Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Khamis, 21 Jun 2012

Besarnya Nikmat Darimu Ya Allah...

Assalamualaikum.

Tonton dan hayatilah video di bawah. Sungguh nikmat kita berada dalam Islam itu adalah nikmat yang terlalu amat besarnya...

Bukankah Allah mengharamkan syurga bagi mereka yang kufur terhadapnya? Kerana itu, sebesar-besar nikmat adalah nikmat Islam. Sungguh nikmat yang paling besar adalah nikmat Islam. Dan apabila Allah menginginkan bagi hambaNya kebaikan, maka dia dimatikan dalam beragama Islam. 

Nabi kita pernah berdoa : "Wahai yang menetapkan hati-hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu." Nabi SAW juga pernah memberitahu bahawa antara tanda-tanda fitnah akhir zaman, orang yang malamnya muslim dan paginya kafir atau paginya kafir dan petangnya dia beriman. 

Hari ini kita lihat di sekeliling kita berbagai perkara yang disebarkan berbentuk syubhah, penipuan dan perkara yang meragukan serta yang membangkitkan syahwat. Tidak syak lagi bahawa semuanya ini dapat menyebabkan seseorang itu berpaling dari agamaNya. Tetapi Allah yang Maha Tinggi apabila mencintai seseorang hamba maka akan diwafatkan dia di dalam Islam. Setiap perkara yang ditarik dari kita pasti akan ada gantinya dari Allah kecuali agama, maka tiada gantinya. Dan apabila Allah mencintaimu, maka Dia akan menetapkan kematianmu dalam Islam, supaya engkau mati dalam Islam.

Kerana itu, jadikanlah hatimu gembira tatkala engkau menyembah Allah. Sebahagian orang apabila melakukan sesuatu perkara yang mubah atau makruh seperti menghadiri sesuatu pertandingan atau majlis keramaian, dia merasa gembira kerana menghadirinya. Kita tidak ingin membicarakan tentang perihal sesuatu golongan itu tetapi kita ingin mengambil faedah dari 'kegembiraan' ini. Bagaimana engkau tahu bahawa engkau tetap di atas Islam ialah apabila engkau merasa gembira tatkala engkau mentaati Allah. Jangan dilakukan sesuatu ibadat itu semata-mata untuk menyelesaikannya tetapi lakukanlah sesuatu ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Allah tidak dimudaratkan oleh kemaksiatanmu tetapi engkaulah yang binasa apabila engkau melakukan maksiat. Matilah dalam Islam dalam apa jua keadaanpun. Ia jauh lebih baik berbanding mati dalam kekufuran sebagaimana disebutkan dalam doa para solehin, "Ya Allah sesungguhnya aku mencintaiMu walaupun aku bermaksiat kepadaMu." Seorang sahabat yang mulia, Amru Ibn al-Ash tatkala hampir waktu kewafatannya berkata : "Ya Allah, aku bukanlah seorang yang lepas (dari dosa) maka aku memohon pengampunanMu dan bukanlah aku orang yang kuat (dalam beribadah), maka aku memohon pertolonganMu. Tiada bantuan dan kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah."

Apabila Allah telah menetapkan bagimu untuk solat subuh berjemaah misalnya, setelah engkau keluar dari masjid, hadirkanlah perasaan gembira bahawasanya Allah dengan rahmatNya telah membangunkanmu dari tempat tidurmu dan menyebabkan engkau berdiri di hadapannya dan membawa engkau bergerak menuju rumahNya (masjid). Inilah yang kita harapkan. Mereka yang apabila Allah inginkan kebaikan untuk mereka, mereka ditetapkan dan dimatikan di atas agama. Dan tidak ada kegembiraan yang lebih besar bagi seorang hamba selain kegembiraannya terhadap Islam.

Sebagaimana semua telah tahu bahawa seorang hamba itu mestilah bersyukur kepada Allah kerana menjadikannya seorang muslim. Kita semua dengan rahmat Allah, dilahirkan muslim. Yakni Allah memberikan kita Islam tanpa kita memintanya. Maka semoga Allah mengurniakan juga kepada kita syurga tatkala kita memintanya.

Segala puji bagi Allah di atas nikmat Islam dan iman ini....

Khamis, 17 September 2009

Salam Aidilfitri Buat Semua...

Assalamualaikum

Buat semua pengunjung blok Klinik Ummi yang Ummi kasihi kerana Allah ;

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum
"Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di bulan Ramadhan) kami dan kamu"

*************************************************************************************

Petikan sebahagian artikel Ustaz Zaharuddin yang boleh di baca di sini...

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri.

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya: mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.



Selamat Hari Raya Idil Fitri



"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"



Sekian dahulu,


Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

27 Ramadhan 1428 H
9 Oktober 2007

Ulang siar pada 25 Sept 08 ( 25 Ramadhan 1429 H)

*************************************************************************************

Isnin, 14 September 2009

Selamat Beriktikaf...

Assalamualaikum.

Ummi ucapkan Selamat Beriktikaf buat Abi, Along dan Angah dalam 10 hari terakhir Ramadhan ini. Semoga diberkati Allah jua...

Sama-sama kita renungi Tazkirah Ramadhan dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS buat semua ahli dan penyokong...(dipetik dari Harakah 21-23 Ramadhan 1430)

"Saya hendak tekan, dunia ini bukan kita yang punya. Bumi, langit, udara, air hujan dan segalanya dicipta Allah Taala untuk manusia. Dan ia bukan terjadi sendiri. Kita tanpa mengira bangsa apa sekalipun, hanya menumpang di atas bumi Allah.

Kalau semua kemudahan itu tidak ada, maka mati semua manusia. Tidak ada satupun syarikat yang boleh buat bumi, udara, gandum, beras dan segala kemudahan asas bagi keperluan manusia untuk hidup.


Hatta seekor anak bilispun tidak ada kerajaan yang boleh buat. Dari segi sainspun begitu, lebih-lebih lagi al-Qur’an. Kita menumpang segala kemudahan itu dan bukan mendapat percuma. Segala itu akan dituntut bayaran. Tuntutan bukan bayaran dengan duit tetapi tuntutan takwa kepada Allah Taala.


Perkataan takwa mengandungi positif dan negatif. Kita kena buat apa Tuhan suruh dan tinggal apa yang dilarang. Misalnya saya sebagai Menteri Besar, kalau pergi ke rumah orang tidak boleh pandai-pandai naik ke atas rumahnya tanpa izin. Inilah kelemahan kita apabila sudah jadi orang besar, mahu berlagak seperti Tuhan.

Inilah kesilapan yang perlu kita renungi. Wajib kita sedar, kita sekadar menumpang di atas bumi Allah. Di akhirat kelak akan dihancurkan semua dunia ini dan diganti dengan alam akhirat.


Pembalasan di akhirat kelak sebagaimana disebut di dalam al-Qur’an. Buku yang digunakan Tuhan bagi menjatuhkan hukuman ke atas manusia di akhirat kelak ialah Qur’an.


Ini
perkara pokok yang perlu manusia tanpa mengira bangsa memikirkan. Kita mesti mati dan selepas mati kita akan hidup balik. Selepas hidup balik, kita akan dihakimi sebelum dijatuhkan hukuman syurga dan neraka.

Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadhan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak.


Ini kerana nafsu kita bermuka dua, iaitu mendorong kepada kejahatan dan satu lagi kepada kebaikan. Melalui cara iktikaf di masjid, kita dapat kawal. Kita dapat kawal nafsu dengan cara iktikaf di masjid.


Rasulullah SAW pada 10 hari terakhir Ramadhan iktikaf di masjid. Sebelum Rasulullah SAW menjadi nabi, baginda bertapa di dalam Gua Hiraq.

Selepas baginda menjadi nabi, sistem bertapa di dalam gua tidak lagi diamalkan dan Rasulullah SAW bertapa pula dalam masjid. Bertapa dalam masjid lebih praktikal. Ini kerana kita didatangkan ke dunia ini bukan untuk kita seorang sebaliknya untuk kita dan masyarakat.


Kalau kita duduk di masjid, kita boleh tegur orang dan orang juga boleh tegur kita, tetapi kalau di dalam gua tidak ada orang yang hendak ditegur.


Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid, sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf.


Bila niat iktikaf, kita merasakan diri kita di kurung di hadapan Allah Taala. Amalan tadarus dan tarawih tidak ada dalam agama lain. Nabi Muhammad SAW bertadarus dengan malaikat Jibrail tiap-tiap tahun.

Oleh itu, saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al-Qur’an yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah.
"

*************************************************************************************

Khamis, 3 September 2009

Belajarlah Mengawal Diri...

Assalamualaikum.

Isyhh, isyhh, isyhh...anak-anak ni, elok-elok bermain, dah berkelahi. Elok-elok bergurau, dah jadi bertekak pulak. Tak kira masa! Bukankah bulan Ramadhan ni bulan untuk kita mengubah sikap? Maka gunakanlah masa ini anak-anakku untuk belajar mengawal diri.

Kata Ustaz Saiful Islam :

"Jangan semua leteran mahu dibalas dengan leteran. Jangan semua cakap menghina mahu dibalas dengan penghinaan. Jangan semua tingkah laku yang menimbulkan kemarahan itu dibalas dengan kemarahan. Belajarlah mengawal diri, belajarlah untuk tidak melatah dan jangan bertindak mengikut rangsangan."

Semoga dengan hikmah Ramadhan ini, kuranglah pertengkaran. Kuranglah pergaduhan.

Tak mau Ummi berleter panjang di sini. Anak-anak Ummi semua dah besar-panjang. Dah boleh membezakanpun mana yang baik, mana yang buruk.

Hayatilah hadith di bawah :

“Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa”

[riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

Dan hayatilah juga video pendek anak muslim yang Ummi sertakan ini :



Ummi yakin anak-anak Ummi boleh berubah! Belajarlah memohon maaf dan belajarlah memaafkan. Hiasilah dirimu dengan akhlak yang mulia. Mudah-mudahan kalian mampu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, contoh tauladan yang terbaik...



*************************************************************************************

Khamis, 27 Ogos 2009

Salam Ramadhan : Jangan Main Mercun...!


Assalamualaikum.

Tak sempat Ummi nak coret apa-apa, dah masuk waktu Asar ni.
Tengok ajalah ya...selamat menonton!






***************************************************************************************

Selasa, 4 Ogos 2009

"Angah, Habiskan Nasi Tu..."

Assalamualaikum.

"Angah, habiskan nasi tu. Tak baik kalau tak habis. Syaitan suka sangatlah kita membazir." Leter Ummi pada Angah.

"Kenyang sangatlah Ummi." Jawab Angah.

"Lain kali kalau dah tahu tak habis, ambik sikit jer nasi. Jangan taruk banyak-banyak." Sambung Abi.

"Cubalah habiskan sikit lagi tu Angah. Ingat orang kat negara miskin sana, susahnya nak dapat makan. Kita kat sini, dah selalu mewah, suka sangat bazirkan makanan."

"Along dah siap makan? Cuba bukak komputer tu. Nanti Ummi nak tunjuk betapa orang yang susah nak dapatkan makanan akan sangat-sangat menghargai makanan. Tak macam kita ni."

Tanpa membantah, terus aja Along memetik suis komputer di sisi meja makan.

Ummi terus ke youtube dan menekan eja 'chicken a la carte', maka keluarlah sebuah video filem pendek yang Ummi maksudkan sebentar tadi.

"Jom kita sama-sama tengok..." Ajak Ummi pada anak-anak yang telahpun selesai makan.



Sungguh mengharukan.

Selesai aja tayangan filem, terus Ummi berpaling pada Angah untuk melihat reaksi beliau terhadap tontonan filem tadi. Tengok-tengok, nasi dalam pinggan yang tak habis tadi dahpun berjaya dihabiskan oleh Angah. Alhamdulillah...

Mudah-mudahan anak-anak Ummi dan kita semua akan sentiasa mensyukuri nikmat rezeki yang Allah kurniakan pada kita...



*************************************************************************************

Ahad, 5 Julai 2009

Kekuatan Di Sebalik Semangat

Assalamualaikum.

Ummi keletihan. Letih, penat, fatigue, lethargic...entah apa lagi term yang boleh digunakan. Kalau sekadar letih dari sudut fizikal, secawan susu dan sekelumit tidur yang lena, pasti akan mengembalikan kecergasan dan keceriaan. Namun letih yang melibatkan mental membuatkan serba-serbinya tak kena dan tak menjadi. Entah apalah yang Ummi fikirkan. Tiada apa masalah, tiada apa yang perlu dirunsingkan. Barangkali faktor hormon turut mempengaruhi.

Dalam keadaan letih sebegini, Ummi suka berjalan-jalan menikmati dan menghayati e-poskad yang disediakan di iLuvislam.com. Tup-tup terjumpa pulak e-poskad ini...

Iya, memang betul! Selalunya dengan semangat yang tidak pernah mengalah, Ummi kuat menghadapi apa jua kesukaran yang melanda. Namun akhir-akhir ini, kemana perginya semangat yang sentiasa membara itu sehingga kekuatan tidak kunjung sirna? Kan kucari semula semangat itu...!

Rupanya kerja-kerja itu telah mengganggu fikiranku. Fikiran yang letih dek kerana kerja-kerjaku yang tidak pernah habis!

Untuk itu,
wajar sekali kukembali kepada prinsipku yang asal...
"Kerja Itu Ibadat, Bekalan Untuk Akhirat"

Ali dan Fatimah...
Subuh itu mereka berdua bertemu Nabi
Lalu diluahkan ketandusan upaya
Betapa tenaga seakan tak mampu lagi
Untuk menanggung beban keluarga
Sudilah kiranya dihadiahkan seorang sahaya

Tersenyum Rasulullah mendengar rintihan
Lalu diberikan zikir sebagai gantian
Tiga kalimat sarat keberkatan
Subhanallah, Alhamdulillah, AllahuAkbar
Lalu esoknya mereka datang lagi...
Bersama satu kelapangan dan kekayaan hati
Cukuplah kami tak perlu apa-apa lagi!

Mereka miskin harta tapi kaya jiwa
Sering berpisah tapi tak gundah
Mereka bercinta kerana Allah

Indahnya mempelai di mahligai kemiskinan
Bila bersatu dua kemuliaan
Seorang karamallahuwajhah
Seorang al-Zahrah!

(Nukilan Pahrol Md Juoi)


*************************************************************************************

Ahad, 21 Jun 2009

Didiklah Anak-Anak Perempuanmu...

Assalamualaikum.

Sambil menunggu Abi siap bermesyuarat, sambil mendownload gambar anak-anak ke komputer. Tersenyum sendiri Ummi melihat gelagat anak-anak dara Ummi ni. Pantang disuruh bergaya bila nak tangkap gambar, keluarlah macam-macam gaya yang tak disangka-sangka. Kih,kih,kih...boleh tahan juga anak-anak Ummi ni.

Saja nak bergaya dengan T-shirt muslimah yang baru dibeli di Icon Ware Smart & Syar'ie. Hah, tengok! Siapa yang gayanya paling class? Ha,ha...

Waduh! Nampak pada gayanya, si adik yang paling kecik nilah yang paling mengancam!


Tu dia! Siapa sangka si kecil Atiqah boleh buat gaya spontan cam tu? Jangan cakap Ummi yang ajar tau! Tak tahan Ummi nak tergelak sampai bergegar kamera ni.

Oh, anak-anak perempuanku!

Hadith :

Daripada Aisyah r.a, dari Nabi SAW baginda telah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)


Huraian :
(http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=534)

1. Perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

2. Kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

3. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.

4. Kata orang ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’. Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

5. Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.



*************************************************************************************

Selasa, 9 Jun 2009

"Carilah Kesedaran, Cungkillah Keinsafan!"

Assalamualaikum.

Antara anak lelaki dan perempuan - gelagat, perangai dan sifatnya memang tak sama. Begitu juga dari sudut kematangan. Anak lelaki jauh lebih lambat matangnya dari yang perempuan. Itu ukuran dari matakasar pemerhatian seorang ibu. Namun itulah jua hakikat kajian dan hukum yang diputuskan. Tempoh baligh bagi seorang anak lelaki selalunya dalam lingkungan 15 tahun sedangkan seorang anak perempuan kadangkala baligh pada usia seawal 9 tahun.

Kadang-kadang Ummi termenung sendiri. “Bilalah agaknya Along dan Angah ni nak benar-benar matang?”

Kalau dah matang, sudah barang tentu setiap masa yang terluang akan digunakan untuk kerja-kerja berfaedah. Sudah tentu juga sembahyang di awal waktu tak perlu diperingatkan. Solat sunat tak perlu disuruh baru nak buat. Mengaji qur’an tak perlu tunggu Ummi hulurkan qur’an baru nak selak. Solat malam dan subuh tak perlu dikejutkan berpuluh kali baru nak bangun.

Kalau dah belum matang tu, faham-faham ajalah. Kadangkala terguris hati ibu dek kerana tabiat ketidakmatangan mereka. Namun gurisan itu segera disembuhkan atas dasar kefahaman bahawa akal fikiran mereka belum sampai ke tahap kematangan seorang dewasa.

Sepanjang perjalanan menghantar anak-anak lelaki kembali ke asrama bagi meneruskan kursus persediaan ke Mesir yang hanya tinggal sebulan sahaja lagi itu, Ummi tak kering gusi menyelitkan kata-kata nasihat dan perangsang buat Along dan Angah.

Sayangnya, kata-kata nasihat dan perangsang dari seorang ibu seringkali dianggap sebagai leteran, kan? Barangkali kerana ayatnya panjang dan bersambung-sambung sehingga tiada bernoktah...aduhai!

Kerana itulah juga barangkali kata-kata nasihat atau ungkapan dari seorang ayah lebih diambil cakna oleh si anak. Yalah, seorang ayah lebih jarang bercakap dan berkata-kata dengan si anak berbanding perbualan dan percakapan di antara anak dan ibu. Maka sekali ayah bersuara, seolah-olah itu adalah suatu amanat atau perintah yang amat penting. Tak begitu?

Maka di antara senggang leteran Ummi yang tiada noktahnya itu, mencelahlah Abi ;

“Along dan Angah dengar sini, Abi nak cakap. Along dan Angah ni kan, selagi tiada kesedaran dalam diri sendiri, Along dan Angah tak akan berubah! Biarlah sebanyak manapun Ummi dan Abi curahkan nasihat, pesan itu dan ini, tetapi selagi kesedaran itu tidak Along dan Angah cungkil dari diri sendiri, maka semuanya tak akan menjadi. Percayalah! Jadi pesan Abi, carilah kesedaran! Cungkillah keinsafan! Jangan buat sesuatu hanya kerana Ummi dan Abi nakkan begitu dan begini. Biar ia datang dari kesedaran dan keinsafan diri sendiri…”

Semua terdiam dan Ummipun turut menoktahkan leteran. Ummi pandang Along. Along tertunduk diam. Ummi pandang Angah. Angah terkedu insaf.

Terimakasih Abi. Mudah-mudahan seperenggan nasihat dan ungkapan dari Abi itu akan menjadi titik permulaan ke arah sebuah perubahan nilai yang diharapkan…

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

*************************************************************************************

Khamis, 21 Mei 2009

Anakku Sazali?

Assalamualaikum.

“Doktor, Makcik nak cerita kat doktor pasal anak makcik ni. Maaf ya doktor. Makcik rasa sedih sangat ni. Doktor ada masa ke?”

Luah seorang makcik padaku di pagi ini, usai sesi konsultansi dan rawatan terhadap beliau.

Ummi dah cukup biasa dengan makcik ini. Memang setiap kali ke klinik, beliau akan meminta izin dari Ummi untuk mengambil sedikit masa bagi meluahkan perasaannya apabila ditimpa masalah. Beliau adalah pesakit migrain yang kronik, serupalah dengan doktor peribadinya. Maka kami memang saling faham-memahami…:)

Memahami akan kehendak seorang pesakit yang sekadar ingin meluahkan perasaan, maka kuberikan kesempatan untuknya meluahkan gejolak yang dirasai.

“Doktor, makcik ni ada 12 orang anak. Masa anak-anak masih kecil, makcik buat segala kerja untuk membesarkan anak-anak. Suami makcik polis. Berapa sangatlah gajinya. Sedangkan anak kami ramai…”

Terdiam seketika makcik itu dari berkata-kata. Ummi cukup memahami. Beliau cuba mengawal airmatanya dari menitis…

“Sekarang, anak makcik dah senang-lenang. Betul ni doktor. Anak-anak makcik kebanyakannya kerja besar-besar dan gaji besar-besar. Tapi makcik sedih doktor…”

Kali ini makcik di hadapanku tidak lagi dapat mengawal kesedihannya. Bukan setakat dia. Diriku sendiri hampir mengalirkan airmata melihat kesedihannya walaupun cerita belum sampai ke hujung pangkalnya lagi.

“Paling makcik sedih…anak makcik yang kerja di Sudan. Doktor tau, gajinya 40 ribu sebulan! Tapi ya Allah…sayangnya dia nak hulurkan sesen dua pada makcik hanya Allah yang tahu.”

Terdiam lagi dia…

“Semalam dia balik ke rumah makcik. Makcik minta duit untuk belanja, dikatanya pada makcik, mak nak buat apa duit banyak-banyak? Sambil dihulurnya pada makcik duit sebanyak RM100.”

“Doktor tahu? Makcik rasa nak koyak-koyakkan duit tu di hadapannya! Ya Allah…makcik ingat lagi waktu dia kecik-kecik dulu, rapatnya dia dengan makcik dan adik-beradik tapi bila dah kahwin, macam ni jadinya. Entah apa yang bini dia kasik makan kat anak makcik, makcikpun tak tau!”

“Padahal dulu makcik sanggup ambik upah basuh kain di rumah orang, jadi amah dan macam-macam lagi untuk membesarkan anak-anak. Sudahnya, anak-anak tak sanggup pula nak menjaga maknya di masa tua.”

Ya Allah! Satu adegan yang selama ini dirasakan hanya dalam bentuk lakonan tetapi rupanya ia benar-benar berlaku di sekeliling kita.

Marilah kita mengambil iktibar dari kisah benar ini dan sama-samalah kita menghayati segala apa yang tersirat di sebalik apa yang tersurat di dalam artikel tulisan Ustaz Zaharudin bertajuk Adakah Si Kaya Ini Gila Atau Kita Yang Mabuk?



*************************************************************************************

Ahad, 10 Mei 2009

Selamat Hari Ibu: Redhakah Ibu?

Assalamualaikum.

“Makcik, makcik kena banyak berehat ya. Sakit-sakit badan makcik ni kemungkinan disebabkan rehat yang tak cukup. InsyaAllah, kalau cukup rehat, masalah sakit badan makcik ni akan berkurangan.”

Kata-kata nasihat yang selalu ku ulangi buat nenek yang datang dengan masalah sakit-sakit badan.

“Macamana nak rehat doktor. Makcik kena jaga cucu.”

“Makcik jaga cucu? Maknya mana?”

“Maknya kerja. Siapa lagi nak jaga budak ni kalau bukan tok (nenek) nya.”

“Isyhh, larat lagi ke makcik?”

“Larat tak larat, nak buat camana doktor. Nak ambik orang gaji, maknya tak percaya. Tahu-tahu jelah zaman sekarang. Macam-macam boleh jadi.”

“Habis tu, makcik memang redhalah jaga cucu ni?”

“Isyyh doktor ni. Kalau ikutkan hati, memanglah umur makcik ni dah sepatutnya berehat. Dulu makcik jaga anak dari kecik sampai besar. Ingat dah tua-tua, bolehlah rehat. Rupanya zaman sekarang ni, dah lain pula. Tua-tua, kena jaga cucu pulak!”

Hik,hik,hik….Masih terngiang-ngiang di telinga Ummi suara ‘ketawa dalam tangisan’ seorang makcik di klinikku. Bukan! Bukan seorang ! Bukan juga dua! Malah ramai yang memberikan respons yang sedemikian.

Jauh di hati kecil Ummi, Ummi tertanya-tanya adakah ibu-ibu ini redha terhadap anak-anak mereka?

Memang benar, tiada ibu yang akan menafikan kehendak anak-anak mereka untuk menitipkan cucu-cucu kesayangan di bawah jagaan nenek. Lebih terjamin keselamatannya dan lebih terungkap kasihsayangnya.

Namun tidakkah terfikir oleh kita, betapa ibu-ibu yang telah lanjut usianya ini terpaksa mengorbankan masa dan tenaga yang hanya tinggal beberapa kerat sahaja lagi itu untuk anak-anak yang di bawah tanggungjawab kita? Betapa usia-usia tua yang sepatutnya digunakan untuk beramal ibadat atau menadah kitab mencari ilmu dalam kedamaian telah diganggu-gugat pula oleh kehadiran cucu-cucu yang diletakkan di atas pundak kepala mereka, seolah-olah carta kehidupan mereka telah kembali bermula dari A sedangkan usia dan tenaga mereka telahpun menghampiri ke penghujung Z!

Sungguh Ummi risau akan keadaan sedemikian. Redhakah mereka terhadap kita, anak-anak di zaman moden ini?

Mengapa tidak kita fikirkan suatu kaedah yang lain dalam menyelesaikan masalah penjagaan anak-anak di masa kita bekerja? Mengapa tidak kita korbankan sesuatu demi kerehatan dan keredhaan ibu-ibu kita?

Fikir-fikirkanlah….

Lagi menyedihkan apabila seorang anak datang ke klinik, membentak-bentak si ibu tua dan menyalah-nyalahkan si ibu tua apabila si kecilnya demam, sakit, tertelan sesuatu, allergik dan sebagainya! Betapa teganya mereka menyalahkan si ibu tua yang selama ini telah mengorbankan segala-galanya dalam mendidik dan mengasuh diri mereka semenjak dari mereka kecil sehingga berjaya, yang kemudiannya dilangsungkan pula tugasan yang sama terhadap cucu-cucunya!

Ya Allah, memang benarlah antara tanda-tanda akhir zaman adalah - ibu melahirkan tuan!

Anak-anak di zaman ini bukan lagi bersikap sebagaimana sikap seorang anak terhadap seorang ibu tetapi rata-ratanya bersikap sebagai tuan terhadap ibu-ibu mereka!

Mak 3 by you.

Oh Ibu,
Kukembalikan sajak nukilan dari anak-anak kecilku ini buatmu ibu,
Semoga dirimu sentiasa dilindungi Allah di bawah rahmat dan kasihsayangNya…

Sajak Dari Kakak by you.






*************************************************************************************

Isnin, 13 April 2009

Ucapkanlah Salam...

[1288.jpg]

“Selamat pagi doktor!”

“Wa’alai…..ehh…aha…ya. Selamat pagi, kak. Jemput duduk.”

‘Aik, macamana kakak ni? Seorang Melayu beragama Islam masuk ke bilik doktor tak ucap salam? Pulak tu, kita ni bukan kat negeri omputih pun. Hmm...entahlah…’ Hatiku berbisik.

Rugi kan? Bukankah salam itu merupakan satu doa? Assalamu'alaikum membawa maksud Selamat Sejahtera Ke Atasmu dan di sahut pula dengan doa untuk diri yang memberi salam tadi Wa’alaikummussalam yang membawa maksud Dan Selamat Sejahtera Juga Ke Atasmu.

Kalau sekadar ucapan selamat pagi, siapa yang mendapat mandapat manfaat dari ucapan tersebut? Nampaknya pagi sahaja le yang selamat. Tuan yang mengucap dan menerima ucapan tersebut belum tentu selamat. Alangkah ruginya.

Mula-mula menerima ucapan selamat pagi atau selamat petang, Ummipun jadi kelam-kabut. Tapi lama kelamaan bila dah selalu menghadapi suasana sebegini (suasana masyarakat yang semakin jauh dari kehidupan dan akhlak Islam), maka Ummi cuba dan akan terus mencuba untuk mengubah suasana.

“Selamat pagi doktor!”

“Selamat pagi…Jemput duduk ya kak…Assalamualaikum…”

Dapat juga kita memulakan ucapan doa untuknya, kan?

Kali ini Ummi nak kasi peluang kat Abi pulak untuk berceloteh. Dah lama kita tak dengar celoteh Abi, kan? Hmm..apa kata Abi?

**************************************************************

http://img513.imageshack.us/img513/3457/assalamualaikum2rt9.gif


Abi banyak berurusan dengan pekerja-pekerja asing seperti Bangladesh dan Indonesia. Kalau dibandingkan tiga negara antara Malaysia, Indonesia dan Bangladesh dalam hal memberi salam ini, ternyata jauh lebih baik Bangladesh. Boleh dikatakan setiap pekerja Bangladesh ketika masuk akan memberi salam, sedangkan pekerja Indonesia kalau dalam 100 orang hanya seorang yang beri salam. Pesakit Malaysia pula dalam 100, adalah lebih kurangdalam 20 orang yang memberi salam.

Berkenaan salam ini mengingatkan Abi ketika berkenalan dengan usrah semenjak tingkatan empat dahulu. Ia menjadi satu perkara yang ditekankan kepada ahli-ahli usrah sebagai mempraktikkan amalan sunnah Rasulullah SAW sehingga ia menjadi akhlak dan budaya kami ketika itu. Tidak kira bertemu siapa, kami akan 'berlawan' siapa dahulu memberi salam. Tak kira berjumpa dengan kawan-kawan, abang-abang atau adik-adik. Apatah lagi ketika berjumpa dengan guru-guru.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjIGUSHCzv-MZzMqZhodxgdWUf8fy0E0eqfHYArDxE5BFoDewOa023TbSu1Epru6PjZ50cQ6VVWAlhLB_-UTOIGUk72O5D-N8v-xGKED26F3loJsVJQlnCT-rLmutsDuRhxwsJH7UTlDL4/s400/assalamualaikum-sinchan.gif

Akhlak ini berterusan sehinggalah Abi berada di universiti. Malangnya ketika di universiti, ucapan sunnah dan ucapan ahli syurga ini menjadi semakin asing apabila semakin sedikit mereka yang melazimkannya. Ianya seolah-olah menjadi milik orang-orang tertentu sahaja. Apa yang dapat diperhatikan, salam hanya diberikan kepada sesama ahli usrah. Kalau berjumpa orang lain, tiada salam diberikan. Bila berjumpa di mana-mana, masing-masing cuba sedaya upaya untuk mengalihkan pandangan ke arah lain agar mata tidak bertemu mata. Macam tak kenal. Salam pun tak sanggup nak beri, tegur apatah lagi.

Bila ia tidak menjadi akhlak, maka ia menjadi satu paksaan untuk melaziminya. Ia sungguh berat dan 'memalukan'. Ucapan sunnah suatu yang memalukan?

Alangkah baiknya jika ucapan mulia ini diamalkan di hospital-hospital dengan didahulukan oleh doktor sendiri. Setiap pesakit yang dirawat, didahului dengan ucapan "Assalaamu 'alaikum" bila bertemu ketika melakukan 'ward round'. Beratkah?

http://dafrozzo.files.wordpress.com/2008/10/assalamualaikum.jpg

Abu Umammah RA meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang lebih dekat kepada Allah SWT adalah yang lebih dahulu memberi salam." (Musnad Ahmad, Abu Dawud, dan At Tirmidzi).

Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Salam adalah salah satu Asma' Allah SWT yang telah Allah turunkan ke bumi, maka tebarkanlah salam. Ketika seseorang memberi salam kepada yang lain, darjatnya ditinggikan di hadapan Allah. Jika jamaah suatu majlis tidak menjawab ucapan salamnya maka makhluk yang lebih baik dari merekalah (iaitu para malaikat) yang menjawab ucapan salam (itu).” (Musnad Al Bazar, Al Mu’jam Al Kabir oleh At Tabrani).

Selain daripada ia merupakan doa yang akan memberikan keselamatan dan mudah-mudahan akan cepat menyembuhkan penderitaan dan sakit tersebut, ia juga sesuai bagi orang yang berdiri atau berjalan memberikan salam kepada mereka yang duduk atau baring.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang berkenderaan mengucapkan salam kepada yang berjalan kaki dan yang berjalan kepada orang yang duduk dan yang sedikit mengucapkan kepada yang ramai." (Muttafaq alaih).

Bayangkanlah sekiranya ada 20 orang pesakit di dalam sesuatu wad itu, kita akan mendoakan 20 kali keselamatan kepada mereka, dan dengan sendirinya 20 kali darjatnya akan ditinggikan oleh Allah SWT, Subhanallah!

Ini juga akan membezakan kita sebagai doktor Islam sebenar dengan mereka yang lain. Ia akan menjadikan suasana kasih-sayang berlaku di dalam wad dan merapatkan hubungan antara doktor-pesakit-kakitangan dan bebanan kerja-kerja seharian akan menjadi ringan. Malah kerja-kerja yang dilaksanakan pastinya akan menjadi suatu yang menggembirakan. Ini merupakan janji dari Rasulullah SAW sendiri.

Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Kalian tak akan masuk syurga sampai kalian beriman dan saling mencintai. Maukah aku tunjukkan satu amalan bila dilakukan akan membuat kalian saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR Muslim dari Abi Hurairah).

Bila salam disebarkan, dengan sendiri perasaan dan hati-hati mereka disatukan. Akan tumbuh perasaan bahagia dan lapang dada. Malah mereka yang berselisihan dan tidak bertegur sapapun akan cair perasaan mereka dengan ucapan salam. Firman Allah yang bermaksud:
"Apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu datang kepadamu, maka katakanlah: “Salaamun alaikum". Tuhanmu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang, (iaitu) bahwasanya barang siapa yang berbuat kejahatan di antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."(Al An’aam : 54)

http://ikhwanul15.files.wordpress.com/2008/06/assalamualaikum.jpg

Oleh itu, marilah kita kembali kepada fitrah Islam, kembali kepada sunnah yang cukup mudah dengan menjadikan ucapan salam itu berada dibibir-bibir kita ketika bertemu, mudah-mudahan ia akan menjadi satu cara dakwah yang terbaik untuk mengembalikan mereka kepada Islam.

Janganlah sampai kerana 'ego' kita mengharapkan orang lain yang mendahulukan salam sehingga ucapan kebahagiaan ahli syurga itu mati bersama hilangnya segala janji Allah terhadap manfaat daripada ucapan salam itu sendiri. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Orang kikir yang sebenar-benarnya kikir ialah orang yang kikir dalam menyebarkan salam.”

Sekiranya kita ingin mendapatkan lebih ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT, ucapkanlah salam dengan ucapan yang sebaik-baiknya iaitu "Assalaamu 'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh".

Berdasarkan hadith dari Imran ibn Hussin r.a. yang berkata; "Telah datang seorang sahabat lelaki kepada Nabi SAW lalu memberi salam dengan berkata : "Assalamualaikum"; maka dijawab oleh baginda lalu sahabat itu pun duduk dalam majlis baginda maka bersabdalah Nabi SAW : “Sepuluh” . Kemudian datang lagi sahabat yang lain lalu memberi salam : "Assalamualaikum warahmatullah" maka dijawab salam tersebut sambil baginda bersabda : “Dua puluh” . Kemudian datang lagi sahabat yang lain lalu memberi salam: "Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh" lalu dibalas salamnya oleh baginda sambil bersabda : “Tiga puluh iaitu ganjaran pahala sebanyak tiga puluh kali ganda” (HR Abu Daud dan Tirmidzi dengan sanad yang sahih).

Meskipun memberi salam itu sunat sahaja hukumnya, namun kerana fadilat dan manfaatnya sangat besar sehingga sesiapa yang mendengar wajib untuk menjawabnya, maka rebutlah peluang yang Allah sediakan itu dalam usaha kita melengkapkan diri sebagai seorang da'i di jalan Allah.

*************************************************************************************

Selasa, 6 Januari 2009

Jeritan Hati...

Assalamualaikum.

Sepinya diri ini hanya Tuhan yang tahu. Ya Allah, baru beberapa hari terpisah dari kedua-dua anak lelakiku, sudah terasa gundah-gulana dan rindu-dendamnya. Rindu pada suara gelak-ketawa dan gurau-senda mereka, rindu pada keriuhan suasana keduanya berlumba-lumba menaiki anak tangga bersama Abi setiap kali pulang dari masjid, rindu pada usikan nakal mereka terhadap adik-adik perempuannya. Walhal perpisahan ini hanya sementara cuma dan perpisahan ini juga semata-mata demi jihad fisabilillah dalam mencari ilmu. Bukanpun perpisahan jasad untuk selama-lamanya.

Ya Allah, tak dapat kubayangkan betapa saudara- saudaraku seIslam nun di Palestin yang sedang menderita akibat peperangan yang Maha Zalim. Ibu terpisah selama-selamanya dari anak yang dikasihi, anak terpisah dari ayah tercinta, suami terpisah dari isteri tersayang...Ya Allah, untuk membayangkannyapun terasa luluh hati ini, apalagi buat bahu yang memikul!

Buatmu anak-anakku, tiada yang Ummi harapkan dari kalian melainkan engkau kelak pulang sebagai mujaddid di jalan Allah. Tiada ibu yang sanggup berpisah dari anak-anaknya, tiada bapa yang sanggup melepaskan pemergian buah hati mereka...kalaulah tidak kerana jihad ilmu yang menjadi tuntutan.

Betapa sedih dan pilunya hati kerana perpisahan ini, tak mungkin menyamai kesedihan dan kepiluan yang dirasai oleh mereka, anak-anak Palestin...




*************************************************************************************

Rabu, 26 November 2008

Antara Kejayaan Dan Kebahagiaan

Assalamualaikum.

Kali ini Ummi nak kongsikan ilmu yang Ummi dapat daripada Ucapan Perasmian Majlis Ihtifal SRIP Tahfiz baru-baru ini yang disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Khairuddin Aman Razali. Sangat menyentuh hati dan menjadi pedoman yang amat baik untuk kita para ibubapa dalam proses mendidik anak-anak. Inilah antara isi kandungan yang dapat Ummi petik dan diolah semula dengan lenggok gaya penulisan Ummi yang tersendiri..he,he. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan…

Semua Orang Nak Bahagia

Dalam kehidupan di dunia ini, tidak ada orang yang inginkan kecelakaan. Semua orang nakkan kebahagiaan. Antara cemerlang dan kecundang, semua orang inginkan kecemerlangan. Antara terbilang dan terkebelakang, semua orang nak jadi terbilang. Tiada siapa yang ingin kecundang dan tiada siapa yang ingin terkebelakang. Semua orang nak berjaya. Tetapi adakah kejayaan seseorang itu merupakan jaminan kebahagiaan? Dan apakah konsep kejayaan yang sebenarnya di dalam Islam?

Marilah sama-sama kita merenung hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bilamana mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalan kecuali 3 perkara (1) Sedekah jariah (2) Ilmu yang dimanfaatkan (3) Anak soleh yang berdoa untuknya.”

Rupanya tiga perkara itulah yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sebenar-benarnya. Antaranya ialah anak soleh yang akan mendoakan kita sesudah kita meninggalkan alam yang fana ini.

Mana Satu Pilihan Hati?

Cuba kita renung kepada 2 situasi ini :

Situasi 1 :

“Anak saya walaupun tak pandai baca qur’an dan selalu tinggal solat tapi bidang akademik cukup cemerlang. Exam UPSR baru-baru ni dapat 5A!”

Situasi 2 :

“Anak saya tak dapat 5A tapi baca qur’an, masyaAllah! Sembahyang tak pernah tinggal, hormat orang tua.”

Agaknya yang mana satu pilihan kita?

Dalam Islam, sudah tentulah situasi yang kedua itu yang akan menjamin kebahagiaan kita di alam akhirat kerana minima tanda aras kejayaan yang perlu kita tetapkan adalah untuk menjadikan anak-anak kita sebagai anak-anak yang soleh. Namun sebagai umat Islam yang cemerlang kita perlu berusaha sedaya upaya kita untuk melahirkan generasi yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Alangkah nikmatnya jika sekiranya kita mampu mewujudkan situasi yang ke-3 ini.

Situasi 3 :

“Anak saya, Alhamdulillah. Sembahyang cukup dijaga, mengaji lancar dan akademikpun cemerlang. UPSR baru-baru ni Alhamdulillah dapat 5A”

Walaubagaimanapun kita perlu menerima hakikat bahawa kadang-kadang tak semua anak kita ini menjadi dalam bidang akademik walaupun kita dan dia dah berusaha sedaya upaya. Ibarat setandan kelapa ; dalam 10 biji buah kelapa tu, kadang-kadang ada juga sebiji buah kelapa yang ‘komeng’ (tak elok). Ibarat buah nangka ; dalam banyak-banyak ulas, kadang-kadang tak semuanya manis, ada juga seulas dua yang masam.

Kesimpulannya, tak mungkin semua anak kita boleh menjadi ‘the best’ tetapi kita mesti berusaha membawa semua anak kita sekurang-kurangnya ke aras tanda minima proses pendidikan di dalam Islam iaitu untuk menjadikan anak-anak kita sebagai anak-anak yang soleh. Kita mesti berusaha ke arah itu walau bagaimana perit sekalipun!

Proses Pentarbiyahan

Kewujudan sekolah-sekolah Islam adalah sebagai salah satu usaha ke arah mewujudkan suasana atau bi’ah yang soleh. Dalam usaha kita mendidik anak-anak ke arah menjadi anak-anak yang soleh, sudah pasti environment (suasana) memainkan peranan yang amat penting.

Dalam proses pendidikan anak-anak atau dalam bahasa Arabnya disebut tarbiyyah, anak-anak akan melalui beberapa proses atau peringkat pentarbiyahan. Bermula dari kemampuan bayi untuk mendengar, diikuti dengan kemampuannya untuk melihat dan akhir sekali kemampuannya untuk berfikir atau merasa dengan hati. Setiap proses yang dilalui ini memerlukan sokongan (support). Sokongan inilah yang dinamakan tarbiyyah.

Bermula daripada anak dilahirkan, tarbiyyah paling awal adalah dengan mendengarkannya laungan azan atau iqamat dan seterusnya memperdengarkannya perkataan-perkataan atau bunyi-bunyi yang elok. Apabila anak sudah mampu melihat, tarbiyyah kita adalah menunjukkannya benda-benda yang baik dan perkara-perkara yang baik. Apabila anak sudah boleh berfikir, di sinilah bermulanya proses tarbiyyah yang agak berat kerana setiap apa yang diperdengarkan dan setiap apa yang diperlihatkan akan memberi kesan yang mendalam kepada pertarbiyahan diri mereka. Elok input yang diterima, maka InsyaAllah eloklah output yang akan terhasil.

Ibubapa juga harus memahami bahawa proses pentarbiyahan ini adalah bersifat global. Pendidikan bukan bersifat sebahagian. Ia bersifat menyeluruh! Oleh kerana itu amatlah tidak wajar jika sekiranya para ibubapa hanya mengharapkan pihak sekolah untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan adalah sesuatu yang bersifat berterusan.

Bagaimana mungkin anak yang soleh akan terbentuk jika di satu pihak membina dan di satu pihak yang lain bertindak meruntuhkan apa yang telah dibina. Di sekolah anak di ajar mengaji, di rumah senaskhah al-qur’anpun tak disediakan. Di sekolah anak diajar nasyid, di rumah lagu-lagu rock yang berkumandang. Di sekolah anak bertudung litup, di rumah aurat anak tak terjaga. Di sekolah anak ditegah dari menonton televisyen, di rumah tv dan astro terpasang sepanjang siang dan malam! Ringkasnya, di sekolah amalan Islam diterapkan, di rumah amalan jahiliyah pula yang mengambil alih!

Lantaran itu, marilah kita bekerjasama dalam memberikan tarbiyyah yang terbaik buat anak-anak kita. Sediakan untuk mereka bi’ah (suasana) yang soleh sepanjang masa kerana proses pentarbiyahan adalah proses yang berterusan bermula dari mereka mencelikkan mata di pagi hari sehingga di waktu tidurpun, proses pentarbiyahan tetap berjalan.

Mudah-mudahan anak-anak kita nanti akan menjadi seorang insan yang BERJAYA dan BERBAHAGIA. Bahagia untuk dirinya, juga bahagia untuk kedua ibubapanya di dunia dan di akhirat yang kekal abadi. InsyaAllah…

*************************************************************************************