Hari ini genap 15 tahun usia perkahwinan Ummi dan Abi! Terasa baru semalam diijabkabulkan. Mudah-mudahan Ummi dan Abi akan sentiasa menjadi ‘Pengantin Baru Di Setiap Hari’! Sebab itulah pilihan hadiah Ummi untuk kami berdua tahun ini adalah…jeng, jeng,jeng…buku kecil “Doa Menjadi Pengantin Baru Setiap Hari” oleh Ustaz Zahazan Mohamed.

Lagi hadiah untuk kami :

Saja nak tukar beg kerja lama yang dah koyak sana koyak sini tu. He,he,he..jangan jealous,ya.
Siapa yang beli? Dah tentu le Ummi yang beli. Kenapa bukan Abi? Hmm…nak tahu kenapa? Bab beli-beli hadiah ni kan, orang lelaki memang lemah. Jadinya lebih baik le Ummi beli sendiri untuk Abi dan diri Ummi sendiri. Puas hati! Kih,kih,kih…Abi mesti senyum lebar baca ayat ni! Tapi jangan cakap Abi tak pernah kasi hadiah kat Ummi tau. Setiap kali birthday Ummi pastinya Ummi akan terima ‘hadiah yang mengejutkan’ dari Abi!
Apapun, Ummi memang suka tengok Abi yang pandai menghargai setiap pemberian dari isteri. Hahhh…bab ni memang boleh bagi markah penuh!
Kenapa Hadiah?
"Saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai."
Hadith Riwayat Bukhari
Hadiah bukan sekadar hadiah. Kenapa Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya saling memberi hadiah? Tidak lain, kerana kesan daripada pemberian hadiah itu amat besar!
Kesimpulannya, hadiah selalu memberikan kesan perdamaian, rasa cinta dan penghargaan dari si pemberi kepada yang diberi. Kerana itulah junjungan kita, Rasulullah SAW sangat menganjurkan kita agar memberi dan menerima hadiah.
Erti Sebuah Perkahwinan
Menyebut erti sebuah perkahwinan, mungkin sudah terlalu banyak buku yang kita baca, artikel yang kita tatap atau ceramah yang kita dengar mengenai topik ini. Namun dalam banyak-banyak artikel dan banyak-banyak buku yang Ummi baca serta banyak-banyak ceramah yang Ummi dengar, Ummi cukup terkesan dengan artikel yang ditulis oleh Saifulislam.com berkaitan erti sebuah perkahwinan. Kenapa agaknya ya? Mungkin kerana apa yang ditulis itu adalah daripada pengalaman yang dilalui oleh beliau sendiri. Ilmu berdasarkan pengalaman manakan sama dengan ilmu atas dasar teori retorik semata-mata.
Ummi petik sebahagian daripada artikel yang ditulis oleh Saifulislam.com :
********************************************************
……rakan-rakan yang mendapat tahu tentang pertunangan saya dengan seorang ‘bakal doktor’ amat terkejut.

“Nabi SAW lagi sibuk dari saya. Isteri baginda lebih sibuk dari seorang doktor. Tapi rumah tangga mereka adalah yang paling bahagia. Tentu ada formulanya!”, saya menjawab dengan selamba.
Mudah sahaja jawapan saya itu. Namun saya memang sentiasa memikirkan tentangnya. Sampai begitu sekali persepsi kawan saya. Gilakah saya ini, kerana mahu memperisterikan seorang doktor?
Cabarannya memang besar.

Namun kehidupan ini tidak seideal itu. Kami perlu berhadapan dengan persepsi masyarakat. Seandainya kami mudah tergugat oleh apa yang difikirkan oleh orang lain, maka tentunya kami akan keletihan menangkis sinis dan sindiran yang ada. Apalah yang ada pada seorang ustaz, jika ukurannya adalah pada sebuah kebendaan? Apakah yang mampu ditawarkan oleh seorang ustaz kerana ‘ilmu agama’ tidak pernah menjanjikan kekayaan bagi pejuangnya. Kami saling menerima, atas realiti itu.

Rutin begitu, menyebabkan seorang kawan saya mencadangkan supaya isterinya tidak balik ke rumah. Tidurlah di hospital. Biar dia sahaja yang datang melawat isteri di hospital. Itu lebih baik dan melegakan bagi si isteri.
Sanggupkah saya untuk berhadapan dengan semua itu?

TUJUAN BERUMAHTANGGA
Tanpa saya sedar, saya mendapat kekuatan untuk menerima kehadiran seorang isteri yang bakal sibuk, maha sibuk. Kekuatan itu datang dari satu prinsip hidup saya yang penting, ‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’.
Ya, saya mahu berumah tangga bukan untuk menerima. Saya berumah tangga kerana mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan. Semuanya itu adalah peranan saya di dalam sebuah rumah tangga. Dan seandainya saya menerima apa-apa kebaikan dari isteri, semuanya mengundang rasa syukur, walau sekecil mana sekali pun kebaikan itu.
Saya masih ingat pesanan seorang senior saya di Belfast.
“Dalam soal berumah tangga, janganlah terlalu memilih dan hanya mencari yang paling sempurna. Jika kita mahu yang paling sempurna, maka nanti apabila kita membuat keputusan untuk menerima seseorang, kita menganggapnya sebagai seorang yang sempurna. Jika rumah tangga dibina atas fikiran seperti itu, kita tidak expect sebarang kekurangan. Maka selepas berumah tangga, hanya kekurangan isteri sahajalah yang sering terlihat di mata, kerana kita menjangkakan kesempurnaan. Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai”, kata Kak Naz dan Abang Rozli semasa saya menyuarakan rancangan saya untuk berumah tangga.
Nasihat itu saya pegang hingga hari ini….
…ERTI KEBAHAGIAAN
Beberapa hari yang lalu, saya menerima sms dari seorang pelajar yang pernah mengikuti kursus yang saya kendalikan.
Katanya, “Ustaz, apa yang saya sedar selama ini, ramai orang merasa bahagia dan gembira apabila dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga. Namun, pada hemat saya, ustaz mempunyai masa yang amat terhad bersama keluarga. Jadi, apa erti kebahagiaan dalam hidup ustaz? Harap, soalan ini mudah untuk dijawab. Bukan soalan, tetapi minta ustaz kongsi dengan saya jika tidak keberatan.”
Saya termenung. Kebetulan semasa itu saya sedang out station di Labuan. Berikut adalah jawapan saya kepadanya,

PENGHARGAAN BUAT SEORANG ISTERI
Terima kasih kepada isteri saya kerana bersabar dengan segala ujian yang menimpa kehidupan selama ini. Terima kasih kerana bersama saya menyedari bahawa kita tidak mungkin hidup tanpa ujian kerana ujian-ujian itulah sebenarnya kehidupan kita.

Terima kasih kepada isteri yang mentaati Allah. Kerana ketaatan kita kepada Allah, kita tidak gelisah untuk berpisah. Saya sentiasa percaya bahawa isteri saya mentaati Allah dan dijaga oleh Allah sepanjang pemergian saya. Isteri saya juga percaya bahawa saya mentaati Allah dan dijaga-Nya sepanjang masa saya meninggalkan rumah.
Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat bercouple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah. Rumah tangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai. Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya…

Semoga cinta dan kasih kepada isteriku terus mekar pada sebuah rumah tangga yang dibina atas rasa kehambaan. Hamba yang sering memikirkan peranan, dan gemar memberi kebaikan. Apabila peranan saling ditunaikan, berhasillah segala hak yang ditentukan. Moga Allah terus mengurniakan kepadaku, isteri dan anak-anak, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup, dengan siraman barakah dari Allah, Tuhan yang kerana-Nya, kami bertemu. Ameen…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras, 16 September 2006
Baca artikel penuh di sini...
*************************************************************************************
"Doakan juga untuk Ummi dan Abi moga sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat dengan siraman barakah dari Allah, Tuhan yang kerana-Nya kami bertemu. Ameen…"
*************************************************************************************
10 ulasan:
Oh, hadiah perkahwinan rupanya buku tuu..
buat pengetahuan Kak Ummi dan Abg Lan, ulangtahun perkahwinan Amdang dan isteri hanya sebulan sahaja lagi. Maka, kami anggap hadiah kelmarin tu sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan pertama kami. ;)
Assalamualaikum Kak Ummi dan Abang Abi... tahniah atas ulangtahun perkahwinan kalian berdua. Semoga setiap hari yang bertambah dalam usia perkahwinan itu, menambah mawaddah dan rahmah buat seluruh ahli keluarga.
Doakan kami yang masih bertatih ini. Terima kasih juga kerana menjadi pengunjung setia saifulislam.com
Memikirkan betapa banyaknya nikmat berumahtangga ini, terasa nak jumpa balik kawan yang pernah tanya soalan gilakah saya kerana mahu berkahwin dengan doktor dulu tu, sebab saya nak beritahu dia "gila betul sapa yang tak nak kahwin dengan doktor!" Betul tak Abang Abi?
Salam ukhuwwah dari kami...
Waalaikummussalam.Abu Saif singgah sini?Wah!Teruja habis Kak Ummi dan Abang Abi ni!
Terimakasih Dik Ustaz atas doa tu.Ameen...Juga doa kami buat Dik Ustaz "Moga mawaddah dan rahmah kan sentiasa memayungi kehidupanmu sekeluarga..."
Hahh..ayat tu memang Kak Ummi sokong sangat-sangat : "Gila betul sapa yang tak nak kahwin dengan doktor!" He,he,he...Abang Abi ada nak tambah tak???
Juga salam ukhuwwah fillah dari Kak Ummi dan Abang Abi. Alhamdulillah, Segala Puji bagiMu ya Allah yang telah mempertemukan dan mengikat hati-hati ini di jalanMu…
Aik..dah dekat setahun ke Amdang kahwin?Rasa macam baru je lagi baca kisah Amdang kahwin kat blog.
Hmm..memang buku tu Kak Ummi beli serentak utk ulangtahun perkahwinan sendiri dan 'hutang hadiah perkahwinan' Amdang sebab time Amdang kahwin tu tak jemput Kak Ummi..hehe..memang tak kenal lagipun time tu.
Apapun..Kak Ummi jadi orang yang paling awallah kasi hadiah kat Amdang ni? Wau!Hebat ni..haha. Berapa haribulan tarikh kahwin Amdang?Mana le tahu kot-kot time tu rajin nak buat kek,boleh Kak Ummi 'pos' kat Amdang nanti...Tapi kalau kena time malas,tak merasa le kek buatan Kak Ummi.Tu namanya 'Kek Moody'..haru, haru...
Salam ulangtahun perkahwinan ke 15... moga dikurniakan rumahtangga yg kekal bahagia dlm keberkatanNya :).
Ameen..Terimakasih Kin.
Juga doa Kak Han untuk Kin sekeluarga.."Moga sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat dengan siraman barakah dari Allah"
Nak bagi kek? Alhamdulillah...
amdang punya ulangtahun pada 29 November nih.. so, akak dah leh start g beli barang2 nak buat kek tu..
Dengar-dengar mcm untang lak jika kawin dengan doktor nih.. Nasib baik la amdang ada 3 lagi kekosongan.. ehem ehem..
p/s: akak x yah nak ngadu kat Jue, dia akan jenguk-jenguk gak blog akak nih.. ;)
Uik! Banyak bagus punya adik sorang nih...pantang pelawa! Huhuhu..harap-harap le time tu 'mood malas' yang datang...haha...
Laa..rupanya tarikh kahwin kita selang sebulan je le..Kak Ummi dan Abg Lan 29 Oktober, Dan dan Jue 29 November. Hmmm..senang nak ingat..
3 lagi kosong? Isyh,isyh,isyh.. Jue,jaga baik-baik Abang Amdang tu! Kak Ummi standby kat belakang..hehehe...
Salam Kak Han dan suami.
Terima kasih sudi datang ziarah rumah kami hari tu. Terasa benar ukhuwahnya.
Wah, SubhanAllah sudah 15tahun Kak Han berumahtangga. Tahniah. Gembira rasanya baca entri ini, dan terasa benar kesegaran kasih sayang Kak Han dan suami. Boleh jadi rumahtangga contoh buat kami yang masih bertatih. Semoga keluarga Kak Han diberkati sentiasa.
Salam sayang
Sama-sama Dik Sumaiyyah.
Alhamdulillah, Kak Hanpun tak sangka dapat jumpa dengan adik berdua yang begitu peramah!Moga ikatan ukhuwwah antara kita kan sentiasa berpanjangan dik...
Juga doa Kak Han dan Abang Lan untuk adik berdua: "Semoga setiap hari yang bertambah dalam usia perkahwinan, menambah mawaddah dan rahmah serta sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat dengan siraman barakah dari Allah"
Ameen.
Catat Ulasan