Rabu, 25 Jun 2008

Kasih Ibu

Salam.

Ceriakan pagi anda dengan senyuman dan cergaskan minda anda dengan pemandangan. ... He,he..saja pagi ni nak upload gambar 'pemandangan' untuk pengunjung-pengunjung blog.

Ptg kelmarin, balik dari ziarah mak ayah..dari dalam kereta, ternampaklah sesuatu yang mengkagumkan nun di atas sana..apa dia? Sabaq, sabaq. Hah! Cuba tengok gambar kat bawah, ada apa-apa yang pelik tak?



Tak nampak apa-apa? Tengok sekali lagi kat atas pokok tu! Sudahlah hang..kalau tak nampak jugak, prepare yourself 40 days from now ..he,he..joke je...ok,ok, scroll down pulak..




Laa..itu ke bendanya? Aik ..confusing jugak ni..apasal binatang ni banyak kepala lak???



Hah? Burung berkepala empat? Jawapan anda tersasar! Sebenarnya ini adalah gambar seekor ibu ayam yang sedang melindungi 3 ekor anak ayam di bawah kepaknya yang dikembangkan! Subhanallah. ..haiwanpun tahu melindungi anak-anaknya. Paling mengkagumkan, dek kerana bimbangnya ia kalau-kalau anaknya diganggu oleh haiwan yang melata dibumi, maka dibawanya mereka bertenggek di atas pohon yang tinggi. Macamana cara ia membawa anak-anaknya itupun tak terfikir oleh kita. Sayang sekali kami 'miss' adegan angkut ni, kalau tak, pasti kami dah videokan.

Moral Of The Story

Kalau haiwanpun tahu nak melindungi anak-anak mereka dari 'malapetaka' dan 'gangguan-gangguan luar', maka kenapakah manusia yang dikurniakan akal fikiran oleh Allah SWT sanggup membiarkan anak-anak mereka bebas berkeliaran tanpa perlindungan, tanpa tunjukajar, tanpa bimbingan dan tanpa kasihsayang. .???

Ummi

Sabtu, 7 Jun 2008

Nuramirah hanya perlu dua tahun menjadi hafizah

Assalamualaikum.

Membaca artikel di bawah, alahai...cemburunya ummi pada keluarga ini. Bukan sebarangan cemburu, InsyaAllah cemburu yang dituntut dalam agama kerana sebenarnya inilah cita-cita kami, menjadikan semua anak-anak kami sebagai hafiz dan hafizah. Kalau mereka nak ikut jejak langkah ummi dan abi sebagai doktor, biarlah sebagai doktor yang hafiz. Kalau mereka berminat untuk menjadi jurutera, biarlah jurutera yang hafiz. Kalau mereka berminat untuk berniaga, biarlah ahli perniagaan yang hafiz...apalagi nama adik hafizah ni Nuramirah dan ibunya Nurzahidah, kebetulan bila digabungkan menjadi nama anakku yang paling banyak menghafal al-qur'an setakat ini (dalam usia 9 tahun) mengatasi abang-abangnya. .Amirah Zahidah. Semoga kesemua anak-anakku, Ammar, Anas, Amirah Zahidah, Aisyah Farihah dan Atiqah Maisarah mampu memenuhi harapan dan impian ummi dan abinya..


Nuramirah hanya perlu dua tahun menjadi hafizah


Oleh Norliza Abd. Rahman


KEMAMPUANNYA menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia tujuh tahun amat membanggakan dan kejayaannya muncul naib johan pertandingan tahfiz peringkat negeri Perak pada sambutan Maulidur Rasul 11 April lalu memberi kepuasan kepada kedua-dua ibu bapanya yang berjaya mengasah bakat luar biasanya.


Nuramirah Azhari, 10, yang mula mengenal al-Quran pada usia lima tahun berjaya menamatkan hafalannya dua tahun kemudian selepas dilatih sehelai muka surat setiap hari oleh ibunya, Nurzahidah Hashim, 37. Dia belajar antara tujuh hingga lapan jam sehari.


Tanpa menunjukkan sebarang rasa jemu, Nuramirah empat beradik bersama abangnya Muhammad Adam, 12, Nurnabilah, 8, dan Muhammad Amin, 5, berlatih menghafaz al-Quran empat kali sehari iaitu waktu pagi, tengah hari, petang dan malam untuk mengasah daya ingatan mereka.

Lebih membanggakan Nuramirah sudah mempunyai 10 anak murid berusia antara enam hingga 12 tahun sejak setahun lalu dan dia berazam memastikan anak-anak muridnya itu berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun dengan berlatih sehelai muka surat setiap hari.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengku Husin, Gugusan Manjoi, Ipoh , Perak, Nuramira menyatakan rasa gembira kerana tarikh lahirnya mengikut kalendar Islam adalah sama dengan tarikh lahir Rasulullah s.a.w..

"Mungkin ini kelebihannya (sama tarikh lahir dengan Rasulullah), tetapi yang penting kalau hendak jadi seorang huffaz atau hafizah yang baik kita mesti berlatih bersungguh-sungguh, " katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor atau pensyarah universiti.

Ibunya, Nurzahidah dan bapanya, Azhari Abu Hassan, 39, seorang pelukis pelan mengajar Nuramirah dan anak-anaknya menghafaz al-Quran setiap hari sebaik sahaja mereka berusia lima tahun sementara anak bongsunya, Muhammad Aslam, yang baru berusia dua tahun diberi pendedahan awal melihat abang dan kakaknya mengaji.

Jadual

Menurut Nurzahidah, beliau dan suami menyediakan jadual waktu khas untuk dipraktikkan oleh anak-anaknya. Bermula pukul 5 pagi mereka disuruh bangun membersihkan diri untuk bersolat tahajud, subuh dan membaca al-Quran sebelum berehat selama sejam setengah bermula pukul 7 pagi.

Selepas dikejutkan semula pada pukul 8.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersarapan mereka akan berlatih semula menghafaz al-Quran pada pukul 9.45 hingga 1 tengah hari sebelum berhenti rehat untuk bersembahyang zuhur dan makan tengah hari.

Pada pukul 2 petang hingga 2.30 petang anak-anak diajar ilmu dakwah, akhlak, matematik, sains dan bahasa Inggeris. Mereka akan direhatkan selama sejam untuk tidur pada pukul 3 hingga 4 petang sebelum dikejutkan untuk sembahyang asar dan kembali menghafaz al-Quran sehingga pukul 6.15 petang.

Nurzahidah memberitahu, anak-anaknya akan berehat semula selama 45 minit untuk bermain dan pada sebelah malam seawal pukul 7 mereka sudah dihidangkan makan malam sebelum kembali menghafaz sehingga pukul 9.45 malam bersama anak-anak muridnya seramai lebih 30 orang.

"Pada pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam mereka akan disuruh berlatih sekali lagi menghafaz dan pada waktu malam juga saya akan turut mengumpulkan anak-anak untuk bermuzakarah bagi memberi ruang kepada mereka meluahkan masalah masing-masing kerana pendekatan kami berdamping sambil mendidik.

"Inilah amalan harian kami dan pada hari-hari tertentu saya akan pastikan anak-anak dibawa menziarahi sanak-saudara atau sahabat handai serta membawa mereka beriadah seperti pergi ke taman permainan atau berenang. Kami tidak mahu mengongkong kehidupan zaman kanak-kanak mereka," jelasnya.

Walaupun memilih untuk tidak menghantar anak-anaknya mengikuti pendidikan formal, Nurzahidah dan Azhari mengajar mereka membaca, menulis dan mengira di rumah dan tetap bertegas untuk mengekalkan cara didikan sedemikian dengan mendaftarkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Menengah Agama kelak.

Ilmu Akhirat


Dengan alasan tersendiri mereka mahu kesemua anaknya dibekalkan dengan ilmu akhirat kerana yakin dengan cara tersendiri anak-anak akan menjadi manusia berguna dan kukuh pegangan agama berbanding anak-anak yang dihantar ke sekolah biasa.

"Anak yang dihantar ke sekolah tidak akan berada di rumah untuk tempoh yang panjang, pagi ke sekolah, petang mereka mengikuti aktiviti kokurikulum, pergi mengaji dan malam mengikuti kelas tuisyen, justeru berapa jam yang ada untuk kita bersama-sama mereka," soalnya.

Mengenai petua yang diamalkan, Nurzahidah memberitahu, semasa mengandung beliau akan membaca surah Yasin, membaca al-Quran dan banyak berdoa ketika bersolat. Beliau juga akan memastikan hanya mendapat pemeriksaan dan rawatan daripada doktor wanita ketika mengandung sehingga melahirkan anak.

Dari segi pemakanan pula, beliau tidak menyediakan masakan tertentu sebaliknya percaya air tangan setiap ibu merupakan pengikat kasih yang paling mustajab untuk melembutkan hati anak-anak kerana bermula daripada menumis sehingga menghidangkan makanan beliau akan berselawat dan membaca doa tertentu.

"Saya dan suami akan duduk bersama anak-anak untuk bersarapan, makan tengah hari, petang dan malam bersama-sama kerana pada kesempatan itu kita boleh bermuzakarah dan menjelaskan kepada mereka tentang sesuatu perkara seperti hubungan erat sesama keluarga, sanak saudara dan sahabat," katanya.

Sementara itu, Azhari memberitahu, untuk membolehkan anak-anak memberi tumpuan kepada menghafaz al-Quran, rumahnya tidak mempunyai televisyen. Sebaliknya mereka hanya menyediakan sebuah radio untuk membolehkan keluarga mengikuti perkembangan semasa.

"Alhamdulillah anak-anak tidak pernah bersungut kerana sejak kecil lagi mereka sudah diajar supaya menjadi seorang tahfiz, malah saya bimbang dengan adanya televisyen tumpuan mereka pada al-Quran sedikit terganggu.

"Saya juga tidak akan memewahkan anak-anak dengan wang ringgit kerana tidak mahu mereka lalai sebaliknya membelikan barangan yang perlu sahaja," katanya.

Menurut Azhari, ibu bapa yang berhasrat mendidik anak sebagai tahfiz perlu mengikis tanggapan bahawa mereka juga perlu menjadi tahfiz kerana beliau dan isteri bukannya tahfiz tetapi bersyukur kerana dapat mendidik anak-anak sebagai tahfiz dan mempunyai lebih 30 anak murid.

Khamis, 5 Jun 2008

Rahsia Di Sebalik Demam

Dilulus terbit pada Wednesday, June 04 @ 10:40:30 MYT oleh reformis
Tazkirah Oleh chekamala

"Saya dah dua minggu demam dan sekarang masih lagi sakit tekak..........
Sudah lama tak demam macam ni. Bila suara pun dah berubah, takut juga jika Allah tarik nikmat suaara, macam mana saya nak berinteraksi dengan keluarga, dengan sahabat, jiran, dll.........


Hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan apakah pula hikmahnya?

Hakikat Demam.
Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radhiallahu anhuma mengatakan yang maksudnya :

"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari Nabi Sallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Muslim)


Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.
Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?

Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu alaihi wasallam sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka.
Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.

Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.

Al-Quran ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub Alaihissalam dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub alami ialah berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan
akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, nanah yang baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang
memencilkannya kecuali isterinya yang merawatnya.

Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan dia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah bermohon kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam Al-Quran :

Tafsirnya : "Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani". (Surah Al-Anbiya¡¦: 83)

Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut "aku disentuh" dan tidak menyebut perkataan "aku ditimpa". Di sini menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya. Nabi Ayyub tidak menyebut juga "atas kehendakMu", kerana kesopanannya yang sangat tinggi terhadap Allah
Subhanahu Wa Taala. Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu: "Sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani".

Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang dapat menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya inilah permohonan Nabi Ayyub kepada Allah. Dia tidak merungut dan mengeluh, apatah lagi menyesali apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon belas kasihan daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

Inilah satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran dan contoh tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit, harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya, tetapi berkat sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala telah mengabulkan doa dan rayuannya, lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah.

Mencaci-maki Demam.
Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:

"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?

Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya".

Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda: "Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana
landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi".
(Hadith Riwayat Muslim)

Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar menempuhinya.

Demam Penebus Dosa.
Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.

Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.

"Ya Allah, selamatkanlah umat Islam yg sedang sengsara di Lubnan, Palestin, Afghanistan, Iraq, Chechnya serta diseluruh pelosok dunia akibat dari angkara mungkar dan kekejaman musuh-musuh Mu. Peliharakanlah mereka, lindungilah mereka, kasihanilah mereka dan berikanlah rahmatMu ke atas mereka.

Amin, ya Rabbal Aalamin."

Selasa, 3 Jun 2008

Penawar Kepenatan

Assalamualaikum.

Hai, akhir-akhir ni ummi benar-benar terasa penat. Nak kata kerja berat, tak delah sangat. Mungkin otak yang penat kot. Maklum le, kerja sebagai doktor ni banyak menggunakan daya fikir. Bukan senang nak mengesan penyakit, nak fikir cara rawatan yang terbaik dan lebih-lebih lagi nak memuaskan hati pelanggan. Ditambah pula dengan urusan persatuan, keluarga dan sebagainya.

Dalam kepenatan, bukak-bukak email pagi ni terbaca artikel yang dihantar oleh sahabat macamana caranya nak mengatasi kepenatan. Memang kenalah pada masanya. Nak tahu? Jom kita baca sama-sama.

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, kita bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Saidina Ali berkata : "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah lantas pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w.
tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantunya itu.

Baginda s.a.w. berkata: "Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini. Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Oleh itu, sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , InsyaAllah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan hidup seharian kita. Malah akan terserlah ceria wajah kita pada keesokan harinya dengan senyuman.