Dalam keadaan yang masih kurang sihat, mood menulispun agak kurang. Namun sebelum moody seorang ibu yang baru sahaja terpisah jasad dari anaknya ini luntur, Ummi mesti menulis sesuatu untuk dikongsi bersama para ibu dan bapa yang lain. Terpisah jasad - yang hanya untuk sementara waktu.
Semalam Ummi ke Bachok, Kelantan menghantar anak sulung Ummi kembali ke asrama setelah lebih seminggu bercuti raya. Bukan main menggeliat lagi Along nak kembali ke asrama. Anak dan ibu – sukar nak digambarkan ikatan hati antara keduanya.
Ammar, seorang anak yang agak pendiam dan sukar untuk di’baca’ perasaan hatinya. Ada masalah, tak de masalah, gembira, tak gembira, sama aja riak lakunya. Namun jauh di sudut hati seorang ibu, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Kali ini dari gerak tingkahlaku Ammar, Ummi tahu ada sesuatu yang membebani fikiran Ammar…
Sebagaimana Ummi dan Abi menaruh satu harapan yang tinggi untuk menjadikan Ammar, anak sulung kami sebagai seorang Hafiz, maka sebegitu jugalah tingginya impian Ammar untuk memenuhi harapan Ummi dan Abinya. Namun perjalanan ke arah itu tidak semudah yang kita harapkan. Perjalanan yang penuh dengan liku-liku perjuangan. Apakah Ammar mampu merentasinya? Apalagi dalam keadaan Ummi dan Abi bukan dari golongan ustaz, ustazah yang TAHU dan pakar dalam bidang agama. Ummi dan Abi hanyalah dari golongan yang MAHU ke arah itu. Itulah cabaran buat kami dan buat Ammar. Belum ada di kalangan keluarga kami yang menjurus ke arah bidang itu. Ammar bakal menjadi perintis!
Di antara Dua Pilihan
Semalam sepatutnya Ummi dan Abi hadir ke Mesyuarat Exco Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) di Kuala Lumpur. Namun pada hari dan masa yang sama juga, Ummi dan Abi dijemput untuk menghadiri Mesyuarat PIBG Maahad Tahfiz Sains Bachok yang julung-julung kalinya diadakan kerana tahun ini merupakan tahun perintis pembukaan Maahad Tahfiz Sains di Bachok. Antara dua dilemma – sama ada hadir ke Mesyuarat Papisma yang sarat dengan agenda penting untuk MEMPERKASAKAN pertubuhan atau ke Mesyuarat PIBG yang fokus pada agenda untuk SURVIVAL sekolah…?
Merenung jauh ke dalam anak mata Ammar, maka Ummi nekad membuat keputusan. Kami mesti hadir ke Mesyuarat PIBG di sekolah Ammar! Mudah-mudahan keputusan yang kami ambil itu merupakan keputusan hasil petunjuk dari Allah SWT jua.
3 jam bermesyuarat…Alhamdulillah, banyak resolusi yang berjaya dicapai. Usai mesyuarat, terus Ummi dan Abi bawa Ammar berjumpa ustaz mentor beliau. Sebagaimana yang Ummi maklumkan terdahulu...nak harapkan Ammar untuk luahkan masalah? Rasanya terlalu mustahil. Hanya luahan dari ‘gerak-hati’ seorang ibu yang mampu disampaikan kepada ustaz beliau, sebagai mewakili luahan hati Ammar…Sama ada penyelesaian dicapai atau tidak hasil perbincangan bersama ustaz, pun tidak dapat kami tafsirkan dengan geraklaku Ammar. Namun kami pasrah, mudah-mudahan ada sesuatu yang Ammar perolehi dari perbincangan itu…
Jam 5.00 petang, kami tinggalkan Ammar di asrama dengan ciuman dan lambaian kasihsayang. Doa dari Ummi dan Abi, mudah-mudahan Allah mempermudahkan Ammar dalam segenap urusan di jalanNya. “Ya Allah, terangkanlah hatinya, perkuatkanlah ingatannya dalam menghafaz al-qur’an, hadith dan segala ilmuMu yang bermanfaat dan ya Allah, jadikanlah Ammar seorang anak dan hambaMu yang soleh yang bakal menjadi pewaris perjuangan Nabi! Kurniakanlah kecemerlangan buatnya dan buat kami di dunia dan di akhirat…”
Malam itu, sesampainya kami di rumah, Ummi terima sms dari Ammar yang berbunyi…”Assalamualaikum Ummi, Abi. InsyaAllah Along akan belajar bersungguh-sungguh mulai hari ini. Along saaaaayang Ummi dan Abi…”
Cukuplah kata-kata itu untuk membuatkan hati seorang ibu, jiwa seorang ayah, melonjak riang! Janji dari seorang anak yang terlalu sukar untuk ditafsirkan naluri hatinya.
Dan di Subuh hari keesokannya pula Abi terima mesej dari Ammar yang berbunyi…”Assalamualaikum. Abi,Ummi…hari ni Along mula puasa enam. Along bangun tahajjud pagi ni, lepas tu Along ngaji sampai masuk waktu Subuh, terus Along azan kat masjid dan solat. Tapi Abi, Ummi...Along ngaji sampai Along lupa nak sahur!”
Ya Allah…semoga cetusan kesedaran, keinsafan dan semangat yang datang dari kurniaanmu ini akan terus kekal dalam diri Ammar dan semoga Ammar akan terus istiqamah dalam perjuangan mencari keredhaanMu ya Allah…
Semoga anak-anak Ummi dan Abi akan sentiasa ingat kata-kata ini :
"Allah tak nilai apa yang kita capai tapi yang Allah nilai adalah apa yang kita usahakan. Sejauh manakah usaha yang telah kita lakukan? Tanya hati dan diri kita sendiri. Adakah kita sudah cukup berpuas hati dengan apa yang kita usahakan sehingga Allah boleh iktirafkan yang kita ini cemerlang di sisiNya? Ummi dan Abi lebih berbangga jika sekiranya anak-anak Ummi dan Abi cemerlang di sisi Allah, bukan cemerlang hanya pada pandangan ukuran dunia!"
Artikel Berkaitan : Harapanku...
*************************************************************************************
5 ulasan:
Assalamualaikum..
Alhamdulillah..terharu dengar cerita anak-anak kak ummi..semoga anak-anak kak ummi menjadi penyejuk hati ibu dan ayah..:)penanti di syurga anak-anak soleh dan solehah..insyaAllah..:)
Ameen. T.kasih atas doa Huda untuk Kak Ummi...
tersentuh hati baca cerita ni...teringat mak ayah kat umah..harapan2 diorg..semoga perjuangan ini sentiasa dalam redha Ilahi..:)
Boleh tanya sikit Kak? Maahad Tahfiz Sains tu combine both kurikulum normal + tahfiz ke? Saya & isteri tercari2 tempat sebegini utk bakal anak kami..Kalau tak keberatan boleh balik link ke maahad ni?
Ha'a.Betul tu.Kombinasi matapelajaran Agama + Akademik(Sains) dan Tahfiz! Wah! Advance habis adik kita nih! Tahniah dik!
Catat Ulasan