Memaparkan catatan dengan label 25 Siri Rawatan Untuk Pesakit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 25 Siri Rawatan Untuk Pesakit. Papar semua catatan

Selasa, 3 November 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 20

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini ummi seringkali menerima aduan dari pesakit yang boleh dikategorikan dalam lingkungan aduan penyakit wahmi atau penyakit yang disangka. Ianya bukan penyakit hakiki, bahkan ia hanyalah sangkaan semata-mata. Entahlah, mungkin kerana masyarakat kita sekarang ini terlalu terdedah kepada data maklumat mengenai penyakit dari pelbagai sumber. Maka sedikit demi sedikit ianya telah menyebabkan individu-individu tertentu merasai bahawa penyakit itu ada pada dirinya. Jangan terkejut kalau Ummi katakan terdapat sesetengah pengunjung di Klinik Ummi merasa berang apabila kita memaklumkan kepadanya bahawa dia sebenarnya sihat,tidak perlu risau dengan apa yang disangkanya. Malah ada sesetengahnya yang seolah-olah memaksa doktor untuk membuat diagnosis kanser terhadap diri beliau! MasyaAllah…..

Siri 25 Rawatan Hakiki Untuk Pesakit kali ini membawakan pendedahan kepada kita terhadap jenis penyakit wahmi ini. Jom sama-sama kita hayati dan mengambil pengiktibaran daripadanya….

*************************************************************************************

Penyakit terbahagi kepada dua bahagian. Pertama penyakit hakiki atau sebenar dan kedua adalah penyakit yang disangka atau wahmi.

Bagi penyakit hakiki, Tuhan yang maha bijaksana lagi maha mulia menjadikan penawar bagi setiap penyakit. Penawar itu disimpannya di dalam khazanah farmasinya yang agung iaitu mukabumi ini. Penawar-penawar itu memerlukan penyakit.

Tuhan menciptakan setiap penyakit ada ubatnya. Oleh itu, menggunakan penawar bagi tujuan perubatan adalah dibenarkan. Tetapi kita mesti mengetahui penyembuhan dan kesan ubat tidak berlaku melainkan daripada Tuhan.

Sebagaimana Tuhan mengurniakan penyakit, begitulah juga Dia mengurniakan penyembuhan. Seorang muslim mesti berpegang teguh dengan tunjuk ajar dan arahan doktor yang pakar. Ia adalah rawatan yang penting, kerana kebanyakan penyakit lahir daripada penggunaan ubat yang tidak betul, tidak berpantang, tidak menghiraukan tunjuk ajar yang diberikan, boros, dosa, kebodohan dan tidak berhati-hati.

Tidak syak lagi, seorang doktor yang baik memberikan nasihat dan pesanan dalam batas sempadan yang dibenarkan. Dia juga memberikan amaran akibat daripada penggunaan ubat dengan cara yang tidak betul.

Di samping itu dia juga sentiasa menghiburkan hati pesakitnya dan memberikan pengharapan. Ini menyebabkan sesuatu penyakit yang ditanggung oleh pesakit berkurangan kerana nasihat, pesanan dan hiburan yang diberikan ole doktor.

Manakala mengenai penyakit ‘yang disangka’ atau wahmi, rawatannya yang berkesan adalah dengan ‘tidak menghiraukannya’. Kerana sesuatu ‘yang disangka’ itu dapat membesar apabila ia sentiasa diambil berat. Sekiranya ia tidak dihiraukan, ia pasti mengecil dan mengecut.

Apabila seseorang mengganggu sarang tebuan, semua tebuan berkumpul dan menyerangnya, tetapi apabila dia tidak menghiraukan sarang itu, tebuan itu pasti berpecah-pecah dan berselerak.

Sekiranya seseorang itu sentiasa bermain-main dengan khayalan, khayalannya itu pasti menjadi besar. Contohnya dengan berkhayal wujudnya seutas tali yang tergantung dalam gelap, menyebabkannya melarikan diri seperti orang gila yang dalam ketakutan.

Tetapi sekiranya dia tidak ambil peduli dengan khayalannya itu, pasti dia mengetahui apa yang disangkanya itu hanyalah seutas tali, bukannya seekor ular yang besar. Lalu dia berasa malu pada sangkaannya yang bukan-bukan.

Begitu juga dengan sakit ‘yang disangka’ ini, sekiranya banyak dan membesar, ia pasti bertukar menjadi penyakit hakiki. ‘Sangkaan’ di sisi seseorang yang sensitive dan panic adalah penyakit yang menyusahkan, kerana dia menjadikan sesuatu yang kecil itu menjadi besar.

Dengan itu kekuatan sebenarnya pasti lenyap, terutamanya semasa dia hanya menemui doktor palsu berhati keras yang tidak memiliki perasaan kasihan belas ataupun doktor yang tidak bersikap adil.

Doktor ini menghasut dan membangkitkan lagi sangkaannya sehingga seiranya dia seorang yang kaya menjadi miskin ataupun hilang akalnya, bahkan dia boleh kehilangan kesihatannya sama-sekali.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

*************************************************************************************

Khamis, 22 Oktober 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 19

Assalamualaikum.

Sungguh benar sekali hidup ini ibarat roda. Wujudnya pertemuan, wujud juga perpisahan. Wujudnya kehidupan, wujud juga juga kematian. Ada masanya gembira, ada ketikanya sedih. Ada masanya sihat, ada juga masanya sakit.

Pagi ini Ummi bangun dalam keadaan seluruh badan terasa sengal dan sakit. Sejak semalam lagi Ummi dah mula sakit-sakit badan. Bukan kerana demam. Mungkin kerana terlalu banyak berjalan ke sana ke mari semasa di KLIA. Almaklum, dah lama tak bersenam. Sekali berjalan jauh, urat dan sendi habis tegang! Terpaksa ‘pain killer’ ditelan bagi melawan kesakitan. Bila dah terkena ‘pain killer’, ringan terasa badan. Barulah terasa, “Ya Allah, nikmatnya sihat yang engkau kurniakan buat hambaMu selama ini!”

Lantas teringat kembali Ummi, dah lama rupanya Ummi tak update ‘Siri Rawatan Untuk Pesakit’. Hanya setakat 18 siri. Masih ada 7 siri yang ketinggalan. Makanya, hari ini izinkan Ummi untuk kembali menyambung tulisan Badiuzzaman Said Nursi dalam siri ini, sekadar untuk memperingati diri sendiri dalam menghadapi kemelut putaran roda kehidupan….

*************************************************************************

Perkataan al-asma’ al-husna yang digunakan bagi menggambarkan semua nama-nama Tuhan yang maha indah lagi maha mulia menunjukkan semua nama-nama itu adalah indah.

Kehidupan adalah cermin ketuhanan yang indah dan halus. Cermin kepada sesuatu yang indah adalah indah juga. Cermin yang menyinari keindahan sesuatu yang indah juga menjadi indah. Segala sesuatu yang indah yang mengenai cermin itu menjadi indah juga.

Oleh itu daripada sudut hakikat, segala yang menimpa kehidupan ini adalah indah kerana ia sebenarnya memperlihatkan buatan ukiran yang indah bagi nama-nama Tuhan yang indah itu.

Sekiranya kehidupan terus menerus berada dalam keadaan sihat, pasti ia menjadi tidak sempurna. Bahkan sedikit sebanyak kehidupan menjadi sia-sia. Demikian itu, ia pasti mengalami kesempitan. Kesenangan umurnya bertukar menjadi sakit dan dukacita.

Malangnya manusia sering terjerumus ke dalam lumpur kebodohan yang merampas segala kesenangan hidup mereka meskipun sebelum umurnya berakhir. Ia adalah seumpama banduan yang memusuhi umurnya yang berharga itu, lalu membunuh dirinya dengan segera kerana mahu menamatkan tempoh tahanannya.

Kehidupan yang dipenuhi dengan pelbagai perubahan serta mengalami keadaan dalam pelbagai bentuk dan peringkat, pasti mempunyai nilai dan kehidupannya yang tinggi. Kehidupan seumpama ini menyebabkan umur adalah penting dan memberikannya nikmat yang menakjubkan.

Sehinggakan kita dapati seorang itu tidak mahu umurnya berlalu meskipun dia mengalami pelbagai jenis kesulitan dan musibah. Dia sedikitpun tidak mengeluh dan menyesalinya. Dia berkata, “Harap-harap matahari tidak tenggelam dan malam tidak berlalu.”

Sebaliknya kita boleh bertanya kepada orang kaya yang tidak berbuat apa-apa. Segala yang diingini boleh diperolehnya dengan mudah. Tanyalah kepadanya, “Bagaimana keadaan saudara?”

Kita pasti akan mendengar dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang menggambarkan kesakitan dan penyesalan, seperti, “Aah…Kenapa lambat benar masa ini berlalu? Mahukah saudara datang kepada saya dan kita mencari suatu permainan yang boleh mengisi masa kita ini? Marilah kita bermain terup sekejap!”

Kita mungkin mendengar berbagai-bagai pengaduan yang menunjukkan dia adalah seorang yang mempunyai angan-angan yang panjang seperti, “Pekerjaan saya ada kekurangan. Adalah baik sekiranya saya berbuat sekian-sekian…”

Tetapi sekiranya kita bertanya kepada seorang fakir yang dilanda musibah ataupun seorang fakir yang giat bekerja, “Bagaimana keadaan saudara?”

Sekiranya dia seorang yang mendapat petunjuk, dia berkata, “Saya berada dalam keadaan yang baik. Syukur ke hadhrat Tuhan. Segala puji bagi Tuhan. Ribuan kesyukuran buat Tuhanku. Saya sentiasa berusaha. Adalah baik sekiranya matahari tidak tenggelam dengan cepat supaya saya dapat menghabiskan kerja saya. Waktu cepat berlalu.”

Orang fakir itu menambah lagi, "Umur juga berlalu tanpa berhenti. Meskipun sebenarnya saya berada dalam keadaaan kesusahan dan kesulitan, tetapi ia tetap berakhir juga. Semua perkara berada di atas landasan yang sama!”

Situasi lelaki fakir ini sebenarnya menggambarkan nilai dan kepentingan umur di samping kedukacitaannya pada umur yang melarikan diri daripadanya. Oleh itu, dia mengetahui nikmat umur dan nilai kehidupan hanya diperoleh melalui kesukaran dan kesulitan.

Manakala kemewahan dan kesihatan menjadikan kehidupan ini pahit dan membebankan kerana ia menyebabkan seorang itu bercita-cita supaya dapat menyelamatkan diri daripadanya dengan segera.


Musibah, kejahatan dan dosa berpunca daripada ‘ketiadaan’ sebagaimana dibuktikan dengan bukti yang kukuh. ‘Ketiadaan’ adalah keburukan dan kegelapan sepenuhnya.

Berehat dan menikmati kesenangan adalah menyamai sifat yang sia-sia. Persamaan ini menjadikan kehidupan diselaputi dengan kegelapan yang wujud pada ‘ketiadaan’ seterusnya menjadikannya berada dalam keadaan keluh-kesah dan kesempitan.

Manakala keadaan, pergerakan dan perubahan pula adalah kewujudan dan menjadikan kehidupan itu dirasai kewujudannnya. Kewujudan adalah kebaikan dan cahaya yang sejati.

Hakikatnya, penyakit yang berada pada diri kita sebenarnya adalah tetamu yang diutus kepada kita bagi melaksanakan tugasnya yang banyak. Tugasnya adalah membersihkan, menguatkan dan mempertingkatkan kehidupan kita serta mengarahkan seluruh jentera lain yang berada dalam diri kita supaya membantu anggota badan kita yang sakit.

Dia juga menampilkan ukiran segala nama-nama Tuhan yang maha pembuat lagi maha bijaksana. Dengan izin Tuhan, tugasnya berakhir tidak lama lagi. Ia pergi melaksanakan tugasnya yang lain pula. Ia berkata kepada keadaan sihat, “Marilah ke sini sekarang menggantikan tempat saya selamanya. Mulakan semula tugas saudara. Inilah tempat saudara. Terimalah dan tinggallah di sini dalam keadaan baik.”

*************************************************************************************

Sabtu, 28 Mac 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 18

Assalamualaikum

http://websitifatimah.files.wordpress.com/2009/01/air-sakit.jpg

Kita tidak digalakkan merungut dalam sesuatu perkara yang menimpa. Rungutan wujud apabila kita kehilangan hak manfaat yang dikecap sebelumnya. Kita belum menunaikan hak kita kepada Tuhan. Oleh itu kita sepatutnya berbuat demikian dengan bersyukur kepadaNya.

Kadangkala kita juga merungut pada sesuatu yang batil, seolah-olah kita benar dalam tindakan itu. Kita tidak berhak merungut dengan melihat kepada orang yang lebih sihat daripada kita, sepatutnya kita melihat kepada orang yang lebih lemah dan lebih teruk sakit yang dialaminya daripada kita.

Kita sebenarnya ditugaskan supaya selalu dan banyakkan bersyukur. Sekiranya tangan kita patah, kita perlu melihat kepada tangan yang terpaksa dipotong. Sekiranya kita hanya memiliki sebelah mata sahaja, kita perlu melihat kepada mereka yang kehilangan kedua-dua belah mata. Ini adalah supaya kita bersyukur kepada Tuhan.

Apabila seseorang itu dilimpahi dengan kenikmatan, dia tidak berhak melihat orang yang lebih baik kedudukannya. Kerana ini menambahkan lagi rungutan dalam dirinya. Dan sekiranya ditimpa bencana, seseorang itu mesti melihat kepada orang yang lebih teruk ditimpa bencana. Dengan berbuat demikian, mereka lebih bersyukur dengan apa yang mereka peroleh. Rahsia ini dijelaskan dalam sebahagian risalah yang lain.

Contohnya seperti berikut, “Seorang lelaki memimpin tangan seorang miskin menaiki sebuah menara sehingga ke puncaknya. Lelaki itu memberikan hadiah kepada si miskin pada setiap tingkat menara. Akhirnya ketika sampai di puncak menara, lelaki itu memberikan hadiah yang besar dan berharga kepada si miskin itu.”

Menurut risalah itu lagi, “Sepatutnya lelaki miskin itu mengucapkan terimakasih kerana pelbagai jenis hadiah yang diberikan kepadanya. Sama ada dia lupa pada segala hadiah yang diterimanya di setiap tingkat menara ataupun dia menganggapnya tidak bernilai, lalu dia tidak berterima kasih kerana dia melihat kepada orang yang lebih tinggi darjatnya daripada dirinya.”

Seterusnya lelaki miskin itu berkata dan merungut, “Sekiranya menara ini lebih tinggi, pasti saya boleh mencapai darjat yang lebih tinggi. Kenapa ketinggian menara ini tidak sama dengan bukit di sana ataupun menara di sebelah?”

Sekiranya lelaki miskin tadi merungut sedemikian rupa, sememangnya dia memperolehi kekufuran nikmat dan hak yang melampau.

Demikian juga halnya dengan keadaan manusia yang datang ke dunia ini daripada ‘ketiadaan’, dengan menjadi muslim yang banyak memperoleh segala jenis nikmat kesihatan serta dapat mengecap darjat kenikmatan yang tinggi. Meskipun begitu dia tetap merungut tidak kira sama ada ketika ditimpa penyakit ataupun kerana dia sendiri yang mensia-siakan nikmat yang diperoleh disebabkan kesalahan sendiri.

Dia dikurniakan nikmat tetapi dia tidak menggunakannya dengan baik. Dia juga dikurniakan nikmat, tetapi dia tidak mampu mencapai nikmat itu. Ini menyebabkan dia berkata, “Apakah yang sudah aku lakukan, sehingga berlaku kepadaku apa yang berlaku?”

Dia berkata demikian dalam keadaan yang mengkritik rububiyyah dan uluhiyyah Tuhan. Keadaan ini menggambarkan kesakitan yang sebenar dan musibah yang lebih besar daripada penyakit dan musibah yang dialaminya. Dia sebenarnya menambahkan sakitnya dengan rungutan itu, contohnya seperti seseorang yang memasuki pertandingan gusti sedangkan tangannya tercedera.

Tetapi orang yang berakal sentiasa mengingati kata-kata Tuhan yang etrkandung di dalam al-Qur’an surah al-Baqarah ayat 156 yang bererti, “Apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Tuhan dan kepadanya jua kami kembali.”

Lalu dia menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan dalam keadaan sabar sehingga penyakit itu berakhir dan menjalankan tugas seterusnya.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************

Ahad, 8 Mac 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 17

Assalamualaikum.

Kita perlu sentiasa bersyukur. Saya ingin memberitahu berita gembira. Penyakit yang kita alami itu sesungguhnya dapat membuka pintu kebajikan yang paling tulus! Di samping itu ia membawa pahala yang besar dan berterusan kepada pesakit dan orang-orang yang menjaganya. Ia adalah cara terpenting yang menyebabkan doa kita diterima.

Rasulullah SAW menegaskan, “Ziarah pesakit yang paling baik pahalanya adalah apabila orang yang menziarahi itu segera bangun dari sisi pesakit.”

Menjaga orang sakit boleh mendatangkan pahala yang besar kepada orang yang beriman. Menziarahi dan bertanya khabar mengenai kesihatan dan kerehatan mereka juga merupakan amalan sunnah yang mulia dan boleh menghapuskan dosa dalam waktu yang sama, dengan syarat tidak menyusahkan mereka.

Terdapat hadis yang menyuruh kita supaya meminta orang sakit berdoa kerana doanya adalah mustajab atau diterima. Khususnya apabila pesakit itu terdiri daripada kerabat terdekat kita, seperti ibu ataupun bapa.

Sekiranya kita memberikan khidmat kepada mereka semasa mereka sakit, ia adalah ibadat penting dan pada masa yang sama ia juga adalah pahala yang besar. Menenangkan dan menggembirakan hati orang yang sakit adalah sedekah yang penting. Anak-anak yang menjaga dan yang menggembirakan hati kedua-dua ibubapa yang sensitif itu memperoleh doa ibubapa mereka yang mustajab.

Hakikatnya, yang berhak mendapat penghormatan dan kedudukan yang lebih tinggi di dalam kehidupan bermasyarakat adalah kasih-sayang kedua ibubapa dan jasa anak-anak yang baik yang membalasnya dengan memberikan penghormatan dan kasih-sayang kepada mereka semasa sakit.

Situasi ini adalah pandangan kesetiaan yang menampilkan kebajikan yang tinggi di sisi anak. Sifat kemanusiaan yang tinggi juga membangkitkan rasa takjub seluruh makhluk sehingga para malaikat mengalu-alukannya dengan bertahlil, bertakbir serta meninggikan suara mereka dengan berkata, “MasyaAllah. Barakallah.”

Rasulullah SAW bersabda, “Doa orang sakit adalah mustajab dan dosanya diampunkan.”

Perasaan kasih-sayang, kasihan-belas dan rahmat yang dimiliki pesakit dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggung. Seterusnya mereka dapat mengecap kenikmatan yang manis dan menggembirakan.

Penerimaan doa pesakit adalah satu perkara yang patut diberikan perhatian. Semenjak empat puluh tahun lalu, saya sering berdoa supaya disembuhkan daripada sakit yang saya alami di bahagian belakang saya. Kemudian barulah saya mengerti, sakit yang dialami dikurniakan ganjaran kepada seseorang apabila dia berdoa.

Doa adalah ibadat, kerana seorang pesakit berlindung di bawah lindungan Ilahi semasa berada dalam keadaan lemah. Oleh itu walaupun sudah 40 tahun saya berdoa supaya sakit di bahagian belakang saya sembuh, tetapi tidak diterima, namun itu tidak sedikitpun memalingkan saya ataupun menjadikan saya terfikir supaya meninggalkan doa meskipun sehari.

Ini adalah kerana sakit adalah waktu dan ketika untuk berdoa. Sembuh pula bukan kesan daripada doa, bahkan ia adalah pemberian Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Pengasih berdasarkan kelebihan dan kemuliaanNya semata-mata.

Sekiranya kita berdoa dan doa kita itu tidak diterima, kita tidak boleh mendorong diri kita supaya berkata doa itu tidak diterima. Tuhan yang Maha Mencipta lagi Maha Bijaksana itu lebih mengetahui daripada kita.

Kita adalah jahil. Tuhan memberikan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada kita. Kadang-kadang Tuhan menyimpan doa-doa keduniaan kita itu supaya kita mendapat faedahnya di akhirat nanti.

Bagaimanapun, doa yang lahir daripada keikhlasan dan rahsia penyakit yang datang daripada sifat kelemahan dan kehinaan adalah hampir diterima. Sakit adalah asas kepada doa yang ikhlas seperti ini. Justeru itu, orang yang sakit dan mereka yang menjaganya semasa sakit sepatutnya mengambil faedah daripada doa ini.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************

Sabtu, 28 Februari 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 16

Assalamualaikum.

Penyakit yang dialami sebenarnya mengajar orang yang mengalaminya mengenai ikatan dalam kehidupan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang penting dan indah, iaitu saling hormat menghormati dan perasaan berkasih sayang.

Ikatan ini boleh menyelamatkan manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain, kerana sifat ini menyebabkan seseorang itu hidup dalam kealpaan, terasing dan liar serta menghilangkan sifat kasihan belas daripada dirinya.

Sebagaimana Tuhan menjelaskan di dalam al-Qur’an surah al-‘Alaq ayat 6 dan 7 bererti,

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Kerana dia melihat dirinya serba cukup.”

Sekiranya seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan sihat yang berpanjangan, kemungkinan dia bersifat tidak memerlukan orang lain. Jiwa amarahnya itu tidak memberikan penghormatan selayaknya pada hubungan persaudaraan. Dia juga tidak memiliki perasaan rahmat dan belas kasihan pada mereka yang ditimpa musibah.

Berbeza pula dengan keadaan sebaliknya, seorang yang ditimpa penyakit lebih memahami betapa lemahnya dia. Dia juga memerlukan orang lain bagi membantu menghilangkan bebanannya. Dengan itu, dia menghormati saudara-saudaranya yang beriman kerana menjaganya ataupun yang datang menziarahinya semasa sakit.

Di samping itu, dia memiliki perasaan kasih sayang yang merupakan sifat keislaman yang penting pada mereka yang ditimpa musibah. Sekiranya mampu dia pasti menghulurkan bantuan kepada mereka. Sekiranya tidak, dia mendoakan mereka ataupun menziarahi serta bertanya khabar mengenai keadaan dan kesihatan mereka.

Dengan itu, dia sudah melaksanakan satu sunnah yang dituntut dan memperoleh balasan pahala yang besar.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************

Khamis, 19 Februari 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 15

Assalamualaikum.

Kita tidak dibenarkan mengeluh dan berasa resah memandang kepada zahir penyakit kita. Bahkan kita perlu melihat kepada makna dan kandungannya. Kita juga mesti bergembira di samping berkata, “Alhamdulillah.”

Sekiranya penyakit itu tidak mengandungi pengertian yang indah, pasti Tuhan yang maha Mencipta lagi Maha Pengasih tidak akan menguji makhlukNya yang dikasihi daripada kalangan hambaNya dengan pelbagai jenis penyakit.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan, “Golongan manusia yang banyak terkena bala adalah para nabi, kemudian para wali, kemudian golongan yang seumpama mereka dan begitulah seterusnya.”

Orang yang teruk dikenakan bala adalah Nabi Ayub, seorang yang penyabar. Kemudiannya diikuti pula oleh para nabi yang lain, kemudian para wali dan juga para salihin. Kesemua mereka menerima penyakit dengan menganggapnya sebagai ibadat ikhlas dan hadiah ketuhanan.

Mereka melaksanakan tugas kesyukuran di samping kesabaran yang mereka tunjukkan. Mereka melihatnya sebagai sejenis operasi pembedahan yang dikurniakan oleh Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih kepada mereka.

Sekiranya kita berhasrat menyertai kumpulan nurani ini, kita perlu bersyukur di samping banyak bersabar. Sekiranya kita sentiasa mengadu, ini menyebabkan mereka enggan menggabungkan kita bersama kumpulan mereka. Bahkan kita mencampakkan diri sendiri ke dalam gaung kealpaan. Seterusnya kita melalui jalan yang penuh dengan kegelapan.

Ada beberapa jenis penyakit apabila diakhiri dengan kematian, boleh menyebabkan orang yang mengalaminya memperoleh syahadah atau mati syahid yang hakiki seterusnya mendapat kedudukan wali di sisi Tuhan.

Antara penyakit itu adalah yang disebabkan oleh melahirkan anak, penyakit di dalam perut, lemas, terbakar dan taun. Sekiranya seseorang meninggal dunia kerana perkara-perkara di atas, darjatnya akan ditinggikan sehingga mendapat syahadah hakiki.

Apabila seseorang ditimpa kesakitan, secara tidak langsung perasaan cinta mereka pada kehidupan dunia serta keseronokan di dalamnya juga dapat dikurangkan. Selain daripada itu, kita dapat mengelak daripada bergantung harap sepenuhnya kepada kehidupan duniawi.

Ia juga dapat mengurangkan perasaan sedih dan pahit kerana berpisah dengannya seperti yang dialami oleh ahli dunia semasa mereka meninggalkan dunia ini. Bahkan penyakit boleh menyebabkan ia berasa kasih dan suka kepada kematian.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************

Rabu, 18 Februari 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 14

Assalamualaikum.

Kepada pesakit yang mengalami katarak (cataract), sekiranya saudara mengetahui terdapat cahaya dan mata sebenar yang tersembunyi di sebalik mata orang yang beriman, saudara pasti berkata, “Terima kasih kepada Tuhan saya yang Maha Mengasihani.”

Bagi menjelaskan rawatan ini, saya membawa cerita berikut:

Sulaiman yang berasal dari Barla sentiasa berkhidmat untuk saya tanpa jemu meskipun bagi tempoh sehari. Beliau tidak berasa sempit dada pada saya sepanjang lapan tahun berkhidmat untuk saya bahkan dia memberikan sepenuh kesetiaan dan penghormatan.

Beliau mempunyai seorang ibu saudara. Ibu saudara beliau ini menjadi buta dan tidak dapat melihat. Perempuan itu bersangka baik pada saya melebihi apa yang saya patut terima. Dia bergantung pada saya semasa saya dalam perjalanan keluar dari masjid dengan berkata, “Saya memohon dengan nama Tuhan supaya saudara turut berdoa kepada Tuhan bagi menyembuhkan mata saya ini.”

Lantas dengan segera saya berdoa kepada Tuhan dengan menjadikan kesalihan wanita beriman itu sebagai syafaat dan penguat doa saya. Saya berdoa kepada Tuhan dengan penuh tadharru’ dan tawassul dengan berkata, “Ya Tuhan! Dengan kelebihan wanita soleh ini, kembalikanlah penglihatannya.”

Pada hari berikutnya, seorang doktor pakar mata dari wilayah Burdur yang berhampiran datang merawat wanita itu. Lalu Tuhan mengembalikan penglihatannya. Tetapi empat puluh hari kemudian, matanya kembali kepada keadaan asal, iaitu tidak dapat melihat semula.

Saya berasa dukacita dan banyak berdoa. Saya berharap supaya doa yang saya lakukan itu dipenuhi meskipun di akhirat nanti, kerana sekiranya tidak, doa saya itu menjadi bencana kepadanya dengan tidak disengajakan. Namun perempuan itu hanya hidup empat puluh hari sahaja selepas itu, kerana selepas itu beliau menemui Tuhannya.

Wanita itu tidak sempat memperoleh rahmat menikmati pandangan indah taman-taman di Barla. Pandangannya yang disembunyikan Tuhan bagi tempoh empat puluh hari itu digantikan dengan dapat melihat syurga di dalam kuburnya. Di samping itu menyaksikan ribuan taman-taman syurga yang menghijau selama empat puluh ribu hari. Semua ini adalah balasan kerana keimanannya yang mendalam dan kesalihannya yang tinggi.

Apabila seorang mukmin itu buta, kemudian memasuki kubur dalam keadaan demikian, dia mampu melihat cahaya dunia berdasarkan darjat kedudukannya. Dia juga dapat melihat dengan pandangan yang luas berbanding dengan pandangan ahli kubur yang lain.

Ini adalah kerana sebagaimana kita yang mampu melihat dengan mata kebanyakan benda yang wujud di atas dunia ini, begitu juga yang dapat dilakukan oleh orang buta yang beriman semasa mereka berada di dalam kubur. Sekiranya darjat keimanan mukmin buta itu tinggi, mereka dapat melihat lebih banyak lagi berbanding ahli kubur yang lain.

Mereka menyaksikan taman-taman dan kenikmatan syurga seolah-olah mereka dibekalkan dengan teropong yang kuasanya adalah berdasarkan darjat masing-masing. Teropong ini dapat menangkap pandangan-pandangan syurga yang indah dan mempersembahkannya seperti layar di dalam panggung wayang di hadapan mata mereka yang tidak dapat melihat semasa berada di dunia.

Kesimpulannya, kita mampu memperolehi mata nurani dengan bersabar dan bersyukur. Apa yang perlu kita lakukan adalah membuang penutup yang menutupi mata kita supaya kita dapat melihat dengan mata nurani iaitulah Al- Qur’an.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************************

Rabu, 12 November 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 13

Assalamualaikum.

Bagi sesetengah orang, sakit menjadi khazanah yang berharga dan hadiah yang bernilai buat mereka. Kita tidak mengetahui dan tidak diberitahu bila tibanya ajal. Ini adalah untuk menyelamatkan manusia daripada kekecewaan dan kelalaian.

Di samping itu ia mengekalkan manusia untuk terus berada dalam keadaan takut dan mengharap di samping memelihara dunia dan akhiratnya daripada terhumban ke dalam gaung kerugian.

Lantaran itu, ajal perlu dijangkakan ketibaannya setiap waktu. Sekiranya ajal seseorang tiba sedangkan semasa itu dia tenggelam dalam kelalaian, ajal itu menyebabkannya mendapat kerugian yang besar dalam kehidupannya di dunia dan di akhirat. Maka sakit yang dialami itu sepatutnya dapat menyedarkan dan memusnahkan kelalaiannya.

Seterusnya dia sentiasa mengingati akhirat dan tidak lupa pada kematian di samping bersiap-sedia menghadapinya. Kemungkinan sakit yang dialami memberikannya keuntungan besar. Sehinggakan dia berupaya mencapai tahap yang tinggi dalam masa 20 hari apa yang tidak mungkin dicapainya dalam masa 20 tahun.

Sebagai contoh : Terdapat dua orang pemuda (semoga Tuhan merahmati kedua-duanya) di kalangan murid-murid saya. Pemuda pertama bernama Sabri dari Kampung Ilama dan seorang lagi bernama Mustafa Wazir dari Kampung Islam.

Meskipun kedua-duanya buta huruf, namun saya kagum pada kesetiaan, kebenaran dan khidmat besar mereka pada iman sehingga saya menganggap mereka sebagai golongan kelas pertama. Pada masa itu saya tidak mengetahui hikmahnya tetapi selepas kematian mereka saya mendapat tahu mereka berdua rupanya mengalami dua jenis penyakit yang kronik.

Akibat penyakit itu mereka menjadi orang yang bertaqwa dan sentiasa berusaha memberikan khidmat mulia yang memberikan manfaat kepada akhirat mereka. Berlainan dengan para pemuda lain yang lalai dan lupa pada tanggungjawab mereka.

Oleh itu saya bermohon kepada Tuhan supaya menggantikan dua tahun kesabaran dan kesakitan yang dialami oleh mereka semasa hidup mereka di dunia dengan menjadikan tahun kebahagiaan hidup yang abadi di akhirat.

Sekarang baru saya faham. Doa saya supaya mereka sembuh sebenarnya merupakan sebaliknya dari sudut dunia. Namun saya berharap Tuhan memenuhi permintaan saya itu bagi kesenangan mereka di akhirat kelak.

Ini kerana saya yakin sebab daripada itulah mereka berdua memperoleh keuntungan yang manyamai hasil usaha dan ketaqwaan yang dilakukan oleh seorang yang lain dalam tempoh sepuluh tahun.

Sekiranya kedua mereka itu bermegah-megah dengan kesihatan yang mereka miliki, sebagaimana sesetengah pemuda hari ini yang terperangkap dalam kelalaian dan kealpaan, melakukan dosa dan hidup dalam kegelapan walaupun di saat-saat kematian, pasti kubur mereka dipenuhi kala jengking dan ular dan dijauhi daripada nikmat cahaya dan kebahagiaan.

Oleh kerana penyakit sebenarnya mengandungi manfaat yang banyak, sama sekali kita tidak patut mengadu semasa mengalaminya. Malah kita wajib berpegang teguh pada rahmat Ilahi dengan penuh tawakkal dan sabar di samping memuji dan mengucapkan kesyukuran.

Nabi Muhammad SAW menegaskan, “Seorang lelaki mempunyai suatu kedudukan di sisi Tuhan. Dia tidak mencapai kedudukan itu dengan amalan. Lalu Tuhan mengujinya dengan sesuatu yang tidak disukainya sehingga akhirnya dia mencapai kedudukan itu.”

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************************

Khamis, 6 November 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 12

Assalamualikum.

Buat pesakit yang tidak dapat beribadat dan melakukan zikir-zikir yang lain kerana sakit serta berdukacita kerana tidak dapat melakukannya…

Ingatlah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermakssud:

“Apabila seorang hamba sakit ataupun musafir, Tuhan menulis pahala baginya sebagaimana yang biasa dilakukannya semasa berada dalam keadaan bermukim dan sihat.”

Nah! Seorang mukmin yang bertaqwa akan terus menerima pahala amalan ibadat yang sudah pernah dilakukannya meskipun semasa dia sedang sakit. Keadaan sakitnya tidak menghalang dia daripada terus memperoleh pahala.

Seorang pesakit yang menunaikan ibadat fardhu atau wajib sekadar kemampuannya, maka keadaan sakitnya itu dapat menggantikan seluruh ibadat sunat semasa dia berada dalam keadaan yang sakit semata-mata kerana pesakit itu dapat menghadapi penyakitnya dengan penuh kesabaran, bertawakkal dan tetap menunaikan ibadat yang fardhu.

Penyakit juga menyebabkannya berasa lemah. Lalu dia kembali kepada Tuhan dengan perasaan lemah melalui doa. Kelemahan tidak terbatas yang diletakkan oleh Tuhan di dalam diri manusia adalah bertujuan supaya manusia sentiasa memohon perlindungan kepada Tuhan dengan berdoa dalam keadaan penuh pengharapan.

Lihat sahaja hikmah di sebalik penciptaan manusia dan sebab asasi tugasnya untuk berdoa, berdasarkan kandungan suci ayat al-qur’an yang dipetik daripada surah al-Furqan ayat 77 bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad, Tuhanku tidak menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya.”

Oleh kerana sakit itu adalah sebab bagi melakukan doa yang tulus ikhlas, maka tidak sepatutnya seseorang itu mengadu sakit, bahkan mereka wajib bersyukur!

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

*************************************************************************************

Isnin, 3 November 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 11

Assalamualaikum.

Wahai Hamba Yang Sedang Diuji Kesabarannya;


Di sebalik kesakitan yang kita alami, ia juga memberikan kenikmatan yang sebenar kepada kita selepas ditarik daripada kehilangan penyakit pada masa lalu. Di samping itu, kita juga memperoleh pahala daripada kesakitan yang kita alami. Selepas hari ini, bahkan selepas sejam kemudian kita tidak lagi berasa kesakitan.

Tidak diragukan lagi, sakit tidak berlaku begitu sahaja tanpa disebabkan oleh sesuatu. Kegelisahan dan kekeluhan tidak wujud sekiranya tidak ditimpa kesakitan. Kerana salah sangka, maka kegelisahan menyelubungi kita. Sedangkan kesakitan pada tempoh itu sudah hilang bersama hilangnya sakit yang dialami semasa tempoh sakit yang zahir itu.

Mengingati penyakit yang dialami dahulu menyebabkan kita berasa sakit dan adakalanya hilang sabar. Ini tidak wajar berlaku. Sedangkan kita sepatutnya berasa lega kerana ia sudah sembuh dan kerana kita telah memperoleh balasan pahalanya.

Bukankah satu kebodohan sekiranya sekarang ini kita menyibukkan diri dengan berfikir mengenai hari yang belum dilahirkan lagi, mengenai penyakit yang belum berlaku dan juga mengenai kesakitan yang belum terjadi?

Kita tidak perlu membazirkan kekuatan kesabaran yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita dengan mencampakkannya ke kiri dan ke kanan. Bahkan, himpunkan ia bagi menghadapi kesakitan yang kita alami ketika ini dengan berkata, “Wahai penyabar! Kita mesti menanggung kesakitan itu dengan penuh kesabaran di samping mengharapkan pahala daripadanya.”

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

*************************************************************************************

Selasa, 16 September 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 10

Assalamualaikum.

Wahai Diri Yang Gundah-Gulana;

Tidak perlu kita merasa gelisah tanpa sebab. Gelisah pada tekanan dan keperitan penyakit hanya akan menambahkan lagi beban sakit yang sedia ada.

Sekiranya kita ingin meringankan kesakitan yang dialami, kita perlu berusaha supaya tidak berada dalam keadaan gelisah, di samping berfikir mengenai faedah yang diperolehi melalui penyakit yang dialami, mengenai pahalanya dan juga mengenai langkah yang seharusnya diambil bagi menyembuhkannya.

Cara ini dapat menghilangkan kegelisahan dan seterusnya menyembuhkan penyakit yang kita alami sehingga ke akar umbinya.

Kegelisahan ataupun perasaan was-was boleh menyebabkan penyakit yang kita tanggung menjadi berat dua kali ganda. Ini kerana kegelisahan itu meniupkan penyakit yang hakiki ke dalam hati kesan daripada penyakit zahir yang kita alami. Maka penyakit zahir yang kita alami itu berkekalan kerana ia mempunyai sandaran daripada penyakit yang hakiki itu.

Sekiranya kita menghilangkan gelisah dan segala bisikan hati yang tidak baik itu, dengan berserah kepada Tuhan dan terima dengan segala ketetapannya juga dengan mengingati hikmat yang diperoleh melalui sakit yang dialami, maka penyakit zahir kita itu menghilangkan salah satu cabangnya yang penting daripada akar umbinya. Lalu penyakit kita itu menjadi lebih ringan kerana satu bahagian daripadanya hilang.

Perasaan gelisah boleh menambahkan lagi rasa sakit dan menyebabkan pesakit mengkritik hikmat dan rahmat Ilahi serta mengadu kesakitan kepada Tuhannya. Oleh itu Tuhan memberi ujian seperti menambahkan lagi penyakitnya bagi membetulkan adab-adabnya, berlawanan daripada apa yang diingininya. Kerana sebagaimana bersyukur boleh menambah nikmat, begitu juga keluhan dan kritikan pasti menambahkan rasa sakit.

Gelisah itu sendiri juga adalah penyakit. Rawatannya hanya melalui pengetahuan kita pada hikmah yang diperoleh melalui sakit yang dialami. Sekiranya kita mengetahui hikmah dan faedahnya, kita dapat menghilangkan kegelisahan kita itu.

Oleh itu, hilangkanlah kegelisahan kita dengan penawar itu. Selamatkan diri kita daripada berkata, “Aduh” sebaliknya kita perlu berkata, “Segala puji bagi Tuhan dalam setiap keadaan.”

*************************************************************************************

Sabtu, 6 September 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 9

Assalamualaikum.

Wahai Diri Yang Resah-Gelisah;


Sebab timbulnya rasa kesakitan, ketakutan dan juga keresahan akibat penyakit adalah kerana penyakit itu kadang-kadang boleh membawa kepada kematian dan kemusnahan. Malah, menurut pandangan mereka yang lalai, kematian pada zahirnya adalah perkara yang menakutkan dan menggerunkan.

Oleh itu, penyakit yang mungkin menjadi sebab kematian itu menyebabkan seorang berada dalam keadaan bimbang dan keluh kesah. Kita perlu mengetahui:

Pertama

Kita perlu beriman dengan penuh yakin...ajal telah ditetapkan dan ia tidak berubah. Seringkali berlaku orang-orang yang menangisi pesakit yang dalam keadaan nazak lebih dahulu mati daripada orang yang mereka tangisi itu, sedangkan mereka memiliki kesihatan yang baik. Tetapi orang yang ditangisi kerana mengidap penyakit yang boleh menyebabkan kematian itu disembuhkan oleh Tuhan dan ia seterusnya dapat hidup lebih lama.

Kedua

Kematian itu sendiri tidak menakutkan, sebagaimana yang kelihatan kepada kita pada zahirnya. Dalam banyak risalah dan juga melalui qur’an, saya menerangkan dengan bukti yang jelas tanpa meninggalkan sebarang keraguan dan kekeliruan.

Kematian bagi seorang mukmin bererti berakhirnya bebanan daripada tugas kehidupan dan kesulitan. Ia juga adalah pembebasan daripada ubudiyyah yang merupakan proses pembelajaran dan latihan di medan dunia yang dipenuhi dengan bala bencana…

Kematian juga adalah pintu bagi menemui sembilan puluh sembilan kekasih dan teman rapat yang pergi terlebih dahulu ke alam akhirat…

Kematian juga adalah cara bagi memasuki halaman tanah air yang hakiki serta tempat tinggal abadi dalam memperoleh kebahagiaan yang kekal…

Kematian juga adalah seruan kepada kita supaya berpindah daripada penjara dunia kepada taman-taman dan kebun-kebun syurga…

Kematian juga adalah peluang yang baik bagi menerima balasan daripada perkhidmatan yang dilaksanakan, balasan yang dikurniakan dengan penuh kemurahan daripada khazanah kelebihan dan kebaikan Tuhan yang Maha Mencipta lagi Maha Mengasihani…

Oleh yang demikian, keadaan kematian daripada sudut hakikat tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang menakutkan. Malah wajib kita menganggapnya sebagai berita gembira bagi memperoleh rahmat dan kebahagiaan.

Ketakutan sesetengah wali-wali Tuhan bukannya pada kematian yang dahsyat itu, tetapi ia adalah kerana mereka masih mahu memperoleh dan membuat lebih banyak kebaikan dan kebajikan. Di samping itu, dengan melanjutkan tempoh masa, mereka boleh meneruskan tugas kehidupan.

Sememangnya kematian bagi ahli keimanan adalah pintu rahmat tetapi bagi ahli kesesatan, ia adalah perigi gelap yang abadi.

-Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

*************************************************************************************

Selasa, 2 September 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 8

Assalamualaikum.

Wahai Hamba Allah Yang Ditimpa Kesakitan,

Sebenarnya sakit yang kita alami umpama tindakan sebuku sabun. Ia membersihkan segala kekotoran yang ada pada diri kita. Penyakit yang dialami itu membuang segala dosa dan menyucikan diri daripada semua kesalahan kita.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, “Tidak ada seorang muslim yang ditimpa kesakitan, melainkan Tuhan menggugurkan kesalahan-kesalahannya, sebagaimana dedaunan pohon yang berguguran.”

Dosa adalah penyakit yang berterusan dalam kehidupan yang abadi. Dalam kehidupan di dunia ini, ia adalah penyakit sebenar yang menimpa hati, perasaan dan roh. Sekiranya kita bersabar dan tidak mengadu mengenai penyakit di dunia, kita pasti terselamat daripada penyakit-penyakit di akhirat kelak.

Apabila kita lalai pada dosa-dosa kita, lupa pada akhirat dan cuai pada Tuhan, saya tegaskan kita pasti menghadapi suatu penyakit yang berbahaya! Malah ia lebih berbahaya berjuta kali ganda daripada penyakit-penyakit dunia yang sementara itu. Jauhkan diri kita daripada penyakit berbahaya ini!

Penyakit itu lebih berbahaya kerana hati, roh dan jiwa kita terikat dengan seluruh benda yang wujud di atas dunia ini. Juga kerana segala saluran perhubungan sudah terputus dicantas oleh pedang perpisahan dan kehilangan, lalu menyebabkan kita mengalami luka yang dalam.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi sekiranya kita merasakan kematian itu bersifat abadi selama-lamanya, kerana ketiadaan pengetahuan mengenai akhirat. Pada masa itu kita seolah-oleh memiliki kewujudan yang sakit dan mempunyai luka sebesar bentuk dunia ini.

Ini memaksa kita supaya mencari rawatan ataupun ubat yang hakiki bagi merawat kewujudan kita yang sebenar itu sebelum ia dipisahkan, dilebur dan dihancurkan oleh pelbagai jenis penyakit dan kecederaan yang tidak terkira banyaknya.

Saya yakin, kita tidak menemui rawatan ataupun penawarnya melainkan dengan rawatan keimanan dan ubatnya yang mujarab. Jalan ringkas bagi mencapai rawatan itu adalah dengan melihat melalui tingkap ‘kelemahan’ dan ‘kefakiran’ yang menjadi fitrah manusia. Tingkap ini pula hanya terbuka dengan mengenepikan penyakit fizikal yang diselubungi kealpaan. Dengan itu kita mencapai peringkat pengetahuan mengenai kekuasaan dan rahmat luas Tuhan yang maha Berkuasa dan Maha Agung.

Orang yang tidak mencapai pengetahuan kepada Tuhan, menanggung keresahan dan bencana di kepalanya seluas dunia ini dan segala isinya. Tetapi bagi orang yang berpengetahuan mengenai Tuhannya, dunianya dipenuhi dengan cahaya dan kegembiraan yang sebenar.


Ini dapat dirasakan melalui kekuatan iman yang ada dalam dirinya. Kekuatan ini pula berbeza daripada seorang kepada seorang individu yang lain. Kesakitan zahir lenyap apabila timbulnya limpahan kegembiraan sebenar dan penawar yang terbit daripada keimanan.

-Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

******************************************************************************************************************