Raya baru-baru ni, Ummi dikunjungi oleh beberapa orang sahabat lama yang dah berbelas tahun tak jumpa. Maklumlah bukan senang nak jumpa kalau dah seorang di timur, seorang di barat, seorang di selatan, seorang di utara! Gembira rasa hati tak terkira bila dapat kembali bersua. Kenangan lama kembali segar dalam kotak ingatan.
Apapun, yang Ummi nak cerita bukanlah pasal kawan lama ni. Ada sesuatu yang boleh dikatakan agak pelik, lucu dan kembali mengingatkan Ummi kepada seerah Rasulullah SAW terhadap suatu peristiwa.
Salah seorang sahabat lama menelefon Abi. Antara apa yang disampaikan ialah bahawa dia ni teringin sangat nak tengok rumah BESAR dan kereta BESAR Abi! Isyyhh…mana pulak dia ni dapat cerita Ummi dan Abi duduk rumah BESAR, pakai kereta BESAR? Abipun selamba je le. Biasalah kan, sebut doktor ni mestilah terbayang duduk rumah BESAR, pakai kereta BESAR punya! Doktor swasta pulak tu…haha!
Tak lama lepas tu, kawan lama Ummi pulak yang sms. “An, nanti bawak xxx tengok rumah BESAR An tau!” Alamak! Apa ke cerita pulak ni? Tak habis-habis cerita rumah BESAR…
Akhirnya sampailah juga diaorang ke ‘rumah BESAR’ ku yang 3 bilik, dindingpun kongsi dengan jiran, sewa RM400.00 sebulan ni!
Kih,kih,kih..entah apa-apalah diaorang ni. Yang lagi kelakar, entah dari mana diaorang dapat khabar angin yang kita orang duduk rumah harga 3 juta! Mak oii! Tak ke lucu tu….Walhasil, yang diaorang boleh tengok, bukan rumah BESAR atau kereta BESAR, cuma anak-anakku yang dah semakin memBESAR!
Apa-apapun sebut pasal rumah besar, apalagi rumah yang harga 3 juta ni, maka terbayanglah Ummi dah semestinya rumah sebegitu lengkap dengan binaan yang gah lagi hebat! Maka terngianglah kembali ingatan Ummi terhadap kisah salah seorang sahabat Ansar…
Sebuah hadis riwayat Abu Daud daripada Anas r.a menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pada suatu hari telah keluar berjalan bersama seorang sahabat (Anas). Tiba-tiba baginda terpandang sebuah rumah yang di atasnya terbina sebuah kubah, lalu baginda bertanya, “Rumah siapa itu?” Sahabat memberitahu bahawa rumah itu kepunyaan si polan daripada kaum Ansar. Baginda diam tidak berkata apa-apa tetapi memendam perkara itu dalam dirinya.
Kemudian pada suatu ketika sahabat dari kaum Ansar yang mempunyai kubah itu bersua dengan Rasulullah SAW lalu memberi salam kepada baginda, tetapi baginda berpaling muka dengan wajah yang masam.
Peristiwa itu amat mendukacitakan sahabat Ansar yang berkenaan, sehingga suatu waktu beliau menceritakan kesedihannya berikutan peristiwa pahit itu kepada Anas r.a. Maka Anas menceritakan bahawa beliau pernah berjalan dengan Rasulullah SAW dan terpandang kubah yang dibina di rumah sahabat itu, lalu baginda bertanya rumah siapa itu?
Selepas sahabat Ansar itu mendengar penjelasan daripada Anas, maka fahamlah beliau bahawa baginda tidak suka di kalangan sahabatnya yang membuat kerja membazir seperti pembinaan kubah itu, kerana kubah hanyalah perhiasan bukannya keperluan. Sahabat Ansar itu segera pulang ke rumah dan mengambil tukul besi, lalu memecahkan kubah yang dibina itu sehingga tiada kelihatan lagi kubah tersebut.
Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat menghuraikan berkaitan kisah ini (rujuk buku bertajuk Taqwa - oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat m/s 39) :
“Mungkin banyak alasan yang boleh diberikan tentang pembinaan kubah atau binaan yang seumpamanya. Ada pendapat kononnya hendak menimbulkan ciri-ciri binaan Islam sebagai menggambarkan tamadun Islam yang dianggap unggul. Sebenarnya tidak wujud apa yang dikatakan binaan Islam. Tiada hujah ilmiah yang dapat menguatkan anggapan tersebut. Rumah juga sebagaimana pakaian, tidak wujud apa yang disebut pakaian Islam kerana rupa bentuk pakaian Islam hanyalah bersifat asasi, iaitu pakaian yang menutup aurat dan sopan atau berakhlak.”
Selepas kejadian itu, Rasulullah SAW lalu bersabda di hadapan para sahabat ;
“Ingatlah! Bahawa setiap binaan yang kamu dirikan itu akan menjadi bala kepada kamu kecuali binaan rumah yang menjadi keperluan (La budda)”
Semoga peringatan ini menjadi panduan buat Ummi dan kita semua.
#####################
Anak-anak Ummi selalu tanya, “Ummi, bila kita nak buat rumah?”
Dan selalunya jawapan Ummi : “Yang penting bukan rumah dengan bentuk bangunannya tetapi kebahagiaan yang terbentuk di dalam rumah itu. Kakak rasa bahagia tak dengan kehidupan keluarga kita sekarang?”
“Mestilah bahagia Ummi!”
“Hah..tulah yang dikatakan Rumahku Syurgaku. Ada rumah besar dan mewahpun kalau rahmah dan mawaddah tidak ada, apa gunanya…”
He,he..berlawan hujjah dengan Ummi memang tak menang…!
Abi pulak sambung…
“Siapa nak rumah di Syurga???”
Serentak diaorang menjawab (termasuk le Ummi sekali) : “Nakkkk!!!”
“Kalau nak rumah di Syurga, selain daripada solat fardhu, rajin-rajinlah tunaikan solat sunat 12 rakaat sehari. Rasulullah yang bagi jaminan tu!”
Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Tidaklah seseorang melakukan sembahyang sunat kerana mengharapkan keredhaan Allah sebanyak 12 rakaat setiap harinya, melainkan Allah membina sebuah rumah untuknya di syurga.”
(Hadis riwayat Muslim).
Subhanallah, Allahuakbar! Cukuplah bagiku di dunia ini rumah sekadar tempat kuberteduh dari hujan dan panas kerana yang lebih kudambakan adalah ‘Rumahku Di Syurga’…
Sekadar perkongsian cerita…
*************************************************************************************
2 ulasan:
Tengok org ada rumah besar, cantik dan lengkap serba serbi, kadang2 nafsu ni jeles gak...hehehe.. tp, tu lah.... apa guna rumah besar dan mewah kalau takde rahmah dan mawaddah.... yg lebih penting semangat 'usrati jannati' , rumah macamana keadaan pun, tetap terasa 'baiti jannati'...
kak han, solat sunat 12 rakaat tu, solat sunat apa ya?
Solat sunat apapun boleh Kin. Yang bagusnya,ambik 10 rakaat solat sunat rawatib muakkad + 2 rakaat solat sunat tahajjud. Lebihkan dengan solat sunat witir 3 rakaat lagi bagus! Allahua'lam...
10 Rakaat Solat Sunat Rawatib Muakkad:
2 rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Subuh
2 rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
2 rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Zuhur
2 rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Maghrib
2 rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Isyak
Catat Ulasan