Ahad, 10 Ogos 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 4

Assalamualaikum.

Wahai Hamba Allah Yang Sedang Dirundung Kesakitan;

Kita sebenarnya tidak berhak mengadu apabila ditimpa sebarang kesakitan. Kita wajib bersyukur dan bersabar kerana anggota tubuh badan kita, luar dan dalam, serta diri kita sendiri bukan milik kita! Kita tidak membuat, kita tidak menciptanya dan kita juga tidak membelinya daripada mana-mana syarikat ataupun kilang.

Oleh itu, ia adalah milik yang lain. Pemiliknya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya pada barang miliknya sebagaimana kisah berikut:

Seorang ahli kraftangan yang mahir dan kaya mengupah seorang lelaki miskin menjadi model bagi mempamerkan barangan yang diperbuatnya. Bagi menampilkan hasil buatannya yang indah dan pengalamannya yang luas, dia memakaikan lelaki itu pakaian berhias yang dilengkapi dengan pelbagai hiasan hasil tenunannya dengan penuh ketelitian dan keindahan.

Orang kaya itu juga melakukan pelbagai perkara dalam usaha memperindah dan mencantikkan hasil buatannya dengan kemahiran tinggi yang dimilikinya. Dia mula menggunting, menukarkan jenis kain yang digunakan, memanjang, memendek dan sebagainya pada pakaian itu semasa ia dipakai oleh lelaki miskin tadi.

Maka pada pendapat kita adakah lelaki miskin yang diupah itu berhak berkata kepada lelaki ahli kraftangan yang mahir tersebut, ”Saudara telah merosakkan ketampanan saya yang terserlah semasa mengenakan pakaian ini kerana saudara sentiasa menyuruh saya tunduk, berdiri dan duduk. Saudara juga merosakkan saya kerana selalu menggunting, memendek dan memanjangkan bahagian-bahagian tertentu pada pakaian ini!”

Begitulah juga keadaannya dengan Tuhan yang Maha Membuat yang memakaikan pakaian jasad kepada kita. Dia juga memberikan kepada kita pancaindera nurani seperti mata, telinga dan akal. Kita juga dapati Tuhan menukarbalikkan keadaan dan mempelbagaikan hal ehwal kita bagi memperlihatkan kepada kita kesan buatannya melalui al-asma’ al-husna atau nama-nama Tuhan.

Sebagaimana kita dapat memahami dan mendalami hakikat pengertian al-Razzaq atau yang memberikan rezeki melalui pengalaman yang kita lalui semasa menghadapi kelaparan dan kebuluran, begitu jugalah sepatutnya kita dapat memahami dan mendalami hakikat pengerti al-Shafi atau yang menyembuhkan semasa kita menghadapi sebarang penyakit.

Sebahagian daripada kelebihan al-asma’ al-husna terbongkar melalui sakit dan bahaya yang kita alami. Ia juga memancarkan nur atau cahaya keindahan yang menyediakan segunung hikmah dan sejuta rahmat.

Percayalah;

Bahawa di sebalik penyakit yang tidak disukai itu, kita akan menemui hakikat yang mendalam, indah dan disenangi oleh jiwa kita. Itulah hikmah yang terkandung di sebalik kesakitan dan kesukaran yang kita hadapi...

Allahua’lam.

-petikan risalah/wasiat yang ditulis oleh Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

************************************************************************************

Tiada ulasan: