Assalamualaikum.
Sebagai seorang insan, bersyukurlah kita kerana dilahirkan ke atas muka bumi ini. Allah telah memilih kita bukan kebetulan dan main-main. Dengan kasih dan rahmatnya, Dia menciptakan kita dan memilih kedua ibubapa untuk kita. Tidak ada satupun yang bersifat kekurangan.
Ada ketikanya kita merasa bahawa kita serba kekurangan, sedangkan orang lain serba berkelebihan. Sebenarnya kita salah. Allah menurunkan kekurangan dan kelebihan itu berserta dengan tanggungjawab dan amanahnya. Jika kita seorang yang miskin, Allah tidak akan menghisab harta yang kita tidak miliki. Sebaliknya jika kita seorang yang kaya, Allah akan tanya kita satu persatu tentang harta kita, dari mana ia diperolehi, hak-hak harta tersebut seperti zakat dan sebagainya, dan sedikit sekali mereka akan terlepas dengan selamat.
Begitu juga halnya dengan nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada kita. Kadangkala kita merasa serba tak sihat dan merasa alangkah beruntungnya mereka yang sihat. Tetapi sebenarnya Allah menjadikan kita sakit adalah untuk memberi pahala yang lebih kepada kita. Orang yang sihat tidak akan mendapat pahala sebagaimana orang yang sakit. Allah juga tidak akan menghisab untuk apa kesihatan kita digunakan kerana kita tidak memiliki kesihatan tersebut. Sedangkan orang yang sihat adalah dipenuhi dengan bebanan dan tanggungjawab. Mengapa mereka tidak solat berjemaah, mengapa mereka tidak berpuasa, mengapa mereka tidak berjuang di jalan Allah, mengapa mereka tidak membantu keluarga dan jiran dengan kesihatan mereka dan seribu satu macam lagi. Oleh itu, janganlah kita sesekali mengeluh dengan kurniaan Allah itu. Dan janganlah kita lupa dengan nikmat Allah pula. Semuanya adalah ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya. Jika kita merasa begitu sengsara, ingatlah bahawa sabarlah sedikit sahaja lagi kerana hidup ini tak lama. Kita akan menerima segala ganjaran amalan kita kelak di Akhirat yang kekal selama-lamanya... Ya! Selama-lamanya... Bayangkanlah itu....
*************************************************************************************
Isnin, 2 Julai 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan