Sabtu, 8 November 2008

Tetamu Di Penghujung Senja...

Assalamualaikum.

Suatu Hari Di Malam Minggu.....

Baru saja kuangkat takbir solat jemaah Maghrib bersama Kakak Amirah dan Adik Aisyah, tiba-tiba kedengaran pintu bilik diketuk…

“Assalamualaikum Ummi! Ummi, ada tetamu!” Petah aja si cilik Atiqah yang berusia 4 tahun itu bersuara…

Nun di tingkat bawah, kedengaran salam dilaungkan dengan lantang sambil pintu digoncang dengan kuat! Berturut-turut dan berulang-ulang kedengarannya sepanjang kami bersolat.

Subhanallah! Kuteruskan juga solat dalam keadaan terganggu. Sudah pasti kekhusyukan solatku juga terganggu. Tapi ia tidak menjadi sebab untuk kuhentikan solat.

Selesai salam, terus kubangun menuju ke pintu bilik. Rupanya si cilik Atiqah sabar menunggu di luar bilik selepas ketukan dan salam pertamanya tak berbalas.

“Ummi, ada tetamu!” ulang si cilik Atiqah.

“Bibik mana?”

“Bibik baru sudah sembahyang”


“Bibik bukakan pintu ke?”


“Tak! Bibik takut buka pintu!”


Dalam hati kecilku sedikit lega. Sebabnya..laungan salam yang kedengaran tadi dengan cara si tetamu goncangkan pintu dengan kuat amat memelikkan dan meragukan! Pantas saja terbayang di kepalaku tragedi beberapa tahun lepas, seorang doktor dirompak di rumahnya sebaik sahaja pintu dibuka untuk menerima tetamu yang memberikan alasan sakit. Dunia sekarang, macam-macam boleh terjadi!

Terus kudapatkan bibik di biliknya.

“Bik, siapa yang datang tu?”

“Entah buk!Bibik tak kenal. Sorang perempuan dengan anaknya. Bibik dah kasi tau sama dia, kena tunggu, sebab ibuk lagi sembahyang.” Terang bibik dengan loghat Indonesianya.

Dalam masa yang sama, sekali lagi kedengan pintu digoncang dengan kuat sambil salam dilaungkan dengan cukup lantang. Bayangkan! Ketika itu Abi dan Angah tiada di rumah, solat di masjid. Menggeletar kita dibuatnya. Sungguh tak munasabah kalau seorang tetamu yang berakhlak, datang berziarah sewaktu Maghrib dan digoncang-goncangkannya pula pintu rumah kita macam nak tercabut dibuatnya!

Spontan Ummi buka jendela dari tingkat atas dan menjenguk keluar. Sah! Memang ada tetamu yang tak dikenali, sedang terintai-intai dan terjenguk-jenguk di luar pintu rumah.

“Siapa tu?” laung Ummi dari tingkat atas.

“Hah! Tupun Dr Ummi! Kita mari (datang) nak jumpa doktorlah ni”

Astaghfirullahal’azim. Pesakit datang cari doktor di rumah waktu maghrib? Betul-betul kecemasan ke?

“Doktor turunlah, saya nak cakap sikit ni.”

Ditemani bibik, terus Ummi turun ke bawah dan buka tingkap.

“Maaf ya kak. Saya tak boleh buka pintu ni. Suami belum balik lagi.”

Memang itu pesanan suamiku…jangan diizinkan masuk tetamu tak dikenali.

“Tak pe. Kita cakap ikut tingkap aja.”

“Apa masalahnya kak?”

“Gini doktor. Saya dah pergi farmasi sakni (sekejap tadi) tapi ubat yang saya nak tu farmasi tak boleh jual sebab nak kena ada sign doktor. Jadi saya nak minta tolong Dr Ummi signlah ni.”

“Akak cari ubat apa?”

“Ubat tidur untuk anak saudara kat rumah!”

Astaghfirullah. Tersirap darahku naik ke muka! Ingatkan masalah besar. Rupanya datang nak ambik ubat tidur semata-mata dalam waktu Maghrib dengan cara ‘mengogeh’(goncang) pintu rumah orang???!!

Cukup di situ sinopsis kejadian yang kualami beberapa hari lepas…

Sungguh dalam Islam, keindahan ajarannya tak terbanding. Malangnya umat Islam mula lupa kepada ajaran Islam yang indah lagi syumul ini.

Bukankah Islam turut mengajar kita adab-adab bertamu? Semoga sinopsis kejadian di atas serta peringatan adab-adab bertamu yang Ummi nukilkan di bawah, kembali memperingatkan kita kepada ajaran Islam yang cantik, indah lagi menyelamatkan kita ummatnya dalam apa jua situasi.

ADAB-ADAB BERTAMU

1. MEMINTA IZIN TERLEBIH DAHULU

Ini adalah mematuhi arahan yang disuruh oleh Allah SWT di dalam ayat 27 hingga 29 surah An-Nur yang bermaksud:

“Hai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu agar kamu (selalu) ingat. Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: "Kembalilah", Maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih baik bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”

Kita diminta memberi salam, mengetuk pintu ataupun menekan loceng sebanyak tiga kali secara berselang bukannya berturut-turut dan bukan juga dengan menggoncang-goncangkan pintu! Ini adalah bagi memastikan tuan rumah ada di rumah dan kemungkinan besar dia tidak menyahut atau menjawab panggilan kita kerana tugasan ataupun ada masalah lain.

Jika kita telah melakukan perkara ini tetapi tetap tiada jawapan, maka kita hendaklah beredar pulang. Begitu juga apabila tuan rumah tidak mengizinkan kita untuk masuk maka janganlah kita membantahnya dengan perkataan ataupun perbuatan. Jangan simpan dendam tetapi tanamkan dalam diri sikap baik sangka yang mana kemungkinan waktu ziarah tidak sesuai ataupun dia ada masalah lain.

Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang itu telah meminta keizinan sebanyak tiga kali tetapi tidak diberi keizinan maka dia hendaklah pulang.”

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad Hambal daripada Qais bin Saad bin Ibadah telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah datang ke rumahnya dan telah memberi tiga kali salam secara berselang-seli yang mana setiap salam telah dijawab oleh Qais secara perlahan. Ini menyebabkan Rasulullah S.A.W tidak mendengar jawapan itu dan setelah cukup tiga kali berbuat demikian maka Baginda SAW berpaling untuk beredar dari rumah Qais.

Apabila melihat perkara ini, maka Saad terus mengekori Rasulullah SAW dan ketika bersaing dengan baginda SAW, dia memberitahu bahawa mereka telah menjawab salam tetapi secara perlahan bertujuan supaya Baginda SAW memberi salam kepada mereka banyak kali sebagai doa buat mereka. Mendengar penjelasan itu maka Rasulullah SAW terus menuju kembali ke rumah Qais bersama dengan Saad.

Jika kita menziarahi rumah teman yang begitu erat hubungannya dengan kita dan dia sendiri telah mengizinkan kita untuk masuk ke rumahnya bila-bila masa sahaja maka bolehlah kita berbuat demikian tanpa menunggu izinnya. Hasan Al-Basri pernah menyatakan bahawa beliau membenarkan seorang sahabat beliau masuk bukan sahaja ke dalam rumah malah sehingga ke dapur walaupun dia tidak meminta izin daripada beliau terlebih dahulu.

2. MENJAGA MATA

Kita mestilah menjaga mata agar tidak melihat perkara yang ada di dalam rumahnya terutama apabila kita melawat rumah mutazawwij (berkeluarga). Ini bagi memastikan kita tidak terpandang perkara yang haram.

Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:

'' Sesiapa yang melihat kitab saudaranya tanpa terlebih dahulu mendapat keizinannya maka dia sebenarnya telah melihat neraka''.

Jika kitabpun kita dilarang melihatnya tanpa keizinan tuannya, apatah lagi perkara yang lain terutama sesuatu yang merupakan rahsia bagi tuan rumah yang dilawati.

Abu Daud telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Basar telah memberitahu bahawa Rasulullah SAW apabila melawat seseorang maka baginda tidak akan memandang ke arah hadapan melainkan baginda memaling muka ke arah kiri atau kanan dan barulah memberi salam. Ini bagi mengelak daripada melihat sesuatu yang berada di dalam rumah orang yang dilawat terutama perkara yang haram dilihat.

Di dalam sohih Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasululllah SAW telah bersabda:

“Sekiranya seseorang itu memandang kepadamu (rumah) tanpa keizinan maka kamu hendaklah melontarnya dan kamu juga dikehendaki menutup dengan kasar kedua matanya sekiranya kamu mampu berbuat demikian.”

Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sesiapa yang memandang rumah seseorang tanpa mendapat keizinan daripadanya maka tutuplah kedua matanya dengan kasar, maka sesungguhnya aku telah menegah daripada perbuatan itu.”

Daripada hadis-hadis ini dapat kita simpulkan bagaimana Islam sangat mengambil berat mengenai penjagaan mata daripada melihat sesuatu yang ditegah apatah lagi perkara haram. Oleh itu, jagalah mata kita daripada memandang sesuatu di dalam rumah orang yang dilawati tanpa mendapat keizinannya terlebih dahulu. Begitu juga ketika berada di mana sahaja agar kita dapat sama-sama menghindari maksiat mata. Ingatlah bahawa setiap anggota badan kita akan menjadi saksi kepada segala amalan kita di akhirat nanti.

3. MENJAGA PERCAKAPAN

Memastikan percakapan kita tidak menyakiti hati tuan rumah dan jangan tinggikan suara sehingga mengganggu ahli rumah yang lain terutama ketika berlangsungnya peperiksaan, waktu malam yang mana kemungkinan akan mengganggu ahli rumah yang lain yang hendak tidur dan sebagainya.

Ingatlah firman Allah dalam surah Lukman ayat 19 yang bermaksud:

“Dan sederhanakanlah kamu semasa berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara itu ialah suara keldai.”

Jangan berbual perkara yang sia-sia dan melanggar syariat Islam seperti mengumpat dan mencaci.

Renungilah maksud firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat:

“Wahai orang-orang yang beriman, hindarilah kebanyakan daripda buruk sangka, sesungguhnya sebahagian daripada buruk sangka itu merupakan dosa. Dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah kamu suka memakan daging saudara kamu sendiri yang sudah mati? Maka sudah tentu kamu berasa jijik untuk berbuat demikian. Dan takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.”

Jangan berbual terlalu lama sehingga mengganggu masa tuan rumah terutama jika kita tahu dia mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan. Berbuallah perkara yang dapat menambah pengetahuan terutama yang bersangkutan dengan pelajaran, masalah umat dan mengerat hubungan serta mahabbah.

4. BERTERIMA KASIH

Mengucapkan terima kasih di atas segala layanan yang telah diberikan. Bersalaman sebelum berpisah di samping mengucap kata-kata yang disukai oleh tuan rumah. Sentiasa menjaga rahsia jika ada sama ada berkaitan dengan dirinya, rumah ataupun ahli yang lain agar persahabatan yang disemai terus subur serta segala permasalahan dapat dielakkan.

Allahua’lam.
#################################

Mari kita berkongsi pengalaman: Agaknya kalau sinopsis kejadian yang Ummi ceritakan di atas berlaku pada diri anda, apa yang akan anda lakukan atau apakah yang wajar kita lakukan sebenarnya?

#################################

Sumber Rujukan: 1. Terjemahan Al-Quranul Karim dalam bahasa Indonesia cetakan Kerajaan Arab Saudi 2. Tafsir Surah An-Nur karangan Abu Al-A'la Al-Maududi cetakan Darul Saudiah Sumber: Darul Ulum

*************************************************************************************

1 ulasan:

Fizul Al-Mempelami berkata...

salam ziarah kak ummi,semoga siht sokmo