Assalamualaikum. Kemeriahan Aidilfitri tak terasa lantaran keadaan mak yang sangat uzur. Anak cucu tak ada mood nak ke mana-mana. Namun kunjungan tamu ke rumah mak tak henti-henti dari pagi sehingga ke malam.
Mak dan bak sangat menjaga hubungan waris dan ahli keluarga. Bila ditimpa sakit, kunjungan dan doa dari mereka datang mencurah-curah.
Wan bersama cucu kesayangannya. Wan dah tiada daya untuk bangun dan berjalan sendiri. Duduknyapun perlu dipangku. Namun dek kerana kesungguhan untuk memeriahkan suasana, digagahkan jua dirinya untuk duduk di birai katil meskipun IV Drip tercucuk di tangan.
Ki bersemangat sekali nak gembirakan hati cucu-cucunya. Bersungguh-sungguh Ki membantu Wan untuk membahagikan duit raya.
Seorang demi seorang cucu datang bersalaman dengan Wan. Nampak sangat Wan yang keletihan.
Tiba giliran Anas (anak ke-2 Ummi) tak semena-mena Wan jadi sebak. Agaknya kerana harapan tinggi yang diletakkan pada cucunya ini untuk menjadi ulamak warasatul anbiya'...itulah yang sering diperkatakannya sewaktu Wan masih sihat.
Begitu juga bila tiba giliran Ammar (Along). Wan sebak tak terkata. Sambutlah harapan Wan itu, wahai anak-anak Ummi...
Usai sesi bersalaman dan bermaaf-maafan, Ki dengan gaya macam penyimpan mohor besar raja-raja meng'offer'kan diri untuk bergambar beramai-ramai dengan anak-menantu dan cucu-cucunya.
Ki bersama anak-menantu dan cucu-cucu lelaki. Masih belum lengkap sebenarnya ni sebab abang sulung Ummi sekeluarga tak balik beraya di kampung tahun ini.
Ki bersama anak-menantu dan cucu-cucu perempuan.
Ummi sekeluarga bersama Ki.
Ayah Chik sekeluarga (abang ke-3 Ummi) bersama Ki.
Ayah Ngah sekeluarga (abang ke-2 Ummi) bersama Ki.
Mak Teh sekeluarga (satu-satunya kakak Ummi) bersama Ki.
Ni dia Ki bersama kesemua anak-menantu dan cucu-cucu (tanpa keluarga abang sulung)
Selepas bergambar, kembali kami menemani Wan yang terlantar...
3 wajah seiras. Ayah Ngah dan Mak Teh memang banyak sekali irasnya dengan rupa Wan.
"Wan minum elok-elok ya. Nanti tersedak..." Hanya 2 minggu sahaja lagi Anas dapat bersama Wan sebelum kembali berangkat ke bumi kinanah untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu.
Dalam keadaan diri yang lemah tak bermaya, Wan mudah sebak dan menangis.
Namun suami tercinta sentiasa memujuk dan menghiburkan... Bahkan setia menemani sehingga terlena...sungguh cinta yang tulus dan mendalam, menjadi idola buat anak-menantu dan cucu-cucu.