Memaparkan catatan dengan label Penyakit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penyakit. Papar semua catatan

Rabu, 21 Mac 2012

Tips Untuk Pasangan Yang Sukar Mendapat Zuriat!

Assalamualaikum.

Hari ini Ummi nak kongsikan tips untuk pasangan suami-isteri yang ditakdirkan Allah sukar untuk mendapatkan anak. Bukan tips makan ubat atau apa jua siasatan yang selalu dilakukan oleh doktor-doktor di hospital tapi tips ini adalah tips dari al-qur'an dan hadith. Baik sekali kalau sekiranya rakan-rakan Ummi sesama doktor tidak lupa untuk menyampaikan tips ini kepada setiap pesakit mereka di samping kita mempraktiskan siasatan dan rawatan perubatan secara moden untuk mereka.

Diriwayatkan oleh Abu Hanifah dalam musnadnya dari Jabir bin Abdillah r.a :

“Bahawasanya ada seseorang yang datang mengadap Nabi Saw dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku tidak diberi anak dan aku tidak memiliki anak seorangpun.’ Beliau Saw bersabda : ‘Di mana kamu dengan banyaknya beristighfar dan bersedekah yang dengannya engkau akan diberi anak?’ Maka orang itupun memperbanyakkan sedekah dan istighfar. Diapun mendapat sembilan orang anak laki-laki.”

Al-‘Allamah Mulla Ali Al-Qari dalam syarah hadith ini mengatakan, kemungkinan ini dikutip dari firman Allah SWT yang menceritakan tentang Nabi Nuh a.s :

“Maka aku katakan kepada mereka : ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh : Ayat 10-12)

Malah dalam hadith juga disebutkan :

“Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, nescaya Allah akan memberi penyelesaian bagi setiap permasalahan dan jalan keluar bagi setiap kesempitan, serta memberinya rezeki dari sisi yang tidak disangka-sangka.” – Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim dari Ibnu Abbas r.a.

Nah! Selama ini kita seringkali lupa dengan petunjuk dari Allah dan RasulNya. Mudahan-mudahan dengan amalan sedeqah dan istighfar yang berterusan ini dapat menjadi ubat yang mujarab untuk permasalahan kemandulan yang dihadapi oleh segelintir pasangan. Namun dalam kita berusaha, kita tetap pasrah dengan ketentuan Allah. Bukankah Allah SWT ada berfirman dalam surah As-Syura ayat 49 dan 50 yang maksudnya :

“Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Namun usaha tetap usaha. Kita tidak boleh berhenti berharap pada Allah dan jangan sekali-kali kita menyangka yang tidak baik kepada Allah. Teruslah berikhtiar! Semoga berjaya...

Khamis, 15 Julai 2010

Husband Related Insomnia?

Assalamualaikum.


Masa kecil dahulu, bak (panggilan Ummi kepada ayah) selalu masuk hutan. Dah memang itu pekerjaannya sebagai seorang renjer hutan. Setiap minggu, dua tiga hari bak akan bermalam di hutan. Memeriksa pokok-pokok balak dan memastikan tiada kecurian balak yang berlaku. Itulah antara tugas beliau buat mencari sesuap rezeki yang halal untuk isteri dan anak-anak.


Setiap kali bak masuk hutan, Ummi selalu mendengar keluhan dari mak yang tidak lena tidur. Kalau dapat lena sekejappun, mak pasti akan bermimpi yang bukan-bukan lantas terjaga kembali. Namun Ummi yang masih kecil waktu itu tidak mengerti apa yang mengganggu mak sehingga membuatkan mak tidak lena tidur.


Bila kini Ummi sendiri dah membina kehidupan berkeluarga, barulah pengertian itu datang.


Setiap kali Abi (panggilan manja Ummi pada hubby..hehe) balik lewat ke rumah kerana menghadiri mesyuarat, bersukan atau apa-apa programpun, Ummi pasti tidak dapat melelapkan mata. Kalau terlelap pun, pasti Ummi akan terjaga kembali pada waktu yang sepatutnya Abi dah kembali ke rumah. Lewat dari itu, tentunya akan menyebabkan Ummi bersengkang mata tanpa di pinta.


Rupanya itulah kegusaran hati seorang isteri…


Lewat suami pulang, bermacam-macam perkara yang difikirkan. Kemalangankah? Jatuh gaung ke kereta Abi ni? Ada apa-apa perkara burukkah yang berlaku?


Bermacam-macam andaian yang bermain di kepala. Apalagi kalau sms yang dihantar tak berjawab, panggilan yang dibuat tak bersambut.


Rupanya itulah kegalauan perasaan seorang isteri…


Dalam keadaan sebegini, tidak ada lain yang diharapkan oleh seorang isteri sebenarnya melainkan sedikit nota yang dismskan… “Abi balik lewat sikit malam ni,ya.Mesyuarat dah jadi panjang pula.Ummi jangan risaulah.InsyaAllah ½ jam lagi Abi baliklah…”


Pasti hati yang kerisauan, jiwa yang kekacauan akan kembali reda.


Tak begitu?


Hmm..Ummi pasti ramai isteri yang akan bersetuju…


P/s – Agaknya ‘penyakit’ tak boleh tidur Ummi ni boleh aja dinamakan ‘Husband Related Insomnia’….hahaha…


Amaran : Tidak ada istilah Husband Related Insomnia dalam perubatan. Ni rekaan Ummi aja...Boleh baca artikel berkaitan Insomnia di sini.



Selasa, 13 Julai 2010

Migrain Tanpa Ubat?

Assalamualaikum.

Pagi ini kepala terasa agak 'ringan'. Harap-harapnya hari ini Ummi tak perlu lagi mengambil ubat migrain. Dah banyak hari Ummi terpaksa menelan pil migrain bagi menahan kesakitan. Lebih-lebih lagi pada hari berpuasa. Tiba sahaja waktu tengahari, kepala dah macam nak pecah. Cukup-cukup menguji ketahanan dan kesabaran.

Keadaan ini cukup merisaukan Ummi sebenarnya kerana Ramadhan dah semakin dekat. Ummi teringin nak berpuasa dalam keadaan diri yang sihat agar mampu beribadah sebanyak-banyaknya. Ramadhan yang lepas, Ummi terpaksa mengambil pil migrain setiap hari sewaktu sahur bagi mengelakkan sakit kepala. Sungguh kalau boleh Ummi ingin memberhentikan pengambilan ubat. Namun bagaimana?

Sebarang cadangan perawatan amat Ummi alu-alukan. Mana tahu ada antara cadangan itu nanti yang Allah izinkan untuk menjadi asbab penyembuhan terhadap masalah Ummi.

Opps...ada yang tak berani nak kasi cadangan sebab Ummi ni doktor? Hahaha...tak perlu segan, tak perlu takut. Doktorpun turut Allah uji dengan kesakitan dan kadangkala Allah juga ingin menguji kita dengan ilmu dan kepakaran yang kita ada. Ummi bersyukur kerana dengan kesakitan yang Allah kuniakan ini turut mengingatkan Ummi agar jangan terlalu bangga dan taksub dengan kepakaran yang kita ada kerana adakalanya kepakaran dan ilmu itu tidakpun mampu menyelesaikan masalah dalam diri kita sendiri. Betul, kan?

Makanya, jangan segan-segan. Ummi tunggu cadangan perawatan dari sahabat-sahabiah yang dikasihi lillahi ta'ala...



Khamis, 12 November 2009

Hati-Hati Dengan Wabak Taun!

Assalamualaikum.

Kelmarin, jenuh Ummi menerima kedatangan pesakit dengan masalah cirit-birit dan muntah-muntah. “Ini dah macam wabak…” terdetik di hati kecil. Tapi tak pula kedengaran apa-apa berita atau makluman dari pihak hospital atau media.

Selesai waktu klinik, terus Ummi bergegas ke tempat kuliah di rumah bonda. Kuliah agama mingguan yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus. Habis kuliah, Abi datang mendekati Ummi.

“Ummi, sekarang wabak koleralah. Abi dapat sms, ramai yang warded kat hospital hari ni, 3 di ICU dan sorang dilaporkan meninggal.”

“Innalillahi wainna ilaihiraaji’un. MasyaAllah, patutlah ramai sangat hari ni yang datang ke klinik dengan masalah cirit-birit dan muntah-muntah. Ummi dah rasa macam ada wabak jer ni…”

Dalam kita duk sibuk dengan influenza H1N1, tengok-tengok wabak kolera (taun) pulak yang datang. Ini juga adalah ujian dan peringatan dari Allah SWT ke atas kita .

Sama-samalah kita berhati-hati dan mengambil langkah yang perlu dalam usaha mengelakkan jangkitan kolera ini.

Ummi selitkan di sini sedikit ilmu berkaitan penyakit taun atau kolera...

Cara Benteras Penyakit Taun

Oleh Dr. Mohd. Isa Abdul Majid
Pusat Racun Negara, USM


PENYAKIT taun atau kolera merupakan penyakit yang tertumpu pada saluran penghadaman akibat daripada jangkitan bakteria (kuman), vibrio cholera.

Ia berlaku apabila kuman taun dari pesakit atau pembawa menjangkiti individu sihat melalui mulut.

Salah satu punca bagaimana kuman taun boleh tersebar ialah melalui pengambilan makanan dari persekitaran yang kotor dan tidak terurus.

Ini termasuk makanan yang dicemari kuman taun, tidak dimasak dan dimakan sejuk.

Selain ini, lalat dan air minuman yang dicemari najis boleh menyebarkan kuman taun kepada individu sihat lain.

Tempoh bagi kuman taun merebak dalam badan sehingga menunjukkan tanda penyakit adalah dalam masa lima hingga enam hari.

Tanda-tanda jangkitan

1. Cirit-birit berterusan serta muntah yang teruk. Najis cair dan berwarna. Kejadian cirit-birit adalah disebabkab oleh pengeluaran racun atau toksin oleh vibro cholera semasa di usus yang menyebabkan air badan keluar memasuki saluran usus. Selepas beberapa jam, otot penghidap akan mengalami kekejangan terutama di pergelangan kaki dan perut kerana kehilangan garam sodium.

2. Penghidap akan mengalami kejutan dan boleh pengsan. Tekanan darah menurun, nadi lemah, lidah kering dan mata cengkung di samping masalah membuang air kerana kehilangan air yang banyak.

3. Pada peringkat ketiga, jika cirit-birit dan muntah berhenti, tekanan darah akan meningkat kepada biasa dan penghidap pulih. Jika tidak, suhu badan akan meningkat, peningkatan suhu badan secara mendadak mungkin berlaku dan penghidap akan koma dan mungkin maut.

Rawatan penyakit taun

Bendalir

Dalam jangkitan taun, pesakit akan diberikan gantian bendalir dan elektrolit yang hilang.

Dalam kes tidak serius, kedua-dua bendalir dan elektrolit diberikan melalui saluran mulut sedangkan pemberian secara suntikan akan dilakukan ke atas pesakit yang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit yang serius atau dehidrasi ataupun yang kehilangan air badan sehingga berat badan susut 10 peratus.

Rawatan ubat

Selain menggantikan bendalir dan elektrolit badan yang hilang, ubat antibiotik atau antimikrob digunakan untuk merawat pesakit taun.

Antibiotik yang seringkali digunakan dalam merawat jangkitan ialah kumpulan tetrasiklin sebagai pilihan utama manakala trimetofrim-sulfametokasazol, eritromisin, kloramfenikol dan furazolidon juga digunakan sebagai alternatif dalam kes-kes kuman penyakit telah rintang kepada antibiotik pilihan utama.

Dalam kumpulan tetrasiklin, doksisiklin merupakan ubat yang seringkali digunakan untuk merawat jangkitan taun.

Ubat kumpulan tetrasiklin tidak boleh diambil bersama dengan susu dan hasilan tenusu lain disebabkan bahan tersebut akan mengurangkan tindakan ubat.

Pantang larang yang perlu dipatuhi ialah pesakit tidak mempunyai sejarah tindakbalas alahan kepada ubat ini.

Ia tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 8 tahun.

Bagi pesakit wanita dan ibu pula, mereka mestilah tidak mengandung dan tidak menyusukan anak.

Dalam kes ibu mengandung atau sedang menyusukan bayi serta kanak-kanak, kumpulan tetrasiklin cenderung terkumpul di dalam tulang dan berupaya menyebabkan gigi bayi dan kanak-kanak berubah warna kepada kekuningan serta pertumbuhan tulang dan gigi kanak-kanak menjadi lambat.

Sebagai langkah berhati-hati untuk mengatasi sebarang kemungkinan kerana menggunakan ubat ini, pesakit hendaklah sentiasa meneliti kesan-kesan sampingan yang sering kali terjadi seperti di bawah:

• Kulit menjadi lebih sensitif apabila terkena sinaran matahari. Pendedahan kepada sinaran matahari walaupun sekejap boleh menghasilkan kerengsaan kulit, kegatalan, kulit menjadi merah dan mengelupas.
• Kekejangan otot perut, cirit-birit, rasa mual dan muntah.
• Kesakitan pada bahagian perut, ubun-ubun bengkak pada bayi, sakit kepala, hilang selera makan, warna kulit kekuningan dan perubahan deria penglihatan.
Oleh sebab tetrasiklin tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah 8 tahun, maka pesakit kanak-kanak akan diberikan kombinasi 5 mg/kg trimetofrim dan 25 mg/kg sulfametoksazol dua kali sehari selama 3 hari.

Kesan sampingan yang sering diperhatikan untuk ubat ini ialah cirit-birit, sakit kepala, hilang selera makan, gatal kulit, sakit pada sendi otot, kesusahan menelan makanan, sakit tekak dan demam di samping pengguna akan merasa letih.

Panduan elak jangkitan

• Minum air yang dimasak. Suhu air mendidih akan membunuh bakteria. Gunakan air bersih seperti air paip atau telaga yang dibubuh klorin untuk kegunaan harian seperti membasuh pinggan mangkuk, makanan segar, meggosok gigi dan mengambil wuduk.
• Makan makanan panas dan elakkan makanan sejuk seperti ais, aiskrim, air batu campur kerana bakteria taun mudah membiak dalam keadaan sejuk.
• Pastikan persekitaran rumah bersih. Musnahkan semua tempat pembiakan lalat dan makanan ditutup.
• Sayuran dan buah-buahan segar hendaklah dicuci dengan sempurna menggunakan air bersih.
• Hendaklah sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas.
• Jika ingin makan di gerai, pastikan gerai itu bersih. Bagaimanapun, langkah lebih bijak dengan menghentikan makan di gerai buat sementara waktu.
• Jika ada ahli keluarga telah mendapat taun, pastikan ahli keluarga lain diberitahu tentang kebersihan semasa buang air besar bagi mengelakkan ahli keluarga lain daripada dijangkiti penyakit tersebut.
• Pakaian pesakit harus dicuci dengan sabun dan larutan pemutih Clorox untuk membasmi kuman taun.
• Dapatkan ubat antibiotik yang diberi oleh pihak hospital atau Jabatan Kesihatan untuk dimakan oleh ahli keluarga yang sihat.
• Bawa pesakit yang muntah dan cirit-birit ke hospital dengan segera.

Hayati juga apa yang tersirat di sebalik lirik dalam lagu dikir barat berkaitan penyakit taun di sini!

*************************************************************************************

Ahad, 2 Ogos 2009

H1N1 : Apa Kata Ustaz?

Assalamualaikum.

Semakin hari, semakin masyarakat berada dalam gelombang ketakutan. Trend kedatangan pesakit ke klinik melonjak akibat kebimbangan dan kegerunan terhadap serangan virus Influenza H1N1. Rasa takut keterlaluan yang direaksikan oleh pesakit menyebabkan hati ini terasa walang. Perkataan yang diucapkan akibat kegerunan mereka terhadap wabak ini kadangkala jauh menyimpang dari luahan yang sepatutnya diucapkan oleh seorang muslim. Sekadar manakah mampu diri ini menenangkan hati-hati yang gusar, meredakan gejolak kebimbangan yang melanda serta melegakan jiwa yang resah?

Kembalilah kita kepada peringatan yang membawa ingat hati-hati kita terhadap pencipta segalanya, Allah! Dialah jua yang Maha Berkuasa menjadikan sesuatu dan Maha Berkuasa menyembuhkan sesuatu...

Ikuti tulisan Ustaz Zaharuddin dalam artikelnya yang bertajuk Swine Flu : Senarai Perlu Faham Dan Buat (artikel penuh)

APA KATA USTAZ?

Apa yang perlu dilakukan kini? Saya bukan doktor namun beberapa nasihat berikut mungkin boleh difahami dan dihayati sebaiknya, moga kita dapat memanfaatkannya:-

1. PENYAKIT BERJANGKIT & IMANI QADA' QADAR.

Perkara utama bagi semua umat Islam, jangan sesekali lupa atau ‘terlupa' bahawa semua bakteria, virus atau apa jua makhluk yang membawa mudarat ini terlepas dari kekuasaan Allah swt.

Jikalau kita menelurusi hadis Nabi s.a.w, kita akan dapati anjuran Nabi s.a.w untuk berhati-hati apabila bercampur dengan pesakit kusta dan sopak. Sudah tentu anjuran Nabi itu terpakai buat semua jenis penyakit yang diiktiraf boleh merebak dan ‘berjangkit'. Hadis berikut amat jelas :-

لا عدوى ولا طيرة ولا هامة قال له رجل : أرأيت البعير يكون به الجرب فتجرب الإبل ، قال : ذاك القدر ، فمن أجرب الأول ؟

Ertinya : Tiada jangkitan, tiada sial dan tiada hammah (satu kepercayaan jahiliyyah iaitu burung yang kononnya tercipta dari tulang mayat dan hidup lalu membawa sial kematian), maka seorang lelaki berkata : Apa pandanganmu jika seekor unta yang mempunyai penyakit lalu terkena unta yang lain?. Nabi menjawab : Itulah taqdir Allah, (cuba fikirkan), dari mana pula yang pertama mendapat penyakitnya? ( Riwayat Ahmad )

Allah swt mengingatkan :-

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya : Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Al-Hadid : 22 )

Berbekalkan ayat dan hadis di atas, Islam mengajar kita agar melihat ketentuan Allah swt sebagai asas, sebelum melihat kepada soal sebab dan musabbab atau sunnatullah (hukum alam).

Walaupun demikian, Nabi s.a.w juga mengingatkan :

فِرَّ من المجذوم فِرارَك من الأسد

Ertinya : Larilah (jauhilah) mereka yang berpenyakit kusta sebagaimana kamu lari dari singa" ( Riwayat Al-Bukhari)

Manakala di dalam sebuah hadis lain :-

لا يُورِد مُمَرَّضٌ على مُصَحٍّ

Ertinya : Janganlah orang yang sakit bercampur dengan mereka yang sihat (Riwayat Muslim)


Mungkin ada yang terfikir wujudnya pertentangan makna di antara hadis berkenaan qadar Allah swt dan saranan menjauhi pesakit berjangkit.

Hakikatnya, tiada kontradiksi di antara satu sama lain, perlu difahami bahawa orang Arab di zaman Jahiliyah percaya tubuh orang sakit akan automatik memberi kesan buruk yang pasti kepada tubuh orang yang sihat tanpa mengira sebarang sebab atau taqdir[1]. Atas sebab itu hadis menyebut hadis pertama, namun dalam masa yang sama tidak menafikan jangkitan dari berlaku. Oleh itu, dalam konteks ketiga-tiga hadis di atas, mesej yang disampaikan oleh baginda Nabi s.a.w adalah :-

· Menafikan kepercayaan silam bahawa tubuh orang sakit PASTI AKAN memudaratkan yang sihat, justeru di dalam Islam, tidak boleh diiktikadkan sedemikian.

· Membetulkan kefahaman semua bahawa hampir setakat mana pun kita dengan mereka yang sakit berjangkit, semua masih tertakluk kepada kekuasaan Allah swt untuk mendatangkan sakit itu kepada kita atau tidak.

· Membetulkan kefahaman ummat bahawa sakit yang mungkin kita alami tidak semestinya datang dari orang sakit yang kita temui. Justeru, jangan mula salah menyalahkan di antara satu sama lain.

Hasilnya, Islam tidak menafikan wujudnya kebolehjangkitan tetapi hadis itu disebut dalam konteks dan objektif yang disebutkan di atas. Kebolehjangkitan adalah termasuk di dalam perkara sunnatullah (hukum ketetapan alam), cuma umat Islam perlu memahami ia tertakluk di bawah izin Allah swt. Pastinya, di musim berlakunya perebakan wabak seperti selsema babi ini, tidak mudah untuk mana-mana individu yang terkena dan belum kena untuk meyakini kuasa Allah. Itulah sebenarnya salah satu ujian Allah swt untuk hambaNya, mendatangkan bala sebagai ujian, tapisan iman serta mengingatkan hamba kepada kekuasaan penciptaNya. Hanya merkea yang beriman mampu melakukannya. Semoga kita terdiri dari golongan itu.

2) JANGAN TUDUH SESIAPA SEBAGAI PUNCA

Jangan menuduh sesiapa sebagai penyebab anda terkena selsema ini, jangan juga marah kepada sesiapa. Ini kerana kita tidak akan mampu mengetahui secara pasti dari manakah kita mendapat virus tersebut. Ini kerana virus selsema boleh sahaja datang dari tombol pintu pejabat yang kita pegang, pintu kereta, teksi, mouse computer, key board dan sebagainya. Mungkin terdapat individu lain yang bersin lalu tangannya memegang keyboard, pintu atau berjabat tangan dengan anda sebelum tangannya benar-benar bersih dari virus.

Mungkin sahaja kita ingin meyalahkan seseorang yang bersin di hadapan kita atau duduk di sebelah orang selsema di dalam train atau bas, namun diingatkan sekali lagi, kita sama sekali tidak boleh pasti, kita mendapat selsema dari orang terbabit, besar kemungkinan virus itu telah kita dapati sejak di stesyen bas lagi. Perlu difahami juga, jarak sebaran germ dari seorang yang bersin secara terbuka adalah sekitar 10 kaki jaraknya. Justeru, JANGAN SALAHKAN SESIAPA dan yakinlah ia takdir Allah swt untuk menguji kita.

Cuba lihat petikan video ini :



3. ELAK KELUAR DAN MASUK DARI KAWASAN SESAK DAN WABAK

Elakkan bercampur di tempat awam tanpa keperluan yang mendesak dan adalah baik jika dapat sentiasa membersihkan setiap apa yang ingin kita pegang di temat awam. Mungkin sahaja semuanya telah dicemari oleh virus selsema babi tadi dan sedang menunggu orang menyentuhnya sahaja.

Saranan pencegahan ini sesuai dengan hadis di atas dan juga tindakan Nabi yang tidak berjabat tangan dengan seorang lelaki kusta dari rombongan Bani Thaqif di ketika sesi berbai'ah (janji taat setia). Yangmana Nabi saw diriwayatkan berkata yang ertinya : "Pulanglah, kamu telah pun dikira berbai'ah" (Rujuk Sohih Muslim)

Nabi s.a.w :-

إذا سمعتم بالوباء بأرض فلا تقدموا عليه ، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه

Ertinya : Apabila kamu mendengar terdapat wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula berada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan tersebut untuk melarikan diri. ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin akan ada yang tertanya-tanya mengapa dihalang mereka yang sihat untuk keluar dari kawasan wabak, apakah justifikasi arahan nabi sejak 1400 tahun yang lalu ini. Jawapan diberikan oleh Dr Muhammad Al-Bar (merupakan seorang doktor pakar perubatan dan ahli Majlis Fiqh OIC), beliau menegaskan terdapat individu yang tidak jatuh sakit dengan sesuatu jenis virus, manakala sebahagian lain jatuh sakit. Mungkin sahaja yang keluar ini sihat, tetapi tubuhnya sedang membawa virus dari kawasan wabak, hasilnya, ketibaannya di tempat baru menyebabkan penyebaran berlaku kepada penduduk setempat dan pasti akan ada sebahagian yang boleh jatuh sakit dengan virus tersebut.

Selain itu, kemungkinan juga individu yang sihat ketika keluar itu, belum terkesan lagi dengan virus yang berada di dalam tubuhnya. Ini kerana sebahagian virus memerlukan beberapa masa dan tempoh untuk membiak dan mengganggu kesihatan mangsa. Hasil dari semua kemungkinan ini, Nabi s.a.w sejak beribu tahun silam, tanpa ilmu mikrobiologi telah mampu memberikan satu peraturan yang bertepatan dengan penemuan sains. Itulah ilmu yang datang dari pencipta sekalian alam, Allah swt.

Dengan fakta ini, kita tidak akan sama sekali mampu meneka siapa yang menjadi punca pemindahan virus kepada tubuh kita, kerana bukan sahaja individu yang sedang sakit dan selsema sahaja yang berpotensi, malah mereka yang sihat juga terdapat kemungkinan menanggung virus yang sama dan memindahkannya kepada kita melalui sentuhan dan sebagainya. Itulah takdir namanya dan kita diarah untuk berusaha sedaya mungkin dan redha serta sabar apabila diuji.

3) SEKATNYA DARI MENJADI PENYEBAR

Jikalau ditakdirkan kita tergolong dari mereka yang sedang diuji dengan selsema babi ini, pastikan sedaya upaya kita tidak menjadi sebab untuk merebaknya virus terbabit di kalangan awam. Justeru itu:-

· Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau kain semasa bersin.

· Sentiasa basuh tangan selepas memegang hingus, hidung atau selepas bersin di tangan, gunakan sabun atau apa-apa jenis sabun antibakteria.

· Kurangkan berasak-asak di tempat awam, kerana peluang pemindahan virus boleh berlaku dengan lebih besar. Namun takdir Allah mendahului segala-galanya, jika telah ditakdirkan, seseorang yang mengunci diri di dalam gua batu sekalipun pasti akan kena, mungkin melalui virus yang dibawa di atas badan semut yang memasuki gua itu!

Kesemua tindakan dan usaha pencegahan adalah wajib kita lakukan menurut hukum Islam, kerana menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah diharamkan.

4) CADANGAN PEMULIHAN : SARANAN DOKTOR DAN USTAZ

Bagi tujuan pemulihan, perkara biasa yang disarankan oleh para doktor adalah :-

* Makan vitamin C dengan kadar lebih banyak dari biasa.

* Minum air dengan kuantiti yang banyak, lebih banyak dari biasa.

* Boleh mengambil (kecuali kanak-kanak bawah 5 tahun) ubat demam atau batuk yang biasa atau juga paracetamol dan pain killer seperti ibuprofen untuk melegakan beberapa symptom. (Rujuk doktor anda terlebih dahulu).

* Ambil cuti dan berehat sehingga sembuh.

Ditambah pula dengan nasihat dari para ilmuan Islam:

* Yakinkan diri dengan kesembuhan, sebutkan kata-kata yang baik untuk diri seperti yakin diri akan sembuh segera dan sebagainya. Selain itu, jangan pula mencerca dan memaki hamun semasa sakit. Hal ini disarankan melalui hadis :-

لا عدوى ولا طيرة ، ويعجبني الفأل قالوا : وما الفأل ؟ قال : كلمة طيبة

Ertinya : Tiada jangkitan (tanpa izin Allah) dan sial, dan aku suka kepada sikap Al-Fa'l, Sahabat bertanya : "Apakah Al-Fa'l ?"

Nabi menjawab : "Kalimah yang baik (sangka baik untuk sembuh)"

* Berdoa agar beroleh kesembuhan dan doakan orang lain agar turut kuat dan sembuh dari jangkitan selsema babi ini.

* Bersangka baik dengan Allah dan serahkan urusan kepada Allah swt. Iaitu jikalau telah terdapat ahli keluarga yang dijangkiti dan amat sukar untuk mengelakan diri dari bercampur dengan mereka. Dirwiyatkan di dalam sebuah hadi, Nabi meletakkan makan di dalam satu bekas bersama pesakit kusta lalu berkata :-

كلْ باسم الله توكلاً على الله وثقة بالله

Ertinya : Makanlah dengan bacaan Bismillah, bertawakkal kepada Allah dan berikan kepercayaan ( sangka baik) kepadaNya: (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah, namun menurut analisa, hadis ini dinilai lemah)

* Jangan sesekali putus asa jika ditimpa penyakit ini.

Firman Allah swt :

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ

Ertinya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.

Sekadar itulah yang dapat dikongsikan buat masa ini, semoga semua kita dapat menghadapi saat sukar ekonomi dan kesihatan ini dalam keadaan yang jitu dan teguh iman kepada Allah swt.

Akhirnya hayatilah kata nabi ini

عجبا لأمر المؤمن ، إن أمره كله له خير ، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن ، إن أصابته سراء شكر وكان خيرا له ، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له

Ertinya : Hebat dan amat mengkagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa kebahagian dia bersyukur, maka ia perolehi kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga (Riwayat Muslim)

Sebarkanlah artikel ini di merata tempat, semoga ramai beroleh manfaat dan terpandu untuk menentukan iman, minda, hati dan sikap yang betul.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

21 Julai 2009

Khamis, 2 Julai 2009

"Saya Gugur Lagi, Doktor!"

Assalamualaikum.

Hai, akhir-akhir ini ramai betul pesakit Ummi yang datang kerana masalah keguguran. Sesetengah tu dah berulangkali keguguran, sampai langsung tidak ada kandungan yang bertahan walaupun dah disahkan hamil setiap tahun! Banyak persoalan yang dikemukan kepada Ummi.

“Doktor, kenapa saya selalu keguguran?”

“Doktor, apa sebab janin saya tak dapat bertahan?’


“Doktor, apa yang patut saya lakukan agar kandungan saya tidak gugur?’


“Doktor, saya keguguran ni berpunca dari makanan ke?”


“Doktor, ada harapan lagi ke untuk saya hamil selepas ini?”


“Doktor, berapa lama saya boleh hamil semula selepas keguguran?


“Doktor, boleh tak kalau saya tak nak cuci?”


Fuh! Macam-macam bentuk soalan. Ingat senang apa jadi doktor? Itu pasal setiap hari para doktor ni bila datang kerja kena dalam keadaan sentiasa bersedia serta sihat badan, akal dan fikiran. Cuba bayangkan kalau doktor tengah sakit kepala, atau demam, atau apa-apa sahaja gangguan kesihatan, tiba-tiba diajukan seribu satu persoalan sedemikian. Kalau seorang dua pesakit aja yang banyak tanya, okaylah juga. Dibuatnya 20 pesakit yang datang semua jenis banyak bertanya? Mau menjerit sorang-sorang doktor tu nanti…he,he. Ummi tak pernah sampai ke peringkat jerit sorang-sorang lagi tau!

Nak Ummi jawab soalan-soalan di atas? Ni Ummi quote satu soalan yang diajukan kepada doktor pakar kita, Dr Hamid Arsyat berkaitan keguguran…

KEGUGURAN

Soalan

Saya berumur 28 tahun, mempunyai anak yang berumur 5 tahun dan 3 tahun. Baru-baru ini saya keguguran ketika usia kandungan saya 3 bulan. Doktor yang merawat saya menyatakan jenis keguguran itu sebagai "miss abortion". Boleh doktor terangkan apakah itu miss abortion? Saya bercadang untuk mengandung lagi. Perlukah saya berehat dahulu beberapa bulan sebelum saya boleh kembali hamil?

Jawapan

Tentang missed-abortion ini, ia adalah satu jenis keguguran yang berlaku secara spontan. Biasanya keguguran mungkin disebabkan oleh baka atau kromosom yang agak luar biasa pada janin. Oleh itu ia tidak boleh membesar dan berkembang seperti biasa. Mungkin juga ia disebabkan oleh faktor yang lain seperti kurang hormon atau jangkitan kuman yang terus merosakkan janin. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada keguguran ini kita tidak tahu apa puncanya.

Missed abortion atau miscarriage ialah satu rangkai kata yang bererti bahawa keguguran ini berlaku secara spontan dan kehamilan tidak boleh diteruskan, serta rahim perlu dicuci (D&C) untuk membersihkan dari tisu dan darah dalam kandungan.

Kebanyakan wanita akan mengalami satu atau dua kali keguguran dalam hidup mereka dan ini jarang menjejaskan kesuburan mereka di masa hadapan. Tetapi jika ia berulangkali berlaku dan berturut-turut tiga kali atau lebih, ini merupakan satu masalah yang perlu disiasat dengan lebih lanjut lagi bagi mengesan apa puncanya dan rawatan sewajar perlu diberikan.

Bagi puan, eloklah :

1. Rehat selama tiga bulan (jangan hamil dulu…)

2. Dalam masa tiga bulan ini makanlah makanan yang baik, berkhasiat dan seimbang


3. Tenangkan fikiran


4. Banyakkan ibadah dan berdoa kepada Allah


5. Makan multivitamin dan folik asid secara terus menerus untuk mencegah daripada kecacatan janin


6. Jangan lupa setiap malam sebelum tidur bacalah surah Al-Fatehah dan ayat Al-Qursi


7. Juga jangan lupa membaca doa sebelum melakukan persetubuhan


8. Apabila mengandung di peringkat awal jumpalah dengan doktor pakar kebidanan untuk mendapatkan rawatan sokongan bagi mencegah berlakunya keguguran yang berulangkali.

Jenis-Jenis Keguguran

1. Threatened Abortion :

Ini mungkin hanya ancaman sahaja (threatened abortion). Sebenarnya janin masih hidup dan boleh membesar lagi. Pendarahan berlaku mungkin disebabkan oleh pendarahan daripada uri akibat daripada kuncupan rahim yang biasanya ditimbulkan oleh sebab tekanan fisikal dan mental, faktor kekurangan hormon atau kedudukan uri yang agak dekat dengan pintu rahim. Rawatan bagi keadaan ini ialah rehat sepenuhnya, ubat hormon diberi secara suntikan atau tablet, jauhkan dari hubungan suami-isteri dan tenangkan fikiran.

2. Missed Abortion :

Keguguran jenis ini boleh menyebabkan kematian janin iaitu apa yang digelar sebagai missed abortion. Kadangkala pendarahan tidak banyak dan biasanya tanda-tanda hamil seperti loya dan muntah, bengkak buah dada agak berkurangan atau tiada langsung. Bila dibuat scanning ultrasound, biasanya tiada janin dikesan dalam karung kandungan atau mungkin terdapat segumpal daging janin tetapi tanpa denyutan jantung lagi. Dalam keadaan ini (missed abortion) memerlukan rahim dicuci melalui proses D & C.

3. Complete Abortion :

Keguguran juga mungkin telah berlaku dengan sepenuhnya (complete abortion) di mana segala isi kandungan, uri dan janinnya telah keluar keseluruhannya daripada rahim. Biasanya pesakit akan merasai kesakitan yang amat sangat dan akan melihat ketulan darah dan tisu yang keluar daripada kemaluannya. Apabila dibuat pemeriksaan ultrasound scanning, rahim telah menjadi kosong daripada sisa-sisa kandungan.

4. Incomplete Abortion :

Keguguran juga mungkin tidak sempurna (incomplete abortion) di mana sebahagian sahaja daripada tisu kandungan telah keluar dan sebahagiannya tertinggal dalam rahim. Ini boleh disahkan melalui ultrasound scanning dan dalam keadaan ini biasanya rahim perlu dibersihkan melalui tatacara D & C.

You got something? Daaa….jumpa lagi...he,he…banyak ayat rock pulak dah akhir-akhir ni. Dah mula nak ‘buang tabiat’. Betullah tu! Memang patut dibuangpun tabiat yang tak elok…kan,kan? Ha,ha…

Wassalam.

Rujukan : http://www.hamidarshat.com/

*************************************************************************************

Khamis, 25 Jun 2009

5 Tip Penting Menghadapi Kemelut Influenza H1N1

Assalamualaikum.

Ummi terima email dari seorang sahabat di Institut Jantung Negara (IJN) yang menyebarkan pandangan seorang ulamak mengenai serangan wabak influenza H1N1 yang melanda seluruh dunia termasuklah negara kita Malaysia. Cukup berguna untuk kita sebagai seorang muslim dalam menghadapi kemelut ini. Mungkin agak panjang, tetapi bacalah sehingga ke akhirnya kerana ia sangat-sangat bermanfaat!
______________________________________________________________________________

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Islam agama yang sempurna. Itulah perkataan yang seringkali kita dengari walaupun perlaksanaannya masih di tahap yang amat mengecewakan.

Pada hari ini kita diuji dengan H1N1 yang telah dikenalpasti puncanya adalah khinzir. Semua pihak mula memandang serius isu ini, antaranya pihak IJN sendiri. Oleh itu, pelbagai usaha telah diambil untuk mengawal jangkitan H1N1. Tahniah diucapkan.

Cuma, saya ingin menyeru diri saya dan semua warga IJN umumnya untuk melihat sejauh mana peranan Islam dalam mengawal jangkitan H1N1. Mungkin istilah H1N1 tidak pernah digunakan oleh Nabi kita SAW tetapi Junjungan kita telah meninggalkan teori yang amat sempurna lagi perfect untuk memastikan segala bentuk jangkitan terkawal. Jadi, marilah sama-sama kita menghayati serta cuba untuk mempraktikkannya :

1. REDHA :

Iaitu beriman bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah.

Pada hari ini, kita memberi pelbagai alasan tentang tersebarnya H1N1. Kita seolah-olah terlupa bahawa yang menentukan jangkitan wabak ini adalah Allah. Bila diingatkan, mereka berkata : “ek eleeeh, yang tu semua orang tahu”.

Saya setuju dengan perkataan mereka. Cuma, saya ingin bertanya. Mengapa setiap kali kita menyambut hari kemerdekaan, kita akan ulang sebut nama Tunku Abdul Rahman beserta tayangan klip video laungan beliau ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!” ? Mengapa?

Jawapannya, kerana bertujuan untuk mengingatkan masyarakat kita tentang sumbangan besar beliau dalam kemerdekaan negara kita. Maka, mengapa tidak kita seringkali ingatkan manusia tentang Allah dan kekuasaan-Nya, sebagai langkah mensyukuri nikmat-Nya. Sedangkan segala sesuatu di alam ini adalah milik Allah. Maka Allah berkuasa untuk mewujudkannya atau menghapuskannya.

Sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya Allah mencipta segala penyakit, dan Allah jugalah Pencipta segala penawarnya…”

2. SABAR :

Hasil dari redha akan terpupuk sifat sabar. Apa jua yang berlaku termasuk peningkatan jangkitan H1N1 secara drastik, hendaklah kita perkemaskan rasa redha dan sabar terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang tindakan. Kerana ia akan mengawal emosi serta tindakan kita agar tidak songsang dan menyanggahi batas-batas syariat.

Allah berfirman, maksudnya : “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun” (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali” (Al-Baqarah, 2 : 155-156).

Nah, jelaslah bahawa apa yang berlaku adalah bertujuan untuk menguji manusia. Banyak-banyaklah menyebut : "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun”, sebagai pemangkin kepada sifat redha dan sabar. Bukan sebutan semata-mata, tetapi perlu difahami juga maknanya. Maka, hendaklah kita berhati-hati dalam ujian ini, agar kita semua berjaya.

3. BERUSAHA :

Ada pihak yang hanya berserah kepada Allah dan langsung tidak mahu berusaha. Sebagai muslim yang mukmin, kita bukan sahaja redha dengan ketentuan Allah, bahkan kita juga berusaha untuk melaksanakan segala perintah-Nya.

Sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya Allah mencipta segala penyakit, dan Allah jugalah Pencipta segala penawarnya, maka berubatlah, dan janganlah kalian berubat dengan benda-benda yang haram.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Perintah Nabi supaya kita berubat menunjukkan peri pentingnya usaha yang menyusul selepas dari redha. Bukan duduk saja. Tahniah kepada IJN dan bahagian Infection atas usaha-usaha yang dilakukan. Moga Allah memberkati usaha kalian. InsyaAllah. antara bentuk-bentuk usaha yang digariskan di dalam Islam bagi mengawal penyakit-penyakit berjangkit seperti H1N1 adalah seperti berikut :

(i) Doa :

Merupakan ubat yang paling berkesan dan mujarab untuk mengawal serta menghapuskan H1N1. Cuma, sejauh mana keyakinan kita dengan doa ????

Ya, kita telah berusaha. Pelbagai peralatan dan perkakasan disediakan untuk safety, tapi bagaimana pula dengan DOA ? Ingatlah saudara-saudaraku, usaha yang dilakukan tanpa mengingati Tuhan adalah usaha yang sia-sia sahaja.

Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW : “Perumpamaan orang ingat akan Tuhannya dengan orang yang lupa akan Tuhannya seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Saya tidak bermaksud menyeru supaya diadakan majlis doa selamat. Itu tak perlu. Apa yang saya maksudkan adalah kesedaran individu. Semua di kalangan kita perlu memandang serius isu doa. Usah kita lihat doa dari sudut yang begitu sempit, seperti, kena ambil wudhu' dulu, kena mengadap kiblat, kena pakai pakaian solat, kena angkat tangan dan sebagainya. Saya tidak menafikan kebaikan semua perkara di atas, tetapi jika keterlaluan dalam mempraktikkannya, akan membuatkan rasa susah, payah dan menyebabkan ramai yang tidak berdoa dan langsung tidak mengenali konsep doa yang sebenar. Seruan saya di sini adalah supaya kita mempraktikkan doa-doa harian yang mudah.

Contohnya : Kakitangan bahagian Infection yang bertugas awal pagi di pintu masuk utama IJN, ketika ingin meletakkan pelekat di baju atau tag, bacalah “Bismillaah”. Ringkas tetapi kandungannya sarat dengan intipati aqidah yang mampu membina keikhlasan seterusnya mempertingkatkan lagi kualiti kerja. Tak perlu kuat-kuat, just sebutkan secara perlahan di bibir.

Secara teorinya, kita semua tahu bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu termasuk H1N1 untuk menguji manusia. Maka, mengapa kita tidak memohon kepada Pencipta serta Penguji kita iaitu Allah supaya menjauhkan kita dari wabak H1N1 ??? (Saya yakin kita semua telah berdoa. Kenyataan di atas adalah sebagai satu muhasabah untuk muslim yang mukmin).

Satu pesanan saya; kadang kala apabila kita telah berdoa, kita inginkan hasil yang segera. Sikap ini telah dikritik oleh Nabi SAW, sabda Baginda : “Doa seorang hamba itu sentiasa dimakbulkan selama mana dia tidak memohon untuk memutuskan silaturrahim, selama mana dia tidak tergesa-gesa. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa? Baginda bersabda : “Seseorang yang berdoa berkata, aku telah berdoa, aku telah berdoa, namun aku belum lihat ia dimakbulkan. Lalu dia berasa lelah dan tidak ingin berdoa lagi.” (Hadis Riwayat Muslim)

(ii) Menjaga kebersihan :

Contoh : Di pintu masuk disediakan cecair untuk mencuci tangan sebagai langkah mengawal jangkitan. Tahniah! Kalian telah melakukan sesuatu yang Islami.

Allah berfirman di dalam Al-Quran : “Allah suka kepada hamba-hamba- Nya yang bertaubat dan menyucikan diri.” (Al-Baqarah, 1 : 222).

Bahkan Nabi SAW memerintahkan kita mencuci kedua belah tangan sebelum mencelupnya ke dalam bekas air (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim).

Dan banyak lagi bukti-bukti lain menunjukkan betapa prihatinnya Islam terhadap isu-isu kebersihan.

(iii) Mengelak dari bermusafir ke negara-negara yang tersebarnya wabak H1N1 :

Ini adalah saranan Menteri Kesihatan Malaysia. Alhamdulillah atas peringatan tersebut. Sebenarnya Nabi kita, Muhammad SAW telah terlebih dahulu alert dengan isu-isu penyakit berjangkit dan telah melarang sesiapapun bermusafir ke tempat-tempat yang didapati punca wabak tersebar. Begitu juga penghuni tempat tersebut dilarang keluar dari tempat tinggalnya bagi mengelakkan jangkitan (peristiwa taun).(Hadis diriwayatkan oleh: al-Bukhari dan Ibn Sa’d)

Istilah ini dikenali kini dengan kuarantin. Sedangkan 1430 tahun yang lalu, Nabi kita telah memikirkan tentang infection serta pengawalannya, mengapa kita tidak berusaha memanfaatkan nasihat Baginda ?? Ingat! Perkataan Baginda adalah wahyu, yang bebas dari kesilapan dan kesalahan, manakala idea kita adalah teori semata-mata hasil dari kajian yang tidak bebas dari sebarang kekurangan dan kecacatan.

Ingatilah Baginda, berselawatlah padanya. Sabda Nabi SAW: “Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari Jumaat, barang siapa yang selawat ke atasku sekali, Allah akan selawat ke atasnya 10 kali.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Perlu diingati, Islam bukan agama yang melarang kemajuan dan membentuk kejumudan. Sebaliknya Islam menyeru kepada kemajuan teknologi. Bertepatan dengan hadis Nabi SAW ketika Baginda mengkagumi teknik tut (kahwinkan pokok), Baginda bersabda : “Kalian lebih mengetahui tentang dunia kalian.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, gunakan dan kembangkanlah segala teknologi yang ada sebagai satu tanda mensyukuri nikmat Tuhan. Cuma, biarlah ada batas-batasnya agar manusia tidak lupa statusnya sebagai HAMBA.

(iv) Muhasabah diri :


Mungkin H1N1 Allah turunkan sebagai satu bala ke atas manusia bersesuaian dengan maksiat yang mereka lakukan. Dalam umum hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat adalah manusia akan ditimpa bala bencana dan ia berlaku apabila kefasikan berleluasa (bahkan manusia bermegah dengan maksiat mereka), para sahabat Baginda bertanya : Ya Rasulullah, bagaimana jika ada di kalangan kami orang yang soleh, adakah bala itu turut menimpa mereka? Jawab Baginda : Ya, bala itu turut menimpa mereka, sekiranya perkara yang keji berleluasa.” (Hadis riwayat Muslim).

Sebahagian ulama menterjemahkan perkataan “keji” adalah zina, dan sebahagian yang lain menyatakan maksiat. Wallaahua’lam. Jika demikian, marilah sama-sama kita cerminkan diri kita, sejauh manakah kita mentaati segala perintah Allah dan sejauhmanakah kita meninggalkan segala larangan-Nya. Moga dengan perubahan sikap kita, Allah memberikan bantuan-Nya. Firman Allah: “Sekiranya kamu menolong Allah (mentaati-Nya) nescaya Allah akan membantu kamu dan menetapkan pendirianmu.” (Muhammad, 47 : 7)

(v) Memurnikan aqidah dari sebarang unsur-unsur syirik dan perkara-perkara yang membatalkan iman :


Sia-sia sahaja, walau kita bebas dari H1N1, tetapi kita tidak bebas dari azab neraka. Azab neraka sesuatu yang pasti kewujudannya. Cuma adakah kita mempercayainya atau tidak ? Ada 4 kelompok manusia dalam beriman kepada kewujudan neraka :

1. Beriman dengan kewujudannya, takut dan melakukan amalan yang soleh untuk mengelak darinya.
2. Beriman dengan kewujudannya, takut tetapi tidak melakukan amalan yang soleh untuk mengelak darinya.
3. Beriman dengan kewujudannya, tetapi tidak takut dan tidak melakukan amalan yang soleh untuk mengelak darinya.
4. Tidak beriman, tidak takut, tidak beramal (kafir)

Persoalannya ; Di manakah kita ????

Bagimana ingin murni aqidah? Dengan ilmu. Itu sahaja jalannya. Kerana itu SAW bersabda : “Barang siapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, maka Allah akan fahamkan dia dengan agamanya.” (Hadis riwayat Ahmad). Bererti barangsiapa yang Allah tidak inginkan kebaikan baginya, maka Allah tidak akan memberikan kefahaman kepadanya. Semuanya terletak di tangan kita sekarang. Berusahalah. Beramallah dengan ilmu bukan ikutan dan tradisi.

(vi) Memperbanyakkan amalan yang soleh.


Amalan yang soleh akan membentuk akhlaq yang baik. Dari akhlaq yang baik, akan membawa kepada sikap bertanggungjawab dalam menjaga hak-hak manusia lain. Contohnya : Apabila seseorang terkena selesema yang “pelik”, dia tidak ingin ke klinik atau hospital untuk dirawat kerana bimbang ditahan. Sikap seperti ini, boleh membawa jangkitan kepada orang lain, sekiranya dia dijangkiti H1N1. Islam agama yang menjaga hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Tuhannya. Hak-hak manusia dipelihara. Jadi, jangan semata-jangan kerana pentingkan diri sendiri, kita gadaikan hak-hak orang lain.

4. TAWAKKAL :

Setelah, redha, sabar, berusaha (beserta beberapa teknik-tekniknya) , maka bertawakkallah kita kepada Allah. Firman Allah : “Dan kepada Allah sahaja orang beriman itu bertawakkal.” (Ali ‘Imran, 3 : 160). Golongan yang bertawakkal ada beberapa kelompok:
  • Usaha, bertawakkal
  • Tidak usaha, tetapi bertawakkal (pelik)
  • Usaha, tetapi tidak bertawakkal (mempercayai kekuatan diri sendiri melebihi segalanya. Terlebih motivasi!)
  • Tidak usaha, tidak bertawakkal.
Mengapa perlu tawakkal? Bagi muslim yang mukmin, tawakkal membuktikan keimanan kita bahawa Allah yang mencipta, memiliki, menguasai atas segala sesuatu. Oleh itu, jika kita gagal, kita akan memulai semula susunan di atas redha > sabar > usaha > tawakkal, dan jika kita berjaya, kita berpindah ke destinasi yang baru iaitu SYUKUR.

5. SYUKUR :

Hendaklah kita mensyukuri segala nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Antaranya, pada hari ini, kita masih merupakan salah seorang dari manusia yang terselamat dari jangkitan H1N1. Bagaimana dengan besok? Lusa ? Belum tentu. Ingatlah, Allah berfirman : “Sekiranya kalian bersyukur, nescaya Allah akan menambahkan (kebaikan) kepada kalian, dan jika kalian kufur (terhadap nikmat Tuhan), maka ketahuilah azabku amat pedih.” (Ibrahim, 14 : 7). Antara cara-cara bersyukur kepada Allah adalah melalui :
  • Lisan - seperti berzikir memuji Allah, berdoa dan sebagainya.
  • Perbuatan - seperti melakukan amalan yang diperintah Allah dan meninggalkan amalan yang dilarang-Nya, sujud syukur dan sebagainya.
  • Hati - seperti mengharapkan kebaikan dari Allah, ikhlas, takut hanya pada-Nya.

Wallaahu a’lam.

*************************************************************************************