Ahad, 5 Oktober 2008

Redhamu Ku Pohon...

Assalamualaikum.

Terkesima hati ini merenung bait-bait ayat, nukilan dari Abu Saif dalam artikel beliau bertajuk ‘Kemaafan Yang Ku Dambakan’. Ya Allah..betapa selama ini diriku juga terlalai dalam kesibukan, terlena dalam kekhilafan. Apakah diriku juga sebagaimana watak Zamri dalam cerekarama ini?



Zamri…anak yang baik tetapi berdosa tanpa sedar kerana SIBUK. SIBUK yang menjadi punca SUNYI dan TERKILANnya hati seorang ibu. Mana mungkin Mardhatillah dapat digarap sedang sekeping hati seorang ibu tidak mampu dipelihara dan dijagai? Bukankah Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa."

Amat benar sekali apa yang dinukilkan oleh Saifulislam - Jika ada sesuatu yang tidak kena, janganlah bertangguh, segeralah muhasabah diri terhadap bonda. Seorang anak yang berada di bawah keredhaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi lapang lagi mudah hasil daripada keredhaan Allah SWT kepadanya. Sebaliknya seorang anak yang berada di bawah kemurkaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi sempit dan serba tak menjadi disebabkan kemurkaan Allah kepadanya.

Ya Allah...
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahkanlah ucapanku di hadapan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka

Dan lembutkan hatiku untuk mereka


Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya

Atas didikan mereka padaku

Dan pahala yang besar

Atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku

Peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku


Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
Atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku
Atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku
Jadikanlah itu semua penyebab susutnya dosa-dosa mereka

Dan bertambahnya pahala kebaikan mereka

Dengan perkenan-Mu ya Allah
Hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan

Dengan kebaikan berlipat ganda


Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah dicapai mereka sebelumku
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku
Tetapi jika sebaliknya

Maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka

Sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu

Di tempat kediaman yang dinaungi kemuliaan-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu...


Ibu, Ayah ...Cinta Dicurahkan Tak Pernah Bersyarat

"Kami mengasihi dan menyayangimu Ibu Ayah ... Semoga kasih sayang Allah terlimpah atasmu dan ampunan Allah atas segala kesalahan-kesalahanmu"

Ameen Ya Rabbal 'Alamin...

*************************************************************************************

Tiada ulasan: