Memaparkan catatan dengan label Kesihatan: Kes Kedua Influenza H1N1. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan: Kes Kedua Influenza H1N1. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Mei 2009

1 Malaysia H1N1? Mohon Dilindungi Allah...

Assalamualaikum.

Berita Asal :
Buletin Papisma Terengganu
(dengan sedikit penambahan maklumat)

Lagi berita terbaru yang diambil dari Mstar Online petang ini (16 Mei 2009) yang semakin menggemparkan dan mencemaskan. Apakah ini merupakan bala Allah sehingga menjadi sabit yang membawa kepada kelemahan pihak berwajib dalam menjalankan langkah-langkah pencegahan? Sama-sama kita fikirkannya.

Akibat terlalu longgar dalam mengawal 'pintu masuk' kepada virus H1N1 itu menyebabkan dalam sekelip mata sahaja virus ini telah merentasi Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Semalam di Ibu Negara, hari ini di Pulau Pinang. Apakah slogan 1 Malaysia bakal bertukar kepada 1 Malaysia H1N1? Hanya kepadaMu jua ya Allah kami memohon perlindungan...

Nasihat Buat Umat Islam :

Jagalah akidah kita. Usah kita terikut dengan jeritan dan laungan orang lain dalam melihat isu jangkitan ini. Meskipun kita diminta berjaga-jaga seoptima mungkin, tetapi jangkitan hanya akan berlaku mengikut kehendak Allah SWT. Klik sini untuk artikel tersebut. Marilah kita sama-sama berdoa semoga kita dan orang-orang yang kita sayangi terhindar dari ujian dan malapetaka ini.

Kejadian ini kembali menginsafkan Ummi...Sesungguhnya selain dari pertahanan keselamatan, usah kita lupa kepada doa perlindungan dari Dia Yang Maha Pelindung…

Doa Pilihan Pelindung Keluarga

Dipetik dari http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=600&Itemid=72

Ajarilah anak-anak kita, diri dan keluarga kita dengan doa yang sahih dari nabi ini iaitu :-

من نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قال أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ من شَرِّ ما خَلَقَ لم يَضُرَّهُ شَيْءٌ حتى يَرْتَحِلَ من مَنْزِلِهِ ذلك

Ertinya :

"Sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa "Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk" maka ia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apapun sehinggalah ia kembali ke rumahnya semula." ( Riwayat Muslim, 4/2080 - teks doanya adalah yang berwarna merah)

Disebut dalam satu riwayat lain, Nabi bersabda :-

فقال رسول الله من أي شيء قال لدغتني عقرب قال رسول الله أما إنك لو قلت حين أمسيت أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم يضرك إن شاء الله

Ertinya :

Nabi bertanya : Kena apakah kamu ? Lelaki itu berkata : Aku disengat kala. Nabi berkata : Sekiranya engkau membaca pada setiap petang "Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat" ( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )

Juga sebuah lagi doa yang mudah dari hadis sohih:-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

Ertinya :

Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Doa-doa ini juga merupakan sebahagian daripada doa-doa ma’thurat. Semoga dapat sama-sama kita mengamalkannya untuk perlindungan diri dan keluarga, InsyaAllah…

Berikut adalah berita tersebut:


TAHAP KESELAMATAN DIPERKETATKAN....Beberapa kakitangan Hospital Pulau Pinang mengawal pintu masuk ward 16 yang menempatkan mangsa kedua yang dijangkiti virus Influenza A, H1N1. Foto THE STAR Oleh: ZAINUDIN AHAD.


PUTRAJAYA: Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di Pulau Pinang dan disahkan pagi ini, yang melibatkan rakan kepada pesakit pertama yang dikesan semalam, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat hari ini.

"Pesakit ini adalah rakan kepada pesakit pertama dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang. Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan tidak lagi demam," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Katanya anggota keluarga pesakit berkenaan juga telah dikuarantin di kediaman mereka untuk tempoh tujuh hari bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan virus tersebut.

"Setakat ini mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya. Mengulas lanjut, Dr Ramlee berkata kementerian telah mengenal pasti kesemua kontak yang berada dalam penerbangan yang sama dengan pesakit pertama dan kedua. Penerbangan MH091 yang merupakan destinasi terakhir pesawat terlibat, membawa 192 penumpang dan 15 anak kapal pada tarikh berkenaan, katanya.

"Daripada 192 penumpang, seramai 119 masih berada di negara ini, melibatkan 81 warganegara Malaysia dan 38 bukan warganenegara. Baki 73 penumpang lagi telah meneruskan penerbangan masing-masing ke luar negara pada tarikh yang sama, 13 Mei," katanya.

Kementerian juga, katanya telah menerima panggilan daripada 35 penumpang yang menaiki penerbangan tersebut untuk tujuan pengesahan.

"Selain menerima panggilan terus, kami juga edarkan senarai penumpang yang masih berada di negara ini kepada semua Jabatan Kesihatan negeri bagi tindakan segera," katanya.

Di bawah langkah yang sama, Dr Ramlee berkata tiga penumpang yang transit di negara ini pada 13 Mei lepas sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke destinasi mereka semalam telah dikuarantin di Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemerhatian.

"Mereka akan dikuarantin sehingga 20 Mei ini dan kita akan aturkan penerbangan mereka selepas itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ramlee berkata kementerian juga akan mengeluarkan laporan harian berhubung penularan wabak meningitis yang dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka serta wabak leptospirosis di Pulau Pinang.

"Orang ramai tidak perlu panik kerana apabila ada wabak baru yang dikesan, ini menunjukkan sistem kesihatan negara kita berada pada tahap yang sangat baik."

"Kementerian akan memastikan semua langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dengan serius untuk menangani perkara ini," katanya.

Di ALOR SETAR, Jabatan Kesihatan Kedah meminta dua individu dari negeri ini yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari New York yang tiba di KLIA pada 7.15 pagi 13 Mei lepas, segera menghubungi Kementerian Kesihatan atau terus membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Hasnah Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata tiga individu itu yang berasal dari negeri ini disenaraikan menaiki pesawat tersebut.

Beliau berkata salah seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 33 tahun, telah datang ke Bahagian Kecemasan HSB pada 6 petang semalam dan selepas menjalani pemeriksaan, dia didapati sihat dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Difahamkan dua lagi individu tidak dapat dihubungi kerana alamat mereka kurang jelas.

Dalam pada itu, di Kangar pula, seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang dikesan mempunyai simptom Influenza A (H1NI) dikuarantin di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam dan awal hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kesihatan Perlis Ahmad Bakri Ali berkata lelaki yang berasal dari Padang Besar itu adalah seorang peniaga yang kerap berulang alik ke Thailand kerana urusan perniagaan tetapi beliau tidak dapat menyatakan jantina kanak-kanak berusia empat tahun yang berasal dari Mata Ayer dekat sini.

Ahmad Bakri berkata lelaki itu dikuarantin sejak semalam manakala kanak-kanak itu pukul 1 pagi tadi dan mereka akan dikuarantin sehingga memperoleh keputusan ujian darah.

"Sampel darah mereka telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur dan difahamkan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua hari," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Cabaran Eko Paintball Malaysia (MEPC) di Gua Kelam dekat sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Besar kerana masalah kesihatan telah dirujuk kesnya ke HTF selepas terdapat simptom penyakit itu.

Ahmad Bakri berharap penduduk Perlis tidak panik dengan perkara itu kerana tindakan kuarantin berkenaan adalah prosedur biasa apabila terdapat kes yang mempunyai simptom itu.

BERNAMA

*************************************************************************************