Ahad, 2 November 2008

Dilema: Cukupkah Sekadar Didikan Di Rumah...?

Assalamualaikum.

Sesi persekolahan sudah hampir ke penghujungnya. Hampir setiap minggu, ada sahaja anak-anak yang menghadapi peperiksaan akhir tahun. Minggu lepas, kakak Amirah. Minggu ni Angah dan Adik Aisyah pulak. Alongpun dah bermula minggu mengulangkaji pelajaran dan minggu untuk menghabiskan target hafazan. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan Allah, diterangkan hati, diperkuatkan ingatan serta dikurniakan kejayaan yang cemerlang dunia dan akhirat. Ameen.

Ada sesuatu yang ingin Ummi kongsikan atau dengan perkataan yang lebih tepat, ingin Ummi luahkan?! Entahlah. Tapi peristiwa ini begitu menimbulkan kesan kepada diri Ummi selaku seorang ibu yang juga masih bertatih untuk menjadi ibu yang mendidik, bukan sekadar ibu yang melahirkan.

Peristiwa Apa?

Setiap kali balik dari kerja, soalan pertama Ummi dan Abi kepada anak-anak “Dah sembahyang ke belum?” Waktu Ummi sampai ke rumah selalunya antara jam 5.30 – 6.00 petang dan sepatutnya anak-anak sudah selesai menunaikan solat Asar.

Suatu ketika, Ummi dapat jawapan dari Adik Aisyah yang masih di peringkat pra-sekolah (6 tahun) :

“Asar dah sembahyang Ummi tapi Zohor Aisyah tak sembahyang kat sekolah tadi!”

“Kenapa Aisyah tak sembahyang?”

“Cikgu tak bagi budak-budak sembahyang. Semua tak sembahyanglah.”

“Cikgu cakap apa?”

“Cikgu cakap: Hari ni tak payah sembahyanglah. Cikgu letih nak urus!”

Tersentak Ummi dengan apa yang dimaklumkan. Terus Ummi terangkan kat Adik Aisyah…

“Mana boleh macam tu. Aisyah yang silap dengar tak?”

“Betul Ummi. Aisyah cakap balik kat cikgu: Nanti Ummi dan Abi marah kat Aisyah kalau tak sembahyang.”

“Lepas tu?”

“Lepas tu cikgu cakap: Tak apa. Aisyah budak lagi!”

“Astaghfirullah. Mana boleh macam tu. Budak-budak kalau tak diasuh dan dilatih dari kecil, dah besar nanti lagi susah nak suruh sembahyang. Umur Aisyah ni memang tak tanggung dosa pahala lagi tapi Ummi Abi akan tanggung dosa jika tak didik anak dengan betul sejak dari kecil.”

“Tulah Ummi. Aisyah tak mboh (tak mahu) Ummi Abi masuk neraka!”

“Kalau gitu, lepas ni Aisyah kena qada’ sembahyang yang Aisyah tinggalkan tadi. Boleh?”

“Ok Ummi…!” Hmm..brutal juga jawapan tu. Yang penting Aisyah faham. Alhamdulillah.

Setelah beberapa minggu berlalu, sekali lagi Adik Aisyah mengemukakan masalah yang sama. Kali ini dengan alasan yang sama: ‘Cikgu letih nak uruskan anak-anak kecil ni bersolat’. Dan sekali lagi Ummi terpaksa memberikan penerangan dan ulasan yang sama.

“Lain kali kalau cikgu tak kasi sembahyang, Aisyah sembahyang je sorang-sorang. Yang penting, Jangan Tinggal Solat!

“Ok Ummi. Tapi Aisyah takut cikgu marah kat Aisyah je.”

“Kalau cikgu marah, cakap kat Ummi.”

Masa berlalu begitu pantas. Ummi benar-benar berharap agar kejadian seumpama itu tak berulang kembali. Beberapa minggu kemudiannya…

Sekali lagi Adik Aisyah mengadu perkara yang sama! Kali ini dalam keadaan yang agak takut-takut nak maklumkan pada Ummi. Siap berbisik-bisik dulu dengan kakaknya, ‘Macamana nak beritahu Ummi ni?’

Kali ini Ummi dan Abi nekad. Didikan dari rumah semata-mata tidak akan berjaya jika tidak ada kerjasama dari pihak yang akan menggantikan kita sebagai pendidik sewaktu di luar sana. Petang itu juga Abi dial nombor telefon gurubesar sekolah untuk berbincang. Sah! Memang gurubesar tak maklum akan masalah tersebut dan sememangnya solat zohor di sekolah diwajibkan ke atas semua pelajar di bawah pengawasan guru.

Hasilnya, Alhamdulillah. Semenjak tarikh itu, Aisyah tidak lagi mengadu masalah tak dibenarkan sembahyang di sekolah beliau.

Ummi tidak suka nak menyalahkan pihak lain sebenarnya dalam proses mendidik anak-anak. Apalagi sekolah yang Ummi pilih ini bagi Ummi adalah yang terbaik dari senarai pilihan kami jika dilihat dari sudut kurikulum akademik dan agama. Waktu persekolahan juga amat sesuai untuk ibu dan ayah yang bekerja sepenuh masa seperti kami, bermula dari jam 8 .30 pagi sehingga jam 4.00 petang. Makan dan minum dijaga. Pengajian al-qur’an serta hafazan juga disediakan. Malah pengangkutan pergi dan balik akan diuruskan oleh pihak sekolah sekiranya perlu. Segala-galanya memenuhi kehendak Ummi dan Abi.

Namun kadangkala guru-guru juga ada membuat khilaf sebagaimana kita para ibubapa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Manusia, tidak ada yang sempurna. Manusia, insan lemah yang memerlukan pedoman dan petunjuk.

Anak-anak kecil tidak sepatutnya didedahkan dengan alasan yang bersifat pembohongan semata-mata untuk lari dari persoalan. Bayangkan! Sedari kecil anak-anak dimaklumkan bahawa dia tak perlu sembahyang atas alasan cikgu letih nak tunjuk-ajar dan si anak murid masih di peringkat budak lagi!

Tidakkah suatu hari nanti anak-anak ini akan beralasan atas dirinya sendiri untuk tidak bersembahyang semata-mata atas alasan letih? Tidakkah anak-anak ini juga yang bakal menjadi ibu atau ayah di suatu hari nanti dan bakal memberikan alasan yang sama pada anak-anaknya untuk meringan-ringankan bab sembahyang atas alasan si anu masih budak-budak lagi? Tidakkah generasi mereka nanti berkemungkinan akan ada yang menjadi guru pendidik dan akan mengulangi perkara yang sama pada si anak murid?

Perkara-perkara sebeginilah yang terkadang di pandang sebelah mata walhal kelak ia bakal memberi kesan yang cukup besar buat anak kecil yang pastinya akan berubah menjadi baligh, remaja, dewasa dan seterusnya bakal menjadi pemimpin kepada generasi yang akan datang.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"...maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."

(Surah An-Nisaa': 103)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud:

“…dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar”.

(Surah Al-Ankabuut: 45)

Nah! Disitulah jawapannya. Begitu banyak kemungkaran dan kekejian yang berlaku di mukabumi ini…dari mana puncanya? Jika diteliti sedalam-dalamnya, sememangnya umat manusia di zaman moden ini tidak lagi memberatkan soal sembahyang. Sedangkan sembahyang yang didirikan dengan sempurna itulah yang menjadi tembok penghalang kepada empunya diri daripada melakukan maksiat dan perkara keji!

Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang sentiasa memelihara solatnya.

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan shalat. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)".

(Surah Ibrahim: 40-41)

*************************************************************************************

Tiada ulasan: