Rabu, 2009 November 25

Selamat Berpuasa...

Assalamualaikum


Ingatkan hari ini Ummi nak cerita pasal kelebihan Puasa Hari Arafah, tup-tup bila bukak blog anak Ummi, dah ada diceritakan rupanya. Hmmm...best pulak baca artikel kakak dalam blog barunya. Jom kita sama-sama hayati apa yang diperkatakan di sini....

Selamat Berpuasa Esok Hari...!

***************************************************************************************

Isnin, 2009 November 23

Ihtifal SRIP Tahfiz 2009

Assalamualaikum.

Majlis Ihtifal SRIP Tahfiz 2009 akhirnya berjaya diadakan pada 21 November 2009 bertempat di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Wah, gah sekali majlis kali ini kerana telah berjaya diadakan di sebuah universiti tempatan di sini. Bersemangat habis anak-anak! Apalagi apabila memasuki perkarangan universiti yang begitu indah dan permai. Itulah sebenarnya tujuan pihak SRIP Tahfiz mengadakan majlis ihtifalnya di dewan universiti. Tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk motivasi dan perangsang buat anak-anak didik Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz (SRIP Tahfiz)!

Indah mekar si bunga raya, kuntuman indah menambat seri, anak-anak hiasan dunia, pintar dan soleh penyejuk hati....itulah puisi pembukaan yang tertera pada buku cenderahati majlis kali ini.

Majlis dimulakan dengan alunan kalimullah oleh adik Mohd Izzat Farhan (tahun 6) diikuti terjemahannya oleh adik Iffah Nabilah (tahun 6). Mereka ini adalah rakan sebaya dan bekas rakan sekelas anak Ummi, Anas yang kini sedang menuntut di Maahad Bu'uth Islami, Kaherah.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh guru besar SRIP Tahfiz, Puan Norli binti Madlan yang lebih dikenali sebagai Ummi di kalangan pelajar-pelajar SRIP Tahfiz. Sungguh bernas sekali ucapan beliau!

Ucapan oleh wakil PIBG, Tuan Haji Kamarudin Abdul Rahim. Wah! Panjang lebar ucapannya dengan kisah pengalaman yang begitu bermakna buat para pendengar. Almaklum, ucapan dari 'orang lama'....

Penyampaian cenderahati untuk penaung SRIP Tahfiz, Tuan Haji Aminudin Mat Yusof.

Persembahan taekwondo oleh pelajar-pelajar SRIP Tahfiz...

Sangat menarik dan bertenaga!

Penuh dengan aksi dan gaya pertahanan diri...

Jangan disangka kami lemah...tendang kayu keras nipun boleh pecah beb...huhu....

Acara penyampaian hadiah dimulakan dengan hadiah perangsang untuk semua pelajar TISPIN, Tahun 1 dan Tahun 2. Kelihatan anak Ummi, Aisyah Farihah sedang menerima hadiah perangsang.

Majlis diteruskan dengan acara persembahan sketsa yang begitu menarik sekali, bertajuk Nilai Sebuah Keberkatan. Power habis pelakon-pelakonnya. Anak-anak kecil, dilatih untuk apapun, boleh jadi hebat! Macam tak caya tengok lakonan mereka, tak kekok langsung!

Sketsa diakhiri dengan persembahan nasyid bertajuk 'keampunan' oleh pelajar-pelajar tahap 1 (Tahun 1-3). Merdu habis suara diaorang!

Siap dengan gayanya yang pelbagai....

Majlis kemudiannya disambung dengan acara penyampaian hadiah perangsang untuk kesemua pelajar Tahun 3 sehingga 6. Kelihatan anak Ummi, Amirah Zahidah sedang menerima hadiah perangsang.

Kecil-kecil cili api! Hebat sekali adik tahun 1 ini mempersembahkan sajak bertajuk 'guruku' buat semua hadirin.

Majlis diteruskan dengan persembahan nasyid bertajuk 'Allahu'. Wah! Macam-macam bahasa pulak yang digunapakai dalam lagu ni...

Akhirnya tibalah masa untuk anugerah kecemerlangan akademik buat pelajar-pelajar yang telah berjaya dengan cemerlang. Kelihatan Aisyah Farihah sedang menerima piala dan sijil di atas pencapaian tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini. Tahniah Aisyah! Semoga Aisyah akan berusaha dengan lebih gigih lagi bagi mengekalkan kecemerlangan.

Kakak (Amirah Zahidah) pula menerima anugerah kecemerlangan akademik, tempat pertama untuk peperiksaan akhir tahun. Tahniah kakak! Semoga kakak akan terus cemerlang di dunia dan di akhirat...

Persembahan bintang kecil dari pelajar-pelajar prasekolah!

Siap dengan lakonannya sekali! Hebat!

Diakhiri dengan persembahan lagu dalam bahasa inggeris....

Seterusnya, acara penyampaian hadiah untuk pertandingan musabaqah membaca al-qur'an. Tak sangka, anak Ummi, Aisyah berjaya menggondol Johan Musabaqah Tahap 1! Tahniah sekali lagi untuk Aisyah! Rajin-rajin baca qur'an ya sayang...sungguh al-qur'an itulah pedoman hidup kita sampai bila-bilapun.

Kakak pula membuat kejutan kerana berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan hafazan al-qur'an tahap 2! Alhamdulillah...semoga anak-anak Ummi akan terus menjadikan al-qur'an sebagai pedoman hidup.

Penyampaian piala dan sijil kecemerlangan untuk pelajar terbaik lelaki dan perempuan Tahun 6! Rupa-rupanya kedua-dua peserta yang mengalunkan kalimullah di awal majlis tadilah yang merupakan pelajar terbaik SRIP Tahfiz tahun ini! Tahniah untuk adik Mohd Izzat Farhan dan Iffah Nabilah.

Majlis diakhiri dengan acara khatam qur'an.

Tahun ini seramai 20 orang pelajar telah berjaya mengkhatamkan bacaan al-qur'an...

Antaranya adalah anak Ummi, Aisyah Farihah, Tahun 1 (berbaju kuning). Alhamdulillah...

Kakak Amirah (berbaju oren di belakang) juga telah mengkhatamkan al-qur'an pada tahun ini. Alhamdulillah, setakat ini setiap tahun kakak pasti akan khatam al-qur'an pada bulan Ramadhan.

Bunga telur dah jadi bunga pulut kuning. Hahaha..hadiah pulut kuning dari Ummi sempena majlis khatam qur'an...

Akhir sekali 'Ummi' bergambar bersama 'Ummi' (guru besar SRIP Tahfiz). Waduh! Ummi yang bersaiz rendah atau guru besar ni yang bersaiz tinggi...hihihi....

Sekian dulu. Sehingga ketemu lagi, InsyaAllah....

*************************************************************************************

Ahad, 2009 November 22

Sambutan Hari Lahir & Anugerah Baiti Jannati 2009...

Assalamualaikum.

Sekejapnya masa berlalu. Terasa baru aja Ummi mengeluarkan posting Sambutan Hari Lahir & Anugerah Baiti Jannnati 2008, tup-tup hari ini dah sampai pula masanya untuk sambutan tahun 2009! Ya Allah, semoga hari-hari yang telah berlalu itu diampunkan segala dosa-dosa kami...

19 November 2009 - hari ulangtahun kelahiran 2 puteri Ummi, Amirah Zahidah (10 tahun) dan Atiqah Maisarah (5 tahun). Berkebetulan dengan hari ulangtahun mereka yang disambut pada penghujung tahun, maka hari Anugerah Baiti Jannati juga digabungkan bersama pada hari ini bagi lebih memeriahkan majlis. Malah ianya pasti menjadi hari yang lebih bermakna buat kami dan anak-anak.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Abi. Semoga hidup kami sekeluarga senantiasa diberkati dan dirahmati Allah. Kalau dulu majlis disambut bersama 5 orang anak, kemudiannya tinggal 4, kini hanya tinggal 3 puteri. Apapun, majlis tetap diteruskan. Buat Along dan Angah nun jauh di bumi kinanah, InsyaAllah masanya untuk kita berkumpul bersama akan tiba juga. Yang penting, carilah ilmu walau ke ceruk rantau mana sekalipun...

3 puteri penghibur dikala sepi dan duka...Daripada Aisyah r.a, dari Nabi SAW baginda telah bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."

Kembar berlainan tahun...Kakak Amirah dahpun menjangkau umur 10 tahun, manakala Adik Atiqah 5 tahun. Bukan senang nak berkebetulan lahir pada tarikh yang sama ni, kan? Bukan setakat tarikh yang sama, harinya pun sama! Kedua-duanya lahir tanggal Jumaat...

Sambutan Hari Lahir Atiqah Maisarah (5 tahun)

Tu dia! Berebut-rebut nak kasi hadiah kat Atiqah. Waduh, tersenyum lebarlah tuan punya birthday...

Wah! Banyaknya anak Ummi dapat hadiah....

Sambutan Hari Lahir Amirah Zahidah (10 tahun)

Giliran kakak pulak dapat hadiah. Bestnya!

"Mmmmuahhh! Ummi saaaaaayang kakak. Kakak cepat besar, ya dan jadi anak yang solehah..."

"InsyaAllah, anak Abi ni pasti akan jadi hamba Allah number 1! Kakak kan selalu score nombor 1, di sisi Allahpun kakak mesti nak nombor 1 juga, kan?"

Hadiah Perangsang Untuk Aisyah Farihah

Aik? Yang tak birthday pun dapat hadiah juga? Ini adalah hadiah perangsang untuk Aisyah yang baru sahaja ke gerbang persekolahan tahun ini (Tahun 1) dan Alhamdulillah Aisyah berjaya score dalam banyak subjek serta berjaya juga menempa kecemerlangan dalam setiap kali peperiksaan penggal dan OTI. Maka Ummi dan Abi pun tumpang sama melafazkan rasa gembira kami atas usaha Aisyah ini dengan turut memberikan hadiah buat Aisyah di hari ulangtahun kakak dan adiknya.

Agak-agaknya siapa yang lebih gembira? Yang menerima hadiah atau yang memberi hadiah? Nak tahu jawapannya? Selain menerima, rajin-rajinlah juga memberi...

"Mmuaaaahhh! Ummi saaaaaaaayang Aisyah. Aisyahpun nak jadi anak yang solehah juga, kan?"

"Wah! Besarnya hadiah untuk Kak Aisyah!"...He,he...agaknya itulah yang dijeritkan oleh Atiqah sampai habis semua jari ditunjukkan kat kakaknya tu...(Kotak aja yang besar, isi di dalam kecik aja..hihi...)

Anugerah Baiti Jannati

Tibalah masanya yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Penyampaian piala untuk kecemerlangan akademik dalam peperiksaan akhir tahun!

Tempat pertama jatuh kepada...opps..si adik ni mana ada exam lagi. Sekolahpun belum. Habis tu anugerah apa yang Atiqah dapat ni? Yes! Anugerah Pintar membaca kategori 4 tahun! Alhamdulillah...kepintaran dan kefasihah Atiqah dalam bacaan telah melayakkan Atiqah untuk turut menerima piala dalam sesi Anugerah Baiti Jannati 2009! Wah, macam anugerah peringkat nasional jer bunyinya..hihi...

Aisyah Farihah dengan Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 1 2009 - Tempat pertama! Alhamdulillah...semoga kecemerlangan ini akan terus dikekalkan, ya Aisyah...

Amirah Zahidah dengan Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 4 2009 - Tempat pertama! Alhamdulillah...rekod kakak masih kekal sehingga sekarang. Doa Ummi Abi untuk anak-anak dan kita semua agar terus cemerlang di dunia dan di akhirat...

3 puteri bersama piala kecemerlangan mereka. "InsyaAllah, akan kubuktikan pada Ummi dan Abi untuk diri ini terus mencipta kejayaan di masa-masa mendatang."

Piala bukan sekadar piala...semangat yang terbina dari anugerah piala itulah yang akan menjadi titik tolak kejayaan buat mereka, InsyaAllah...

Aisyah...semangat wajamu cukup membanggakan Ummi dan Abi...

Rajin berusaha tangga kejayaan. Kerajinanmu kakak moga menjadi contoh buat adik-adik...

Jenuh dipujuk untuk bersekolah, masih juga enggan...rupanya itulah cabaran buat Ummi bagi menjadi guru pendidik buatmu anakku. Alhamdulillah...hanya 2 minggu mengajar membaca, Atiqah akhirnya berupaya membaca dalam 'kadar pecutan' yang sungguh mengujakan!

Apa tunggu lagi? Bukak jerlah hadiah tu! "Eeeyahoo...bestnya hadiah Ummi Abi kasi ni!" He,he...tergelak Ummi tengok gelagat anak-anak menikmati acara membuka balutan hadiah...

"Apalah agaknya isi kat dalam ni ek? Besar kotak hadiah ni..." Agaknya itu yang difikirkan Aisyah...

"This is a duck! Quack, quack, quack..."

Berakhir sudah sesi anugerah,
Seronoknya hati tidak terkira,
Ucapkanlah syukur kepada Allah,
Atas nikmatnya yang tidak terhingga...

Seeru 'ala baarakatillah

**************************************************************************************

Khamis, 2009 November 19

Tragedi 19 November!

Assalamualaikum.

Hari ini 19 November. Tarikh berlakunya tragedi berdarah Memali! 24 tahun yang lalu, ketika Ummi dalam cuti sekolah hujung tahun Tingkatan 3, terpapar di kaca TV berita penembakan beramai-ramai terhadap suatu kumpulan agama yang didakwa mengamalkan ajaran sesat. Dalam masa yang sama pula, bonda tercinta menafikan… ‘Tidak! Mereka bukan pengamal ajaran sesat. TV tak pernah bercakap benar. Mak pasti mereka adalah orang-orang agama yang digeruni oleh parti kerajaan!’.

Akhirnya terbukti kata-kata bonda adalah benar. Al-Fatihah untuk semua syuhada’ Memali.

Rentetan daripada itu, entah kenapa tarikh ini menjadi begitu terkesan kepada Ummi sehinggakan Ummi juga turut melahirkan 2 orang puteri pada tarikh yang sama, 19 November dalam tahun yang berlainan. Jauh dilubuk hati ini, Ummi mengharapkan mudah-mudahan anak-anak Ummi kelak bakal menjadi mujahid dan mujahidah yang akan turut berjuang melawan kemungkaran dan menegakkan kebenaran.


Sama-sama kita hayati sajak karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuatkan jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa para syuhada Memali yang begitu cekal dan tekal dalam menentang penangkapan tanpa bicara (ISA).

Hari itu Selasa malang
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah

setelah malap cahaya lokap

panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari

negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah

enggan ditahan tanpa kesetaraan

enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia

penjara tanpa bicara

warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.


Sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah
merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba

tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya

mentah kedarah para petani dan buruh

mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah


Iya, mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah
tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.


Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional
Tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional

Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan

melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis Syaitan Act (ISA)


ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras
Penguasa pujanya Iblis
Kuasa
penguasa sembahnya Syaitan rasuah

Penguasa berkuku besi pelindungnya ISA (Iblis Syaitan Act.)


Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim

Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat
Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa

Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan

Akta Keselamatan Dalam Negeri

adalah undang-undang Iblis dan Syaitan

akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara


Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta

pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh
memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa
memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata


ISA gari yang merantai kejujuran
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta

ISA adalah tangisan

ISA adalah ketakutan


Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara

pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam,

sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling,

siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba

ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,

di balas kereta perisai dan senjata

Memali adalah sejarah melawan ISA paling berani

merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru

gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara


akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang

rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis

benang-benang kusut

fikiran hanyut

keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa

merah mengalir darah merdeka

korban ISA dan kekejaman negara

syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga,
mencabut nyawa suami dan ayah,

para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa


*************************************************************************************

Khamis, 2009 November 12

Hati-Hati Dengan Wabak Taun!

Assalamualaikum.

Kelmarin, jenuh Ummi menerima kedatangan pesakit dengan masalah cirit-birit dan muntah-muntah. “Ini dah macam wabak…” terdetik di hati kecil. Tapi tak pula kedengaran apa-apa berita atau makluman dari pihak hospital atau media.

Selesai waktu klinik, terus Ummi bergegas ke tempat kuliah di rumah bonda. Kuliah agama mingguan yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus. Habis kuliah, Abi datang mendekati Ummi.

“Ummi, sekarang wabak koleralah. Abi dapat sms, ramai yang warded kat hospital hari ni, 3 di ICU dan sorang dilaporkan meninggal.”

“Innalillahi wainna ilaihiraaji’un. MasyaAllah, patutlah ramai sangat hari ni yang datang ke klinik dengan masalah cirit-birit dan muntah-muntah. Ummi dah rasa macam ada wabak jer ni…”

Dalam kita duk sibuk dengan influenza H1N1, tengok-tengok wabak kolera (taun) pulak yang datang. Ini juga adalah ujian dan peringatan dari Allah SWT ke atas kita .

Sama-samalah kita berhati-hati dan mengambil langkah yang perlu dalam usaha mengelakkan jangkitan kolera ini.

Ummi selitkan di sini sedikit ilmu berkaitan penyakit taun atau kolera...

Cara Benteras Penyakit Taun

Oleh Dr. Mohd. Isa Abdul Majid
Pusat Racun Negara, USM


PENYAKIT taun atau kolera merupakan penyakit yang tertumpu pada saluran penghadaman akibat daripada jangkitan bakteria (kuman), vibrio cholera.

Ia berlaku apabila kuman taun dari pesakit atau pembawa menjangkiti individu sihat melalui mulut.

Salah satu punca bagaimana kuman taun boleh tersebar ialah melalui pengambilan makanan dari persekitaran yang kotor dan tidak terurus.

Ini termasuk makanan yang dicemari kuman taun, tidak dimasak dan dimakan sejuk.

Selain ini, lalat dan air minuman yang dicemari najis boleh menyebarkan kuman taun kepada individu sihat lain.

Tempoh bagi kuman taun merebak dalam badan sehingga menunjukkan tanda penyakit adalah dalam masa lima hingga enam hari.

Tanda-tanda jangkitan

1. Cirit-birit berterusan serta muntah yang teruk. Najis cair dan berwarna. Kejadian cirit-birit adalah disebabkab oleh pengeluaran racun atau toksin oleh vibro cholera semasa di usus yang menyebabkan air badan keluar memasuki saluran usus. Selepas beberapa jam, otot penghidap akan mengalami kekejangan terutama di pergelangan kaki dan perut kerana kehilangan garam sodium.

2. Penghidap akan mengalami kejutan dan boleh pengsan. Tekanan darah menurun, nadi lemah, lidah kering dan mata cengkung di samping masalah membuang air kerana kehilangan air yang banyak.

3. Pada peringkat ketiga, jika cirit-birit dan muntah berhenti, tekanan darah akan meningkat kepada biasa dan penghidap pulih. Jika tidak, suhu badan akan meningkat, peningkatan suhu badan secara mendadak mungkin berlaku dan penghidap akan koma dan mungkin maut.

Rawatan penyakit taun

Bendalir

Dalam jangkitan taun, pesakit akan diberikan gantian bendalir dan elektrolit yang hilang.

Dalam kes tidak serius, kedua-dua bendalir dan elektrolit diberikan melalui saluran mulut sedangkan pemberian secara suntikan akan dilakukan ke atas pesakit yang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit yang serius atau dehidrasi ataupun yang kehilangan air badan sehingga berat badan susut 10 peratus.

Rawatan ubat

Selain menggantikan bendalir dan elektrolit badan yang hilang, ubat antibiotik atau antimikrob digunakan untuk merawat pesakit taun.

Antibiotik yang seringkali digunakan dalam merawat jangkitan ialah kumpulan tetrasiklin sebagai pilihan utama manakala trimetofrim-sulfametokasazol, eritromisin, kloramfenikol dan furazolidon juga digunakan sebagai alternatif dalam kes-kes kuman penyakit telah rintang kepada antibiotik pilihan utama.

Dalam kumpulan tetrasiklin, doksisiklin merupakan ubat yang seringkali digunakan untuk merawat jangkitan taun.

Ubat kumpulan tetrasiklin tidak boleh diambil bersama dengan susu dan hasilan tenusu lain disebabkan bahan tersebut akan mengurangkan tindakan ubat.

Pantang larang yang perlu dipatuhi ialah pesakit tidak mempunyai sejarah tindakbalas alahan kepada ubat ini.

Ia tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 8 tahun.

Bagi pesakit wanita dan ibu pula, mereka mestilah tidak mengandung dan tidak menyusukan anak.

Dalam kes ibu mengandung atau sedang menyusukan bayi serta kanak-kanak, kumpulan tetrasiklin cenderung terkumpul di dalam tulang dan berupaya menyebabkan gigi bayi dan kanak-kanak berubah warna kepada kekuningan serta pertumbuhan tulang dan gigi kanak-kanak menjadi lambat.

Sebagai langkah berhati-hati untuk mengatasi sebarang kemungkinan kerana menggunakan ubat ini, pesakit hendaklah sentiasa meneliti kesan-kesan sampingan yang sering kali terjadi seperti di bawah:

• Kulit menjadi lebih sensitif apabila terkena sinaran matahari. Pendedahan kepada sinaran matahari walaupun sekejap boleh menghasilkan kerengsaan kulit, kegatalan, kulit menjadi merah dan mengelupas.
• Kekejangan otot perut, cirit-birit, rasa mual dan muntah.
• Kesakitan pada bahagian perut, ubun-ubun bengkak pada bayi, sakit kepala, hilang selera makan, warna kulit kekuningan dan perubahan deria penglihatan.
Oleh sebab tetrasiklin tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah 8 tahun, maka pesakit kanak-kanak akan diberikan kombinasi 5 mg/kg trimetofrim dan 25 mg/kg sulfametoksazol dua kali sehari selama 3 hari.

Kesan sampingan yang sering diperhatikan untuk ubat ini ialah cirit-birit, sakit kepala, hilang selera makan, gatal kulit, sakit pada sendi otot, kesusahan menelan makanan, sakit tekak dan demam di samping pengguna akan merasa letih.

Panduan elak jangkitan

• Minum air yang dimasak. Suhu air mendidih akan membunuh bakteria. Gunakan air bersih seperti air paip atau telaga yang dibubuh klorin untuk kegunaan harian seperti membasuh pinggan mangkuk, makanan segar, meggosok gigi dan mengambil wuduk.
• Makan makanan panas dan elakkan makanan sejuk seperti ais, aiskrim, air batu campur kerana bakteria taun mudah membiak dalam keadaan sejuk.
• Pastikan persekitaran rumah bersih. Musnahkan semua tempat pembiakan lalat dan makanan ditutup.
• Sayuran dan buah-buahan segar hendaklah dicuci dengan sempurna menggunakan air bersih.
• Hendaklah sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas.
• Jika ingin makan di gerai, pastikan gerai itu bersih. Bagaimanapun, langkah lebih bijak dengan menghentikan makan di gerai buat sementara waktu.
• Jika ada ahli keluarga telah mendapat taun, pastikan ahli keluarga lain diberitahu tentang kebersihan semasa buang air besar bagi mengelakkan ahli keluarga lain daripada dijangkiti penyakit tersebut.
• Pakaian pesakit harus dicuci dengan sabun dan larutan pemutih Clorox untuk membasmi kuman taun.
• Dapatkan ubat antibiotik yang diberi oleh pihak hospital atau Jabatan Kesihatan untuk dimakan oleh ahli keluarga yang sihat.
• Bawa pesakit yang muntah dan cirit-birit ke hospital dengan segera.

Hayati juga apa yang tersirat di sebalik lirik dalam lagu dikir barat berkaitan penyakit taun di sini!

*************************************************************************************

Selasa, 2009 November 03

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 20

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini ummi seringkali menerima aduan dari pesakit yang boleh dikategorikan dalam lingkungan aduan penyakit wahmi atau penyakit yang disangka. Ianya bukan penyakit hakiki, bahkan ia hanyalah sangkaan semata-mata. Entahlah, mungkin kerana masyarakat kita sekarang ini terlalu terdedah kepada data maklumat mengenai penyakit dari pelbagai sumber. Maka sedikit demi sedikit ianya telah menyebabkan individu-individu tertentu merasai bahawa penyakit itu ada pada dirinya. Jangan terkejut kalau Ummi katakan terdapat sesetengah pengunjung di Klinik Ummi merasa berang apabila kita memaklumkan kepadanya bahawa dia sebenarnya sihat,tidak perlu risau dengan apa yang disangkanya. Malah ada sesetengahnya yang seolah-olah memaksa doktor untuk membuat diagnosis kanser terhadap diri beliau! MasyaAllah…..

Siri 25 Rawatan Hakiki Untuk Pesakit kali ini membawakan pendedahan kepada kita terhadap jenis penyakit wahmi ini. Jom sama-sama kita hayati dan mengambil pengiktibaran daripadanya….

*************************************************************************************

Penyakit terbahagi kepada dua bahagian. Pertama penyakit hakiki atau sebenar dan kedua adalah penyakit yang disangka atau wahmi.

Bagi penyakit hakiki, Tuhan yang maha bijaksana lagi maha mulia menjadikan penawar bagi setiap penyakit. Penawar itu disimpannya di dalam khazanah farmasinya yang agung iaitu mukabumi ini. Penawar-penawar itu memerlukan penyakit.

Tuhan menciptakan setiap penyakit ada ubatnya. Oleh itu, menggunakan penawar bagi tujuan perubatan adalah dibenarkan. Tetapi kita mesti mengetahui penyembuhan dan kesan ubat tidak berlaku melainkan daripada Tuhan.

Sebagaimana Tuhan mengurniakan penyakit, begitulah juga Dia mengurniakan penyembuhan. Seorang muslim mesti berpegang teguh dengan tunjuk ajar dan arahan doktor yang pakar. Ia adalah rawatan yang penting, kerana kebanyakan penyakit lahir daripada penggunaan ubat yang tidak betul, tidak berpantang, tidak menghiraukan tunjuk ajar yang diberikan, boros, dosa, kebodohan dan tidak berhati-hati.

Tidak syak lagi, seorang doktor yang baik memberikan nasihat dan pesanan dalam batas sempadan yang dibenarkan. Dia juga memberikan amaran akibat daripada penggunaan ubat dengan cara yang tidak betul.

Di samping itu dia juga sentiasa menghiburkan hati pesakitnya dan memberikan pengharapan. Ini menyebabkan sesuatu penyakit yang ditanggung oleh pesakit berkurangan kerana nasihat, pesanan dan hiburan yang diberikan ole doktor.

Manakala mengenai penyakit ‘yang disangka’ atau wahmi, rawatannya yang berkesan adalah dengan ‘tidak menghiraukannya’. Kerana sesuatu ‘yang disangka’ itu dapat membesar apabila ia sentiasa diambil berat. Sekiranya ia tidak dihiraukan, ia pasti mengecil dan mengecut.

Apabila seseorang mengganggu sarang tebuan, semua tebuan berkumpul dan menyerangnya, tetapi apabila dia tidak menghiraukan sarang itu, tebuan itu pasti berpecah-pecah dan berselerak.

Sekiranya seseorang itu sentiasa bermain-main dengan khayalan, khayalannya itu pasti menjadi besar. Contohnya dengan berkhayal wujudnya seutas tali yang tergantung dalam gelap, menyebabkannya melarikan diri seperti orang gila yang dalam ketakutan.

Tetapi sekiranya dia tidak ambil peduli dengan khayalannya itu, pasti dia mengetahui apa yang disangkanya itu hanyalah seutas tali, bukannya seekor ular yang besar. Lalu dia berasa malu pada sangkaannya yang bukan-bukan.

Begitu juga dengan sakit ‘yang disangka’ ini, sekiranya banyak dan membesar, ia pasti bertukar menjadi penyakit hakiki. ‘Sangkaan’ di sisi seseorang yang sensitive dan panic adalah penyakit yang menyusahkan, kerana dia menjadikan sesuatu yang kecil itu menjadi besar.

Dengan itu kekuatan sebenarnya pasti lenyap, terutamanya semasa dia hanya menemui doktor palsu berhati keras yang tidak memiliki perasaan kasihan belas ataupun doktor yang tidak bersikap adil.

Doktor ini menghasut dan membangkitkan lagi sangkaannya sehingga seiranya dia seorang yang kaya menjadi miskin ataupun hilang akalnya, bahkan dia boleh kehilangan kesihatannya sama-sekali.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

*************************************************************************************

Khamis, 2009 Oktober 29

Sempena Ulang Tahun Perkahwinanku...

Assalamualaikum.


Nukilan Pahrol Md Juoi ini kutitipkan buatmu suamiku tercinta sempena ulang tahun perkahwinan kita yang ke 16 pada hari ini, 29 Oktober 2009.

Sempena ulang tahun perkahwinan
Ingin kuimbau seribu kenangan

Sebagai bekal menuju ke hadapan

Moga hari esok kita lebih baik dari semalam

Dengan memanfaatkan hari ini
…..
yang dalam genggaman


Walau pernah kita tiba di ribuan persimpangan
Tetapi syukur, kita tak pernah hilang SATU tujuan

Sering juga kita diguris perbezaan

Namun kesetiaan kita selalu menyelamatkan
Persinggahan demi persinggahan…..

Kita tak pernah kelelahan


Usiamu adalah sungai kasihku
Setiamu adalah sumur juangku

Aku tidak akan kalah

Kerna kau sentiasa di sisi

Kau tidak akan rebah

Kerna aku sentiasa di situ…

Di hatimu!


Oh suamiku,
Kau lampu suluhku di malam kelam

Kau redup teduhku di panas membahang

Sewaktu-waktu aku tinggal keseorangan

Kau tegak setia menjadi teman


Terlalu untuk kuucapkan segala
Kerna makna cinta itu luas saujana

Dan hari-hariku akan terus berlagu setia

Kerna kau berada di sini

Di hati sentiasa!


Terimakasih tak terhingga buatmu suamiku tercinta….

*************************************************************************************

......Pernah satu ketika seorang sahabat memberitahu Rasulullah SAW akan rasa sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullahpun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullahpun berkata, "Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya."

Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Lebih-lebih lagi dalam rumahtanggga. Seorang suami atau isteri harus menyatakan kasih sayang kepada pasangannya. Sayangnya ramai antara kita yang telah melakukan kesilapan. Kesilapan kita bukan kerana kita tidak menyayangi suami atau isteri, tetapi kerana kita tidak atau semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk kata-kata.

Setelah usia perkahwinan semakin meningkat, kalimat-kalimat cinta sudah semakin kurang kedengaran dalam perhubungan. Ramai beranggapan mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dulu. Walhal, pernyataan sayang dalam bentuk perkataan perlu dijadikan kelaziman tanpa mengira usia perkahwinan. Kalimah sayang, cinta ataupun yang seumpamanya perlu selalu diluahkan seiring rasa sayang yang juga sepatutnya bertahan dan terus bertambah dalam perkahwinan.

Usahlah terlalu lokek dengan kata-kata yang membelai, memujuk, bersimpati, menyayangi isteri atau suami. Pengaruh kata-kata sangat besar dalam kerukunan rumahtangga. Jika sebutir kalimat yang buruk boleh membawa kehancuran, begitu juga sebaliknya, kalimah yang baik boleh membawa kebahagiaan dalam rumahtangga.

Jangan sekali-kali beranggapan bahawa cukup rasa sayang yang bersemi di hati, tidak perlu diluahkan lagi. Sebaliknya carilah masa yang sesuai dan ketika yang baik untuk meluahkannya.....

- Sedutan dari buku Satu Rasa Dua Hati tulisan Pahrol Mohd Juoi -

*************************************************************************************