Ya Allah, bersawang lagi blogku kali ini. Alangkah lemahnya diri ini yang masih tidak tahu bagaimana nak kuatur kesibukan seharian dengan masa yang telah diperuntukkan Allah 24 jam sehari. Maaf jua dari Ummi untuk kesemua pengunjung blog yang sekian hari bertandang namun hampa dengan ketiadaan mesej dan pengisian terbaru.
Untuk tidak menghampakan, kali ini Ummi postkan tulisan dari penulis bebas yang tidak lain tidak bukan, suamiku tercinta. Masih perihal pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang baru sahaja berlalu, khusus bagi memberi bayangan kepada pengunjung-pengunjung blog Ummi terhadap suasana sambutan kemenangan selepas pengumuman.
Apabila Takbir Menjadi Laungan Anak Muda
(Penulis Bebas)
Jam 9.30 malam, 17 Januari 2009 keinginanku untuk menutup awal premis perniagaanku sudah tak tertahan lagi. Kalau mengikut berita, keputusan itu akan diumumkan pada pukul 10.30 malam. Aku mengira sudah tentu aku sempat untuk sampai ke Stadium Negeri bagi mengikuti detik bersejarah itu.
Aku mengambil jalan yang paling singkat. Tetapi setelah hampir sampai ke tempat tujuan, di traffic light terakhir itu terdapat sekatan jalan. Aku selekoh ke Jalan Sultan Omar dan mengambil jalan belakang melalui perkuburan cina di Jalan Pusara. Anehnya aku melihat kenderaan yang bertali arus itu ada yang pergi dan ada yang kembali. Jalan di celah-celah perkuburan itupun menjadi sesak juga. Akhirnya setelah aku sampai di belakang Stadium Negeri dengan bersusah payah, aku diberitahu bahawa majlis telahpun selesai dan Parti Islam mendapat kemenangan dengan majoriti 2,631. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Aku tak dapat menyembunyikan kegembiraanku dengan bertakbir beberapa kali meskipun tidak sempat mengikuti detik itu.
Hatiku sungguh sayu! Perlahan-lahan kurasakan air jernih mengalir membasahi pipiku kerana rasa syahdu dan terharu.
Sesampainya di rumah, aku lantas mengajak isteriku untuk turut sama meraikan kemenangan rakyat itu dengan menaiki motorsikal. Tanpa berlengah lagi isteriku terus bersetuju dan aku memboncengnya di belakangku. Aku mengikuti saja anak-anak remaja yang ramai itu menunggang motorsikal melalui jalan Cabang Tiga - Pulau Kambing - Kg. Cina - Masjid Putih - Tanjung - Jalan Sultan Zainal Abidin - Jalan Hospital - Jalan Kamaruddin - Jln. Gong Kapas dan kembali semula ke Jln Cabang Tiga.
Sepanjang perjalanan itu sesekali aku melihat anggota polis yang berdiri di tepi-tepi jalan hanya tersenyum-senyum seolah-olah mereka juga gembira dengan sambutan yang tidak dirancang itu. Ada juga yang buat-buat tak tahu sambil minum di warung-warung tepi jalan dan berbual-bual. Tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam sambutan itu. Anak-anak remaja samada lelaki atau perempuan, tua atau muda semuanya tahu menjaga adab dan keharmonian.
Aku tidak tahu berapa kali mereka 'tawaf' mengelilingi Bandaraya Kuala Terengganu selepas itu. Dengan perasaan gembira dan puas, aku dan isteri balik ke rumah.
Satu sahaja kesimpulan yang boleh aku buat ialah bahawa pemuda-pemuda itu telah faham inti perjuangan Parti Islam iaitulah untuk kesejahteraan umat. Apabila kefahaman ini telah berputik... maka Insya Allah kemenangan Islam sudah semakin hampir... tunggulah...
*************************************************************************************
4 ulasan:
semoga mereka bertakbir itu untuk islam. moga islam itu kembali terpahat dalam sanubari insan yang bergelar pemuda dan pemudi.
tahniah kak ummi! tahniah untuk kemenangan di kt baru2 ni.
semoga takbir mereka akan meresap masuk ke dalam jiwa mereka untuk menjadi dai'e2 dlm meneruskan perjuangan ini.
Allahu Akbar!
menitis air mataku tatkala membaca coretan ini... moga kemenangan Islam yang lebih besar akan lebih dekat lagi dengan kemenangan ini... ameen..
Dengan kemenangan ini tercalarlah keangkuhan umno di Terengganu khususnya dan peringkat pusat amnya.
Catat Ulasan