Rabu, 21 Mei 2008

MC - Untuk Diberi,Bukan Diminta

Sebut pasal MC (Medical Certificate), kerapkali darahku tersirap. Bukan sebab aku geram pada kertas yang sekeping tu, tapi sebab geramnya aku pada mereka yang selalu menyalahgunakan MC. Inilah sebenarnya fenomena yang selalu dihadapi oleh kebanyakan doktor seperti aku, yang diberi kuasa untuk men'cuti'kan sesiapa yang layak. Apalagi aku doktor swasta, yang pada anggapan mereka MC ni boleh dibeli begitu sahaja, asalkan aku dibayar! Astaghfirullahal'azim.

Lihat aja fenomena-fenomena di bawah:

Fenomena 1
"Dr, saya tak sakit sebenarnya, tapi saya nak MC sebab saya balik kg nak jaga mak sakit."

Ulasan

Kenapa tak apply cuti kerja? Kan ke setiap pekerja dah diperuntukkan cuti tahunan atau cuti kecemasan?

Fenomena 2
"Dr, Akak nak mintak MC kelmarin ni sebab Akak tak gi sekolah (ngajar) kelmarin. HM suruh datang ambik MC"

Ulasan

MasyaAllah. Kuasa mengeluarkan MC ni sebenarnya hak doktor atau hak HM (headmaster)? Dah tu, kenapa baru hari ni datang mintak MC seolah-olah Akak ni memang dah diberi jaminan akan diberi MC? Tinggal kerja dulu, apply MC kemudian?

Fenomena 3
"Dr, saya nak beli MC!"

Ulasan

Ya Allah. Yang ini lagilah tak ada adabnya. Kau orang ingat doktor ni tak ada etika ke? Doktor ni kerjanya nak cop duit je ke?

Fenomena 4
"Dr, saya jangka bersalin seminggu lagi ni. Dr tolong buatkan MC untuk saya sampai tarikh saya bersalin boleh? Sebab saya ingat saya nak standby sini terus je, tak payah balik KL dah"

Ulasan

Masa aku kerja kerajaan dulu, aku yang doktor nipun, selagi tak beranak, selagi tulah kena kerja dan kena oncall...sampaikan masa aku hamil anak sulung, kebetulan time aku cukup bulan tu, aku tengah kerja kat wad bersalin, time tulah aku sakit perut nak beranak...naik atas katil, terus teran! Hah..lepas tu baru dapat cuti bersalin!

Fenomena 5:
Panggilan telefon: "Dr, tolong buat MC untuk saya 2 hari!" "Kenapa?" "Saya tak dapat cutilah dr. Nak hantar anak masuk asrama ni"

Ulasan:

Camanalah aku nak pahamkan kau orang?

Fenomena 6:
"Dr, saya nak mintak tolong sangat-sangat dengan dr ni. Bulan lepas saya kemalangan tapi tak delah saya jumpa dr. Saya berubat sendiri je. Ni saya nak claim insuran tapi dia orang cakap kena dapatkan MC dulu untuk tarikh tu. Tolong ya dr."

Ulasan:

Betul ke kau layak untuk claim insuran kalau dah sememangnya time kemalangan tu sebenarnya kau boleh gi kerja dan tak perlu MCpun.

Malah beribu-ribu fenomena lagi yang tak larat kupaparkan di sini.Berjaya atau tidak mereka mendapatkan MC, itu soal kedua. Pokok perbincangannya sekarang, bagi kami pegawai perubatan, soal pemberian MC itu soal etika dan kejujuran. Jika ianya disalahgunakan, ini bererti kami telah melanggar etika dan profesion perubatan itu sendiri. Bagi mereka yang tidak terlibat dengan profesion perubatan, mereka tidak menilai itu semua. Apa yang penting, mereka dapat cuti secara percuma tanpa mengganggu cuti tahunan dan gajinya terus berjalan tanpa mengambil cuti tanpa gaji.

MC sebenarnya boleh diberi dengan bersebab tetapi tidak boleh diminta atau dirayu dengan sebab-sebab yang tidak munasabah! Sesiapa yang 'merayu' MC bererti ada perkara lain yang berlaku atau dia tidak yakin dengan kewibawaan seseorang pegawai perubatan yang menilai tahap kesihatannya. Seorang pegawai perubatan tahu bila dia perlu memberikan MC kepada pesakitnya dan berapa hari kelayakan MC untuk mereka.

Sesekali terfikir dibenakku, siapakah yang bersalah dalam hal ini? Adakah fenomena ini berlaku akibat ketidakjujuran sesetengah doktor yang mengambil mudah soal etika dan kejujuran? Adakah ianya akibat sikap sesetengah majikan yang terlalu 'berkira' untuk meluluskan cuti kakitangan mereka? Atau adakah ianya akibat sindrom malas dan ambilmudah di kalangan pekerja, yang mungkin terlupa bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia ini ada 'Penilai'nya.

Dan aku yang sentiasa diasak dengan fenomena ini, mampukah aku bertahan dengan etika kejujuran dan profesion kedoktoran ini, tanpa sekelumit kerjasama hasil dari sebuah pengertian di kalangan masyarakat?

Tiada ulasan: