Selasa, 21 Oktober 2008

Penyakit Masyarakat - Kembalilah Kepada Al-Qur'an..!

Assalamualaikum.

Suatu hari, sewaktu hampir pintu klinik ditutup sesi siang, jam 5 petang : Kuterima kedatangan seorang lagi pesakit, seorang gadis muda belasan tahun.

Kelihatan sihat seperti tak bermasalah…

Maka bertanyalah sang doktor : “Ya dik…ada masalah apa?”

Menjawablah si gadis belasan tahun : “Saya tak de apa-apa masalahpun doktor. Cuma haid saya aje dah 4 bulan tak datang!”

“Hmm…biasa ke macam tu sebelum ni?”

“Tak pernahpun doktor.”

“Adik dah kahwin?”..soalan rutin untuk setiap pesakit yang mengadu masalah tak datang haid.

“Eh, mana ada. Saya belum kahwin lagi.”

…….begitulah selanjutnya perbualan antara sang doktor dan si pesakit sebelum membuat pemeriksaan yang sepatutnya. Akhirnya setelah mendapat persetujuan, ujian ultrasound dilakukan.

Ultrasound Findings:

Singleton
Cephalic
BPD : 22W + 3D
Placenta : Posterior lower segment
FH : Seen
EDD : 18/2/2009

Astaghfirullahal’azim. Rupanya pesakit hamil 5 ½ bulan! Situasi yang memang dijangka dan terlalu lazim dihadapi oleh para doktor masa kini…

Antara isi perbualan antara sang doktor dan si gadis belasan tahun ini setelah mengetahui duduk perkara sebenar…

Doktor : Adik tak takut?

Gadis : Takut! (Tapi dengan wajah yang begitu selamba…)

Doktor : Takut apa?

Gadis : Takut kat mak kitalah!

Doktor : Bukan takut Allah? Bukan takut dengan dosa yang dah kita lakukan?

Gadis : (Diam dengan riak muka yang langsung tak menggambarkan perasaan terkejut, sedih, takut atau bimbang…)

Doktor : Masih sekolah?

Gadis : Ha-ah..tahun ni SPM!

……….akhirnya pesakit keluar membawa sekeping filem janin penuh suci yang dibentuk secara haram! Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah…Tak sanggup kulabelkan kandungan itu dengan istilah anak haram kerana yang sebenar-benarnya haram adalah perbuatan ‘pasangan berdosa’ itu…!

Kemana menghilangnya nilai murni masyarakat kini? Kemana perginya tatasusila melayu yang dilaungkan? Dan yang lebih tragis, kemana AJARAN SUCI AGAMA ISLAM dicicirkan?

Kepada siapa nak kita persalahkan? Si gadis belasan tahun itu? Kedua ibubapanya? Guru yang menjaga di sekolah? Atau kerajaan yang bertanggungjawab menjaga rakyatnya?

Kesemuanya adalah pemegang amanah! Amanah sebagai khalifah Allah yang diutus ke mukabumi ini untuk mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya…! Kalaulah apa yang termaktub di dalam kitab suci al-qur’an itu dihayati dan dituruti, mana mungkin penyakit masyarakat ini boleh terjadi.

Apakah situasi yang bakal berlaku selepas kejadian tadi? Semestinya pasangan yang ‘bertanggungjawab’..oh tidak! Istilah ini tak benar sama-sekali! Sebetulnya….pasangan yang ‘tak bertanggungjawab’ terhadap kandungan itu semestinya akan dipaksa kahwin dengan si gadis belasan tahun bagi menutup malu! Apakah HUKUM di sebalik perkahwinan sebegini?

Sama-sama kita renungi apa yang telah dihuraikan oleh al-fadhil Ustaz Zaharuddin Abd Rahman berkaitan permasalahan tersebut….

Hukum Kahwini Wanita Hamil Anak Luar Nikah

Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman (UZAR)
www.zaharuddin.net


Soalan


Sesungguhnya permasalahan ini amat berat. Perkahwinan seumpama ini pada hari ini sememangnya amat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung anak luar nikah, cepat-cepat dikahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini , perkahwinan ini adalah tidak sah! Maka pasangan tersebut akan hidup dalam zina sepanjang hayat. Mohon ustaz huraikan jawapan tuan imam dan tulisan ini.

surachei@aicsemicon.com

Jawapan UZAR

Telah agak lama saya terima soalan sebegini dan agak kerap juga. Jika ia hanya sekadar soalan ilmu yang bersifat amat jarang berlaku, ia tidaklah mengapa tetapi yang amat saya bimbangi adalah berdasarkan kekerapan soalan ini diajukan menimbulkan andaian bahawa kes begini sering berlaku dalam masyarakat kita.

Ini bermakna, agak ramai wanita dan lelaki yang telah terlanjur sebegini dan kemudian baru terfikir hukum bagi menyelesaikannya.

Sebagai manusia biasa, saya agak geram bila diajukan soalan ini. Hinggakan agak kerap juga saya menjawab dengan mudah iaitu.

"Hukumnya sememangnya menyukarkan, jadinya lain kali jangan berzina" demikian jawapan semasa geram saya.

"Ini kerana jika sememangnya tiada 'manual panduan yang normal' hukum yang mudah bagi menjawab keadaan sedemikian, sama seperti seorang yang datang mengadu kepada seorang mekanik kereta apabila kerosakan enjin keretanya"

Setelah diselidiki , didapati enjin rosak dengan amat fatal, apabila ditanya apa sebab enjinnya seteruk ini rosaknya, maka si empunya kereta memberitahu :-

"Kerana saya letak minyak tar dalam tangki petrol"

Saya kira sudah tentu mekanik itu juga merasa ‘bengang' dengan perangai ‘kurang cerdik' tuan punya kereta. Kemudian apabila diberitahu kos untuk membaiki enjin itu adalah mahal dan sukar, tuan punya kereta mulalah membebel dan marah-marah serta menuntut kos pembaikan yang mudah dan murah.

"Mana boleh murah dan senang kalau gini, dah hang yang teruk sangat jaga dan guna kereta. Kalau nak murah..LAIN KALI JANGANLAH MASUKKAN MINYAK TAR DALAM TANGKI PETROL NI OK !" kata mekanik meradang apabila diminta membaiki kerosakan berat itu dengan kos murah.

Inilah seolah-olahnya radangan saya juga di peringkat awal dulu. Dah berzina hingga mengandung, barulah sibuk ingin memikirkan hukum halal haram dan kesannya. Maka sudah tentu penyelesaiannya juga agak sukar sebenarnya.

Bagaimanapun, bagi memberikan penghargaan kepada pasangan yang telah bertawbat, maka inilah jawapannya:-

Apabila seorang lelaki dan wanita itu telah bertawbat dengan tawbat yang benar, dan berkahwin semasa si wanita itu sedang mengandungkan anaknya secara pasti - Perkahwinan itu adalah sah menurut Mazhab Syafie dan perlulah didaftarkan sebaiknya.

Mazhab Hanbali menjadikan tawbat sebagai syarat untuk diterima pernikahan tersebut. Ia berdasarkan tafsiran mereka dari surah an-Nur ayat ke 3. Bagaimanapun majoriti ulama tidak menjadikan tawbat sebagai syarat sah pernikahan penzina tersebut.


HUKUM KAHWIN SEMASA ‘IDDAH DAN HAMIL

Adapun berkenaan hal ‘iddah' dan bolehkah berkahwin semasa tempoh ‘iddah.

Hukum asal bagi perkahwinan dan perceraian normal, adalah diwajibkan menunggu tamatnya ‘iddah wanita sebelum diizinkan untuk berkahwin baru ( Al-Ikthiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/78).

a) Tempoh Iddah Wanita Dicerai Dalam Keadaan Suami Masih Hidup

Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan (jika tidak mengandung) adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT :-

Ertinya : "Dan wanita-wanita yang tercerai ( iddahnya ) adalah tiga kali suci " (al-baqarah : 228)

b) Tempoh Iddah Wanita Mengandung

Tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung, adalah sehingga ia selesai bersalin. Ia berdasarkan firman Allah SWT :-

وأولات الأحمال أجلهنّ أن يضعن حملهنّ

Ertinya : " Wanita-wanita yang hamil tempoh iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungannya" ( At-Talaq : 3)

c) Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Kerana Suami Mati

Tempohnya adalah 4 bulan sepuluh hari, jika tidak mengandung. Ia berdasarkan firman Allah :-

والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجاً يتربصن بأنفسهنّ أربعة أشهر وعشراً

Ertinya : "Dan bagi mereka yang meninggal dari kalangan kamu dan meninggalkan pasangan (isteri-isteri) hendaklah menunggu (tempoh iddah) nya 4 bulan sepuluh hari" (Al-Baqarah : 234)

Ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam (Nizam al-Usrah Fil Islam, Dr Md Uqlah, 1/ 287), Ia berdasarkan firman Allah :

ولا تعزموا عقدة النكاح حتى يبلغ الكتاب أجله

Ertinya : "Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) " (Al-Baqarah : 235 )

Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya. Ia berdasarkan firman Allah.

Demikian tadi hukum yang standard bagi seluruh umat Islam. Secara mudahnya, inilah hukum normal bagi keadaan normal. Sebagaimana manual dan panduan bagi sesebuah kereta yang rosak normal. Dengan mudah boleh dijumpai penyelesaiannya oleh si mekanik.

Kes Zina Bermasalah

Bagaimanapun dalam kes ‘iddah bagi individu yang ‘termengandung' akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain.

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.


Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. (Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)


Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.


Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :


Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"


Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :
لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح

Ertinya : "Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal (iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah" (Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)


Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah.


Lagi Displin Khas


Bagaimanapun, jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN! Jika mereka bersetubuh, maka berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah.

Ia berdasarkan sebuah hadith yang ertinya :

"Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" (Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi : Hadith Hasan)

Sekiranya wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah.

Adapun berkenaan jawapan seorang imam yang disebar luaskan oleh orang ramai berikut :-

Sila buka di sini

Jawapan di atas juga ada benar sebahagiannya jika dilihat dari perspektif mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari, yang mana mereka mengiktiraf mengandung hasil zina boleh membawa hukum ‘iddah, hasilnya, haram bernikah dengan wanita yang sedang ‘iddah dan berlakulah segala satu macam kerumitan sebagaimana yang digambarkan dalam jawapan tuan imam ini.

Kesimpulan

Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertawbat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah ia bersalin.

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/ 6 Mei 2007

*************************************************************************************

4 ulasan:

Ibnurashidi berkata...

Assalamualaikum DR..

Terima kasih atas artikel bermanfaat ni..ana terkedu bila baca perbualan dengan gadis tu..sungguh..begitulah realiti kini..

Fizul Al-Mempelami berkata...

salam.itulah lah remaja sekarang yg nipis pegangan agama.semoga kita berusaha membaiki mereka ini semampu mungkin..syukran kak umi dan abg abi

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum kak han,
hmm, situasi ni pn sama la...kat sini, ramai remaja belasan tahun datang dgn PID...dan semuanya SI active, kitaorg pulak yg segan nk take history, adik2 ni muka biasa je bila jawab soalan. sedihnya....

faizhanim berkata...

salam k.han

saya pun rasa sedih sgt bila jumpa patient kat klinik dgn PID yang single tapi sexually active...ada yg bertudung jugak!! ada jugak kes yg dtg labour room dah nak bersalin tanpa proper follow up...umur masih belasan tahun...sedih....