Rabu, 28 Mei 2008

Doa Untuk Dr.Huda bt. Prof. Dato' Dr.Haron

Nama Huda Haron telah menarik perhatian aku semenjak kali pertama aku mendengar nama itu di Matrikulasi 2 di USM pada tahun 1989-1990 dulu. Ini berikutan karisma beliau yang menonjol semasa di Matrikulasi 1 yang akupun lupa dia Matriks kat mana. Aku kat MRSM Kulim. Masa tu nama beliau dicadangkan untuk menduduki kerusi AJK. Tetapi beliau menolak. Seorang kawan bernama Mohd. Nizam yang sangat kuat berkempen untuknya sangat kecewa dengan keputusannya...Namun itulah Huda Haron...yang selepas itu beliau menjadi tidak begitu famous di kalangan persatuan di universiti.

Aku mula kenal lebih dekat dengan sifat dan perawakannya semasa di USM Kubang Kerian kerana sama-sama mengambil bidang perubatan. Beliau aku lihat biasa saja meskipun merupakan anak seorang Profesor yang terkenal di seluruh Malaysia kerana 3 bidang yang sangat menonjol iaitu bidang agama, bidang perubatan As-Syifa' (yang aku sendiri adalah antara pelajar bidang ini sekarang) dan bidang politik sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS...sebuah parti politik yang cukup menonjol di Malaysia dan di dunia.

Walaupun aku tidak begitu rapat semasa di universiti, tetapi aku agak rapat selepas keluar universiti dan bekerja. Maklumlah kami sama-sama membuka klinik swasta. Aku dan isteri di Terengganu dan dia dan suaminya (Dr.Azlin) di Bandar Baru Bangi. Kami lebih dulu membuka klinik beberapa bulan sebelum mereka membuka klinik mereka. Aku pernah pergi ke rumahnya (masa tu rumah parents beliau) dan juga ke kliniknya dan mereka juga pernah datang ke klinik kami di Terengganu.

Beliau membahasakan aku sebagai Wak Lan saja sebagaimana panggilan itu memang dah jadi sinonim dengan nama gelaranku kerana aku memang orang Jawa. Wak tu maksudnya pakcik sebelah yang lebih tua, iaitu abang kepada ibu atau bapa. Kalau abang tu dalam bahasa cina suatu penghormatan yang hebat terutama dalam masyarakat 'Kung Fu'. Jadi bila teringat hal ini, aku jadi rasa hebat....perasanlah sekali-sekala.... Kalau dalam sms aku selalu gurau je dengan beliau. Kalau berjumpa, beliau memang cukup mesra. Macam-macam topik beliau nak cerita. Pendek kata kalau jumpa tu, tak cukup telinga nak dengar cerita dan pengalaman mereka berdua.

Suami isteri tu memang cukup serasi. Itulah sebabnya Allah mentakdirkan jodoh mereka. Mereka cukup mesra dan sangat mengutamakan kawan dan tetamu. Sewaktu aku singgah kat klinik mereka hari tu, di klinik mereka masih ada pesakit, tetapi mereka memanggil aku masuk untuk sekadar 'berborak' dengan mereka. Sampai aku pulak yang terpaksa minta keluar untuk membolehkan beliau tengok pesakit yang menunggu...

Beberapa hari yang lepas, kawan aku yang bernama Domi hantar sms kat aku yangg mengatakan Huda masuk ICU di UAE. Kemudiannya sms lain menyusul mengatakan di Dubai. Aku rasa 'numbness' juga buat seketika...ucapan innalillahi wainnaa ilaihi roji'un sebagaimana yang Nabi ajar (untuk diucapkan apabila ditimpa musibah / mendapat berita musibah, tak semestinya berita kematian) itu terus terpacul dari bibirku. Kemudian aku beritahu isteriku dan beliau juga mengucapkan ucapan yang sama. Kami termenung seketika. Aku tidak pernah menyangka bahawa beliau yang sihat dan ceria itu rupa-rupanya menanggung penyakit yang serius! Samada beliau tahu dah lama atau baru diketahui, tetapi penyakit itu memang suatu yang merbahaya yang belum ditemui ubatnya...

Namun, begitulah sunnah kehidupan. Sihat lawannya adalah sakit. Kita tak mungkin lari daripadanya. Hanya seorang manusia saja di dunia yang tak sakit iaitu Fir'aun laknatullah. Cuma bagi kita, sebelum sakit, maka nikmat sihat yang Allah beri ini perlulah kita gunakan untuk menambahkan amalan kita. Masya Allah..tugas doktor ini merupakan satu sumber pahala yang besar! Dalam sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. berbunyi:

“Apabila seseorang Muslim menziarahi saudaranya yang sakit, berfirman Allah Ta’ala: Engkau telah melakukan yang baik dan akan baiklah perjalananmu dan engkau telah menduduki sebuah rumah di syurga.”


Bukankah tugas doktor satu lombong pahala yang besar?

Buatlah apa yang patut untuk diri kita. Kalau niat kita ikhlas untuk sihat kerana Allah, apa yang kita lakukan akan mendapat pahala.

Kepada Huda, sabarlah kerana kesabaran itu akan meningkatkan darjatmu di syurga. Berdoalah...kerana kesakitan yang kau alami akan meningkatkan keikhlasanmu terhadap Allah SWT...bukankah keikhlasan itu satu-satunya lesen untuk amalan diterima Allah? Kepada Azlin...sabarlah...kerana sesungguhnya ujian yang Allah berikan kepada kalian adalah 'hadiah' dari Allah jika dirimu bersabar. Jangan putus berdoa kerana sesungguhnya doa itu adalah senjata paling ampuh bagi orang yang beriman.

Tiada ulasan: