Khamis, 31 Julai 2008

Kenapa Anak Remajaku Berubah?

Assalamualaikum.

Esok pagi, InsyaAllah Ummi dan Abi bercadang untuk menziarahi anak sulung kami di asrama penuh. Pejam celik, pejam celik, rupanya anak kita ni dah remaja, kan Abi? Patut le ummipun dah terasa semakin berusia..sakit sini, sakit sana, lenguh sini, lenguh sana...hai...

Bila Along dah menjejaki alam remaja, maka bermulalah pengalamanku sebagai ibu kepada seorang teruna di alam remaja. Antara ibu dan ayah...biasalah, memang seorang anak itu lebih rapat dengan ibunya, kan? Kitalah tempat dia mengadu, kitalah tempat dia mencurahkan masalah dan selalunya, kita jugalah yang kena jadi ’orang tengah’ untuk sebarang permohonan yang nak ditujukan kepada Abi! Ha,ha...banyak juga tugas ummi ni. Maka sempena meraikan zaman peralihan anak sulung ummi ni, apakata kita sama-sama merenung, menghayati dan mengambil iktibar (alamak!macam nak bagi ceramah agama pulak dah..he,he)..tukar ayat..apakata kita sembang bab dugaan alam remaja bagi seorang teruna?

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Remaja?

Remaja adalah zaman peralihan dari dunia kanak-kanak lelaki ke alam dewasa lelaki. Pada masa ini banyak berlaku perubahan dari segi fizikal, emosi dan psikologi. Walaupun kebanyakan teruna berjaya menjalani alam remaja dengan baik, ada juga sesetengah teruna merasa takut dan tertekan dengan perubahan yang mereka alami. Jadi kepada ibu-ibu terutamanya, jangan terkejut kalau masa ni kita selalu dihujani dengan soalan-soalan pelik yang tak ’straight to the point’pun dari anak teruna kita tu...cakap berdasarkan pengalaman le ni...macam-macam soalan pelik le yang di’sms’kan kat kita!

Mampukah Setiap Teruna Melalui Era Perubahan Remaja?

Setiap mereka yang bergelar lelaki pastinya akan melalui era peralihan ini dengan kadar yang berbeza. Penyesuaian kepada perubahan semasa alam remaja sepatutnya lebih meyakinkan sekiranya mereka mengetahui perubahan-perubahan yang bakal berlaku kepada mereka. Malah ianya akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan!

Bilakah Bermulanya Alam Remaja?

Secara umumnya perubahan bentuk tubuh, emosi dan psikologi mula terjadi pada usia 11 tahun dan berakhir pada usia 19 tahun. Bagaimanapun perubahan ini juga boleh berlaku lebih awal atau lebih lewat.

Adakah Kadar Pertumbuhan Setiap Teruna Sama?

Setiap teruna tidak perlu merasa tersisih sekiranya kadar pertumbuhan mereka tidak sama kerana setiap teruna membesar dengan kadar mereka sendiri. Macam anak ummi...katanya kat sekolah dia terasa dialah yang paling kecil tapi bila balik rumah terasa dia pulak yang paling besar! Memang le..dah ummi dengan adik-adiknya lagi rendah dari dia! Hu,hu...


Apa Yang Menyebabkan Berlakunya Perubahan Pada Teruna?

Pada peringkat usia remaja, kelenjar pituitari yang terdapat di dasar otak mula mengeluarkan hormon yang merangsang pertumbuhan tubuh badan teruna. Salah satu hormon yang paling penting bagi teruna adalah hormon testosteron. Hormon inilah yang bertanggungjawab terhadap pembentukan ciri-ciri kelelakian seperti pertumbuhan bulu di muka, dada, ketiak, kawasan ari-ari dan di kaki. Hormon testosteron juga bertanggungjawab bagi pembesaran anggota seksual luaran lelaki dan pembentukan sperma oleh testis.

Mari Kita Kenali Perubahan Fizikal Alam Remaja
Mengenali perubahan fizikal alam remaja menjadikan mereka lebih yakin dan selesa dengan diri mereka yang baru. Perlu diingat, perubahan-perubahan ini adalah berbeza antara individu. Menerima dengan redha bentuk tubuh yang baru akan membantu teruna meningkatkan keyakinan dan ketrampilan diri.

10 – 13 tahun

• Badan bertambah gagah
• Otot-otot membesar
• Bahu melebar
• Dada menjadi bidang
• Suara menjadi garau
• Skrotum membesar
• Kulit skrotum bertambah kasar dan berwarna gelap
• Saiz zakar membesar

14 – 17 tahun

• Tubuh bertambah tinggi
• Bulu ari-ari tumbuh dan bertambah lebat
• Skrotum semakin membesar
• Kulit skrotum semakin kasar
• Saiz zakar semakin membesar
• Jerawat mula tumbuh
• Mengalami mimpi ghairah (wet dream)

18 - 19 tahun

• Ketinggian bertambah
• Bulu tumbuh di ketiak dan mungkin di bahagian dada
• Misai dan janggut mula tumbuh
• Warna kulit skrotum bertambah gelap
• Saiz zakar semakin membesar

Sudahkah Anda Mengenali Sistem Reproduktif Teruna?

Organ-organ sistem reproduktif teruna adalah terdiri daripada:


• Zakar
• Testis
• Skrotum
• Kelenjar prostate
• Duktus sperma
• Vesikal seminal


Zakar – Organ yang boleh mengendur dan mengembang akibat sesuatu rangsangan. Ia berfungsi menyalur keluar air kencing dan air mani.

Skrotum – Pundi lembut yang mengampu dan melindungi testis. Ia berfungsi untuk mengawal suhu di sekitar testis, agar lebih sejuk dari suhu badan. Skrotum akan mengembang supaya testis akan berada jauh dari badan apabila suhu badan meningkat. Skrotum akan mengecut dan testis akan berada berhampiran tubuh dalam suhu atau cuaca yang sejuk.

Testis – Kelenjar yang menghasilkan sperma (benih lelaki). Terdapat sepasang testis iaitu di kiri dan di kanan. Testis juga mengeluarkan hormon testosteron bagi mengekalkan sifat kelelakian.

Kelenjar prostate – Berfungsi menghasilkan cecair lekit yang membantu pengaliran sperma.

Vesikal seminal - Cecair ini bercampur dengan sperma dan dipanggil air mani

Duktus sperma - Saluran yang membawa sperma dari testis ke vesikal seminal.

Panduan Penjagaan Organ Reproduktif
1. Bersihkan tubuh badan termasuk organ reproduktif dua kali sehari dengan sabun dan air.
2. Gunakan seluar dalam bagi menampung zakar dan skrotum.
3. Pilih seluar dalam yang sesuai dengan saiz tubuh. Penggunaan seluar yang terlalu ketat menyebabkan ketidakselesaan, menyakitkan dan boleh memusingkan kedudukan testis serta menyebabkan kepanasan. Kepanasan yang berlarutan pula boleh mengganggu fungsi normal testis.

Kenali Pula Masalah Organ Reproduktif Teruna


“Undescended Testis” - Satu keadaan di mana salah satu atau kedua-dua testis tidak turun ke dalam skrotum.




“Hydrocele” - Satu keadaan di mana skrotum kelihatan membengkak akibat pengumpulan cecair dalam selaput skrotum.



"Hernia" – Suatu keadaan di mana sebahagian daripada usus telah turun dan masuk ke dalam selaput skrotum. Ini berlaku apabila dinding abdomen tidak kuat atau tidak normal.

Kesemua masalah di atas perlu diberi perhatian dan rawatan awal.

Perubahan Sifat Teruna Di Alam Remaja

Bab ni memang ibu-ibu dan ayah-ayah seharusnya khatam dalam persediaan menghadapi anak remaja. Kalau kitapun tak faham, pening dan hilang sabar juga dibuatnya!

Peringkat awal 10 - 14 tahun

• Bersifat logikal
• Sentiasa berperasaan ingin tahu. Mempunyai banyak persoalan seperti “mengapa” dan “kenapa” sesuatu perkara terjadi.
• Bersifat lasak, lebih bertenaga dan suka meneroka cabaran.
• Masih bersifat keanak-anakan.
• Mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dan biasanya akan berbincang masalah dengan ibu bapa.

Peringkat pertengahan 15 – 17 tahun

• Mula mengutamakan rakan sebaya dari ahli keluarga dalam kebanyakan hal dan persoalan harian.
• Mencari identiti diri dalam membentuk keperibadian menjelang kedewasaan.
• Mula berfikiran abstrak di mana objek nyata dapat digambarkan dalam bentuk simbolik dan grafik.

Di peringkat inilah, sekiranya identiti diri dan keupayaan berfikir secara abstrak tidak dibimbing dengan sewajarnya, teruna boleh bersifat agresif dan liar!

Peringkat akhir 18 – 19 tahun

• Telah mengenali dan menghayati identiti dirinya yang sebenar.
• Ikatan dengan rakan sebaya berkurangan dan mula beralih kepada gadis yang rapat dengannya.
• Keupayaan berfikir lebih terbuka dan mula berfikir untuk masa hadapan.

Di peringkat ini, daya fikiran dan imaginasi seharusnya digunakan untuk kepentingan pelajaran dan kerjaya.

Mimpi Ghairah Tu Macamana Ummi?

Wau! Soalan tulah yang susah nak jawab. ”Hahh..bab ni kena tanya Abi sebab Abipun lelaki macam Along.” He,he...selamat! Nasib baik ada excuse.

Mimpi ghairah berlaku semasa seorang teruna tidur dan mendapat mimpi yang menghairahkan seperti bermesra atau melakukan hubungan seksual dengan seorang gadis. Bila terjaga dari mimpi, didapati telah berlaku ejakulasi (terpancutnya air mani) dan terdapat tompokan lendir pada kain atau seluar dalam. Mimpi ghairah yang pertama adalah tanda seorang teruna mencapai usia baligh.

Walaubagaimanapun ada juga sesetengah mereka yang mencapai baligh tanpa sedar atau ingat bahawa mereka bermimpi tetapi apabila terjaga daripada tidur terdapat tompokan basah pada kain atau seluar dalam. Sesetengahnya pula, ada yang bermimpi tetapi tiada didapati sebarang tompokan lendir air mani.

Sebagai ibubapa muslim, kita wajib mengetahui hukum terhadap keadaan-keadaan yang diterangkan di atas bagi memaklumkan kepada si anak keperluan mereka untuk mandi wajib. Dapatkanlah penerangan dan nasihat daripada orang yang tahu berhubung kemusykilan terhadap mimpi ghairah ini.

Jangan Lupa Kewajipan Berkhatan

Amalan berkhatan merupakan satu kewajipan di kalangan lelaki beragama Islam. Berkhatan adalah satu proses di mana kulit khatan (kulit yang menutup kepala zakar) dibuang dengan menggunakan teknik yang selamat. Prosedur ini tidak menyakitkan dan sembuh dalam masa 3 – 7 hari.

Berkhatan boleh dilakukan seawal usia anak yang baru dilahirkan. Walaubagaimanapun tradisi kita di Malaysia, anak-anak lelaki mula dikhatankan pada usia di antara 7 sehingga 12 tahun..sebelum anak ini mencecah baligh.

Anak-anak lelaki ummi dikhatankan serentak oleh Abi pada ketika usia Along 9 tahun dan Angah 7 tahun...hai, tersenyum sendiri ummi mengingatkan gelagat mereka sewaktu dan setelah dikhatankan...hi,hi,hi...

Oklah..ummi nak berhenti setakat ini dulu. InsyaAllah di lain masa mungkin ummi akan tulis beberapa masalah yang selalu dihadapi oleh anak-anak di peringkat remaja. Doakan ummi sekeluarga selamat dalam perjalanan ke Kelantan esok pagi...!

Wassalam..semoga bertemu kembali...

2 ulasan:

Mrs.Amir.K berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Mrs.Amir.K berkata...

assalamualaikum ummi,
saya cari info pasal masalah anak saya ni.usianya baru 2 bulan 3 hari pd 7 march ni.

pada artikel yg ummi tulis tu rasanya anak sy seperti mengalami hidrosele..
nsmpaka gaya makin besar.tapi dia tak pulak menangis bila disentuh benjolan tu.

tapi bila skrotum dia kecut tak de plak benjolan tu.Ia akan kelihatan bila dia tak kecut.kadang2 nampak pulak testis dia macam naik sebelah.tapi all the time testis dia berada sebelah menyebelah.

harap ummi paham apa yg sy tulis ni ye.

saya dah refer doktor n nurse diklinik desa.tapi dedua kata cuma cecair yang akan hilang sendiri.cuma katanya kalao sampai umur 6 bulan pun ade jugak..kene lah wat treatment.saya rasa semakin risau pulak sekarang ni bila saya jumpa macam2 info kat internet ni..

bahaya tak bende tu ummi?

sister kat klinik desa pesan kat saya guna daun sireh dan layukan untuk hilangkan cecair dan benjolan tu.

angin pasang tu cam ne plak?sama ke?

terima kasih ummi..

saya cuma ingin memastikan sekali lagi tentang hal ini.