Memaparkan catatan dengan label Mengapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mengapa. Papar semua catatan

Selasa, 16 Disember 2008

"Kenapa Ummi Tak Sembahyang?"

Assalamualaikum.

Pernah di suatu hari, Ummi terdengar perbualan di antara anak kecil Ummi, Atiqah Maisarah yang berumur 4 tahun dan bibiknya.

Atiqah : Bik, kenapa Ummi tak sembahyang?

Bibik : Ooooo..Ummi lagi penat. Baru balik kerja…

Terdengar aja jawapan bibik sedemikian, terus Ummi menyampuk.

Ummi : Ummi tak sembahyang sebab Ummi sekarang ni tengah menses, Atiqah.

Atiqah : Menses tu apa Ummi?

Ummi : Menses tu, bahasa orang putih. Dalam bahasa melayunya, datang haid. Haid maksudnya keluar darah. Orang perempuan besar, Allah jadikan setiap bulan akan keluar darah. Masa keluar darah haid ni, kita tak boleh sembahyang sebab tak bersih.

Atiqah : Ooo..jadi sekarang ni Ummi tak sembahyang sebab Ummi keluar darahlah?

Ummi : Yalah sayang. Tapi kalau keluar darah sebab luka ke atau sebab lain, Ummi kena sembahyang juga. Keluar darah sebab haid aja yang tak boleh sembahyang. Atiqah faham ke Ummi terang ni?

Atiqah : Faham! Faham! Ummi bukan tak sembahyang sebab Ummi penatlah?

Ummi : Tak! Kalau penat, mana boleh tinggal sembahyang. Berdosa! Penat macamanapun kita tetap kena sembahyang.

Atiqah : Bik! Ummi tak sembahyang sebab Ummi darah haid lah!!!

Tergelak Ummi dengar respons Atiqah yang menegur bibiknya dengan sebutan ‘ummi darah haid’. Sekurang-kurangnya Atiqah faham sesuatu. Bibikpun turut Ummi tegur supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Anak kecil jangan diajar berbohong dan jangan disangka mereka tidak memahami. Bayangkan, si kecil begitu telah diterapkan kefahaman yang salah…tak sembahyang sebab penat! Bila mereka dah besar kelak, merekapun akan turut meninggalkan sembahyang setiap kali badan terasa penat! Wal’iyazubillahiminzaalik.

Usah disangka anak sekecil itu tidak dapat memahami perkara-perkara besar. Semenjak kejadian itu, bila dilihat aja Ummi tak sembahyang, terus Atiqah bertanya, “Ummi menses ke?” atau “Ummi darah haid ke?”. Ha,ha,ha…Setiap kali Atiqah timbulkan soalan “Ummi darah haid ke”, Abilah pulak yang sibuk membetulkan ayat dia, “Ummi datang haidlah, Atiqah. Bukan Ummi darah haid”. Nak tahu apa jawapan Atiqah? “Atiqah tahu dohlah, Abi…” (Tahu doh = Dah tahu) Hihihi…

Demikianlah sedikit sinopsis yang Ummi kira boleh membawa pengajaran sebelum kita pergi kepada perbincangan yang lebih formal. Alang-alang dah mulakan dengan sinopsis berkaitan haid ni, Ummi masukkan sedikit informasi berkaitan haid yang dipetik di sini.

HAID (MENSTRUASI)

Menjadi seorang wanita

Apa itu haid?

Haid juga dikenali sebagai menstruasi. Ia menunjukkan anda kini menjadi seorang wanita.

Apabila haid berlaku, anda akan mengalami pendarahan dari faraj. Haid yang berlaku adalah berbeza dari seorang wanita dengan wanita lain. Setiap kitaran haid adalah selama 3-7 hari. Tempoh antara sebuah kitaran haid ke kitaran seterusnya adalah berbeza iaitu di antara 21-35 hari.

Haid saya yang pertama

• Kanak-kanak perempuan akan mula mengalami haid semasa berumur 8-16 tahun
• Purata umur seorang kanak-kanak perempuan mengalami haid adalah pada umur 12 tahun
• Menstruasi bermula apabila sistem pembiakan telah matang
• Ia berlaku hasil daripada tindak balas hormon yang berinteraksi dengan tubuh badan anda

Anda mengalami masalah dengan haid anda?

Ada masanya masalah mungkin akan timbul, contohnya:

Sindrom Pra-Menstruasi (PMS)

• Ia mungkin berlaku beberapa hari sebelum anda didatangi haid
• Anda mungkin mengalami cepat marah, rasa sedih dan kecewa serta keinginan yang kuat terhadap sesuatu
• Anda juga akan merasa sebu dan sembap, sedikit sakit pada payudara dan jerawat mula timbul
• Ini hanyalah untuk sementara sahaja dan anda akan berasa lebih baik sehari dua selepas anda didatangi haid

Senggugut

• Ianya adalah perkara biasa semasa hari-hari awal haid anda
• Ia juga dikenali sebagai dysmenorrhoea
• Anda akan berasa sakit pada bahagian bawah abdomen atau pada bahagian bawah belakang pinggang dan kaki
• Senggugut boleh dilegakan dengan mengambil ubat tahan sakit seperti parasetamol
• Jika sakit anda amat teruk dan berpanjangan, berjumpalah dengan doktor anda

Haid yang terlalu banyak

Mungkin berlaku akibat ketidakseimbangan hormon.

Apabila anda mendapat haid yang terlalu banyak, anda akan mengalami:

• Pendarahan yang berpanjangan
• Senggugut
• Haid yang kerap dalam tempoh yang pendek
• Sila berjumpa doktor anda jika anda mengalami haid yang terlalu banyak

Tidak datang haid

• Jangan risau, ia adalah perkara biasa bagi tahun pertama haid
• Ia mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon yang menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur
• Sekiranya seseorang wanita itu mengamalkan seks secara aktif, tidak datang haid boleh menandakan beliau mengandung
• Sila rujuk doktor anda untuk nasihat lanjut

Haid yang tidak teratur

Haid yang tidak teratur adalah haid yang tidak tetap:

• Haid mungkin berlaku terlalu awal atau terlalu lewat
• Ia juga mungkin disebabkan oleh gangguan hormon yang menjadi punca haid yang tidak teratur

Jika masalah ini terjadi, anda dinasihatkan:

• Menyimpan catatan dalam diari tentang kitaran haid anda setiap bulan
• Mencatatkan tempoh masa setiap haid anda
• Mencatatkan sama ada anda mengalami senggugut semasa haid

Apa yang harus dilakukan semasa haid?

Ingatlah, haid adalah satu kejadian normal dalam kehidupan wanita.

• Anda masih boleh bersenam dan melakukan perkara-perkara yang anda gemari
• Menjaga kebersihan dan menukar tuala wanita dengan kerap
• Anda boleh mengambil ubat penahan sakit seandainya mengalami senggugut
• Menggunakan tampon dengan baik. Patuhi arahan yang diberikan

Nota: Sekiranya anda mengalami demam, muntah-muntah, pening kepala mahupun rasa kurang sihat semasa menggunakan tampon, segeralah berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami keadaan serius yang dikenali sebagai Sindrom Kejutan Toksik.

Perlu kah anda mengambil ubat bagi haid yang tidak teratur atau haid yang terlalu banyak?

• Ia perlu bagi memperbetulkan haid anda
• Jangan mengambil ubat tanpa nasihat doktor
• Sila rujuk doktor anda untuk nasihat lanjut

Perlukan bantuan dengan haid anda?

Seandainya anda mengalami masalah, dapatkan nasihat daripada:
• Ibu
• Doktor atau jururawat
• Guru

*************************************************************************************

Rabu, 10 Disember 2008

"Mengapa Allah Sayangkan Kita?"

Assalamualaikum.

Cuti sekolah ni, nampaknya Ummipun dah rasa seronok join anak-anak baca buku cerita kanak-kanak. Tak tahan dengar ‘ulasan’ keseronokan jalan ceritanya dari puteri-puteriku.. He,he. Berjaya juga anak-anak Ummi mempengaruhi walhal banyak lagi buku-buku ilmiah yang Ummi belikan untuk diri sendiri yang belum habis dibaca.

Hari ini Ummi nak sambung sketsa Allah sayangkan kita. Nak dengar tak??? Rugi kalau tak dengar tau!

Sketsa Allah Sayangkan Kita II
(Oleh: Izzah Ahmad)

“Ibu…mengapa Allah sayangkan kita?”


“Sebab Allah yang jadikan kita.”


“Mengapa Allah jadikan kita, ibu?”


“Allah jadikan kita supaya kita menyembahnya. Allah bukan sahaja jadikan kita, malah seluruh makhluk yang ada di dunia ini Allah yang jadikan.”


“Wah! Hebat betul Allah ini ya, ibu…tetapi mengapa kita tidak boleh lihat Allah?”


“Sebab Allah hebatlah kita tidak boleh melihatNya, tetapi kita boleh rasai kasihsayangNya.”


“Bagaimana kita rasa kasihsayang Allah pula ibu?”


“Okey, cuba tarik nafas dalam-dalam...satu dua tiga…tarik…kemudian lepaskan perlahan-lahan. Apa yang adik rasa?”



“Adik rasa angin masuk ke dalam lubang hidung kemudian adik hembus semula angin dari hidung keluar.”


“Okey, sekarang ibu mahu tanya…adik boleh rasa angin masuk dan keluar dari hidung, bukan? Adik menganggukkan kepalanya.


“Tetapi bolehkah adik pegang angin yang masuk dan keluar itu?”
Adik menggelengkan kepalanya.

“Ha…begitulah juga dengan Allah. Kita tidak dapat melihat Allah, tetapi kita dapat merasai kasihsayang Allah apabila kita diberi nikmat olehNya seperti nikmat udara ketika bernafas, nikmat rasa sedap ketika makan dan nikmat tidur ketika letih serta pelbagai nikmat lagi.” terang ibu.


“Wah! Banyak betul rahmat yang Allah berikan kepada kita ya ibu?”


“Begitulah betapa besarnya rahmat dan kasihsayang Allah kepada kita.” tambah ibu lagi.

Subhanallah! Kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari akan nikmat-nikmat yang terlalu besar yang dikurniakan oleh Allah buat kita. Maha Suci Allah! Betapa sayangnya Allah pada kita tetapi apakah pula balasan kita terhadap kasihsayang dan nikmatNya yang tak terhitung itu?

*************************************************************************************

Ahad, 7 Disember 2008

"Mengapa Adik Demam, Ibu?"

Assalamualaikum.



Buku ini adalah antara hadiah kecemerlangan untuk anak Ummi, Aisyah Farihah. Dalam masa beberapa hari sahaja, Aisyah dah mengkhatamkan kesemua cerita setebal 169 mukasurat ini. Hmm..bila dilihat pada tajuk buku ‘Bacakan Saya Satu Cerita’ bermakna Ummilah yang perlu membacakan satu cerita setiap hari buatnya, kan? Namun dek kerana Umminya yang selalu sibuk berulang-alik ke klinik siang dan malam, maka apa yang berlaku, si anaknya pulalah yang membacakan Ummi satu cerita setiap hari! Hihihi..apa nak buat. Tapi memang betullah tu. Bacakan saya satu cerita tu untuk anak yang belum tahu membaca. Bagi anak yang dah tahu membaca, memang patutlah dibacakan satu cerita pada Umminya setiap hari, kan?

Aisyah memang suka sangat berceloteh dan bercerita. Sambil-sambil Ummi bersiap nak pergi kerjapun, sempat lagi diceritakan balik pada Ummi apa yang dah dibacanya. Lebih menakjubkan, habis sahaja diceritakan pada Ummi, Abi pula yang dicarinya untuk diulangi cerita yang sama dari awal sampai akhir! MasyaAllah…memang Aisyah tak pernah penat bercerita.

Suatu hari, terpana Ummi mendengar sebuah cerita yang ada kaitannya dengan bidang perubatan. Cukup ringkas dan cukup mudah jalan ceritanya tetapi memberikan kesan yang mendalam buat Ummi untuk memikirkan kembali betapa besarnya peluang seorang doktor untuk menyampaikan mesej dakwah kepada pesakitnya dalam bentuk perbualan yang santai. Nak dengar ceritanya?

Sketsa Allah Sayangkan Kita
(Oleh: Izzah Ahmad)

“Mengapa adik demam, ibu?”

“Allah yang beri adik demam.”

“Mengapa Allah bagi adik demam?”

“Sebab Allah sayangkan adik.”

“Sebab apa Allah sayangkan adik, kemudian Allah bagi adik demam?” Jiji hairan mendengar jawapan umi.

“Apabila adik demam, adik akan ingat Allah. Apabila adik ingat Allah, Allah juga akan ingatkan adik.” Terang umi lagi.

“Tunggu sekejap ya adik, ibu suapkan ubat.”



Jiji yang takut makan ubat terus berubah wajah. “Mengapa adik kena makan ubat, ibu?’

“Sebab Allah suruh kita berusaha untuk sihat. Makan ubat adalah satu usaha untuk sihat. Apabila badan adik sihat barulah adik kuat hendak bekerja, belajar, bermain dan buat semua perkara.”

“Oh…sekiranya adik makan ubat adik akan sihat.”

“InsyaAllah dengan izin Allah adik akan sihat, tetapi kadang-kadang sekiranya makan ubatpun badan tidak sihat juga.”

“Habis tu ibu, bagaimana badan kita boleh sihat?”

“Berdoalah kepada Allah di samping berusaha dengan makan ubat.”

“Betulkah dengan berdoa dan makan ubat adik boleh sihat?”

“InsyaAllah sekiranya kita yakin, Allah sayangkan kita!”

Hari ini Ummi benar-benar memperolehi sesuatu yang berharga dari sebuah cerita kanak-kanak yang diceritakan oleh seorang kanak-kanak!

*************************************************************************************