Selasa, 9 Jun 2009

"Carilah Kesedaran, Cungkillah Keinsafan!"

Assalamualaikum.

Antara anak lelaki dan perempuan - gelagat, perangai dan sifatnya memang tak sama. Begitu juga dari sudut kematangan. Anak lelaki jauh lebih lambat matangnya dari yang perempuan. Itu ukuran dari matakasar pemerhatian seorang ibu. Namun itulah jua hakikat kajian dan hukum yang diputuskan. Tempoh baligh bagi seorang anak lelaki selalunya dalam lingkungan 15 tahun sedangkan seorang anak perempuan kadangkala baligh pada usia seawal 9 tahun.

Kadang-kadang Ummi termenung sendiri. “Bilalah agaknya Along dan Angah ni nak benar-benar matang?”

Kalau dah matang, sudah barang tentu setiap masa yang terluang akan digunakan untuk kerja-kerja berfaedah. Sudah tentu juga sembahyang di awal waktu tak perlu diperingatkan. Solat sunat tak perlu disuruh baru nak buat. Mengaji qur’an tak perlu tunggu Ummi hulurkan qur’an baru nak selak. Solat malam dan subuh tak perlu dikejutkan berpuluh kali baru nak bangun.

Kalau dah belum matang tu, faham-faham ajalah. Kadangkala terguris hati ibu dek kerana tabiat ketidakmatangan mereka. Namun gurisan itu segera disembuhkan atas dasar kefahaman bahawa akal fikiran mereka belum sampai ke tahap kematangan seorang dewasa.

Sepanjang perjalanan menghantar anak-anak lelaki kembali ke asrama bagi meneruskan kursus persediaan ke Mesir yang hanya tinggal sebulan sahaja lagi itu, Ummi tak kering gusi menyelitkan kata-kata nasihat dan perangsang buat Along dan Angah.

Sayangnya, kata-kata nasihat dan perangsang dari seorang ibu seringkali dianggap sebagai leteran, kan? Barangkali kerana ayatnya panjang dan bersambung-sambung sehingga tiada bernoktah...aduhai!

Kerana itulah juga barangkali kata-kata nasihat atau ungkapan dari seorang ayah lebih diambil cakna oleh si anak. Yalah, seorang ayah lebih jarang bercakap dan berkata-kata dengan si anak berbanding perbualan dan percakapan di antara anak dan ibu. Maka sekali ayah bersuara, seolah-olah itu adalah suatu amanat atau perintah yang amat penting. Tak begitu?

Maka di antara senggang leteran Ummi yang tiada noktahnya itu, mencelahlah Abi ;

“Along dan Angah dengar sini, Abi nak cakap. Along dan Angah ni kan, selagi tiada kesedaran dalam diri sendiri, Along dan Angah tak akan berubah! Biarlah sebanyak manapun Ummi dan Abi curahkan nasihat, pesan itu dan ini, tetapi selagi kesedaran itu tidak Along dan Angah cungkil dari diri sendiri, maka semuanya tak akan menjadi. Percayalah! Jadi pesan Abi, carilah kesedaran! Cungkillah keinsafan! Jangan buat sesuatu hanya kerana Ummi dan Abi nakkan begitu dan begini. Biar ia datang dari kesedaran dan keinsafan diri sendiri…”

Semua terdiam dan Ummipun turut menoktahkan leteran. Ummi pandang Along. Along tertunduk diam. Ummi pandang Angah. Angah terkedu insaf.

Terimakasih Abi. Mudah-mudahan seperenggan nasihat dan ungkapan dari Abi itu akan menjadi titik permulaan ke arah sebuah perubahan nilai yang diharapkan…

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

*************************************************************************************

5 ulasan:

Farid Rashidi berkata...

Assalamualaikum,

Oh, anak puan nak datang ke Mesir ya? melalui STAM? bila agaknya aka ke sini?

Kak Ummi To Farid Rashidi berkata...

Wkmslm Ustaz.

InsyaAllah dijangka sejurus sebelum puasa atau selepas raya akan bertolak ke Kaherah...belum diputuskan lagi oleh pihak tenaga pengajar di sini.

Anak Kak Ummi tu nanti akan menuntut di Maahad Bu'uth Islami,Ustaz.Jika diizinkan InsyaAllah Kak Ummi & suami akan ikut hantar sekali.Ada rezeki,mungkin boleh jumpa ustaz di sana nanti...mudah-mudahan dpt cedok ilmu & pengalaman dari ustaz.

Dr Amad berkata...

Salam Umi...

Sedikit pencerahan dan soalan...adakah kematangan seseorang itu diukur dengan akil baligh? bagi saya ada benar tetapi belum cukup lengkap. Betapa ramai orang yang sudah "ehem2" tapi solat entah kemana,yang lain jauh dari panggang hatta baby berumur 60 tahun.

Saya sendiri,didik keras oleh ibu abah.Masih sesuai untuk sekarang?sama-sama kita fikirkan. Tetapi antara faktor yang penting adalah kesedaran.Kesedaran itu kekadang bukan hanya dengan dihantar sekolah agama,kekadang cukup melihat telatah manusia...

Ia hidayah,ia hembusan dari langit,ia turun dilubuk hati orang beriman dikala mana insan lain mengalami kegoncangan.

Nasihat,pesan,timbulkan kematangan, dan DOA seorang ibu..=)

Dr Hj Mokhtar Hj Abdullah (PhD(psikologi pendidikan),MISM, Dip. Ed, B.Pharm(Hons) ) berkata...

Syukur... Bila di Mesir bumi para ambiyak nanti moga-moga tidak lupa untuk tunai haji di Mekah waktu cuti. Doa banyak-banyak buka pintu hidayah dan kesejahteraan di belakang maqam NabiIbrahim, di depan multazam dan sewaktu wukuf di padang Arafah

~Cinta Cukulet~ berkata...

hehe..saya pun kadang2 cam tu..kata2 ayah dianggap amanat, pesan mak pulak macam bebelan je heheee..sebab ayah lebih tegas kot heheehe