Khamis, 21 Ogos 2008

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 6

Assalamualaikum.

Berehat sebentar dari isu rawatan di bulan puasa….kembali kita kepada siri 25 rawatan hakiki...

Wahai Hamba Yang Sedang Diuji dan Diduga;

Kita tidak perlu mengadu kesakitan. Kumohon dengan nama Tuhan supaya kita mengenang kembali ingatan kita pada umur kita yang lalu. Aku juga momohon supaya kita mengingati hari-hari lalu yang bahagia dan penuh kenikmatan serta tidak melupakan waktu-waktu yang mencabar dan penuh kesulitan.

Sudah pasti kita akan melepaskan nafas kelegaan atau terkeluar suatu keluhan apabila terkenangkan hari-hari itu. Sama ada kita menarik nafas lega sambil berkata, ”Segala puji bagi Tuhan dan kesyukuran baginya” ataupun kita mungkin berkata, ”Betapa sedihnya! Betapa dukacitanya!”

Hanya selepas sembuh atau hilangnya kesakitan daripada penyakit barulah kita dapat merasai nikmat kegembiraan. Seterusnya ucapan ’Alhamdulillah’ secara tidak langsung terkeluar daripada bibir setiap insan yang mengecap nikmat kesihatan selepas sakit. Rasa kemanisan dan kegembiraan inilah yang mendorong seseorang kepada kesyukuran serta pemujian kepada Illahi.

Kesenangan selama sehari yang dikecapi melalui jalan yang tidak berlandaskan prinsip-prinsip agama hanya akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan sakit yang sebenar selama setahun. Begitulah juga sebaliknya. Sekiranya kita mengalami kesakitan yang sementara selama sehari, pasti kita akan dikurniakan nikmat kesihatan yang sebenar-benarnya selama beberapa hari.

Oleh itu, marilah kita renung betapa besarnya pahala apabila kita ditimpa kesakitan. Yang penting di sini adalah sentiasa bersyukur serta elakkan diri daripada mengadu kesakitan.

Sekiranyalah dunia ini kekal selama-lamanya...kematian dapat dielakkan...taufan perpisahan dan kehilangan berhenti bertiup...masa hadapan meninggalkan musim dingin yang mencengkam...pasti diri ini akan menyertaimu untuk turut merasa sedih serta menangisi keadaan dirimu, saudaraku...

Tetapi oleh kerana dunia ini mengeluarkan kita daripadanya dengan berkata, ”Ayuh! Keluarlah!”...dan ia memekakkan telinganya daripada mendengar pekikan dan jeritan meminta tolong daripada kita...maka sayugialah kita meninggalkan perasaan cinta dan keinginan untuk tinggal kekal di dalamnya sebelum ia menghalau dan meninggalkan kita.

Caranya adalah dengan kita mengambil bekalan darpada kesedaran yang dibangkitkan oleh penyakit dan berusaha bagi mengosongkan hati dan perasaan kita daripada dunia sebelum dunia meninggalkan kita.

-Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)

**************************************************************************************

Tiada ulasan: