Rabu, 26 November 2008

Antara Kejayaan Dan Kebahagiaan

Assalamualaikum.

Kali ini Ummi nak kongsikan ilmu yang Ummi dapat daripada Ucapan Perasmian Majlis Ihtifal SRIP Tahfiz baru-baru ini yang disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Khairuddin Aman Razali. Sangat menyentuh hati dan menjadi pedoman yang amat baik untuk kita para ibubapa dalam proses mendidik anak-anak. Inilah antara isi kandungan yang dapat Ummi petik dan diolah semula dengan lenggok gaya penulisan Ummi yang tersendiri..he,he. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan…

Semua Orang Nak Bahagia

Dalam kehidupan di dunia ini, tidak ada orang yang inginkan kecelakaan. Semua orang nakkan kebahagiaan. Antara cemerlang dan kecundang, semua orang inginkan kecemerlangan. Antara terbilang dan terkebelakang, semua orang nak jadi terbilang. Tiada siapa yang ingin kecundang dan tiada siapa yang ingin terkebelakang. Semua orang nak berjaya. Tetapi adakah kejayaan seseorang itu merupakan jaminan kebahagiaan? Dan apakah konsep kejayaan yang sebenarnya di dalam Islam?

Marilah sama-sama kita merenung hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bilamana mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalan kecuali 3 perkara (1) Sedekah jariah (2) Ilmu yang dimanfaatkan (3) Anak soleh yang berdoa untuknya.”

Rupanya tiga perkara itulah yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sebenar-benarnya. Antaranya ialah anak soleh yang akan mendoakan kita sesudah kita meninggalkan alam yang fana ini.

Mana Satu Pilihan Hati?

Cuba kita renung kepada 2 situasi ini :

Situasi 1 :

“Anak saya walaupun tak pandai baca qur’an dan selalu tinggal solat tapi bidang akademik cukup cemerlang. Exam UPSR baru-baru ni dapat 5A!”

Situasi 2 :

“Anak saya tak dapat 5A tapi baca qur’an, masyaAllah! Sembahyang tak pernah tinggal, hormat orang tua.”

Agaknya yang mana satu pilihan kita?

Dalam Islam, sudah tentulah situasi yang kedua itu yang akan menjamin kebahagiaan kita di alam akhirat kerana minima tanda aras kejayaan yang perlu kita tetapkan adalah untuk menjadikan anak-anak kita sebagai anak-anak yang soleh. Namun sebagai umat Islam yang cemerlang kita perlu berusaha sedaya upaya kita untuk melahirkan generasi yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Alangkah nikmatnya jika sekiranya kita mampu mewujudkan situasi yang ke-3 ini.

Situasi 3 :

“Anak saya, Alhamdulillah. Sembahyang cukup dijaga, mengaji lancar dan akademikpun cemerlang. UPSR baru-baru ni Alhamdulillah dapat 5A”

Walaubagaimanapun kita perlu menerima hakikat bahawa kadang-kadang tak semua anak kita ini menjadi dalam bidang akademik walaupun kita dan dia dah berusaha sedaya upaya. Ibarat setandan kelapa ; dalam 10 biji buah kelapa tu, kadang-kadang ada juga sebiji buah kelapa yang ‘komeng’ (tak elok). Ibarat buah nangka ; dalam banyak-banyak ulas, kadang-kadang tak semuanya manis, ada juga seulas dua yang masam.

Kesimpulannya, tak mungkin semua anak kita boleh menjadi ‘the best’ tetapi kita mesti berusaha membawa semua anak kita sekurang-kurangnya ke aras tanda minima proses pendidikan di dalam Islam iaitu untuk menjadikan anak-anak kita sebagai anak-anak yang soleh. Kita mesti berusaha ke arah itu walau bagaimana perit sekalipun!

Proses Pentarbiyahan

Kewujudan sekolah-sekolah Islam adalah sebagai salah satu usaha ke arah mewujudkan suasana atau bi’ah yang soleh. Dalam usaha kita mendidik anak-anak ke arah menjadi anak-anak yang soleh, sudah pasti environment (suasana) memainkan peranan yang amat penting.

Dalam proses pendidikan anak-anak atau dalam bahasa Arabnya disebut tarbiyyah, anak-anak akan melalui beberapa proses atau peringkat pentarbiyahan. Bermula dari kemampuan bayi untuk mendengar, diikuti dengan kemampuannya untuk melihat dan akhir sekali kemampuannya untuk berfikir atau merasa dengan hati. Setiap proses yang dilalui ini memerlukan sokongan (support). Sokongan inilah yang dinamakan tarbiyyah.

Bermula daripada anak dilahirkan, tarbiyyah paling awal adalah dengan mendengarkannya laungan azan atau iqamat dan seterusnya memperdengarkannya perkataan-perkataan atau bunyi-bunyi yang elok. Apabila anak sudah mampu melihat, tarbiyyah kita adalah menunjukkannya benda-benda yang baik dan perkara-perkara yang baik. Apabila anak sudah boleh berfikir, di sinilah bermulanya proses tarbiyyah yang agak berat kerana setiap apa yang diperdengarkan dan setiap apa yang diperlihatkan akan memberi kesan yang mendalam kepada pertarbiyahan diri mereka. Elok input yang diterima, maka InsyaAllah eloklah output yang akan terhasil.

Ibubapa juga harus memahami bahawa proses pentarbiyahan ini adalah bersifat global. Pendidikan bukan bersifat sebahagian. Ia bersifat menyeluruh! Oleh kerana itu amatlah tidak wajar jika sekiranya para ibubapa hanya mengharapkan pihak sekolah untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan adalah sesuatu yang bersifat berterusan.

Bagaimana mungkin anak yang soleh akan terbentuk jika di satu pihak membina dan di satu pihak yang lain bertindak meruntuhkan apa yang telah dibina. Di sekolah anak di ajar mengaji, di rumah senaskhah al-qur’anpun tak disediakan. Di sekolah anak diajar nasyid, di rumah lagu-lagu rock yang berkumandang. Di sekolah anak bertudung litup, di rumah aurat anak tak terjaga. Di sekolah anak ditegah dari menonton televisyen, di rumah tv dan astro terpasang sepanjang siang dan malam! Ringkasnya, di sekolah amalan Islam diterapkan, di rumah amalan jahiliyah pula yang mengambil alih!

Lantaran itu, marilah kita bekerjasama dalam memberikan tarbiyyah yang terbaik buat anak-anak kita. Sediakan untuk mereka bi’ah (suasana) yang soleh sepanjang masa kerana proses pentarbiyahan adalah proses yang berterusan bermula dari mereka mencelikkan mata di pagi hari sehingga di waktu tidurpun, proses pentarbiyahan tetap berjalan.

Mudah-mudahan anak-anak kita nanti akan menjadi seorang insan yang BERJAYA dan BERBAHAGIA. Bahagia untuk dirinya, juga bahagia untuk kedua ibubapanya di dunia dan di akhirat yang kekal abadi. InsyaAllah…

*************************************************************************************

7 ulasan:

Unknown berkata...

Kak Ummi,
artikel ni macam apa yang kakchik baca dalam modul belajar je.
Esok nak exam paper yang banyak sentuh pasal kognitif.
Ramai orang kita masih tumpu bab cemerlang akademik/kognitif saja sedangkan bab spiritual/rohaniahnya tak berapa mabil berat.
Kesedaran memang perlu kita pupuk tapi belum ramai ibu bapa nak mencari ilmu keibubapaan yang Islamik.

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

Assalamualaikum..

Kak..

Subhanallah...kak..bagus sekali artikel ni..banyak panduan kepada kita semua dalam mendidik anak-anak yang cemerlang di dunia dan akhirat...

Tanpa Nama berkata...

Chik ambil course apa?Post graduate?

Tulah Chik.Mudah-mudahan kita mampu mendidik anak-anak kita agar cemerlang spiritual dan cemerlang akademik.

Hmmm...nanti boleh kongsi ilmu keibubapaan yang islamik yang Chik belajar tu ek...

Terimakasih Chik sebab selalu respons.Semangat sikit Kak Ummi nak tulis.He,he...

Tanpa Nama berkata...

Wkmslm.

Terimakasih Huda.Semoga bermanfat jua hendaknya.Nipun salah satu cabang yang menjanjikan kebahagiaan di akhirat nanti -'ilmu yang bermanfaat' - kan Huda?

Terimakasih dik kerana menjadi pengunjung setia blog Kak Ummi dan selalu bagi respons.Kak Ummi memang suka kalau dapat respons.Mmmmuahh! Saayang Huda!

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

betul kak..ilmu yang bermanfaat untuk dikongsi bersama..semoga semua insan sama-sama dapat manfaatnya..

hehehehe...akak..moga ia menjadi komentar yang berguna..:)

iNsAn KerDiL berkata...

salam...
moga entri yang ringkas tapi full of info ni dapat jadi panduan tuk semua blogger dalam mendidik anak2 yang bakal menjadi pewaris ummah....

Tanpa Nama berkata...

InsyaAllah & mudah-mudahan dik.Ameen...