Memaparkan catatan dengan label Smaasza. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Smaasza. Papar semua catatan

Isnin, 16 April 2018

Kawan Sejati Atiqah

Assalamualaikum.

Testing pos gambar Atiqah bersama kawan sejatinya dunia dan akhirat InsyaAllah, Hanin dan Abby 😍

Rabu, 25 Januari 2017

Atiqah Oh Atiqah

Assalamualaikum.

19 Jan 2016 - Atiqah balik kampung lagi hari ni. Amboi! Acap bebenar sekolah kasi balik...hihi. Alhamdulillah. Terimakasih buat pihak pengurusan Smaasza yang membenarkan anak-anak Tingkatan 1 balik lagi minggu ni. Dapat jugak bantu anak-anak ubati homesick. Atiqah memang happy sangatlah haa...

Tu haa...tersenyum bahagia..hihi..
Seperti biasa, lepas ambik Atiqah singgah klinik dulu untuk kerja sesi petang. Kakaknya dah siap bawak baju baru untuk Atiqah tukar di klinik. Di Smaasza rupanya tak boleh pakai jubah. Hanya baju kurung yang dibenarkan. Tak taulah kenapa. Mungkin agaknya jubah zaman moden ni seksi dan seksa sangat. Ni yang Ummi orderkan online baju kurung untuk Atiqah.

Alhamdulillah...ngam dengan Atiqah.
Rutin biasa jugak, habis klinik singgah makan di Restoran Biku-Biku! Kat sini memang best masakan westernnya. Harganya pun tak mahal. Boleh pilih nak saiz kecik ke besar. Tu yang suka sangat datang sini.

Sementara menunggu hidangan sampai, kakak hafaz qur'an dulu. Alhamdulillah...

Atiqahpun sama...sedang bertasmi' dengan Abinya.
Alhamdulillah...mudah-mudahan kita semua jadi insan yang sentiasa mencintai ayat-ayat Allah. Dalam masa cuti 2 hari ni nampak sangat Atiqah dah tak sedih macam mula-mula masuk asrama. Dah boleh adaptpun dengan kehidupan di asrama. Lega sangat Ummi rasa. Atiqahpun bersemangat menghafaz di rumah.

Nak sangat tengok anak-anak Ummi jadi insan yang faqeh dalam agama. Smaasza - Di sini lahirnya ulama' dan umara'!
Hari Sabtu - masanya untuk hantar Atiqah balik ke asrama. Tenang jer Atiqah kali ni. Alhamdulillah. Tak sedih lagi dah. Agaknya bila kat sekolah dah mula banyak aktiviti, anak-anakpun dah mula dapat melupakan rasa sedih tu. Jadi nasihat Ummi pada mak ayah yang hadapi masalah anak-anak homesick ni, bersabarlah. Jangan dilayan kehendak anak nak bertukar ke sekolah harian. InsyaAllah masa yang berlalu akan mengubat segala-galanya. Nak kena sabar jer dulu.

Atiqah bergambar bersama Huda. Huda nipun ada ura-ura nak tukar sekolah jugak sebab homesick. Harap sangat Huda dapat bertahan.

Bagus konsep asrama dalam taman ni. InsyaAllah nanti Atiqahpun akan menghayati falsafah ini - asramaku, rumahku, syurgaku...

Alalala...sian Abi kena tunggu kat luar sorang-sorang. Abi tak boleh masuk ke asrama puteri.
Kali ni kitaorang dapat tinggalkan Atiqah tanpa rasa terkilan sebab Atiqah dah balik kepada sifat asalnya - happy go lucky! Mabruk Atiqah....cam tu lah anak Ummi.

24 Jan 2017 - Buat lawatan mengejut ke Smaasza. Bukan hari lawatanpun tapi urgently nak kena ambik IC Atiqah untuk permohonan hadiah anugerah kecemerlangan 6A UPSR 2016. Ada ke patut JPN singkirkan anak-anak cemerlang dari sekolah swasta untuk terima anugerah tu Khamis ni. Tak pasal-pasal anak-anak dari sekolah swasta nak kena buat surat untuk terima hadiah kecemerlangan tu. Terasa sangat di anaktirikan walhal anak-anak sekolah swasta ni turut menyumbang kepada kecemerlangan negeri. Aduhai negeriku...malulah kalau benda-benda ginipun nak dipolitikkan.


Ummi sempat beli roti dan kek jer habis klinik tadi untuk Atiqah.

Sebelum balik, bergambar dulu depan bunting - Yes! Kita kena jadi orang yang BERANI, JUJUR & HEBAT!

Bye bye Ummi, bye bye Abi...hahaha...kakak rindukan saat-saat dia lambai Ummi Abi setiap kali hantar dia ke asrama...Tu numpang Atiqah bye bye :-D
Bye bye Atiqah...Jadi anak soleh yang cemerlang dunia dan akhirat ya. Ummi Abi sentiasa mendoakan anak- anak. InsyaAllah faqeh belaka anak-anak Ummi Abi dalam agama. Moga kelak jadi orang yang bermanfaat bagi orang lain kerana itulah sebaik-baik manusia.

Diriwayatkan dari Jabir berkata, "Rasulullah SAW bersabda ; "Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia." (HR Thabrani dan Daruquthni)

Ahad, 15 Januari 2017

Atiqah Dapat Kelas Tamayyuz!

15 Jan 2017 - Jam 1.46 petang, Ummi terima panggilan dari Atiqah. Ayat pertama Atiqah, "Ummi, Atiqah dah tahu Atiqah kelas mana."...dengan suara penuh ceria. Terus Atiqah memaklumkan yang Atiqah ditempatkan di kelas pertama. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Ini bermakna Atiqah berjaya menduduki kelas tamayyuz hasil ujian dan peperiksaan yang diadakan pada minggu lepas. Di Smaasza, hanya pelajar-pelajar terpilih untuk kelas pertama yang akan diterima mengikuti hafazan al Qur'an. AllahuAkbar! Atiqah dah tunaikan janjinya untuk fight for tamayyuz class di Smaasza. Tahniah Atiqah! Ummi, Abi, abang-abang dan kakak-kakak bangga dengan Atiqah.

 


Semoga dirimu terus cemerlang di dunia dan di akhirat
Atiqah belajar betul-betul di sana ya. Hafaz sungguh-sungguh. Besar sangat ganjaran orang yang hafaz qur'an ni.

Ganjaran di dunia
  • Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)
  • Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)
  • Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.
“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)
  • Al-Quran menjanjikan kebaikan.
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat
  • Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.
Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
  • Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)
  • Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)
Mabruk Atiqah! Ummi sentiasa doakan semoga Allah lapangkan hati anak-anak Ummi dalam menuntut ilmu, kuatkan ingatan anak-anak Ummi dalam menghafaz ayat-ayatNya dan jadikan anak-anak Ummi orang yang faqeh dalam agama. Aamiin ya Rabbal'alamin.

Atiqah Balik Kampung!

Assalamualaikum.

12 Jan 2017 - Alhamdulillah, hari ni Atiqah balik kampung setelah seminggu berorientasi! Ceria habis suara Atiqah bila telefon Ummi tanya nak datang ambik pukul berapa tadi. Ummi, Abi dan kakakpun bersemangat nak ambik Atiqah...hehe.

Sampai di asrama, kakak ditegur oleh sorang pelajar di sana. "Eh, Kak Amirah ke ni?" Rupanya kawan Aisyah, Izzah yang tegur kakak. Ex SRIP Tahfiz. Ingat lagi Izzah pada Kak Amirah ya.

Haa tu dia...bawak balik beg macam dah tak nak datang balik ke asrama dah...hihi.

Atiqah bersama Wahidah dan sorang lagi kawannya. Lupa pulak Ummi nama kawan Atiqah sorang lagi ni. Atiqah dah dapat buku teks. Patutlah banyak yang di bawa balik. Nak sampul buku di rumah rupanya.
Happynya dapat naik Serena semula. Siap tayang buku balik kampung dia...haha.

Balik ambik Atiqah, singgah klinik dulu untuk tugasan sesi petang di klinik. Tak jumpa rumah lagilah ni. Time tak der patient, sempat lagi kakak ajak main doktor-doktor...hihi. Saja nak posing. InsyaAllah semoga tercapai cita-cita kakak untuk jadi doktor nanti. Boleh ganti tugas Ummi di Klinik Ummi pulak, InsyaAllah.

Habis sesi klinik, Abi menghala ke Restoran Terowong Corner, nak ajak Atiqah makan-makan dulu. Tutup pulak lagi restoran ni.

Akhirnya Restoran Biku-Biku menjadi pilihan. Jamu dengan lamb chop dulu hari pertama balik kampung. Lepas ni kita makan airtangan Ummilah pulak ya :-D
14 Jan 2017 - Khamis sampai Sabtu Atiqah di rumah. Tiba hari Sabtu dah datang pulak sedihnya sebab nak balik ke asrama semula. Alahai Atiqah. Tak habis-habis lagi homesick dia. Malam tadi dah baca artikel pasal nak mengatasi homesick. Bagus nasihat yang diberikan dalam blog hanacorner ni. Atiqah kena ingat nasihat dan panduan yang diberikan di situ, okay.

"Ummi, Ummi tulislah sesuatu kat frame ni. Nanti tiap-tiap pagi Atiqah nak baca. Biar hilang sikit rindu Atiqah." Hmmm...macam-macamlah Atiqah ni ya. Haa tu dia. Penuh frame Ummi tulis...hihi.

Kannn...dah moyok muka budak nak balik asrama ni..hihi. Atiqah oh Atiqah...

First thing yang Ummi request sesampainya kami di asrama, ambik gambar contoh baju PBSM Smaasza. Bukan apa. Nak tunjuk kat tukang jahit design baju ni. Kat kedai tak derlah pulak dijual baju pbsm design labuh gini. Ada tak ada, kena tempah jugak. Simple jer rupanya baju dia. Tak der poket bagai. Yg penting labuh sampai bawah lutut, berkolar dan bercuff serta belah tepi. Butang tu boleh aja pakai butang hitam besar atau butang balut kain putih.

Ni jadual balik kampung dan outing Atiqah. Terbaliklah pulak. Camana entah nak betulkan keterbalikan ni..hihi. Alhamdulillah Sabtu nanti Atiqah boleh outing pulak. Horey...nanti Ummi ambik Atiqah bawa balik rumah masa outing tu ya. Jangan homesick lagi...

Sambungannya...

Haaa cam tulah baru Ummi happy. Anak Ummi kena ceria-ceria selalu...

Yang pasti, paling ceria adalah kakaknya! Haha...apa taknya, cuti panjang di rumah habis SPM :-D
Begitulah al kisahnya Atiqah...

Malamnya kakak hantar satu tulisan dari somebody (Tak tercatat dari siapa) ke grup whatsapp family. Betul sangat nukilan tu. Ummi kongsikan di sini ya.

Being scolded by lecturers. Dying for high pointers. Hungry at the end of the semester. Endless night with books and notes.

At some points, you cried for a moment.

"I'm tired." "I can't do this anymore." But, know that there's two person patiently waiting for you at home. Praying for you. Hoping that someday you gonna make them proud.

That's it mate, this pain, this tears, this hardworks. It's gonna worth it.

Their smiles and their happiness, it's gonna worth it. It's priceless :')

They are not giving up on you. Then, don't give up on yourself. Slap yourself, shout to your heart. You gonna make it!




















Rabu, 11 Januari 2017

Day 3 Atiqah Di Smaasza

Assalamualaikum.

10 Jan 2017 - Jam 4.45 ptg, Ummi terima panggilan dari Atiqah yang menggunakan telefon awam yang tersedia di asrama. Inilah kali pertama Atiqah telefon sejak mendaftar. Angkat jer telefon, dah dengar suara Atiqah sebak. Allahu...

"Ummi, Atiqah rindu Ummi.."

Sedihnya Ummi dengar suara Atiqah. "Jangan gitu Atiqah. Atiqah kan kuat."

Dalam masa 10 minit menelefon, tahulah Ummi yang Atiqah cukup homesick selepas ditinggalkan hari tu. Jadual orientasi yang sangat pack menyebabkan masing-masing terkejar-kejar waktu. Pernah Atiqah tak sempat makan malam kerana bersiap mandi dulu sebelum ke dewan makan. Siap-siap dah sampai masa untuk berkumpul di surau. Akibatnya, Atiqah diserang gastrik. Kawan-kawan yang rapat pula ramai yang homesick. Bertambahlah lagi kesedihan di hatinya.

Selesai bercakap dengan Atiqah di telefon, Ummi ambil keputusan untuk ziarah Atiqah di sekolah sambil menghantar ubat gastrik. Atiqah tak mintak Ummi datangpun sebab lusa dah boleh balik katanya. Namun hati seorang ibu, macam-macam yang difikirkan. Dibuatnya melarat sakit Atiqah nanti? Dahlah esok ada ujian untuk penentuan kelas. Ada tak ada, Ummi pecut ambik Abi di klinik dan terus menuju ke Smaasza. Biarlah bukan waktu melawatpun. Harap pihak sekolah mengizinkan.

Tengok Atiqah tu...sampai jer Ummi Abi di asrama, terus teresak-esak menangis. Sedihnya...Allahu. Sabarlah anakku. Inilah ujiannya untuk jadi manusia berilmu. InsyaAllah masa yang berlalu akan beransur-ansur menghilangkan kesedihan itu. Lambat laun Atiqah pasti akan terbiasa dengan kehidupan di asrama.

Bertubi-tubi Ummi, Abi dan kakak memberikan motivasi pada Atiqah. Akhirnya nampak Atiqah mula tenang...Alhamdulillah. Cara-cara makan ubat gastrik di depan tupun dah diterangkan pada Atiqah.

Yakin! Haa...macam tulah anak Ummi :-D Atiqah perlu berjiwa besar untuk menjadi insan yang hebat!

Lega sikit nampak Atiqah dah mula ceria bersama kawan baiknya, Wahidah.

Berjalanlah menuju kejayaan wahai anakku. Ummi percaya segala halangan dan rintangan yang bakal dilalui akan mematangkan Atiqah dan seterusnya menjadikan Atiqah seorang insan yang berjiwa besar.

Percayalah....Atiqah pasti akan jadi insan yang hebat di sini! Ummi, Abi, Along, Angah, Kakak, Kak Aisyah...semuanya melalui cabaran yang sama sebelum berjaya. Yang penting, hadapinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

If you feel that you're very down, just close your eyes and say "This is my journey. He puts me here. It's His plan. So I have just to carry on and trust Him."

"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya..." (Al Baqarah :286)

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah Allah menguji kita kerana Dia sangat kasih kepada kita. Sekarang Atiqah diuji dengan kesedihan kerana berpisah dengan keluarga, namun yakinlah di sebalik kesedihan itu pasti akan ada kegembiraan.

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya : "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)" (Al-Baqarah :214)

Lantaran itu, bersyukur dan berbahagialah wahai anakku kerana ujian kesedihan sementara yang Allah kurniakan ini adalah sesungguhnya hadiah daripada Allah untuk nanti Atiqah benar-benar mengecapi nikmat kegembiraan apabila tiba saatnya...

Selasa, 10 Januari 2017

Selamat Berjuang Atiqah!

Assalamualaikum.

8 Januari 2017 - Bermula kehidupan baru buat anak bongsu Ummi, Atiqah Maisarah. Awal-awal pagi lagi Atiqah dah mula bersiap untuk pendaftaran ke Sekolah Berasrama Penuh, SMAASZA yang bakal mencorak masa depannya kelak.

Sungguh pemilihan sekolah yang dibuat oleh Atiqah kali ini agak mengejutkan Ummi. Atiqah tolak tawaran ke Imtiaz Kemaman dan memilih Smaasza! Walhal dia boleh berteman dengan kakaknya, Aisyah Farihah di Imtiaz Kemaman dan prasarana di Imtiaz juga jauh lebih selesa. Ummi sekeluarga pasrah dengan keputusan akhir Atiqah, hasil petunjuk dari istikharahnya. InsyaAllah tidak menyesal keputusan yang dibuat hasil petunjuk dari Allah SWT. Ada keberkatannya di situ, InsyaAllah.

Dengan wajah penuh ceria, Atiqah menyarung kasut barunya untuk ke sekolah. Tudung dan baju kurung hijau, kain dan kasut hitam - itulah pakaian seragam Smaasza.

Bergambar sebelum memulakan perjalanan. Kali ini kakaknya, Amirah Zahidah berpeluang menemani adiknya mendaftar di asrama kerana sedang bercuti menunggu keputusan peperiksaan SPM.
Atiqah ditempatkan di Tingkatan 1 Abu Bakar. Pendaftaran di adakan mengikut kelas.

Selesai penyerahan borang pendaftaran, Atiqah beratur untuk pendaftaran kelab.

Sekali lagi kami terkejut dengan pilihan Atiqah. Kelab Pencegahan Jenayah telah menjadi pilihan utamanya. Waduh! Jiwa kental sungguh anak bongsu ummi ni.

Seterusnya menunggu giliran untuk pendaftaran rumah sukan.

Ketawa Abi dengar rekomen anak-anak Smaasza rumah sukan mana yang terbaik...

Akhirnya Rumah Sukan Kuning menjadi pilihan Atiqah! Memang Atiqah suka warna kuningpun..hehe..

Seriusnya Ummi Abi menyemak carta pendaftaran, bimbang tertinggal mana-mana kaunter.

Apa lagilah masalahnya tu...hihi..

Dah complete semua kaunter, bergambar dululah sekali dengan Atiqah di meja tukang jahit yang belum tiba. Atiqah pegang kain batik untuk dijahit baju kurung bagi penggunaan outing.

Keluar dari kaunter tukang jahit, terserempak pula dengan sahabiah Papisma, Dr Ji! MasyaAllah...sukanya hati bila tahu anak Dr Ji pun sekelas dengan Atiqah. Tak sangka masing-masing anak dapat berteman di sini. Indahnya aturan Allah.

Jam 11 pagi - aturcara majlis di dewan besar bermula.

Tuan Pengetua menyampaikan ucapan. Antara yang diperkatakan, motto Smaasza adalah melahirkan ulama' dan umara'. Allahu...patutlah di sini lahirnya ramai pemimpin dan ulamak yang hebat. Antaranya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Almarhum Tuan Guru Ustaz Harun Taib. Mudah-mudahan Atiqah juga dapat dicorakkan menjadi mujahidah cemerlang dan terbilang, InsyaAllah.

Selesai majlis di dewan, berkejar kami ke kantin asrama untuk pendaftaran asrama. Bukan apa nak cepat tu. Nak book katil bawah untuk Atiqah. Alhamdulillah dapat juga Atiqah booking katil bawah di bilik 2B.

Tupperware besar untuk storage turut diberikan kepada semua pelajar. Baguslah Smaasza ni. Bila storage dah diberikan, tak perlulah lagi pelajar beli lain. Tempat penyimpanan barangpun dapat diseragamkan. Cantik jer tersusun di atas almari masing-masing.
Haa tu dia! Dah siap Atiqah pasang cadar...semangat you...hihi...


Almaripun besar ni. Alhamdulillah. Jauh lebih besardari almari zaman Ummi tinggal di asrama dulu. Tunggu Abi dan kakak bawa naik beg pakaian pulak ni, baru boleh kemas almari.

Tu dia! Nampak macam sekelip mata jer dah siap susun barang. Apa taknya. Ramai pembantu. Bertungkus lumus Ummi dan kakak membantu Atiqah menyusun barang-barang dalam almari. Tak susah mana dahpun. Atiqah dah siap lipat baju cantik-cantik dari rumah lagi. Abi turut membantu menulis nama pada peralatan harian Atiqah. Siap ubat gigipun bernama...hehe.

Inilah rupa dorm Atiqah. Katil tersusun memanjang. Bilik 1B & 2B digabungkan. Lantaipun siap bertile. Lupa pulak nak bilang berapa katil ada dalam dorm ni.

Siap berkemas, sesi mengenal ruang-ruang penting untuk kehidupan harian pulak. Haha...sesi ni Ummi Abi sendiri create. Jumpa bilik menggosok bersebelahan bilik Atiqah tadi. Senanglah Atiqah nak iron baju. Ada 4 iron dan ironboard disediakan di sini.

Bersebelahan bilik iron pulak adalah bilik membasuh pakaian. Haa tu dia! membasuh sendirilah anak bongsu Ummi. Atiqahpun dah biasa berdikari di rumah. InsyaAllah tak susah lagi.

Masa untuk lunch! Cantik dewan makan Smaasza ni. Atappun berwarna warni, nampak ceria. Makanpun mesti selera ni :-D

Atiqah dah siap makan! Senyum meleret dia timba pengalaman pertama makan dalam tray di sekolah asrama..hehe.

Inilah asrama puteri blok B di mana Atiqah ditempatkan. Dengar cerita, blok B ni menempatkan semua pelajar yang bukan dalam tahun peperiksaan iaitu form 1, form 2 dan form 4. Anak-anak Form 3 dan Form 5 ditempatkan di blok A. Kecik jer nampak Atiqah dan kakak di beranda tu...hehe.

Selesai makan tadi Ummi Abi bawa Atiqah balik ke rumah sebentar untuk solat zohor dan Asar di rumah sambil mengambil beberapa barang yang tertinggal. Ambik peluang memanfaatkan jarak rumah yang dekat dengan sekolah..hehe. Ini gambar dalam kereta semasa dalam perjalanan nak menghantar Atiqah semula ke sekolah selepas Asar. Hmmm...dalam keretapun boleh baca. Hebat anak sorang ni. Alhamdulillah.

Inilah dia pintu pagar utama Smaasza. Sebelum sampai pintu ni, kami masuk ikut pintu tepi jalan besar. Tengok-tengok, terkunci rapat. Suspen dah kitaorang. Tengok jam belum pukul 6pm pun lagi. Nasiblah ada anak-anak yang sedang bermain bola di situ. Terus diaorang kasitau pintu masuk yang sebenar. Alahai...patutlah terkunci yang sebelah jalan besar. Bukan pintu utama rupanya.

Demikianlah kisah perjalanan Atiqah menuju cita-cita. Kakak tanya Ummi, agaknya apalah perasaan Ummi terpisah dengan anak-anak seorang demi seorang. Ummi senyum jer. Agaknya apa perasaan Ummi ya? Mestilah sedih kan? Tapi demi kelangsungan cita-cita dan masa depan anak-anak, pengorbanan perasaan itu perlu. Apalah sangat yang Ummi boleh berikan pada anak-anak di rumah. Ilmu perlu dicari dan dituntut.

Belajar sungguh-sungguh ya Atiqah. Be the best among the best. Fight for tamayyuz class. InsyaAllah Ummi yakin Atiqah boleh!

Ummi tahu salah satu perkara yang membuatkan Atiqah tawar hati untuk ke Imtiaz adalah kerana permohonan pertama Atiqah ditolak sedangkan di Smaasza sejak dari interview lagi cikgu di sana nampak begitu bersemangat nak menerima Atiqah. Dengan keputusan cemerlang Atiqah 6A UPSR cikgu di Smaasza yang interview Atiqah nampak begitu teruja sedangkan di Imtiaz, Atiqah dikecewakan dalam saringan pertama walaupun telah menjawab dengan baik dan lancar menghafaz dalam ujian hafazan. Terngiang-ngiang lagi kata-kata Atiqah pada Ummi sewaktu Ummi cuba menguji keyakinan Atiqah memilih Smaasza sebagai sekolah pilihan Atiqah. "Atiqah tak nak merendahkan potensi diri Atiqah sampai terpaksa merayu untuk masuk ke Imtiaz." Allahu...tegas dan nekad sungguh keputusan Atiqah. Mudah-mudahan jatidiri Atiqah ini akan membawa kebaikan selamanya.

"Ummi jangan risau. InsyaAllah Atiqah akan cemerlang di Smaasza. Atiqah nak naikkan nama Smaasza." Allahu...sekali lagi Ummi terpana.

Atiqah oh Atiqah. Sungguh jiwamu begitu kental. Semoga Allah terus mengurniakanmu hati yang terang, jiwa yang lapang, ingatan yang kuat, kefahaman yang jitu serta ketabahan dan semangat yang tinggi untuk terus berjuang di bumi SMAASZA. Kurniakanlah buatnya ilmu yang bermanfaat ya Allah. Kami berlindung kepadaMu daripada hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak dikabulkan. Allahumma Amiin.