Assalamualaikum.Hari ini genap 15 tahun usia perkahwinan Ummi dan Abi! Terasa baru semalam diijabkabulkan. Mudah-mudahan Ummi dan Abi akan sentiasa menjadi ‘Pengantin Baru Di Setiap Hari’! Sebab itulah pilihan hadiah Ummi untuk kami berdua tahun ini adalah…jeng, jeng,jeng…buku kecil
“Doa Menjadi Pengantin Baru Setiap Hari” oleh Ustaz Zahazan Mohamed.
Lagi hadiah untuk kami :
Saja nak tukar beg kerja lama yang dah koyak sana koyak sini tu. He,he,he..jangan jealous,ya.
Siapa yang beli? Dah tentu le Ummi yang beli. Kenapa bukan Abi? Hmm…nak tahu kenapa? Bab beli-beli hadiah ni kan, orang lelaki memang lemah. Jadinya lebih baik le Ummi beli sendiri untuk Abi dan diri Ummi sendiri. Puas hati! Kih,kih,kih…Abi mesti senyum lebar baca ayat ni! Tapi jangan cakap Abi tak pernah kasi hadiah kat Ummi tau. Setiap kali
birthday Ummi pastinya Ummi akan terima ‘hadiah yang mengejutkan’ dari Abi!
Apapun, Ummi memang suka tengok Abi yang pandai menghargai setiap pemberian dari isteri. Hahhh…bab ni memang boleh bagi markah penuh!
Kenapa Hadiah?"Saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai."
Hadith Riwayat BukhariHadiah bukan sekadar hadiah. Kenapa Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya saling memberi hadiah? Tidak lain, kerana kesan daripada pemberian hadiah itu amat besar!
Hadiah mampu menafsirkan sebuah permintaan maaf melebihi daripada ucapan maaf yang hendak disampaikan. Hadiah mampu menghilangkan kegusaran hati, memadamkan api permusuhan, menenangkan kemarahan dan melenyapkan rasa iri hati serta kedengkian. Malah ia mampu meraih rasa kecintaan dan persahabatan setelah sekian lama terpisah!
Kesimpulannya, hadiah selalu memberikan kesan perdamaian, rasa cinta dan penghargaan dari si pemberi kepada yang diberi. Kerana itulah junjungan kita, Rasulullah SAW sangat menganjurkan kita agar memberi dan menerima hadiah.
Erti Sebuah PerkahwinanMenyebut erti sebuah perkahwinan, mungkin sudah terlalu banyak buku yang kita baca, artikel yang kita tatap atau ceramah yang kita dengar mengenai topik ini. Namun dalam banyak-banyak artikel dan banyak-banyak buku yang Ummi baca serta banyak-banyak ceramah yang Ummi dengar, Ummi cukup terkesan dengan artikel yang ditulis oleh Saifulislam.com berkaitan erti sebuah perkahwinan. Kenapa agaknya ya? Mungkin kerana apa yang ditulis itu adalah daripada pengalaman yang dilalui oleh beliau sendiri. Ilmu berdasarkan pengalaman manakan sama dengan ilmu atas dasar teori retorik semata-mata.
Ummi petik sebahagian daripada artikel yang ditulis oleh Saifulislam.com :
********************************************************
……rakan-rakan yang mendapat tahu tentang pertunangan saya dengan seorang ‘bakal doktor’ amat terkejut.
“Anta gilakah, Hasrizal? Kahwin dengan doktor! Anta tak takut kena tinggal?”, tanya seorang rakan saya.
“Nabi SAW lagi sibuk dari saya. Isteri baginda lebih sibuk dari seorang doktor. Tapi rumah tangga mereka adalah yang paling bahagia. Tentu ada formulanya!”, saya menjawab dengan selamba.
Mudah sahaja jawapan saya itu. Namun saya memang sentiasa memikirkan tentangnya. Sampai begitu sekali persepsi kawan saya. Gilakah saya ini, kerana mahu memperisterikan seorang doktor?
Cabarannya memang besar.
Cabaran pertama adalah soal harga diri. Melalui didikan Islam yang kami terima dalam kuliah, tamrin, usrah dan bacaan buku, perkahwinan antara seorang ustaz dengan seorang doktor tidak pernah dianggap tidak sekufu. Apa yang penting, kedua-duanya saling berpegang kepada nilai-nilai Islam. Kami menilai kehidupan dengan penilaian yang sama dan di situlah keserasian serta persamaan itu wujud.
Namun kehidupan ini tidak seideal itu. Kami perlu berhadapan dengan persepsi masyarakat. Seandainya kami mudah tergugat oleh apa yang difikirkan oleh orang lain, maka tentunya kami akan keletihan menangkis sinis dan sindiran yang ada. Apalah yang ada pada seorang ustaz, jika ukurannya adalah pada sebuah kebendaan? Apakah yang mampu ditawarkan oleh seorang ustaz kerana ‘ilmu agama’ tidak pernah menjanjikan kekayaan bagi pejuangnya. Kami saling menerima, atas realiti itu.
Cabaran kedua adalah soal komitmen kerja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan berumahtangga adalah sesuatu yang amat mencabar bagi seorang doktor. Khususnya di peringkat housemanship (juga disebut internship). Seorang suami kepada seorang doktor akan lebih banyak ditinggalkan kerana jadual oncall yang tidak berperi kemanusiaan. Bayangkan, seorang doktor yang baru memulakan kerjayanya di sebuah hospital, masuk kerja pada jam 8 pagi hari Isnin. Beliau habis bekerja pada jam 5 petang hari Selasa, malah kadang-kadang terlajak hingga ke jam 8 malam. Keesokan harinya, Rabu, beliau akan ke hospital semula pada jam 8 pagi dan tamat kerja pada jam 5 petang hari Khamis.
Rutin begitu, menyebabkan seorang kawan saya mencadangkan supaya isterinya tidak balik ke rumah. Tidurlah di hospital. Biar dia sahaja yang datang melawat isteri di hospital. Itu lebih baik dan melegakan bagi si isteri.
Sanggupkah saya untuk berhadapan dengan semua itu?
Saya bersyukur. Ketika saya membuat keputusan untuk berumah tangga dengan seorang doktor, apa yang saya fikirkan ialah peluang saya untuk berbuat kebaikan. Saya gembira membayangkan betapa saya dapat mendidik isteri dengan pengetahuan agama Islam. Saya gembira dapat memasak yang sedap-sedap untuk isteri (sudah jemu untuk menjamu kawan-kawan bujang yang tidak pernah kenyang). Saya gembira membayangkan suatu hari nanti jika ada rezeki, saya dapat mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak. Malah paling menggembirakan, perjuangan saya di medan Amal Islami dapat dikongsi bersama seorang isteri. Ia menyempurnakan sudut kehidupan saya.
TUJUAN BERUMAHTANGGATanpa saya sedar, saya mendapat kekuatan untuk menerima kehadiran seorang isteri yang bakal sibuk, maha sibuk. Kekuatan itu datang dari satu prinsip hidup saya yang penting,
‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’.Ya, saya mahu berumah tangga bukan untuk menerima. Saya berumah tangga kerana mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan. Semuanya itu adalah peranan saya di dalam sebuah rumah tangga. Dan seandainya saya menerima apa-apa kebaikan dari isteri, semuanya mengundang rasa syukur, walau sekecil mana sekali pun kebaikan itu.
Saya masih ingat pesanan seorang senior saya di Belfast.
“Dalam soal berumah tangga, janganlah terlalu memilih dan hanya mencari yang paling sempurna. Jika kita mahu yang paling sempurna, maka nanti apabila kita membuat keputusan untuk menerima seseorang, kita menganggapnya sebagai seorang yang sempurna. Jika rumah tangga dibina atas fikiran seperti itu, kita tidak expect sebarang kekurangan. Maka selepas berumah tangga, hanya kekurangan isteri sahajalah yang sering terlihat di mata, kerana kita menjangkakan kesempurnaan. Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai”, kata Kak Naz dan Abang Rozli semasa saya menyuarakan rancangan saya untuk berumah tangga.
Nasihat itu saya pegang hingga hari ini….
…ERTI KEBAHAGIAANBeberapa hari yang lalu, saya menerima sms dari seorang pelajar yang pernah mengikuti kursus yang saya kendalikan.
Katanya, “Ustaz, apa yang saya sedar selama ini, ramai orang merasa bahagia dan gembira apabila dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga. Namun, pada hemat saya, ustaz mempunyai masa yang amat terhad bersama keluarga. Jadi, apa erti kebahagiaan dalam hidup ustaz? Harap, soalan ini mudah untuk dijawab. Bukan soalan, tetapi minta ustaz kongsi dengan saya jika tidak keberatan.”
Saya termenung. Kebetulan semasa itu saya sedang out station di Labuan. Berikut adalah jawapan saya kepadanya,
“Kebahagian rumah tangga bukanlah pada kuantiti masa yang diluangkan bersama isteri dan anak-anak. Penentunya adalah kualiti. Berapa ramai yang meluangkan banyak masa bersama keluarga, tetapi hakikatnya mereka tidak bersama. Mereka sebumbung tetapi masing-masing mengadap TV, tidak berkomunikasi. Ustaz sentiasa cuba pastikan setiap masa yang ada untuk bersama isteri dan anak-anak, digunakan sebaik mungkin untuk benar-benar bersama. Lihatlah Ismail alayhi al-Salaam. Sering ditinggalkan bapanya. Tetapi Ismail tidak pernah memusuhi Ibrahim. Mereka bertemu kerana Allah, mereka berpisah kerana-Nya jua.”
PENGHARGAAN BUAT SEORANG ISTERITerima kasih kepada isteri saya kerana bersabar dengan segala ujian yang menimpa kehidupan selama ini. Terima kasih kerana bersama saya menyedari bahawa kita tidak mungkin hidup tanpa ujian kerana ujian-ujian itulah sebenarnya kehidupan kita.
Terima kasih juga kepada isteri saya kerana tidak menambat kaki ini untuk terikat di rumah. Seorang isteri yang menghalang suaminya keluar berjuang, akan sentiasa memiliki suami yang sentiasa mahu keluar. Seorang isteri yang menggalakkan suaminya keluar berjuang, akan sentiasa menerima kepulangan suami yang sentiasa berusaha untuk pulang. Perginya suami atas dorongan isteri, adalah pemergian yang dibayangi kepulangan.
Terima kasih kepada isteri yang mentaati Allah. Kerana ketaatan kita kepada Allah, kita tidak gelisah untuk berpisah. Saya sentiasa percaya bahawa isteri saya mentaati Allah dan dijaga oleh Allah sepanjang pemergian saya. Isteri saya juga percaya bahawa saya mentaati Allah dan dijaga-Nya sepanjang masa saya meninggalkan rumah.
Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat bercouple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah. Rumah tangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai. Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya…
Semoga cinta dan kasih kepada isteriku terus mekar pada sebuah rumah tangga yang dibina atas rasa kehambaan. Hamba yang sering memikirkan peranan, dan gemar memberi kebaikan. Apabila peranan saling ditunaikan, berhasillah segala hak yang ditentukan. Moga Allah terus mengurniakan kepadaku, isteri dan anak-anak, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup, dengan siraman barakah dari Allah, Tuhan yang kerana-Nya, kami bertemu. Ameen…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras, 16 September 2006
Baca artikel penuh
di sini...*************************************************************************************
"Doakan juga untuk Ummi dan Abi moga sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat dengan siraman barakah dari Allah, Tuhan yang kerana-Nya kami bertemu. Ameen…"
*************************************************************************************