Memaparkan catatan dengan label Berita Doktor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Doktor. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Mei 2009

Mangsa Pertama Influenza H1N1 Di Malaysia

Assalamualaikum.

Artikel Asal : Buletin Papisma Terengganu

Berita ini diambil dari Mstar Online hari ini (15 Mei 2009). Satu berita yang cukup menggemparkan setakat ini. Kita sebagai rakyat Malaysia, telahpun terdedah dengan virus yang sangat cepat merebak dan berupaya membunuh (dengan izin Allah). Sudah tentulah orang yang sangat terdedah kepada virus ini ialah mereka yang ada direct contact dengan mangsa jangkitan, iaitu para doktor dan petugas-petugas kesihatan. Kita berharap agar Allah SWT akan melindungi kita dan sahabat-sahabat kita di seluruh Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya.

Berikut disertakan doa pencegah wabak yang sangat sesuai diamalkan oleh kita semua. Mudah-mudahan kita terhindar dari musibah yang tidak diingini. Menurut bekas Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Dato Hj Mohd Murtadza Hj Ahmad, bacalah doa ini sebanyak 3 kali waktu pagi dan petang.

"Kami berlindung dengan-Mu ya Allah, Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut pada-Mu ya Allah, Tuhan pemilik sekelian alam yang ghaib dan kami bertawakal kepada-Mu ya Allah, Tuhan yang Hidup lagi tidak Mati. Wahai Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada wabak ini, lindungilah kami dari kebinasaan yang dahsyat dan peliharalah kami dari segala penyakit berjangkit, taun dan bala bencana, dengan Ihsan-Mu wahai Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya Engkau ya Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan penghulu kami nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala pujian bagi-Mu ya Allah Tuhan Pemilik sekalian alam."

Berikut adalah beritanya:

KUALA LUMPUR: Mangsa pertama kes influenza A(H1N1) di Malaysia kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Sungai Buloh dekat sini.

Pelajar lelaki berusia 21 tahun itu, yang pulang dari Amerika Syarikat dua hari lepas, kini dikuarantin di wad khas, yang terletak di tingkat empat hospital berkenaan.

Para pegawai hospital berkata pemerhatian menyeluruh akan dilakukan sepanjang masa di wad pesakit itu.

Sekatan diletakkan di tingkat empat iaitu lokasi wad berkenaan, dengan anggota polis dan kakitangan keselamatan hospital turut mengadakan pengawasan rapi.

Tiada siapa pun melainkan pihak berkuasa hospital dibenarkan berada berhampiran wad itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata pesakit terbabit mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam, dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 6.45 petang hari yang sama.

Ismail juga berkata mangsa telah pun diberikan rawatan antiviral.

Di perkarangan hospital, tiga buah khemah didirikan untuk mengendalikan saringan dan ujian ke atas penumpang pesawat MH091, yang menaiki penerbangan yang sama dengan pesakit terbabit dari Newark, Amerika Syarikat.

Setakat 6 petang ini, tiada tandatanda penumpang dari pesawat MH091 itu yang tampil untuk menjalani saringan.

Kumpulan media tempatan dan asing, yang lengkap memakai topeng muka, berkumpul di Hospital Sungai Buloh sejak 3 petang bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung pesakit berkenaan.

Pegawai hospital berkata anggota keluarga pesakit dikuarantin di rumah mereka.Pihak berkuasa hospital mungkin "menahan" mereka tidak lama lagi untuk menjalani beberapa ujian.

BERITA TERDAHULU

Malaysia rekod kes pertama H1N1

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kes pertama wabak influenza H1N1 di negara ini melibatkan seorang pelajar yang baru pulang dari Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, pelajar berusia 21 tahun itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pelajar yang pulang ke tanah air pada 13 Mei lalu itu mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada keesokan harinya dan dibawa ke hospital pada hari yang sama kira-kira pukul 6.45 petang.

"Beliau telah pun diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," katanya.
Dr Ismail berkata, pihaknya telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan kontak ke atas kes.

"Ini termasuklah menghubungi ahli keluarga beliau yang ada sejarah kontak dengan beliau dan penumpang serta anak kapal yang menaiki kapal terbang yang sama," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga menasihatkan semua penumpang penerbangan MH 091 dari Newark, USA dan tiba di KLIApada 13 Mei 2009 jam 7.15 pagi supaya menghubungi talian 03-88810200/03-88810300 untuk tindakan susulan.

*************************************************************************************

Ahad, 7 September 2008

Pengalaman Doktor Berpuasa Di Jerman

Assalamualaikum.

Kali ni copy paste lagi..tu tandanya ummi tengah busy..he,he..Untuk tidak menghampakan pengunjung blog dengan pengisian yang sama, hari ni ummi cedok berita dari Utusan Malaysia Online..bukan nak kempen baca akhbar nipun..cuma nak pelbagaikan pengisian blog aja. Nak baca tulisan ummi? Sabar je le ya...nanti dah tak busy, ummi tulis lagi, InsyaAllah...

Pengalaman Doktor Berpuasa Di Jerman
(Oleh Nurul Anuar Kari)

BAGI masyarakat Islam di Malaysia, amalan berpuasa sudah menjadi satu kebiasaan yang disambut dengan pelbagai cara, terutamanya memperbanyakkan ibadat. Namun, bagaimana pula dengan masyarakat Islam Malaysia di luar negara menunaikan kewajipan ini?

Tentu ramai ibu bapa dan saudara mara tertanya-tanya bagaimana keadaan orang tersayang melalui ibadah puasa di negara orang. Mengingatkan kembali `perangai’ kebanyakan ibu bapa negara ini, terlintas bagaimana beg-beg pelajar Malaysia sering `ditangkap’ penuh dengan pelbagai bekalan makanan tempatan, terutamanya jika mereka tidak dapat pulang menyambut perayaan di sini.

Berkongsi pengalaman

Untuk menyingkap situasi berpuasa di negara orang, Mingguan Malaysia berkongsi pengalaman Pakar Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh yang sedang menjalani kursus kepakaran Endoskopi Ultrasound (EUS) di Interdisziplinare Endoskopie, Universitatsklinikum Hamburg Eppendorf, Jerman.

DR. Ahmad Shukri (kiri) bergambar bersama doktor dari negara lain, dua dari China, satu dari Amerika Latin dan dua dari Thailand.

“Saya dan beberapa rakan sekerja sedang menimba ilmu pengetahuan dan teknologi perubatan dari doktor pakar di sini yang telah lama mengendalikan prosedur EUS dan Advanced Endoskopi."

“Pakar di Jerman terkenal sebagai antara terbaik di dunia di samping hubungan baik mereka dengan doktor Malaysia, memudahkan urusan latihan dijalankan di universiti berkenaan,” katanya.

Walaupun kursus tersebut melangkau ke bulan Ramadan, Dr. Ahmad Shukri tetap nekad supaya tidak ketinggalan berikutan perkembangan pesat teknologi perubatan jauh berbeza berbanding lima atau 10 tahun lalu.

Tambahnya, peluang untuk meningkatkan pengetahuan diri serta mengembangkan teknologi melalui penyelidikan, persidangan atau latihan tertentu tidak sepatutnya dilepaskan, walaupun memerlukan sedikit pengorbanan.

Cabaran

Dr. Ahmad Shukri menceritakan bagaimana bahasa Jerman sukar dipelajari dan difahami sedangkan tidak ramai rakyat Jerman yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Tidak ramai keluarga Melayu di sini (Hamburg), menyebabkan wujud sedikit jurang komunikasi. Makanan di sini juga agak mahal dan kebanyakan makanan halal hanya boleh diperoleh dari kedai peniaga Turki, Arab dan Pakistan,” ujarnya.

Menurutnya, kebab kambing berharga tiga euro (RM16), air pepsi 1.20 euro (RM6) sebotol sementara harga makanan di restoran pula lebih mahal .

Namun, beliau memaklumkan wujudnya kedai masakan Melayu, Restoran Cita Rasa, yang diusahakan oleh Safian Ramzi atau di kenali sebagai Pak Cik Abdullah yang telah menetap di Jerman lebih dari 25 tahun. Di- sinilah tempat beliau melepaskan kerinduan masakan Malaysia.

Puasa Di Perantauan

Seperti mana-mana warga Malaysia, rindu terhadap keluarga sentiasa menebal dan untuk mengubat rindu, Dr. Ahmad Shukri menggunakan kemudahan Internet untuk menatap wajah keluarga tercinta di Malaysia.

Dr. Ahmad Shukri teringat kembali betapa enaknya masakan ibu dan isteri ketika berpuasa di Malaysia, disediakan tanpa sebarang keluhan.

“Di sini perlu fikir di mana dan makanan apa untuk berbuka. Ini pengalaman ketiga berpuasa di perantauan selain tahun 1998 dan 1999 ketika menjalani kursus Gastroenterologi di England."

“Puasa di England lebih mudah kerana ramai rakyat Malaysia dan juadah tradisional negara lebih mudah diperoleh,” jelasnya.

Dr. Ahmad Shukri sebelum ini mendapat dorongan untuk mengikuti kursus berkenaan hasil galakan Pakar Perunding Gastroeterologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Salem Omar.

“Kakitangan hospital tahu mengenai tanggungjawab umat Islam berpuasa dari Dr. Salem yang pernah berada di universiti ini selama empat tahun sebelum ini. Dr. Salem juga banyak berkongsi maklumat mengenai Islam, masakan tradisional dan negara kita bersama kakitangan di sini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan antara cabaran berpuasa di Jerman adalah masa puasa lebih panjang, dengan waktu subuh pada pukul 4.30 pagi dan maghrib pada pukul 8.15 malam.

Dr. Ahmad Shukri bersahur di rumah dan berbuka di rumah rakan atau masjid berhampiran, antara 100 masjid yang berdiri tegak di Hamburg.

“Berbekalkan rempah siap dibungkus dan ditambah ayam, masakan ringkas dan mudah disediakan di rumah."

“Di Hamburg, majlis berbuka turut diadakan di surau Terminal 1, Lapangan Terbang Hamburg setiap hari, konsulat Indonesia pada hari Jumaat dan Sabtu dan di Universiti Hamburg pada hari Rabu ,” katanya.

Menurut beliau, terdapat empat juta orang Islam di Jerman, kebanyakannya berbangsa Turki. Di Hamburg, hanya terdapat kira-kira 50 orang rakyat Malaysia, antaranya sembilan orang pelajar. Solat tarawih pula mengikut bangsa ahli masjid, lapan rakaat di masjid Arab dan 20 rakaat di masjid Turki, dengan tazkirah selepas setiap empat rakaat.

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, Malaysia negara tercinta dan bertuah rakyatnya. Walaupun dari luar, negara lain tampak lebih menyeronokkan, namun keistimewaan negara kita sendiri jauh mengatasinya,” tegasnya.

Beliau menyatakan negara kita kaya dengan pelbagai pilihan makanan, tempat menarik serta kos hidup yang jauh lebih rendah.

“Berbanding dengan rakyat dari negara lain, kebanyakan rakyat negara kita di perantauan, lambat-laun akan kembali juga ke Malaysia, negara tercinta,” katanya.

Ini menunjukkan Malaysia mempunyai kelebihan dan pautan yang senantiasa menarik rakyatnya untuk pulang ke tanah tumpah darah.

*************************************************************************************