkan untuk melihat aurat pesakit lelaki. Tetapi, dia hanya dibenarkan melihat di bahagian yang sakit setakat yang perlu, dan tidak berlebih-lebihan.

Peraturan yang sama juga adalah terpakai bagi doktor perempuan. Peraturan ini berdasarkan kepada pendapat mengutamakan kepentingan menyelamatkan nyawa berbanding kepentingan melindungi aurat, di dalam kes-kes yang melibatkan konflik di antara dua kepentingan ini.

Kelapan :

“Keperluan perlu dinilai berdasarkan tahap-tahapnya.” Sebelum ini, telah dinyatakan bahawa dibenarkan untuk mendedahkan, melihat, menyentuh dan sebagainya, untuk tujuan rawatan di dalam kes keperluan yang perlu disegerakan. Namun, di dalam apa keadaan sekalipun, adalah tidak dibenarkan untuk melewati batasan syariat Islam. Peraturannya adalah seperti berikut:

Keutamaan perlu diberikan kepada rawatan oleh doktor yang sama jantinanya dengan pesakit. Apabila seorang pesakit perempuan perlu didedahkan auratnya (untuk tujuan rawatan), pilihan utama perlu diberikan kepada doktor muslimah yang berkelayakan. Jika tidak ada, turutan pilihan seterusnya ialah doktor perempuan bukan muslim, doktor lelaki muslim, dan yang terakhir, doktor lelaki bukan muslim. Jika keadaan penyakit itu memadai hanya dirawat oleh doktor perubatan biasa perempuan, pesakit itu tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki walaupun doktor lelaki itu adalah doktor pakar. Jika memerlukan doktor pakar, pesakit itu perlu mendapatkan rawatan daripada doktor pakar perempuan, tetapi jika tidak ada, barulah dibenarkan baginya untuk dirawat oleh doktor pakar lelaki. Jika doktor pakar perempuan itu tidak cukup berkemahiran untuk mengendalikan keadaan penyakit pesakit itu, dan memerlukan penglibatan doktor pakar lelaki yang berkemahiran tinggi dan layak, maka dibenarkan untuk pesakit itu dirawat oleh doktor pakar lelaki itu. Jika ada doktor pakar lelaki yang lebih berkemahiran, dan lebih berpengalaman daripada doktor biasa perempuan, pesakit perempuan itu masih tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan doktor pakar lelaki, melainkan jika keadaan penyakitnya memerlukan kemahiran dan pengalaman doktor pakar lelaki itu. Menggunakan kaedah yang sama, seorang pesakit lelaki tidak sepatutnya dirawat oleh doktor perempuan sekiranya masih ada doktor lelaki yang boleh menjalankan rawatan.

Pesakit tidak dibenarkan mendedahkan auratnya lebih daripada yang diperlukan, iaitu hanya bahagian yang sakit sahaja perlu didedahkan. Pada masa yang sama, doktor yang merawat perlulah menjaga pandangannya seboleh mungkin, dan dia perlulah sedar bahawa dia sedang melakukan sesuatu yang pada dasarnya adalah haram, dan dia perlulah memohon keampunan daripada Allah untuk perbuatannya yang mungkin melewati batasan syari’at.

Sekiranya dapat dirawat hanya dengan menjelaskan keadaan penyakit yang dialami, maka tidak dibolehkan untuk pesakit mendedahkan auratnya; sekiranya dapat dirawat hanya dengan melihat, maka tidak dibolehkan untuk doktor menyentuh pesakit yang bukan mahramnya itu; sekiranya dapat dirawat dengan sentuhan yang beralaskan kain, maka tidak dibolehkan untuk mengalihkan kain itu, dan begitulah lagi lain-lain situasi.

Walaupun syari’at Islam membenarkan pesakit perempuan dirawat oleh doktor lelaki (dalam keadaan keperluan, dan dengan peraturan-peraturan yang telah dinyatakan sebelum ini), tapi ia hanya jika pesakit itu ditemani, dan bukan keseorangan. Bermakna, pesakit itu perlu ditemani samada oleh suaminya, mahramnya atau perempuan lain yang boleh dipercayainya.
Doktor lelaki itu juga perlulah merupakan seorang yang boleh dipercayai, dan tidak diragui berkenaan kelakuan dan komitmen agamanya. Dalam kes ini, memadailah hanya dengan menilai raut wajahnya.

Apabila sesuatu bahagian badan itu dianggap lebih aurat, maka lebih ketatlah syarat yang dikenakan. Menurut penulis kitab Kafaayat al-Akhyaar: "Ketahuilah bahawa kelonggaran di dalam keadaan keperluan ialah hanya dengan melihat tangan dan muka. Untuk melihat bahagian badan yang lain, memerlukan sebab yang pasti dan jelas, manakala untuk melihat bahagian yang sulit, memerlukan sebab yang lebih-lebih lagi pasti." Oleh itu, seorang Muslimah perlulah lebih tegas dalam menjaga auratnya di dalam kes-kes seperti melahirkan anak, dan bersunat bagi kanak-kanak perempuan.

Keperluan rawatan juga perlulah segera, seperti keadaan berpenyakit, rasa sakit yang tidak tertahan, keadaan badan lemah yang membimbangkan dan sebagainya. Sekiranya tidak berpenyakit atau tidak perlu disegerakan, maka tidak dibolehkan untuk mendedahkan aurat, seperti dalam kes di mana pesakit itu sendiri yang mengandaikan dirinya sakit, atau di dalam kes hal-hal luaran.

Semua peraturan yang dinyatakan di atas hanyalah bagi keadaan di mana tiada kemungkinan fitnah atau hasutan nafsu baik dari pihak doktor atau pesakit itu sendiri.

Akhir sekali, asasnya ialah mengingati dan takutkan Allah S.W.T di dalam berhadapan isu yang penting sebegini. Syari’at telah menetapkan langkah berjaga-jaga untuk keselamatan kita, dan telah menggariskan panduan yang jelas dan serius. Satu masalah yang sangat menular pada masa kini ialah kelalaian atau sikap acuh tidak acuh masyarakat kita berkenaan isu mendedahkan aurat di klinik-klinik dan hospital, seolah-olah dibolehkan mendedahkan segala-galanya kepada seorang doktor dan membiarkannya melakukan perkara-perkara yang tidak dihalalkan dalam agama. Keadaan yang sama juga terjadi kepada program-program pendidikan yang dibawa tanpa tapisan dari negara-negara kafir, mencontohi mereka dengan bersikap lalai atau acuh tidak acuh berkenaan hal ini di dalam pendidikan, latihan dan maklumat.

Orang-orang Islam perlulah memberi perhatian di dalam memberi pendidikan kepada wanita-wanita yang layak di dalam bidang pengkhususan perubatan yang pelbagai ini, supaya keperluan kemaslahatan kaum muslimah dapat dijaga. Pihak hospital juga perlulah mengeluarkan jadual dan menyusun atur sistem giliran (shift) di hospital dan klinik supaya keperluan muslimah tidak dianggap sebagai perkara yang menjengkelkan, atau diabaikan atau disusahkan (mungkin dimarahi) oleh doktor lelaki apabila pesakit meminta dirawat oleh doktor perempuan.

Kita memohon kepada Allah S.W.T supaya membantu kita memahami agama Islam dengan lebih sempurna, membantu kita mentaati syari’at Islam dan menjaga hak-hak sesama orang-orang Islam. Allah jualah tempat meminta pertolongan dan menunjuk ke jalan yang lurus.

Soal Jawab Islam
Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid

*************************************************************************************

Sabtu, 24 Januari 2009

Apabila Takbir Menjadi Laungan Anak Muda

Assalamualaikum.

Ya Allah, bersawang lagi blogku kali ini. Alangkah lemahnya diri ini yang masih tidak tahu bagaimana nak kuatur kesibukan seharian dengan masa yang telah diperuntukkan Allah 24 jam sehari. Maaf jua dari Ummi untuk kesemua pengunjung blog yang sekian hari bertandang namun hampa dengan ketiadaan mesej dan pengisian terbaru.

Untuk tidak menghampakan, kali ini Ummi postkan tulisan dari penulis bebas yang tidak lain tidak bukan, suamiku tercinta. Masih perihal pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang baru sahaja berlalu, khusus bagi memberi bayangan kepada pengunjung-pengunjung blog Ummi terhadap suasana sambutan kemenangan selepas pengumuman.

Apabila Takbir Menjadi Laungan Anak Muda
(Penulis Bebas)

Jam 9.30 malam, 17 Januari 2009 keinginanku untuk menutup awal premis perniagaanku sudah tak tertahan lagi. Kalau mengikut berita, keputusan itu akan diumumkan pada pukul 10.30 malam. Aku mengira sudah tentu aku sempat untuk sampai ke Stadium Negeri bagi mengikuti detik bersejarah itu.

Dengan tidak berlengah lagi, aku balik ke rumah dan mengambil motorsikal Yamaha SRX ku tanpa pengetahuan isteri. Dalam perjalanan ke Stadium Negeri, aku terlihat bunga api di udara. Aku juga melihat beberapa anak muda sedang 'posing' dan bergambar dengan menyelimuti tubuh-tubuh mereka dengan bendera kesayangan seperti pelancong yang 'posing' berlatar belakangkan pemandangan yang akan diabadikan di dalam album kenangan lagaknya. Aku terus memandu dengan pecutan yang agak tinggi. Dalam pada itu beberapa sms masuk dan aku sempat mengeluarkan handsetku yang tersisip di talipinggangku dan membaca sambil tangan sebelah kanan memegang handle sambil meneruskan pemanduan. Ada sms yang masuk bertanyakan keputusan, ada yang inginkan kepastian dan majoritinya adalah yang mengucapkan tahniah atas kemenangan.

Aku mengambil jalan yang paling singkat. Tetapi setelah hampir sampai ke tempat tujuan, di traffic light terakhir itu terdapat sekatan jalan. Aku selekoh ke Jalan Sultan Omar dan mengambil jalan belakang melalui perkuburan cina di Jalan Pusara. Anehnya aku melihat kenderaan yang bertali arus itu ada yang pergi dan ada yang kembali. Jalan di celah-celah perkuburan itupun menjadi sesak juga. Akhirnya setelah aku sampai di belakang Stadium Negeri dengan bersusah payah, aku diberitahu bahawa majlis telahpun selesai dan Parti Islam mendapat kemenangan dengan majoriti 2,631. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Aku tak dapat menyembunyikan kegembiraanku dengan bertakbir beberapa kali meskipun tidak sempat mengikuti detik itu.

Aku kembali mendapatkan motorsikalku untuk balik ke rumah dengan hati yang riang berbunga. Dalam perjalanan kembali aku melalui jalan lain yang agak jauh untuk melihat-lihat suasana selepas kemenangan itu. Kenderaan begitu banyak sekali. Mujurlah aku naik motorsikal. Di sepanjang jalan aku melihat suasana yang cukup mengharukan. Anak-anak muda yang bermotor sama ada yang membonceng atau bersendirian mengibarkan bendera Parti Islam sambil memandu berderet-deret serta membunyikan hon masing-masing dengan irama ceria. Kereta-kereta yang bersimpang siur itupun tidak mahu ketinggalan dengan menyambut bunyi-bunyi hon itu untuk menyatakan sokongan mereka. Tingkap-tingkap kereta dibuka dan bendera-bendera Parti Islam berkibaran dengan berbagai-bagai saiz.

Aku mengikuti arus perjalanan motorsikal-motorsikal anak-anak muda itu dengan rasa bangga dan gembira. Apabila tiba di persimpangan traffic light, mereka beramai-ramai melaungkan takbir berulang-ulang kali sambil mengangkat bendera Parti Islam itu tinggi-tinggi dan mengibar-ngibarkannya. Subhanallah! Hatiku tersentuh dengan gelagat itu. Suasana keriangan itu dihiasi dengan laungan yang membesarkan Allah.

Aku terus mengekori mereka kerana jalan laluan mereka juga menuju ke rumahku. Di tepi-tepi jalan aku melihat penduduk sekitar berdiri beramai-ramai di tepi jalan yang diterangi dengan lampu neon jalanraya itu sambil mengibar-ngibarkan bendera sambil tersenyum. Ada yang bertakbir penuh kepuasan. Terdapat juga penduduk yang membuka tingkap-tingkap rumah mereka di tingkat satu bangunan kedai yang berderetan sepanjang jalan itu sambil mengibarkan bendera. Sambutan seperti itu seolah-olah sedang menyambut wira-wira negara yang baru balik dari medan perjuangan.

Hatiku sungguh sayu! Perlahan-lahan kurasakan air jernih mengalir membasahi pipiku kerana rasa syahdu dan terharu.

Sesampainya di rumah, aku lantas mengajak isteriku untuk turut sama meraikan kemenangan rakyat itu dengan menaiki motorsikal. Tanpa berlengah lagi isteriku terus bersetuju dan aku memboncengnya di belakangku. Aku mengikuti saja anak-anak remaja yang ramai itu menunggang motorsikal melalui jalan Cabang Tiga - Pulau Kambing - Kg. Cina - Masjid Putih - Tanjung - Jalan Sultan Zainal Abidin - Jalan Hospital - Jalan Kamaruddin - Jln. Gong Kapas dan kembali semula ke Jln Cabang Tiga.

Sepanjang perjalanan itu sesekali aku melihat anggota polis yang berdiri di tepi-tepi jalan hanya tersenyum-senyum seolah-olah mereka juga gembira dengan sambutan yang tidak dirancang itu. Ada juga yang buat-buat tak tahu sambil minum di warung-warung tepi jalan dan berbual-bual. Tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam sambutan itu. Anak-anak remaja samada lelaki atau perempuan, tua atau muda semuanya tahu menjaga adab dan keharmonian.

Aku tidak tahu berapa kali mereka 'tawaf' mengelilingi Bandaraya Kuala Terengganu selepas itu. Dengan perasaan gembira dan puas, aku dan isteri balik ke rumah.

Dalam diam aku bermonolog. Indahnya perjuangan Islam ini apabila didokongi oleh anak-anak muda. Detik bersejarah ini akan menjadi titik tolak kepada kemenangan Islam di Malaysia Insya Allah. Namun begitu aku masih hairan, bagaimana golongan muda itu begitu gembira dengan kemenangan Parti Islam sedangkan mereka tidak sedikitpun mendapat upah. Ertinya kegembiraan mereka itu tulus dan ikhlas, bukan ada udang di sebalik batu.

Satu sahaja kesimpulan yang boleh aku buat ialah bahawa pemuda-pemuda itu telah faham inti perjuangan Parti Islam iaitulah untuk kesejahteraan umat. Apabila kefahaman ini telah berputik... maka Insya Allah kemenangan Islam sudah semakin hampir... tunggulah...

*************************************************************************************

Rabu, 14 Januari 2009

Perutusan Khas Untuk Pengundi PRK K.Terengganu

Assalamualaikum WMWB.
Semoga sejahtera selalu hendaknya.

Tuan/Puan,

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Kamu akan melihat manusia memasuki Agama Allah dengan berbondong-bondong”


(Surah An-Nashr: Ayat 1 dan 2)

Seperti yang sama-sama kita maklum, menegakkan Islam itu perkara logik dan wajib. Ini kerana kita menumpang bumi Allah yang sepenuhnya dicipta oleh Allah. Jika dimisalkan, perintah ini samalah juga dengan sembahyang. Sebagaimana sembahyang itu wajib maka apa jua perkara yang berkaitan dengan persiapan untuk menegakkan sembahyang turut menjadi wajib. Wudhu’ untuk sembahyang itu wajib. Menggali telaga dan memasang paip itu turut wajib.

Demikian jugalah dengan kaedah menegakkan Islam di zaman ini. Zaman sekarang, orang menegakkan Islam dengan mengambil alih kuasa melalui pilihanraya. Ini yang timbul kerja mengundi melalui pilihanraya.

Oleh kerana mengundi itu hak mutlak diri, tidak ada siapa berhak merampas, mengugut dan memaksa. Apabila dihubungkan hak kebebasan mengundi ini dengan tanggungjawab kita untuk menegakkan Islam, maka tunaikanlah hak yang satu ini dengan penuh iman. Biar bagaimana rahsia sekalipun undi kita pada 17 Januari 2009 ini, ia tetaplah akan terakam sebagai amal makruf. Sebagaimana menggali telaga dan memasang paip untuk menyempurnakan wudhu’ itu wajib kerana sembahyang itu wajib, MAKA mengundi sebuah parti yang mahu menegakkan Islam itu juga adalah wajib.

Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab kita dengan sehabis amanah. Gunakan senjata undi masing-masing di hari itu yang sekira-kiranya bila ditanya oleh Allah SWT kelak, tuan/puan boleh kata bahawa tuan/puan pernah membela Islam melalui sepangkah undi dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu sewaktu di dunia dahulu – sekurang-kurangnya. Wassalam.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Mursyidul Am PAS.


Tanggal : 9 Muharram 1430 / 6 Januari 2009


*************************************************************************************

Ahad, 11 Januari 2009

Pesanan Tok Guru : Sebarkan!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,

Salam Pendahuluan

Politik ini kerja Nabi-Nabi. Ia ada kena mengena dengan Islam kerana melalui kekuasaan di dalam pemerintahan, banyak perkara penting dalam hidup meliputi setiap aktiviti manusia dapat diputuskan melalui kuasa pemerintah. Ia mencakupi kegiatan untuk menegakkan maaruf dan mencegah kemungkaran. Ini amat berbeza sekali dengan fahaman politik para pemimpin Umno. Mereka menyifatkan Islam lain dan politik lain. Ia suku-suku menyebabkan Islam terkurung di surau-surau dan tidak didaulatkan.

Islam Agama Sejagat

Islam mengutamakan keselamatan manusia – bukannya Melayu sahaja! Islam mengatur seluruh sistem hidup bagi melindungi keselamatan manusia untuk mencapai kesejahteraan, bermula dari dunia lagi sampai ke dalam lubang kubur dan terus ke akhirat. Ini jauh berbeza dengan perjuangan orang sekular yang mengambil faham kebangsaan Melayu seperti Umno sebagai dasar perjuangan. Mereka hanya tahu dan bercakap mahu membawa kebahagiaan setakat dunia. Itupun, kejayaannya sangat diragukan boleh dicapai oleh rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Masalah inflasi, masalah keruntuhan akhlak, masalah rasuah, masalah kroni, masalah ketirisan, masalah jenayah, masalah perpaduan kaum, masalah murtad, masalah bahasa, masalah pencemaran alam, masalah keruntuhan bukit, masalah dadah, HIV dan Aids dan seribu satu macam masalah lagi. Ini semua merupakan contoh betapa gagalnya pemimpin Umno yang berfahaman kebangsaan ini yang memerintah Malaysia sekarang. Sudahnya di bumi tak jejak, ke langit tak sampai. Menyembah Allahpun tidak, menyembah berhalapun bukan.

Nak Jaga Orang Melayu

Kerja nak jaga orang Melayu, PASpun boleh jaga. Bahkan kaedah PAS menjaga kepentingan orang Melayu lebih logik dan konkrit. Lihat kerja kami menjaga amanah kuasa dalam kerajaan-kerajaan yang diamanahkan. Cara kami cukup berbeza dengan Umno yang menggunakan fahaman kebangsaan. Umno hanya setakat untuk membahagiakan rakyat sampai ke pintu kubur sahaja. Itupun jika bahagia?

Semangat Kebangsaan

Melalui konsep BN, Umno menyuburkan fahaman kebangsaan di kalangan bangsa-bangsa dalam gerakan aliran perjuangan bangsa masing-masing. Atas slogan perpaduan, mereka meniupkan semangat perkauman di atas pentas toleransi dan istilah permuafakatan yang muluk. Untuk umpan eksploitasi, mereka membiarkan syak wasangka tumbuh subur dalam kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum ini. Contoh boleh dilihat melalui isu-isu bahasa, aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat. Isu bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi yang sama-sama boleh kita saksikan. Saya yakin yang orang Melayu dan orang bukan Melayu sedang berada dalam kegelisahan. Hari ini pula timbul isu ketuanan Melayu. Ini semua ada kena mengena dengan politik Umno yang mahu “pecahkan perpaduan” untuk terus memerintah. Ini “divide and rule” yang selalu saya katakan. Rakyat tertanya-tanya, apa yang sudah terjadi dan akan terjadi dengan masa depan perpaduan kita pada masa ini dan akan datang.

Sebaliknya, semangat Islam bertolak dari Adam dan Hawa. Kita tidak berminat dengan kesedaran bangsa walaupun kita sedar kita hidup berbangsa-bangsa. Kita pupuk semangat kebersamaan yang bertolak daripada satu keturunan. Ini menimbulkan rasa senang dan tenang. Jauh dari perasaan syak dan curiga. Kesedaran ini mencetuskan benih baru. Ia menimbulkan rasa mesra kerana kita semua adalah bersaudara. Islam memberi peluang kepada semua bangsa untuk bertaqwa dan menjadi orang yang terbaik sama ada Cina, Melayu, India, orang asli atau Benggali. Sekiranya mereka menerima Islam, maka mereka layak untuk menjadi orang bertaqwa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai manusia (tanpa mengira bangsa), sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

(Surah Al Hujuraat : Ayat 13)

Sokongan Terhadap Umno

Semua rakyat boleh perhati bahawa orang Melayu sudah lari daripada perjuangan Umno. Dalam keadaan orang yang sedang melarikan diri, Umno pula sedang ghairah menggantung pemimpin dan ahli-ahlinya yang sedia ada. Ada yang hanya kena setahun dan ada yang kena bertahun-tahun. Ada yang dipecat dan ada yang dikenakan tindakan disiplin. Kes-kes politik wang (rasuah) sudah mencecah angka 1,000 kes. Setakat yang saya ikuti, orang yang nak masuk Umno, tidak ada. Yang keluar, ada!

Pembangunan Di Kelantan

Jika Kelantan hendak diambil sebagai contoh, maka seluruh rakyat Malaysia boleh datang dan menyaksikan sendiri segala pembangunan dan projek yang sedang dilaksanakan. Jemputlah ke Gua Musang, Tok Bali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Tanah Merah, Jeli dan di merata-rata tempat di negeri ini. Ada-ada sahaja pembangunan. Kami tidak mengatakan kami yang terbaik tetapi kami boleh mengatakan kami lebih baik. Kami sedar kami miskin, tetapi kami berjimat cermat kerana Islam menganjurkan kami supaya kami berjimat cermat. Kami jaga hukum Allah SWT. Mana yang boleh kami laksanakan, kami laksanakan. Mana yang belum boleh kami laksanakan, maka kami usahakan untuk melaksanakannya. Demikianlah cara kami.

Dengan mentaati Allah, Islam menjadi cukup mudah. Bahkan politik yang paling mudah ialah Islam.
Bagaikan Peguam Negara, Nabi Muhammad SAW menterjemahkan segala isi kandungan Al-Qur’an untuk dilaksanakan. Kami menggunakan Islam sebagai panduan yang telahpun ada ‘blue print’nya. Dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dan pilihan raya-pilihan raya yang akan datang, mari kita tinggalkan Umno dengan rasuah dan segala penyakitnya. Walau di mana sekalipun, dalam konteks rasuah, Umno selalu menjadi parti yang serba salah.

Diberi Salah
Tak Diberi Kalah

Serba Tak Kena

Serba Salah


Salam Penutup

Jom, kita tinggalkan Umno. Tak payahlah kita berbalah. Yang kita hendak hanya satu iaitu mengundi PAS dan Pakatan Rakyat. Menang PAS, menanglah Pakatan Rakyat. Selamat mengundi. Jom, kita ke Putrajaya!

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan


Bertarikh : 3 Muharram 1430 (31 Disember 2008)


*************************************************************************************

Selasa, 6 Januari 2009

Jeritan Hati...

Assalamualaikum.

Sepinya diri ini hanya Tuhan yang tahu. Ya Allah, baru beberapa hari terpisah dari kedua-dua anak lelakiku, sudah terasa gundah-gulana dan rindu-dendamnya. Rindu pada suara gelak-ketawa dan gurau-senda mereka, rindu pada keriuhan suasana keduanya berlumba-lumba menaiki anak tangga bersama Abi setiap kali pulang dari masjid, rindu pada usikan nakal mereka terhadap adik-adik perempuannya. Walhal perpisahan ini hanya sementara cuma dan perpisahan ini juga semata-mata demi jihad fisabilillah dalam mencari ilmu. Bukanpun perpisahan jasad untuk selama-lamanya.

Ya Allah, tak dapat kubayangkan betapa saudara- saudaraku seIslam nun di Palestin yang sedang menderita akibat peperangan yang Maha Zalim. Ibu terpisah selama-selamanya dari anak yang dikasihi, anak terpisah dari ayah tercinta, suami terpisah dari isteri tersayang...Ya Allah, untuk membayangkannyapun terasa luluh hati ini, apalagi buat bahu yang memikul!

Buatmu anak-anakku, tiada yang Ummi harapkan dari kalian melainkan engkau kelak pulang sebagai mujaddid di jalan Allah. Tiada ibu yang sanggup berpisah dari anak-anaknya, tiada bapa yang sanggup melepaskan pemergian buah hati mereka...kalaulah tidak kerana jihad ilmu yang menjadi tuntutan.

Betapa sedih dan pilunya hati kerana perpisahan ini, tak mungkin menyamai kesedihan dan kepiluan yang dirasai oleh mereka, anak-anak Palestin...




*************************************************************************************

Ahad, 4 Januari 2009

Bangkitlah Saudaraku!

Assalamualaikum.

Astaghfirullahal’azim. Tersirap darahku membaca artikel ini…

…Pagi itu, Televisyen Israel (Yahudi) Channel 1 menyiarkan rancangan TV Pendidikan. Saya menonton suatu rancangan yang dirakam di sebuah nursery. Guru yang mengajar anak muridnya menyanyi dengan diiringi sebuah piano, menyanyikan lagu berikut:

“Makanan paling sedap daging orang Arab,
minuman paling sedap darah orang Islam”

Ya, itulah yang saya baca pada subtitle rancangan tersebut.

Kanak-kanak semuda 3 dan 4 tahun, diajar menyanyikan lagu tersebut dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.


Demi Allah, suara cikgu dan kanak-kanak itu masih segar di dalam ingatan saya, dan jika saya pandai melukis, saya masih mampu melakarkan di mana cikgu dan piano itu berada, dan bagaimana kanak-kanak itu mendendangkan “nasyid” mereka. Walaupun sudah tepat 10 tahun peristiwa itu berlaku (1996)…

(Sila habiskan bacaan lanjut di blog saifulislam.com di sini...)

Sampai begitu sekali kanak-kanak Yahudi diajar untuk membenci agama Islam, sekaligus mencintai agama mereka, agama Yahudi! Bagaimana pula dengan anak-anak kita? Adakah mereka membesar sebagai seorang mukmin yang tertanam di jiwa mereka kebencian terhadap agama lain dan kecintaan sepenuh hati terhadap agama suci kita, agama Islam?

Sayang seribu kali sayang. Apa yang ketara, anak-anak Islam zaman kini kebanyakannya bukan dididik untuk mencintai Islam sepenuh jiwa dan raga. Jauh sekali untuk dididik membenci agama lain! Lihatlah di sekeliling kita. Anak-anak kecil dididik dengan unsur-unsur Yahudi, Nasrani dan Majusi baik dari sudut akhlak, pakaian, pemakanan mahupun tarbiyyah! Di mana peranan kita sebagai ibubapa yang ber'title’kan seorang muslim?

Tidak hairanlah kenapa umat Islam masakini terlalu pasif dengan kezaliman yang dilakukan oleh puak zionis Yahudi terhadap saudara seIslam kita di Palestin! Amat benar sekali sabda Rasulullah SAW, umat Islam akhir zaman ibarat buih-buih dilautan. Banyak dari segi kuantiti tetapi lemah dari segi kualiti!

Ayyuhal ikhwan wal akhawat ;

Seribu patah perkataan mungkin belum mampu memberikan gambaran yang sebenar berbanding sekeping gambar yang mampu mengungkapkan seribu kisah. Renung dan hayatilah gambar-gambar ini. Semoga jiwa kita umat Islam kembali tersentak dari tidur yang lena…











Bangkitlah Saudaraku
Contributed by musafir_solehah
Topic: Sastera Palestin

Saudaraku...!!
dimanakah kita...??
di saat saudara kita derita,
di saat darah mengalir di tubuh mereka,
di saat tangisan menghujani tanah air tercinta,

Saudaraku...!!
sedarkah kita...??
mereka di sana dinoda,
mereka di sana disiksa,
mereka di sana bertarung nyawa,

Saudaraku...!!
butakah kita...??
melihat mereka rebah sebagai syuhada,
melihat hujan peluru yang membanjiri saban masa,
melihat yahudi bersorak meraih kematian saudara kita,

Saudaraku...!!
pekakkah kita,
mendengar rintihan mereka yang merobek jiwa,
mendengar letupan membinasa tubuh mereka,
mendengar lagu riang yahudi laknaktullah,

Saudaraku...!!
bodohkah kita...??
melihat perdamaian sebagai penamat sengsara,
menuduh saudara kita sebagai punca binasa,
lantang bersuara namun tiada hasilnya,

Saudaraku...!!
tak malukah kita...??
kita berharta,
tapi mereka,
melawan dengan pecahan batu-bata,
bangkit tanpa senjata yang gagah,
berbekalkan Allahuakbar,
mereka ke barisan pertama,
biar peluru menjadi hadiah,
mereka berundur selangkah

Saudaraku...!!
tak takutkah kita...??
bila Allah berkata,
apakah yang kita lakukan demi agama-Nya,
apakah yang kita buat demi Al-Aqsa,
apakah, apakah dan apakah...??

Bangunlah kita...!!
dari mimpi indah,
kita di ambang kesulitan,
agama kita diperlekehkan,
saudara kita diolok-olokkan,
bangkitlah...bangkitlah...bangkitlah...!!

*************************************************************************************