Selasa, 3 Jun 2008

Penawar Kepenatan

Assalamualaikum.

Hai, akhir-akhir ni ummi benar-benar terasa penat. Nak kata kerja berat, tak delah sangat. Mungkin otak yang penat kot. Maklum le, kerja sebagai doktor ni banyak menggunakan daya fikir. Bukan senang nak mengesan penyakit, nak fikir cara rawatan yang terbaik dan lebih-lebih lagi nak memuaskan hati pelanggan. Ditambah pula dengan urusan persatuan, keluarga dan sebagainya.

Dalam kepenatan, bukak-bukak email pagi ni terbaca artikel yang dihantar oleh sahabat macamana caranya nak mengatasi kepenatan. Memang kenalah pada masanya. Nak tahu? Jom kita baca sama-sama.

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, kita bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Saidina Ali berkata : "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah lantas pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w.
tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantunya itu.

Baginda s.a.w. berkata: "Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini. Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Oleh itu, sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , InsyaAllah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan hidup seharian kita. Malah akan terserlah ceria wajah kita pada keesokan harinya dengan senyuman.

Tiada ulasan: