Khamis, 22 Mei 2008

Hargai Persahabatan Di Tika Ini

Antara bersahabat dan memelihara persahabatan…ada beza ke? Kalau memang berbeza, mana lebih mudah…bersahabat atau memelihara persahabatan? Sekali imbas, otak ummi menterjemahkan bersahabat itu sebagai satu tindakan menjadikan seseorang sebagai kawan, rakan dan taulan manakala memelihara persahabatan ialah perbuatan untuk sentiasa berada dalam keadaan kawan, rakan dan taulan tadi akan terus menjadi kawan, rakan dan taulan kita sampai bila-bila. Hai berbelit juga tu…

Sengaja ummi meng’highlight’kan dua perkara tu sebab petang ni tiba-tiba aja ummi terasa rindu pada sahabat-sahabat seperjuangan sewaktu di alam kampus dahulu. Kena pulak minggu ni, ummi duk sibuk menyusun kembali gambar-gambar lama, maka terjumpalah ummi gambar waktu muda-muda dulu bersama sahabat-sahabat yang cukup rapat. Berbagai kenangan lama kembali mengimbas.


Terfikir ummi, alangkah seronoknya kalau masa-masa dulu boleh diputarkan kembali. Tapi untuk apa sebenarnya kan? Setiap yang bernama manusia akan melalui putaran hidup sedemikian. Hari ini si A menjadi sahabat kita, esok lusa si B, si C dan si D yang dalam masa yang sama kemungkinan si A masih kekal menjadi sahabat atau si B telahpun terpisah dari kita dalam membina hidup dan kariernya di tempat lain. Begitulah seterusnya kehidupan berputar.


Kerana itu, kembali hati ummi mengingatkan…dalam kita merindui kenangan-kenangan lama, sewajarnyalah kita menghargai persahabatan yang masih kekal sehingga ke hari ini. Sudah tentu hari ini berbeza dari hari semalam dan hari esok kan pasti berbeza dari hari ini. Pandanglah siapa di sekeliling kita hari ini. Merekalah sahabat-sahabat yang masih bersama kita! Tidak salah untuk kita mengenangi mereka yang telah ‘pergi’ tetapi jangan sampai kita terlupa memelihara, membajai dan menyuburkan ikatan persahabatan yang masih wujud di tika ini.


Mudah-mudahan bertemunya kita kerana Allah dan berpisahnya kita juga kerana Allah.


Rasulullah s.a.w. bersabda:" Tujuh macam orang yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat pada saat tidak ada naungan kecuali naungan Allah:

1. Imam (pemimpin yang adil).

2. Pemuda yang tumbuh dalam ibadat kepada Allah s.w.t.

3. Seorang yang hatinya tergantung pada masjid, ketika keluar sehingga kembali (yakni rajin menjaga sembahyang berjama'ah).

4. Dua orang saling menyintai (berkasih sayang) kerana Allah s.w.t. baik ketika berkumpul atau berpisah.

5. Seorang yang ingat kepada Allah s.w.t. ketika bersendirian lalu mencucurkan airmata ketana takut kepada Allah s.w.t.

6. Seorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga yang dikirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh kanannya.

7. Seorang lelaki yang dipanggil oleh wanita yang cantik untuk berzina, lalu ia berkata: "Saya takut kepada Allah azza wajalla."


Tiada ulasan: