Isnin, 2 Julai 2007

Sakit Adalah Nikmat

Assalamualaikum.

Sebagai seorang insan, bersyukurlah kita kerana dilahirkan ke atas muka bumi ini. Allah telah memilih kita bukan kebetulan dan main-main. Dengan kasih dan rahmatnya, Dia menciptakan kita dan memilih kedua ibubapa untuk kita. Tidak ada satupun yang bersifat kekurangan.

Ada ketikanya kita merasa bahawa kita serba kekurangan, sedangkan orang lain serba berkelebihan. Sebenarnya kita salah. Allah menurunkan kekurangan dan kelebihan itu berserta dengan tanggungjawab dan amanahnya. Jika kita seorang yang miskin, Allah tidak akan menghisab harta yang kita tidak miliki. Sebaliknya jika kita seorang yang kaya, Allah akan tanya kita satu persatu tentang harta kita, dari mana ia diperolehi, hak-hak harta tersebut seperti zakat dan sebagainya, dan sedikit sekali mereka akan terlepas dengan selamat.

Begitu juga halnya dengan nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada kita. Kadangkala kita merasa serba tak sihat dan merasa alangkah beruntungnya mereka yang sihat. Tetapi sebenarnya Allah menjadikan kita sakit adalah untuk memberi pahala yang lebih kepada kita. Orang yang sihat tidak akan mendapat pahala sebagaimana orang yang sakit. Allah juga tidak akan menghisab untuk apa kesihatan kita digunakan kerana kita tidak memiliki kesihatan tersebut. Sedangkan orang yang sihat adalah dipenuhi dengan bebanan dan tanggungjawab. Mengapa mereka tidak solat berjemaah, mengapa mereka tidak berpuasa, mengapa mereka tidak berjuang di jalan Allah, mengapa mereka tidak membantu keluarga dan jiran dengan kesihatan mereka dan seribu satu macam lagi. Oleh itu, janganlah kita sesekali mengeluh dengan kurniaan Allah itu. Dan janganlah kita lupa dengan nikmat Allah pula. Semuanya adalah ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya. Jika kita merasa begitu sengsara, ingatlah bahawa sabarlah sedikit sahaja lagi kerana hidup ini tak lama. Kita akan menerima segala ganjaran amalan kita kelak di Akhirat yang kekal selama-lamanya... Ya! Selama-lamanya... Bayangkanlah itu....

*************************************************************************************

Isnin, 18 Jun 2007

Ahlan Wa Sahlan

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW, yang telah membawa obor iman dan Islam, yang memberi syafaat kepada umat, yang kerananya kita beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Selawat dan salam juga kepada sahabat-sahabat, tabi'it tabi'en serta mereka yang memperjuangkan Islam dan sunnah baginda hingga Yaumul Haqqah.


Sesungguhnya hanya dengan rahmat dan kekuatan yang diberikan oleh Allah jualah yang membolehkan tangan yang kerdil dari seorang individu yang mempunyai ilmu yang terbatas ini ingin berkongsi pengalaman untuk manfaat manusia seluruh dunia dari segi kesihatan, amalan harian dan berbagai-bagai lagi bagi menjadikan kita seorang hamba yang khusyu' beribadat kepada Allah SWT.

Kami berhasrat untuk menjadikan blogspot kami ini sebagai suatu blog interaktif di kalangan masyarakat untuk berkongsi pengalaman dan bertanyakan soalan-soalan agar dapat dijawab bukan sahaja oleh kami, tetapi juga oleh pakar-pakar yang berkaitan. Mungkin selama ini masyarakat agak sukar untuk mendapatkan pandangan pakar-pakar bagi mengatasi masalah mereka. Apatah lagi sekarang semuanya dilaksanakan berasaskan duit. Maka terpaksa juga keluarkan wang untuk berjumpa mereka. Lepas tu tak boleh bercakap lama-lama. Pesakit ramai. Berbagai-bagai lagi masalah yang timbul.

Mudah-mudahan, dengan adanya blog interaktif seumpama ini, masyarakat akan mendapat manfaatnya. Kami ingin menjadikan blog ini sebagai amal jariah kami kepada masyarakat.

Doakanlah kami agar berupaya merealisasikannya.

*************************************************************************************