Memaparkan catatan dengan label Tazkirah: Redhakah Ibu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah: Redhakah Ibu. Papar semua catatan

Ahad, 10 Mei 2009

Selamat Hari Ibu: Redhakah Ibu?

Assalamualaikum.

“Makcik, makcik kena banyak berehat ya. Sakit-sakit badan makcik ni kemungkinan disebabkan rehat yang tak cukup. InsyaAllah, kalau cukup rehat, masalah sakit badan makcik ni akan berkurangan.”

Kata-kata nasihat yang selalu ku ulangi buat nenek yang datang dengan masalah sakit-sakit badan.

“Macamana nak rehat doktor. Makcik kena jaga cucu.”

“Makcik jaga cucu? Maknya mana?”

“Maknya kerja. Siapa lagi nak jaga budak ni kalau bukan tok (nenek) nya.”

“Isyhh, larat lagi ke makcik?”

“Larat tak larat, nak buat camana doktor. Nak ambik orang gaji, maknya tak percaya. Tahu-tahu jelah zaman sekarang. Macam-macam boleh jadi.”

“Habis tu, makcik memang redhalah jaga cucu ni?”

“Isyyh doktor ni. Kalau ikutkan hati, memanglah umur makcik ni dah sepatutnya berehat. Dulu makcik jaga anak dari kecik sampai besar. Ingat dah tua-tua, bolehlah rehat. Rupanya zaman sekarang ni, dah lain pula. Tua-tua, kena jaga cucu pulak!”

Hik,hik,hik….Masih terngiang-ngiang di telinga Ummi suara ‘ketawa dalam tangisan’ seorang makcik di klinikku. Bukan! Bukan seorang ! Bukan juga dua! Malah ramai yang memberikan respons yang sedemikian.

Jauh di hati kecil Ummi, Ummi tertanya-tanya adakah ibu-ibu ini redha terhadap anak-anak mereka?

Memang benar, tiada ibu yang akan menafikan kehendak anak-anak mereka untuk menitipkan cucu-cucu kesayangan di bawah jagaan nenek. Lebih terjamin keselamatannya dan lebih terungkap kasihsayangnya.

Namun tidakkah terfikir oleh kita, betapa ibu-ibu yang telah lanjut usianya ini terpaksa mengorbankan masa dan tenaga yang hanya tinggal beberapa kerat sahaja lagi itu untuk anak-anak yang di bawah tanggungjawab kita? Betapa usia-usia tua yang sepatutnya digunakan untuk beramal ibadat atau menadah kitab mencari ilmu dalam kedamaian telah diganggu-gugat pula oleh kehadiran cucu-cucu yang diletakkan di atas pundak kepala mereka, seolah-olah carta kehidupan mereka telah kembali bermula dari A sedangkan usia dan tenaga mereka telahpun menghampiri ke penghujung Z!

Sungguh Ummi risau akan keadaan sedemikian. Redhakah mereka terhadap kita, anak-anak di zaman moden ini?

Mengapa tidak kita fikirkan suatu kaedah yang lain dalam menyelesaikan masalah penjagaan anak-anak di masa kita bekerja? Mengapa tidak kita korbankan sesuatu demi kerehatan dan keredhaan ibu-ibu kita?

Fikir-fikirkanlah….

Lagi menyedihkan apabila seorang anak datang ke klinik, membentak-bentak si ibu tua dan menyalah-nyalahkan si ibu tua apabila si kecilnya demam, sakit, tertelan sesuatu, allergik dan sebagainya! Betapa teganya mereka menyalahkan si ibu tua yang selama ini telah mengorbankan segala-galanya dalam mendidik dan mengasuh diri mereka semenjak dari mereka kecil sehingga berjaya, yang kemudiannya dilangsungkan pula tugasan yang sama terhadap cucu-cucunya!

Ya Allah, memang benarlah antara tanda-tanda akhir zaman adalah - ibu melahirkan tuan!

Anak-anak di zaman ini bukan lagi bersikap sebagaimana sikap seorang anak terhadap seorang ibu tetapi rata-ratanya bersikap sebagai tuan terhadap ibu-ibu mereka!

Mak 3 by you.

Oh Ibu,
Kukembalikan sajak nukilan dari anak-anak kecilku ini buatmu ibu,
Semoga dirimu sentiasa dilindungi Allah di bawah rahmat dan kasihsayangNya…

Sajak Dari Kakak by you.






*************************************************************************************