Memaparkan catatan dengan label Isu Kedoktoran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Kedoktoran. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Disember 2009

Bolehkah Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina?

Assalamualaikum.

Sebelum ini Ummi ada mengeluarkan artikel bertajuk 'Dr Lelaki Atau Perempuan?' yang boleh dibaca di sini. Hari ini Ummi terbaca pula artikel bertajuk 'Adakah Boleh Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina?' dari laman Ustaz FaridRashidi.Com. Sungguh mengesankan!

Ummi sendiri sebagai doktor wanita Islam di sebuah klinik swasta merasa cukup terkilan dengan masyarakat kita terutamanya kaum wanita yang tidak mengambil kisah dengan perkara ini. "Jumpalah doktor mana-manapun. Sama jer..." kata mereka. Malah lebih menyedihkan ada sebahagiannya yang hanya memberikan alasan ; "Alahh...saya dah turun temurun dapatkan rawatan dengan Dr Lim tu kak. Dia tu dah jadi macam doktor peribadi keluarga saya dah". Kalau setakat demam selsema tu bolehlah tahan, tapi untuk masalah sakit puan yang memerlukan pendedahan aurat dalam pemeriksaan kesihatanpun mereka sanggup? MasyaAllah....

Pengalaman bersama pesakit lelaki pula macamana? Hmm...tak taulah Ummi nak cakap. Yang perempuannya suka jumpa doktor lelaki, yang lelakinya pulak suka jumpa doktor perempuan? Lebih memelikkan lagi, ada pasangan suami isteri tu, si suami datang jumpa Ummi untuk masalahnya dan si isteri datang jumpa Dr Abi! Tak ke dunia dah terbalik? Nasiblah Ummi ni suami isteri doktor, untuk masalah-masalah yang melibatkan aurat lelaki, bolehlah Ummi rujuk pada Abi dan begitu juga sebaliknya.

Pernah suatu ketika tu datang seorang pesakit lelaki yang mengadu masalah 'sakit tuan' dan mintak Ummi buatkan pemeriksaan lengkap untuknya. Secara lembut Ummi menolak kerana dia masih ada pilihan untuk berjumpa dengan doktor lelaki dan Ummi sendiri yang akan merujuknya. Tapi tuan-tuan nak tahu apa jawapannya? "Saya seganlah dengan suami doktor. Doktor jerlah yang examine saya!" MasyaAllah, memang dunia dah terbalik! Seorang pesakit lelaki boleh segan dengan doktor lelaki tapi tak segan nak mendedahkan auratnya pada doktor perempuan? Lebih tragis lagi, ada pulak yang menasihatkan kita, "Alahh..doktor tak payah seganlah dengan saya. Saya dah kahwinpun!" Tak ke haru?

Pengalaman Dr Abi dengan pesakit perempuan pulak? Kisah yang sama, malah banyak yang pelik wal melik. Malas Ummi nak cerita.

Kesimpulannya, kefahaman masyarakat Islam kita terhadap isu-isu penjagaan aurat sebegini teramatlah cetek dan seringkali dianggap remeh oleh sebahagian besar dari mereka. Amat malang sekali!

Berikut Ummi paste kan artikel yang ditulis oleh Ustaz Farid Rashidi untuk tatapan dan renungan kita semua. Jazakallahukhair ustaz atas pendedahan yang sangat berguna ini.

*************************************************************************************

“Siapakah yang bersalah, doktor atau pesakit jika ternampak aurat?” Tanya seseorang.

“Bagaimana hukumnya?”

Saya percaya, ramai di kalangan kita masih samar-samar mengenai hukum berkaitan dengannya. Tambahan pula perkara ini seolah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat sehinggakan perkara sebenar tidak diaplikasikan sebaik mungkin. Di sini kita bukan mahu mencari salah siapa samaada pesakit ataupun doktor, akan tetapi mahu mengambil jalan penyelesaian agar dapat diselesaikan semaksimum mungkin.

BOLEHKAH DOKTOR LELAKI MENGUBATI PESAKIT WANITA ATAUPUN SEBALIKNYA?

Memahami masalah ini pada asasnya perbuatan melihat aurat wanita adalah ditegah sama sekali. Islam mengharamkan lelaki melihat aurat wanita, begitu juga wanita melihat aurat lelaki. Namun dalam masalah mengubati pesakit berlainan jantina diharus bersyarat.

Majma’ al-Fiqhi al-Masihi di bawah Rabitah al-A’lami al-Islami di dalam seminarnya yang ke-14 bertempat di Mekah bertarikh 20 Sya’ban 1415 Hijrah bersamaan 21 Januari 1995M telah mengeluarkan resolusinya seperti berikut:

1. Syariat pada asalnya mengharamkan perempuan mendedahkan aurat kepada lelaki dan mengharamkan lelaki mendedahkan aurat kepada perempuan. Begitu juga perempuan diharamkan mendedahkan aurat sesama perempuan atau lelaki sesama lelaki.

2. Pihak Majma’ sekali lagi menegaskan di dalam resolusinya yang bernombor 85/12/85 di dalam persidangan yang bermula pada 1-7 Januari 1414H bahawa: “Asalnya apabila kedapatan doktor perempuan Islam, dialah yang wajib merawat pesakit wanita. Jika doktor Islam tidak ada, maka mestilah doktor wanita bukan Islam. Apabila doktor wanita bukan Islam tidak ada, maka dibolehkan doktor lelaki Islam. Apabila ketiadaan doktor lelaki Islam, barulah dibolehkan doktor lelaki bukan Islam merawat pesakit wanita Islam. Ianya mesti disyaratkan melihat bahagian badan perempuan yang diperlukan sahaja bagi menentukan jenis penyakit serta merawatnya, dan tidak boleh melampaui batas keperluan. Hendaklah menutup anggota badan sekadar yang terdaya. Apabila seseorang doktor lelaki merawat pesakit perempuan, maka pesakit perempuan hendaklah ditemani mahram atau suami atau perempuan lain yang boleh dipercayai, dibimbangi berlakunya khalwat.”

Manakala di dalam kita Fiqh as-Sadah as-Syafie’yah oleh Doktor Khalifah Abdul Basit Shahin menyebut bahawa melihat aurat berlainan jantina tanpa sebab adalah haram. Ini berdasarkan dalil al-Quran bermaksud:

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Begitu juga Allah SWT mengharamkan ke atas wanita melihat aurat orang lain:

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat.”

Pengarang juga membahagikan sebab yang diharuskan melihat aurat berlainan jantina kepada tiga bahagian dan ini termasuklah mengenai rawatan oleh para doktor.

Justeru, secara kesimpulannya prioriti bagi merawat pesakit menurut syariat Islam adalah sebagaimana berikut:

1.Doktor wanita Islam
2.Doktor wanita bukan Islam
3.Doktor lelaki Islam
4.Doktor lelaki bukan Islam

DOKTOR YANG MENGAMBIL KESEMPATAN

Dewasa ini kedapatan banyak kes melibatkan doktor ke atas pesakit, ini termasuklah kes cabul, rogol ataupun perzinaan. Inilah natijahnya jika tidak mengguna pakai aturan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Doktor-doktor keluaran sistem barat tidak langsung menitikberatkan soal akhlak dan syariat ketika mengubati pesakit berlawanan jantina. Malah doktor berhidung belang seperti ini sanggup mengambil kesempatan dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Pada asalnya tugas sebagai doktor adalah suatu profesyen yang baik dan mulia kerana membantu manusia dari kecelakaan. Namun ianya menjadi haram kerana salahguna tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Sudah tentu ianya mencalarkan kredibiliti sebagai seorang doktor profesional.

Saya yakin, mengambil alasan darurat (sedangkan masih ada jalan penyelesaian) demi memuaskan nafsu syahwat itu bukan etika seorang doktor muslim dan tidak termasuk silibus yang pernah dipelajari bertahun-tahun!

PESAKIT YANG TIDAK PEKA

Masalah ini juga pada asasnya terletak kepada pendirian pesakit itu sendiri. Dalam hal ini, saya melihat ramai di kalangan kita mengambil jalan mudah dan langsung tidak menghiraukan soal penjagaan syariat ketika menerima rawatan. Masakan tidak, terkadang masih wujud klinik yang mempunyai doktor wanita Islam tetapi mereka lebih gemar memilih untuk menerima rawatan dari doktor lelaki malah lebih dahsyat apabila lelaki itu bukan beragama Islam.

Jika sakit itu melibatkan batuk demam mungkin tidak terlalu bermasalah, tetapi jika sakit itu melibatkan aurat mughallazah (aurat berat seperti tubuh badan wanita dan alat sulit) tidakkah ianya sesuatu yang mengundang risiko? Tidak tercalarkah maruah?

Tambahan pula perkara ini melibatkan kesan psikologi pesakit, terutamanya pesakit wanita jika ianya melibatkan aurat sulit. Sudah tentu timbul pelbagai perasaan kelak jika tidak dibendung segera.

Pekalah dengan keadaan semasa, usahlah terlalu mengambil ringan dan memandang enteng tentang perkara ini. Berhati-hatilah!

Mencegah itu bukankah lebih baik dari mengubati?

JADILAH DOKTOR YANG ISLAMIK

Suka saya untuk mengutip kata-kata nasihat beberapa orang doktor buat tatapan pembaca di blog ini.

Kata Dr.Hamdi Mas’ud dalam kitabnya Daur at-Tobib al-Muslim fi nasyri Ta’alim al-Islam bermaksud:

“Adapun bagaimanakah cara untuk seseorang doktor itu membawa pesakitnya ke jalan menuju Allah ketika melaksanakan tugasan dirinya.. hendaklah berusaha dalam kadar waktu yang mengizinkan untuk memasukkan ke dalam benak fikiran dan hati pesakit akan kefahaman Islam yang sebenar.. bertitik-tolak dari kefahaman Islam yang sebenar inilah, seseorang doktor itu mampu mendekatkan pesakitnya akan hakikat Tauhid dengan menyatakan bahawa segala perkara yang terjadi adalah di bawah kekuasaan Allah.”

Renungilah pula kata-kata dari Dr. Nada Abd Azez Mohamed al-Yusfi, dalam kitabnya Ila at-Tobib wa Tolib at-Tib Kaifa Takhdimu al-Islam:

“Sesengguhnya doktor yang hidupnya adalah untuk dirinya sendiri tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya dan tidak meletakkan di hadapannya tujuan dakwah yang menggunung, juga tidak melapangkan masanya sejam sahaja dalam seminggu untuk mempelajari ilmu agama dan menghafaz apa yang patut dari al-Quran, juga tidak memikirkan apa yang perlu dibuat untuk Islam terhadap ilmu perubatan yang dianugerahkan kepadanya, maka keadaannya kadang-kadang banyak rehat, hidup matinya dalam keadaan jiwanya kerdil. Adapun doktor yang berjiwa besar sanggup memikul tugasan yang penat ini, tidak mementingkan urusan tidurnya, waktu rehatnya, berada di atas tilam empuk dan kehidupan yang senang-lenang disamping harta benda yang memuaskan. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu keadaan sepatutnya dan bersabda kepada Ummul Mukminin Saidatina Khadijah: Telah berlalu masa untuk tidur wahai khadijah. Maka kami ingin menyatakan di sini: Telah berlalu masa untuk kamu tidur dan pejam lelap wahai penuntut-penuntut bidang perubatan!”

Subhanallah, nasihat yang berbekas!

10:15AM, 12 Disember 2009,
Siberbay, Tanta.

*************************************************************************************

Ahad, 3 Mei 2009

Oh Tetamuku...!

Assalamualaikum.

Teringat kisah lalu:

Sedang mak melayani tetamu yang berkunjung ke rumah, tiba-tiba…

“Mak! Mak! Nak duit 10 sen. Adik nak beli aiskrim!”

Mak yang agak terkejut dengan jelmaan anaknya secara tiba-tiba di hadapan tetamu, secara halus dan beradab tersenyum pada tetamunya dan berkata :

“Maaf ya Cik Yah. Adik gi main dulu deh. Nanti mak kasi.” Sambil tangannya mencubit halus di peha adik bersama sebuah jelingan tajam tanpa langsung disedari oleh tetamu.

Anak yang telah cukup memahami maksud sebenar di sebalik cubitan halus serta jelingan tajam dari si ibu, terus berlalu tanpa merengek atau mengamuk tak tentu pasal.

Moral kisah ini:

1. Mak-mak kita dahulu amat menjaga adab di hadapan tetamu. Pada anggapan mereka, meminta duit dengan mak di hadapan tetamu samalah maksudnya dengan meminta duit dari tetamu. Maka ia dikategorikan sebagai akhlak yang tidak elok.

2. Mengganggu atau menyampuk percakapan orang-orang tua merupakan suatu akhlak yang tidak wajar.

3. Anak-anak zaman dahulu cukup mengerti teguran secara tidak langsung dari ibubapa mereka. Cukup hanya dengan sebuah cubitan halus atau sebuah jelingan tajam, anak akan taat pada apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Mengapa sinopsis ini ditulis?

Ummi benar-benar berada dalam situasi letih, penat dan kecewa. Kecewa dengan sikap dan akhlak anak-anak zaman sekarang serta letih dan penat melayani kerenah ibubapa di zaman moden.

Anggaplah konsultansi yang berlaku diantara doktor dan pesakit pada setiap hari dan detik ini adalah perbualan di antara tuan rumah dan tetamu. Maka sewajarnyalah adab-adab bertamu saling dijaga di antara kedua-dua belah pihak.

Namun apa yang berlaku di zaman ini…

http://www.dubuque.k12.ia.us/doctordoctor/DoctorDoctorLogoFlat.jpg

1. Sambil bercakap dengan doktor, sambil menekan butang sms. Hubungan mata langsung tiada seolah-olah doktor sedang bercakap dengan dinding atau kerusi.

2. Konsultansi bersama doktor dihentikan semata-mata kerana melayani panggilan telefon yang masuk walhal beliau boleh mematikan dahulu panggilan telefon tersebut dan membuat panggilan semula setelah selesai sesi pemeriksaan bersama doktor. Kalau doktor sendiri boleh mematikan dahulu panggilan telefon, kenapa tidak pesakit?

3. Kadang-kadang yang menemani pesakit pula sengaja mendail nombor telefon dan bercakap dengan suara yang kuat sehingga mengganggu konsentrasi perbualan dan pemeriksaan doktor. Kalau dah tahu nak berbual di telefon, tak perlu sama sekali masuk menemani pesakit di dalam. Berbuallah di luar!

4. Ada pula, sambil bercakap dengan doktor, sambil mengunyah kismis. (Terimakasih kerana membeli kismis yang dijual di kaunter klinikku, tetapi itu tidak bermakna anda perlu mengunyahnya di hadapan doktor!)

5. Yang hendak di periksa hanyalah si ibu, tetapi ke semua anak turut dibawa masuk ke dalam bilik pemeriksaan oleh si ayah, yang seterusnya berperanan membuat pemeriksaan tidak rasmi terhadap segala peralatan doktor serta menambahkan keceriaan di bilik doktor dengan jerit-pekik, laungan dan tangisan yang menenggelamkan terus suara perbualan di antasa si pesakit dan doktor!

6. Kalau tetamu yang datang ke rumah kita tiba-tiba mengarahkan kita menghidangkan air dan makanan mengikut selera mereka, apa agaknya reaksi kita? Samalah ibaratnya pesakit yang datang berjumpa doktor tiba-tiba mengarahkan doktor mempreskripsikan untuk beliau ubat ini dan ini, walhal doktorlah yang berhak mempreskripsikan ubat yang sesuai untuk mereka melalui pemeriksaan yang dijalankan.

7. Samalah juga halnya dengan sikap tetamu yang tiba-tiba mempertikaikan kesahihan jawapan dari tuan rumah terhadap beberapa persoalan yang sememangnya tuan rumah lebih arif. Dahlah tuan rumah berhempas-pulas nak memahamkan beliau, rupa-rupanya soalan itu ditujukan semata-mata nak menunjukkan bahawa dia lebih tahu maklumat berkaitan persoalan tersebut dari pembacaan mereka selama ini (walaupun pada hakikatnya mereka telah tersalah faham, bukan terlebih faham). Kalau rasa dah tahu serba-serbi, tak perlulah lagi berjumpa doktor.

8. Dan lagi, permasalahan dari dulu, kini dan selamanya : “Saya datang sebab majikan saya suruh ambik MC dengan doktor.” Maaf! Doktor bukan pekerja kepada majikan anda yang layak diarah itu dan ini. MC hanya boleh diberikan untuk mereka yang layak. Andai anda sememangnya layak untuk mendapat sijil sakit, maka doktor dengan segala kemurahan hati akan meminta anda bercuti…mudah-mudahan penyakit anda segera sembuh, dengan izinNya. Tolong jangan masuk berjumpa doktor dengan permulaan kata-kata perbualan di atas!

http://www.wolfescape.com/Humour/MedThumbs/LoweringDoctorDown.jpg

Nak dengar lagi? Cukuplah sekadar itu kerana Ummi tahu Ummi juga manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesalahan. Astaghfirullah…semoga Allah mengampuni dosa-dosaku.

Mungkin hari ini Ummi masih terpaksa menelan ubat lagi akibat migraine yang masih belum mahu beredar dari bertamu di kepalaku…doakan Ummi!

*************************************************************************************

Selasa, 21 Oktober 2008

Penyakit Masyarakat - Kembalilah Kepada Al-Qur'an..!

Assalamualaikum.

Suatu hari, sewaktu hampir pintu klinik ditutup sesi siang, jam 5 petang : Kuterima kedatangan seorang lagi pesakit, seorang gadis muda belasan tahun.

Kelihatan sihat seperti tak bermasalah…

Maka bertanyalah sang doktor : “Ya dik…ada masalah apa?”

Menjawablah si gadis belasan tahun : “Saya tak de apa-apa masalahpun doktor. Cuma haid saya aje dah 4 bulan tak datang!”

“Hmm…biasa ke macam tu sebelum ni?”

“Tak pernahpun doktor.”

“Adik dah kahwin?”..soalan rutin untuk setiap pesakit yang mengadu masalah tak datang haid.

“Eh, mana ada. Saya belum kahwin lagi.”

…….begitulah selanjutnya perbualan antara sang doktor dan si pesakit sebelum membuat pemeriksaan yang sepatutnya. Akhirnya setelah mendapat persetujuan, ujian ultrasound dilakukan.

Ultrasound Findings:

Singleton
Cephalic
BPD : 22W + 3D
Placenta : Posterior lower segment
FH : Seen
EDD : 18/2/2009

Astaghfirullahal’azim. Rupanya pesakit hamil 5 ½ bulan! Situasi yang memang dijangka dan terlalu lazim dihadapi oleh para doktor masa kini…

Antara isi perbualan antara sang doktor dan si gadis belasan tahun ini setelah mengetahui duduk perkara sebenar…

Doktor : Adik tak takut?

Gadis : Takut! (Tapi dengan wajah yang begitu selamba…)

Doktor : Takut apa?

Gadis : Takut kat mak kitalah!

Doktor : Bukan takut Allah? Bukan takut dengan dosa yang dah kita lakukan?

Gadis : (Diam dengan riak muka yang langsung tak menggambarkan perasaan terkejut, sedih, takut atau bimbang…)

Doktor : Masih sekolah?

Gadis : Ha-ah..tahun ni SPM!

……….akhirnya pesakit keluar membawa sekeping filem janin penuh suci yang dibentuk secara haram! Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah…Tak sanggup kulabelkan kandungan itu dengan istilah anak haram kerana yang sebenar-benarnya haram adalah perbuatan ‘pasangan berdosa’ itu…!

Kemana menghilangnya nilai murni masyarakat kini? Kemana perginya tatasusila melayu yang dilaungkan? Dan yang lebih tragis, kemana AJARAN SUCI AGAMA ISLAM dicicirkan?

Kepada siapa nak kita persalahkan? Si gadis belasan tahun itu? Kedua ibubapanya? Guru yang menjaga di sekolah? Atau kerajaan yang bertanggungjawab menjaga rakyatnya?

Kesemuanya adalah pemegang amanah! Amanah sebagai khalifah Allah yang diutus ke mukabumi ini untuk mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya…! Kalaulah apa yang termaktub di dalam kitab suci al-qur’an itu dihayati dan dituruti, mana mungkin penyakit masyarakat ini boleh terjadi.

Apakah situasi yang bakal berlaku selepas kejadian tadi? Semestinya pasangan yang ‘bertanggungjawab’..oh tidak! Istilah ini tak benar sama-sekali! Sebetulnya….pasangan yang ‘tak bertanggungjawab’ terhadap kandungan itu semestinya akan dipaksa kahwin dengan si gadis belasan tahun bagi menutup malu! Apakah HUKUM di sebalik perkahwinan sebegini?

Sama-sama kita renungi apa yang telah dihuraikan oleh al-fadhil Ustaz Zaharuddin Abd Rahman berkaitan permasalahan tersebut….

Hukum Kahwini Wanita Hamil Anak Luar Nikah

Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman (UZAR)
www.zaharuddin.net


Soalan


Sesungguhnya permasalahan ini amat berat. Perkahwinan seumpama ini pada hari ini sememangnya amat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung anak luar nikah, cepat-cepat dikahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini , perkahwinan ini adalah tidak sah! Maka pasangan tersebut akan hidup dalam zina sepanjang hayat. Mohon ustaz huraikan jawapan tuan imam dan tulisan ini.

surachei@aicsemicon.com

Jawapan UZAR

Telah agak lama saya terima soalan sebegini dan agak kerap juga. Jika ia hanya sekadar soalan ilmu yang bersifat amat jarang berlaku, ia tidaklah mengapa tetapi yang amat saya bimbangi adalah berdasarkan kekerapan soalan ini diajukan menimbulkan andaian bahawa kes begini sering berlaku dalam masyarakat kita.

Ini bermakna, agak ramai wanita dan lelaki yang telah terlanjur sebegini dan kemudian baru terfikir hukum bagi menyelesaikannya.

Sebagai manusia biasa, saya agak geram bila diajukan soalan ini. Hinggakan agak kerap juga saya menjawab dengan mudah iaitu.

"Hukumnya sememangnya menyukarkan, jadinya lain kali jangan berzina" demikian jawapan semasa geram saya.

"Ini kerana jika sememangnya tiada 'manual panduan yang normal' hukum yang mudah bagi menjawab keadaan sedemikian, sama seperti seorang yang datang mengadu kepada seorang mekanik kereta apabila kerosakan enjin keretanya"

Setelah diselidiki , didapati enjin rosak dengan amat fatal, apabila ditanya apa sebab enjinnya seteruk ini rosaknya, maka si empunya kereta memberitahu :-

"Kerana saya letak minyak tar dalam tangki petrol"

Saya kira sudah tentu mekanik itu juga merasa ‘bengang' dengan perangai ‘kurang cerdik' tuan punya kereta. Kemudian apabila diberitahu kos untuk membaiki enjin itu adalah mahal dan sukar, tuan punya kereta mulalah membebel dan marah-marah serta menuntut kos pembaikan yang mudah dan murah.

"Mana boleh murah dan senang kalau gini, dah hang yang teruk sangat jaga dan guna kereta. Kalau nak murah..LAIN KALI JANGANLAH MASUKKAN MINYAK TAR DALAM TANGKI PETROL NI OK !" kata mekanik meradang apabila diminta membaiki kerosakan berat itu dengan kos murah.

Inilah seolah-olahnya radangan saya juga di peringkat awal dulu. Dah berzina hingga mengandung, barulah sibuk ingin memikirkan hukum halal haram dan kesannya. Maka sudah tentu penyelesaiannya juga agak sukar sebenarnya.

Bagaimanapun, bagi memberikan penghargaan kepada pasangan yang telah bertawbat, maka inilah jawapannya:-

Apabila seorang lelaki dan wanita itu telah bertawbat dengan tawbat yang benar, dan berkahwin semasa si wanita itu sedang mengandungkan anaknya secara pasti - Perkahwinan itu adalah sah menurut Mazhab Syafie dan perlulah didaftarkan sebaiknya.

Mazhab Hanbali menjadikan tawbat sebagai syarat untuk diterima pernikahan tersebut. Ia berdasarkan tafsiran mereka dari surah an-Nur ayat ke 3. Bagaimanapun majoriti ulama tidak menjadikan tawbat sebagai syarat sah pernikahan penzina tersebut.


HUKUM KAHWIN SEMASA ‘IDDAH DAN HAMIL

Adapun berkenaan hal ‘iddah' dan bolehkah berkahwin semasa tempoh ‘iddah.

Hukum asal bagi perkahwinan dan perceraian normal, adalah diwajibkan menunggu tamatnya ‘iddah wanita sebelum diizinkan untuk berkahwin baru ( Al-Ikthiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/78).

a) Tempoh Iddah Wanita Dicerai Dalam Keadaan Suami Masih Hidup

Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan (jika tidak mengandung) adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT :-

Ertinya : "Dan wanita-wanita yang tercerai ( iddahnya ) adalah tiga kali suci " (al-baqarah : 228)

b) Tempoh Iddah Wanita Mengandung

Tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung, adalah sehingga ia selesai bersalin. Ia berdasarkan firman Allah SWT :-

وأولات الأحمال أجلهنّ أن يضعن حملهنّ

Ertinya : " Wanita-wanita yang hamil tempoh iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungannya" ( At-Talaq : 3)

c) Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Kerana Suami Mati

Tempohnya adalah 4 bulan sepuluh hari, jika tidak mengandung. Ia berdasarkan firman Allah :-

والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجاً يتربصن بأنفسهنّ أربعة أشهر وعشراً

Ertinya : "Dan bagi mereka yang meninggal dari kalangan kamu dan meninggalkan pasangan (isteri-isteri) hendaklah menunggu (tempoh iddah) nya 4 bulan sepuluh hari" (Al-Baqarah : 234)

Ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam (Nizam al-Usrah Fil Islam, Dr Md Uqlah, 1/ 287), Ia berdasarkan firman Allah :

ولا تعزموا عقدة النكاح حتى يبلغ الكتاب أجله

Ertinya : "Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) " (Al-Baqarah : 235 )

Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya. Ia berdasarkan firman Allah.

Demikian tadi hukum yang standard bagi seluruh umat Islam. Secara mudahnya, inilah hukum normal bagi keadaan normal. Sebagaimana manual dan panduan bagi sesebuah kereta yang rosak normal. Dengan mudah boleh dijumpai penyelesaiannya oleh si mekanik.

Kes Zina Bermasalah

Bagaimanapun dalam kes ‘iddah bagi individu yang ‘termengandung' akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain.

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.


Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. (Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)


Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.


Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :


Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"


Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :
لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح

Ertinya : "Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal (iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah" (Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)


Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah.


Lagi Displin Khas


Bagaimanapun, jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN! Jika mereka bersetubuh, maka berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah.

Ia berdasarkan sebuah hadith yang ertinya :

"Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" (Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi : Hadith Hasan)

Sekiranya wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah.

Adapun berkenaan jawapan seorang imam yang disebar luaskan oleh orang ramai berikut :-

Sila buka di sini

Jawapan di atas juga ada benar sebahagiannya jika dilihat dari perspektif mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari, yang mana mereka mengiktiraf mengandung hasil zina boleh membawa hukum ‘iddah, hasilnya, haram bernikah dengan wanita yang sedang ‘iddah dan berlakulah segala satu macam kerumitan sebagaimana yang digambarkan dalam jawapan tuan imam ini.

Kesimpulan

Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertawbat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah ia bersalin.

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/ 6 Mei 2007

*************************************************************************************

Selasa, 7 Oktober 2008

Doktor, Agen Peruntuh Iman...?

Assalamualaikum.

Di musim raya ini kedatangan pesakit melonjak! Pesakit datang dengan pelbagai complaint dan pelbagai kerenah yang terkadang menyebabkan kekerapan gejala migrainku juga turut melonjak! Walau apapun, ‘asas kesabaran’ yang selalu kupupuk Alhamdulillah berjaya mengatasi ‘angin kemarahan’ yang sentiasa cuba dijolok oleh sang syaitan laknatullah.

Meskipun demikian, pagi ini ingin sekali diri ini meluahkan perasaan yang berbaur antara rasa terkilan, sedih dan tercabar. Ya, sebenarnya inilah cabaran! Cabaran untuk diri kita yang bergelar doktor menyampaikan dakwah dalam rangkaian persekitaran ilmu kedoktoran berasaskan petunjuk Islam yang kita ada.

Bayangkan, setiap pesakit yang datang meletakkan harapan kepada kita, figure seorang doktor semata-mata untuk memberikan kesembuhan tanpa bersandar kepada Allah, Tuhan yang Maha Menyembuhkan! Cukuplah ayat-ayat ini menjadi contoh :

• “Doktor, doktor bagi kat saya ubat yang paling POWER! Kalau boleh sekali makan, saya nak demam saya ni terus sembuh!”

• “Doktor bagilah apa-apa ubat kat saya, yang penting ubat tu boleh sembuhkan segera penyakit saya ni!”

• “Saya kalau sakit memang nak kena ambik injection. Kalau tak, memang tak sembuh!”

• “Saya sanggup bayar berapa aja asalkan doktor boleh bagi jaminan yang penyakit saya ni boleh sembuh!”

Astaghfirullahal’azim. Setiap hari kita berhadapan dengan suasana masyarakat yang meletakkan pengharapan yang tinggi terhadap kita untuk ‘sembuh dari penyakit’. Walhal kesembuhan, kesihatan dan kesakitan itu adalah milik mutlak Allah semata-mata. Mana mungkin kita yang diiktiraf sebagai pakar dalam bidang perubatan ini mampu memberikan kesembuhan kalau tidak dengan izin Allah. Mana mungkin kita yang dianugerahkan ilmu pengetahuan dalam bab perubatan ini mampu mengatasi ilmu dan kekuasaan Allah yang Maha Perkasa. Dialah penyembuh yang sebenar-benarnya.

“…dan apabila aku sakit, Dialah (iaitu Allah) Yang menyembuhkan aku.”

(Surah Asy-Syu’araa’, Ayat 80)

Ubat, suntikan dan apa jua kaedah yang kita gunakan dalam usaha menyembuhkan penyakit hanya merupakan CARA atau JALAN ke arah mendapatkan kesembuhan yang sebenarnya adalah hak milik Allah SWT, Tuhan yang Maha Menyembuhkan. Semoga kita mampu memberikan kefahaman dan kesedaran ini kepada setiap individu pesakit.

Bagi seorang doktor swasta, jangan hanya kerana sedikit keuntungan dunia kita menurut arus kefahaman yang sama dengan mereka. Sememangnya amat mudah untuk kita mendapat laba keuntungan melalui jalan itu. Bayangkan, apa reaksi pesakit jika kita sebagai doktor memberikan jawapan sebegini :

• “Baiklah, encik jangan risau. Saya akan berikan encik ubat yang paling POWER! Sekali makan, pasti sembuh!”

• “Makcik ambik ubat ni. Mahallah sikit harganya sebab memang ubat KUAT ni makcik!”

• “Boleh, boleh…saya inject sekali, petang ni pakcik gerenti dah boleh berlari dah!”

• “No problem kak! Saya bagi kakak ubat yang paling MUJARAB! Yang ni memang ubat taraf sultan punya!”

Amat mudah! Memang amat mudah untuk kita mendapatkan laba keuntungan dari pesakit hanya dengan janji-janji indah yang kita tawarkan. Tapi ingat! Di sana Allah sentiasa menilik pandang diri-diri kita. Tanpa kita sedar, kita telah menjadi 'Agen Peruntuh Iman’ (API) !!! Astaghfirullahal’azim, mohon dijauhkan Allah hendaknya…

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dan menjaga amalan anda untuk-Nya). Dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(Surah Al-Hasyr Ayat 18)

Marilah kita kembali mengingati ikrar yang telah kita lafazkan. Semoga Allah sentiasa melindungi diri-diri kita dan mengurniakan kita kekuatan untuk menjadi seorang doktor muslim yang tugasnya bukan hanya sekadar berusaha menyediakan jalan ke arah kesembuhan penyakit tetapi juga merupakan agen dakwah dalam memperbetulkan sebarang kelemahan pesakit terhadap kepercayaan Islamnya. Kita berurusan dengan manusia yang bukan hanya memiliki jasad, tetapi juga mempunyai roh yang perlu dirawat!

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Dengan nama Allah yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani


Saya bersumpah demi Allah ... Yang Agung


• Bahawa saya akan mengingati Allah di dalam menjalankan tugas saya


• Bahawa saya akan melindungi nyawa manusia di semua peringkat dan di dalam semua keadaan, melakukan dengan seberapa daya saya untuk menyelamatkannya dari maut, penyakit, kesakitan dan kegelisahan ..


• Bahawa saya akan menjaga kehormatan semua orang, melindungi perkara-perkara peribadi dan mengunci rahsia mereka ..


• Bahawa saya akan sepanjang masa memperhambakan diri kepada belas kasihan Allah, memberikan khidmat perubatan saya kepada yang dekat dan yang jauh, yang baik dan yang berdosa serta kawan dan lawan ..


• Bahawa saya akan berusaha di dalam mengejar pengetahuan dan menggunakannya untuk menafaat dan bukan untuk merosakkan manusia ..


• Bahawa saya akan menghormati guru saya, mengajar doktor di bawah saya dan menjadi saudara kepada pengamal perubatan lain dan bekerjasama di dalam semangat ketaqwaan dan kebajikan ..


• Bahawa saya akan menghidupkan keimanan saya semasa berseorangan atau di khalayak ramai, mengelakkan perkara yang boleh mencemarkan saya pada pandangan Allah, RasulNya dan orang beriman yang lain.


Semoga Allah menjadi saksi kepada ikrar ini.


*************************************************************************************

Artikel Berkaitan :

1. Doktor Muslim - Tertunaikah Sudah Tanggungjawabku
2. Ikrar Doktor Muslim


*************************************************************************************

Ahad, 21 September 2008

Doktor Muslim : Hubungan Sesama Doktor

Assalamualaikum.

Lamanya Ummi tak update blog! Subhanallah..masa 24 jam sehari suntuk masih tidak mencukupi atau akukah yang tidak tahu mengatur masa? Sudah tentu kemungkinan yang kedua itulah jawapannya. Mudah-mudahan 10 malam terakhir Ramadhan ini kita hanya disibukkan dengan pencarian dan pemburuan Lailatul Qadar!

Kesinambungan daripada artikel yang lepas berkaitan Doktor Muslim, rasanya kali ini terpanggil pula untuk Ummi membincangkan berkaitan Hubungan Sesama Doktor.

Entah kenapa akhir-akhir ini nostalgia lama kerapkali menerpa di fikiran terutamanya nostalgia sewaktu di alam ‘housemanship’ atau kata lainnya HO. Rasanya tak perlu diungkitkan nostalgia yang hanya membuatkan ‘luka lama berdarah kembali’ (cheewahhh…dah mula dah tu). Cuma apa yang Ummi nak simpulkan ;

a) Kenapa seorang senior MO atau Specialist semestinya bersikap kasar, bengis dan ‘tidak berperikemanusiaan’ terhadap seorang junior HO? (ralat: situasi ini mungkin tidak berlaku pada semua orang dan semua tempat)

b) Semestinyakah seorang doktor yang ‘bermain dengan nyawa’ diajar dan dilatih dengan cara yang ‘keras’?


c) Sampai bilakah kitaran ‘kezaliman’ di antara senior dan junior akan berakhir sekiranya dendam kesumat yang sentiasa membara itu tidak dilupuskan?

d) Mengapa tidak seorang HO itu dididik dan diajar dengan penuh sifat timbangrasa dan kasihsayang? Bukankah ilmu yang ditatang dalam kedaan emosi yang tenang dan stabil itu lebih mudah diterima?


Itulah persoalan yang sentiasa menerjah di benak fikiranku suatu ketika dulu. Mungkinkah persoalan itu kembali bermain di benak fikiran adik-adikku yang kini bergelar ‘housemanship’?

Rentetan daripada itu, marilah sama-sama kita renungi apa yang diperkatakan oleh Dr.Shabib Ibn Ali Al-Hathery di bawah tajuk :

Tugas Doktor Muslim Terhadap Rakan-Rakan Seperjuangan Sesama Doktor

1. Seharusnya terdapat persekitaran yang rapat sesama rakan seperjuangan untuk membolehkan doktor itu saling bekerjasama antara satu sama lain.

Allah berfirman, “Sesungguhnya seorang Islam dengan orang Islam yang lain adalah saudara.”

Berkaitan dengan doktor bukan Islam, perhubungan hendaklah didasarkan kepada peraturan Islam.

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

“Allah forbids you not to deal unjustly and unkindly with those who faught not against you on account of religion and drove you not out of your homes. Verily, Allah loves tghose who deal with equity.”

Anda seharusnya menjelaskan kepada mereka berkaitan dengan agama Islam dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam.

2. Menasihati dan sentiasa mengingati mereka kerana seorang muslim merupakan gambaran kepada peribadi saudaranya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Agama adalah untuk nasihat menasihati. Untuk siapa? Beliau berkata, semata-mata demi Allah, bukuNya, NabiNya, untuk pemimpin agama bagi umat Islam dan bagi kesemua umat Islam.”

3. Perbincangan perubatan yang berterusan adalah satu daripada tugasnya, supaya beliau dapat mempertingkatkan kemahiran saintifiknya yang mana ianya akan dapat digunakan untuk memberi faedah kepada pesakit.

4. Bekerjasama antara para doktor dalam pelbagai aktiviti seperti pembacaan al-Qur’an, melawat pesakit dan mengembara ke Negara Islam yang lain untuk memberikan pertolongan perubatan kepada orang Islam yang lain.

Allah berfirman dalam Surah 5, Ayat 2 yang bermaksud:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.”

5. Seorang doktor hendaklah dengan cara halus berbudi bahasa, memaafkan rakan-rakan seperjuangannya bila mereka membuat kesilapan, sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, elakkan dari bersyak wasangka yang banyak, malahan syak wasangka yang sedikitpun adalah dosa.”

6. Seorang doktor tidak harus prejudis terhadap mereka yang engkar dan seharusnya cuba untuk menukarkan dan merubah pandangan mereka.

Alangkah indahnya suasana demikian seandainya ia benar-benar wujud. Mampukah kita merealisasikannya?

*************************************************************************************

Khamis, 18 September 2008

Doktor Muslim : Tertunaikah Sudah Tanggungjawabku?

Assalamualaikum.

Artikel ini kudedikasikan sebagai muhasabah (peringatan) untuk :
  • Diriku - Yang terkadang lupa akan tanggungjawabku yang sebenar sebagai seorang doktor muslim
  • Suamiku Tercinta, Dr Abi- Mudah-mudahan amanah yang dipertanggungjawabkan buat kita ini tidak kita persiakan
  • Rakan-Rakan Seperjuangan Yang Bergelar Doktor Muslim- Kita adalah da'i di jalan ini, maka sentiasalah merasai kewujudan Dia yang sentiasa melihat kita secara terbuka atau tersembunyi. Semoga kita mampu melaksanakan amanah ini berasaskan ketaqwaan kita kepada Allah SWT
  • Adik-Adik Yang Sedang Berjuang Untuk Merebut Gelaran Doktor - Ikhlaskanlah hati dan sediakanlah dirimu untuk menggalas tanggungjawab yang besar ini!
Tugas Khas Seorang Doktor Muslim

1. Membetulkan Keimanan Pesakit

Seorang doktor hendaklah sentiasa mengingatkan pesakit bahawa kesihatan adalah terletak dalam tangan Allah yang Maha Perkasa – Dialah penyembuh yang sebenar-benarnya. Sebagaimana Nabi Ibrahim AS bersabda di dalam al-Qur’an dalam surah 26, ayat 80 yang bermaksud:

“…dan apabila aku sakit, Dialah (iaitu Allah) Yang Menyembuhkan aku.”

Semua ubat-ubatan dan alat kelengkapan hanya merupakan cara yang digunakan dan ia tidak seharusnya melemahkan keimanan pesakit terhadap Allah.

Terdapat sebuah hadith dari Abu Khuzaima yang mendengar bapanya berkata, “Kami bertanya kepada Nabi Muhammad SAW sekiranya kami mendoakan untuk seseorang dan memakan ubat serta mengambil langkah perlindungan, adakah ini bermakna sudah hilang keimanan kami kepada Allah? Maka Nabi Muhammad SAW bersabda; “Itu adalah dari Iradah Tuhan.”

2. Berurusan Dengan Pesakit Secara Fizikal Dan Spiritual

Seorang doktor tidak seharusnya memberikan keutamaan kepada satu aspek sahaja berbanding dengan aspek-aspek yang lain. Ini boleh dilaksanakan dengan mematuhi perkara-perkara berikut:

a. Mendengar dengan cermat tentang segala aduan pesakit dan membuat pemeriksaan ke atas pesakit dengan teliti. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; “Tuhan menyayangi mereka yang melakukan kerjanya dengan sempurna.” (Abu Dawud)

b. Meminta kebenaran pesakit apabila hendak melakukan pemeriksaan ke atasnya.

c. Hendaklah bersikap lemah-lembut semasa melakukan pemeriksaan. Terdapat sebuah hadith daripada Aisyah (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya), tentang beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Kelembutan akan membuat sesuatu perkara itu bertambah baik, kurangnya kelembutan akan membuatkan sesuatu perkara itu bertambah buruk” (Muslim)

d. Mengingatkan pesakit apabila tiba waktu sembahyang untuk mengerjakan solat sebagaimana Rasulullah SAW biasa melakukan sembahyang berdekatan dengan pesakit dan memohon kepada Allah untuk memberikan keampunan dan kemaafan kepadanya. Sembahyang membawa pesakit ke hadhrat Allah, meningkatkan keimanan dalam dirinya dan membuatkannya redha dengan apa yang telah Allah tetapkan baginya kerana mereka bergantung kepadaNya sebagaimana di dalam Surah 40, Ayat 60 Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepadaKu (dan mintalah apa sahaja dariKu), nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina.”

Dan sekali lagi dalam Surah 2, Ayat 186 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad SAW tentang Aku jawablah), bahawasanya Aku adalah (sangat) dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu (tanpa sebarang perantaraan dan orang tengah), maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Dan sekali lagi Allah berfirman dalam Surah 27, Ayat 61 yang bermaksud:

“Atau siapakah yang telah menjadikan bumi sebagai tempat berdiam, dan menjadikan sungai-sungai di celah-celahnya dan yang menjadikan gunung-gunung untuk (mengukuhkannya) dan menjadikan suatu pemisah antara dua laut (lautan masin dan sungai air tawar)? Apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? Bahkan (sebenarnya) kebanyakan dari mereka tidak mengetahui.”

e. Mengingatkan pesakit bahawa penyakit mereka merupakan penebusan (ibtila) bagi kesalahan (dhunub) dan dosa yang telah dilakukan olehnya. Abu Hurairah dan Abu Said mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, “Walau apa sahaja yang menjejaskan orang-orang Islam sama ada dari penyakit, kesakitan, keletihan, kesengsaraan, kesedihan (hazan), kecederaan (kerosakan) atau kematian, malah walaupun sekiranya tulang ikan yang melukakanmu, iaitu kecederaan yang sekecil-kecilnya, dan disebabkan ini Allah akan menghapuskan dari kamu dosa-dosa kamu.”

f. Mengadakan perundingan dengan pesakit dan mengambil persetujuan daripadanya atas sebarang perancangan atau perlaksanaan, terutamanya dalam keadaan yang berkaitan dengan pembedahan dan sebagainya.

g. Membuatkan pesakit berasa gembira, menaikkan kegirangannya dan beliau hendaklah mengurangkan kesengsaraan pesakit dengan memberikan keseronokan dalam hatinya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya anda melawat pesakit, anda hendaklah jangan mengkhabarkan kepadanya suatu berita buruk, tetapi hendaklah memberikan galakan kepadanya dan berikan keyakinan kepadanya. Sekiranya anda memberitahu kepadanya yang dia akan hidup lebih lama lagi, anda tidaklah dapat memanjangkan usianya tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikannya sedikit keselesaan dan kelegaan dengan membuang perasaan takut akan mati.”

h. Seorang doktor hendaklah berdoa kepada Allah untuk menyembuhkan pesakit. Ini sepatutnya dilakukan dengan kehadiran pesakit tersebut. Abu Darda mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila anda mendoakan untuk saudara Islam anda dalam kehadirannya, tindakan ini sangat-sangat dihargai oleh Allah; dan malaikat yang berada di sisi pesakit akan sama-sama mendoakan anda juga.” (Muslim)

i. Menghormati kemahuan pesakit dan tidak memaksa pesakit untuk menerima sesuatu yang beliau tolak. Sebagai contoh, pesakit wanita yang meminta diperiksa oleh doktor wanita.

j. Hendaklah memberitahu pesakit atau keluarganya dengan bijak dan cermat tentang penyakit bahaya yang dihidapinya.

3. Seorang Doktor Hendaklah Melakukan Segala Usaha Untuk Merawat Pesakit.

Beliau hendaklah menyembuhkan kesakitan sebaik mungkin yang beliau boleh dengan bergantung kepada pertolongan Allah.

4. Melindungi Hal-Hal Peribadi Pesakit

Seseorang doktor tidak seharusnya mendedahkan hal-hal peribadi pesakit melainkan untuk keperluan perubatan sahaja. Beliau hendaklah menutup apa yang beliau nampak sama ada kecacatan fizikal atau bukan fizikal atau tingkahlaku pesakit yang buruk. Abu Hurairah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya seseorang itu melindungi kecacatan seseorang yang lain, maka Tuhan akan melindungi kecacatannya pada hari akhirat kelak.” (Muslim)

5. Menyimpan Rahsia Pesakit

Seorang doktor hendaklah menyimpan rahsia pesakit kerana ini akan menyebabkan pesakit tersebut mempercayai doktor. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang doktor adalah pemegang amanah” (al-Tarmizi dan Ibn majah)

Seorang doktor tidak harus mendedahkan rahsia pesakit melainkan dalam keadaan tertentu (daripada proseding Persidangan Perubatan Islam Pertama yang diadakan di Kuwait pada tahun 1401[1981]):

a. Seorang doktor boleh mendedahkan rahsia pesakit sekiranya ia adalah untuk kepentingan pesakit itu sendiri. Contohnya, jika pesakit itu menderita dengan penyakit psikiatri yang mungkin akan mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, seperti terlibat dengan kejadian bunuh diri dan sebagainya. Dalam kes ini seorang doctor hendaklah memberitahu kepada kaum keluarga pesakit ini supaya mereka dapat mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memberhentikan pesakit itu dari mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

b. Sekiranya ianya mendatangkan bahaya kepada orang lain. Contohnya, sekiranya pesakit mempunyai jangkitan seksual dan akan mendirikan rumahtangga, doctor mungkin akan memintanya untuk menangguhkan dulu perkahwinan tersebut sehinggalah beliau sembuh, tetapi jika pesakit tidak mahu bekerjasama, maka doctor kemudiannya hendaklah memberitahu kepada keluarga bakal isteri pesakit itu, agar dapat mencegah kerosakan sekiranya perkahwinan itu diteruskan.

c. Sekiranya mendatangkan bahaya kepada orang awam. Contohnya jika pesakit itu seorang pemandu bas atau kapal terbang, dan beliau menghidap penyakit epilepsy, seorang doktor mestilah mencegah pesakit ini daripada melakukan kerjanya kecualilah penyakitnya telah benar-benar sembuh. Sekiranya pesakit tidak memberikan kerjasama, doktor terpaksa memberitahu kepada majikannya untuk mencegah pesakit ini.

6. Tidak Menyebabkan Kemudaratan Kepada Pesakit.

Seorang doktor tidak harus menyebabkan sebarang kemudaratan kepada pesakit. Allah berfirman dalam Surah 5, Ayat 32 yang bermaksud:

“Oleh kerana itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah dating kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampau batas dalam berbuat kerosakan di mukabumi.”

Dan sekali lagi dalam surah 4, Ayat 93, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.”

Dan Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Jangan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan seharusnya orang lain tidak mendatangkan keburukan kepada kamu.” (Ahmad dan Ibn Majah)

7. Tidak Boleh Mempreskripsi Ubat Larangan
Seorang doktor tidak bioleh mempreskripsi ubat-ubatan yang menjadi larangan di dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah yang menurunkan penyakit dan ubat dan Dia jugalah yang memberikan rawatan untuk setiap penyakit”

Oleh itu hendaklah anda menjalankan rawatan dan jangan juga merawat diri anda sendiri dengan ubat yang diharamkan melainkan dalam kes yang benar-benar kecemasan, anda mungkin dikecualikan.

8. Menasihati Perkara Yang Baik Dan Mencegah Perkara Yang Buruk

Seorang doktor hendaklah melakukan tugas untuk menasihatkan pesakit kepada perkara-perkara baik dan mencegahnya daripada melakukan tindakan-tindakan yang salah dan perbuatan yang buruk.

Allah berfirman dalam Surah 3, Ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu (orang Islam yang benar-benar beriman) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf…”

(Iaitu Tauhid Islamiyah dan kesemua apa yang diperintahkan oleh Islam. Contohnya menyeru pesakit untuk terus melakukan perkara yang Tuhan seru untuk kita lakukan seperti berpuasa, bersembahyang dan menasihati pesakit untuk mengelakkan perkara yang dilarang seperti minum alkohol dan menagih dadah sekiranya pesakit mempunyai tabiat sebegini)

“…..dan mencegah perkara mungkar…..”

(kesyirikan, kekufuran dan segala sesuatu yang dilarang oleh Islam)

“…..dan beriman kepada Allah.”

9. Mengajar Pesakit Nazak Mengucap Dua Kalimah Syahadat

Mengajar pesakit yang sedang nazak untuk mengucap Kalimah Syahadah, iaitu Tiada Tuhan selain daripada Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Muaz bin Jabal yang mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja yang mengucapkan kalimah sebelum meninggal dunia akan memasuki syurga.”

10. Kaedah Merawat Pesakit Wanita

Berkenaan dengan pesakit wanita : Secara idealnya doktor wanita seharusnya memeriksa pesakit wanita. Tetapi sekiranya terdapat keperluan perundangan Islam, doktor lelaki mungkin boleh memeriksa pesakit wanita dan sebaliknya. Dalam kes ini beberapa perkara harus diingat:

a. Seorang doktor lelaki hendaklah memeriksa pesakit perempuan dengan kehadiran jururawat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak seorangpun dibenarkan untuk bersendirian dengan seorang perempuan kecuali muhrimnya (suaminya, anak, abang, ayah, pakcik, saudara mara rapat yang beliau tidak boleh berkahwin).”

b. Seorang doktor hendaklah tidak melihat muka pesakit wanitanya; beliau hendaklah cuba untuk tidak melihatnya sebagaimana Allah berfirman dalam Surah 24, ayat 30 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman; “Hendaklah mereka menahan pandangannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

c. Menasihati pesakit wanita berkenaan dengan bertudung cara Islam.

d. Memeriksa pesakit pada bahagian yang perlu sahaja.

"Kami mohon daripada Allah SWT agar Allah yang Maha Perkasa memberikan kami pertolongan dan petunjuk serta membetulkan kami dalam segenap urusan, niat dan perbuatan kami serta kami bersyukur kepadamu ya Allah yang merupakan satu-satunya Tuhan bagi seluruh alam."

Sumber Rujukan :

Tugas Dan Tanggungjawab Seorang Doktor Muslim
(Dr.Shabib Ibn Ali Al-Hathery)

*************************************************************************************************

Selasa, 29 Julai 2008

Doktor Dan Kerahsiaan Profesional

Assalamualaikum.

Jadi GP (General Practitioner) ni kalau tak boleh bagi ‘education’ pada pesakit rasa tak puas. Ummi tertunggu-tunggu juga kot ada permintaan dari pengunjung blog nak minta ummi sembang pasal apa-apa masalah...he,he...dah tak de permintaan (macam tak laku je blog aku ni..hu,hu), kasi can lah ummi melalut aja ya. Macamana kalau kita sembang bab ‘kerahsiaan profesional’? Dengan macam-macam kes yang berlaku di negara kita sekarang, ramai pula yang berminat nak tahu bab kerahsiaan di antara seorang pesakit dengan seorang doktor.

Sememangnya telah menjadi kewajipan seorang doktor itu merahsiakan seketat-ketatnya segala maklumat yang diperolehinya daripada pesakit sama ada melalui penglihatan, pendengaran atau apa jua kesimpulan yang diambilnya ke atas pesakit. Malah semangat keIslaman lebih-lebih lagilah menekankan hak seorang pesakit bagi dilindungi rahsia mereka yang telah diluahkan kepada doktor. Pengkhianatan ke atas amanah ini sudah pastinya akan menjejaskan imej amalan perubatan selain daripada menjauhkan kumpulan tertentu daripada mendapatkan bantuan rawatan perubatan.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman sentiasa diperintahkan untuk menyimpan rahsia orang lain ... lebih-lebih lagi jika orang itu seorang doktor. Seorang pesakit akan memberitahu rahsia dan meluahkan perasaan mereka kepada doktor dengan rela hati kerana yakin dengan kerahsiaan profesional yang dipegang oleh profesion perubatan semenjak di awal zaman lagi. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa tiga ciri-ciri orang munafik ialah: "Bila dia bercakap dia bohong, bila dia berjanji dia mungkir dan bila disuruh memegang amanah dia khianati".

Merenung kepada hadith di atas...sepanjang praktis, dilema yang ummi hadapi bukannya keperluan untuk ummi membohongi, memungkiri janji atau mengkhianati pesakit tetapi kehendak sebahagian kecil pesakit, ummi ulangi..sebahagian kecil (tidak semua) yang datang berjumpa ummi, meminta supaya dipalsukan kos rawatan, sebahagian kecilnya datang meminta supaya dibuatkan laporan perubatan palsu bagi berbagai tujuan atau kepentingan sendiri dan ada juga yang datang serta merayu-rayu mohon dilaporkan penemuan (findings) yang berbeza kepada ahli keluarga, juga atas kepentingan sendiri! Astaghfirullahal’azim...bukankah itu juga tergolong dalam amanah yang dikhianati? Amanah Allah terhadap diri ini! Kalaulah tidak kerana ikrarku...

Bahawa saya akan menghidupkan keimanan saya semasa berseorangan atau di khalayak ramai, mengelakkan perkara yang boleh mencemarkan saya pada pandangan Allah, RasulNya dan orang beriman yang lain...

Maka terkadang terlintas di hati ini...bagaimana sekiranya dalam satu situasi yang tidak dijangka, dalam kita berusaha menegakkan kebenaran serta dalam usaha kita mempertahankan keimanan terhadap Allah dan RasulNya, tiba-tiba tidak ada cara lain lagi yang boleh membantu kita mempertahankannya selain daripada kita terpaksa membuka sebahagian kecil ’kerahsiaan profesional’ yang sentiasa dipertahankan itu? Ya Allah...jauhkanlah diri ini daripada sebarang fitnah dunia dan fitnah akhirat...

Semoga para pengunjung blog yang ummi raikan mampu memberikan pandangan, cadangan, luahan dan ungkapan untuk perkongsian bersama...

Siiru ’ala baarakatillah...
*************************************************************************************