Memaparkan catatan dengan label Penyakit: Keguguran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penyakit: Keguguran. Papar semua catatan

Khamis, 2 Julai 2009

"Saya Gugur Lagi, Doktor!"

Assalamualaikum.

Hai, akhir-akhir ini ramai betul pesakit Ummi yang datang kerana masalah keguguran. Sesetengah tu dah berulangkali keguguran, sampai langsung tidak ada kandungan yang bertahan walaupun dah disahkan hamil setiap tahun! Banyak persoalan yang dikemukan kepada Ummi.

“Doktor, kenapa saya selalu keguguran?”

“Doktor, apa sebab janin saya tak dapat bertahan?’


“Doktor, apa yang patut saya lakukan agar kandungan saya tidak gugur?’


“Doktor, saya keguguran ni berpunca dari makanan ke?”


“Doktor, ada harapan lagi ke untuk saya hamil selepas ini?”


“Doktor, berapa lama saya boleh hamil semula selepas keguguran?


“Doktor, boleh tak kalau saya tak nak cuci?”


Fuh! Macam-macam bentuk soalan. Ingat senang apa jadi doktor? Itu pasal setiap hari para doktor ni bila datang kerja kena dalam keadaan sentiasa bersedia serta sihat badan, akal dan fikiran. Cuba bayangkan kalau doktor tengah sakit kepala, atau demam, atau apa-apa sahaja gangguan kesihatan, tiba-tiba diajukan seribu satu persoalan sedemikian. Kalau seorang dua pesakit aja yang banyak tanya, okaylah juga. Dibuatnya 20 pesakit yang datang semua jenis banyak bertanya? Mau menjerit sorang-sorang doktor tu nanti…he,he. Ummi tak pernah sampai ke peringkat jerit sorang-sorang lagi tau!

Nak Ummi jawab soalan-soalan di atas? Ni Ummi quote satu soalan yang diajukan kepada doktor pakar kita, Dr Hamid Arsyat berkaitan keguguran…

KEGUGURAN

Soalan

Saya berumur 28 tahun, mempunyai anak yang berumur 5 tahun dan 3 tahun. Baru-baru ini saya keguguran ketika usia kandungan saya 3 bulan. Doktor yang merawat saya menyatakan jenis keguguran itu sebagai "miss abortion". Boleh doktor terangkan apakah itu miss abortion? Saya bercadang untuk mengandung lagi. Perlukah saya berehat dahulu beberapa bulan sebelum saya boleh kembali hamil?

Jawapan

Tentang missed-abortion ini, ia adalah satu jenis keguguran yang berlaku secara spontan. Biasanya keguguran mungkin disebabkan oleh baka atau kromosom yang agak luar biasa pada janin. Oleh itu ia tidak boleh membesar dan berkembang seperti biasa. Mungkin juga ia disebabkan oleh faktor yang lain seperti kurang hormon atau jangkitan kuman yang terus merosakkan janin. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada keguguran ini kita tidak tahu apa puncanya.

Missed abortion atau miscarriage ialah satu rangkai kata yang bererti bahawa keguguran ini berlaku secara spontan dan kehamilan tidak boleh diteruskan, serta rahim perlu dicuci (D&C) untuk membersihkan dari tisu dan darah dalam kandungan.

Kebanyakan wanita akan mengalami satu atau dua kali keguguran dalam hidup mereka dan ini jarang menjejaskan kesuburan mereka di masa hadapan. Tetapi jika ia berulangkali berlaku dan berturut-turut tiga kali atau lebih, ini merupakan satu masalah yang perlu disiasat dengan lebih lanjut lagi bagi mengesan apa puncanya dan rawatan sewajar perlu diberikan.

Bagi puan, eloklah :

1. Rehat selama tiga bulan (jangan hamil dulu…)

2. Dalam masa tiga bulan ini makanlah makanan yang baik, berkhasiat dan seimbang


3. Tenangkan fikiran


4. Banyakkan ibadah dan berdoa kepada Allah


5. Makan multivitamin dan folik asid secara terus menerus untuk mencegah daripada kecacatan janin


6. Jangan lupa setiap malam sebelum tidur bacalah surah Al-Fatehah dan ayat Al-Qursi


7. Juga jangan lupa membaca doa sebelum melakukan persetubuhan


8. Apabila mengandung di peringkat awal jumpalah dengan doktor pakar kebidanan untuk mendapatkan rawatan sokongan bagi mencegah berlakunya keguguran yang berulangkali.

Jenis-Jenis Keguguran

1. Threatened Abortion :

Ini mungkin hanya ancaman sahaja (threatened abortion). Sebenarnya janin masih hidup dan boleh membesar lagi. Pendarahan berlaku mungkin disebabkan oleh pendarahan daripada uri akibat daripada kuncupan rahim yang biasanya ditimbulkan oleh sebab tekanan fisikal dan mental, faktor kekurangan hormon atau kedudukan uri yang agak dekat dengan pintu rahim. Rawatan bagi keadaan ini ialah rehat sepenuhnya, ubat hormon diberi secara suntikan atau tablet, jauhkan dari hubungan suami-isteri dan tenangkan fikiran.

2. Missed Abortion :

Keguguran jenis ini boleh menyebabkan kematian janin iaitu apa yang digelar sebagai missed abortion. Kadangkala pendarahan tidak banyak dan biasanya tanda-tanda hamil seperti loya dan muntah, bengkak buah dada agak berkurangan atau tiada langsung. Bila dibuat scanning ultrasound, biasanya tiada janin dikesan dalam karung kandungan atau mungkin terdapat segumpal daging janin tetapi tanpa denyutan jantung lagi. Dalam keadaan ini (missed abortion) memerlukan rahim dicuci melalui proses D & C.

3. Complete Abortion :

Keguguran juga mungkin telah berlaku dengan sepenuhnya (complete abortion) di mana segala isi kandungan, uri dan janinnya telah keluar keseluruhannya daripada rahim. Biasanya pesakit akan merasai kesakitan yang amat sangat dan akan melihat ketulan darah dan tisu yang keluar daripada kemaluannya. Apabila dibuat pemeriksaan ultrasound scanning, rahim telah menjadi kosong daripada sisa-sisa kandungan.

4. Incomplete Abortion :

Keguguran juga mungkin tidak sempurna (incomplete abortion) di mana sebahagian sahaja daripada tisu kandungan telah keluar dan sebahagiannya tertinggal dalam rahim. Ini boleh disahkan melalui ultrasound scanning dan dalam keadaan ini biasanya rahim perlu dibersihkan melalui tatacara D & C.

You got something? Daaa….jumpa lagi...he,he…banyak ayat rock pulak dah akhir-akhir ni. Dah mula nak ‘buang tabiat’. Betullah tu! Memang patut dibuangpun tabiat yang tak elok…kan,kan? Ha,ha…

Wassalam.

Rujukan : http://www.hamidarshat.com/

*************************************************************************************