Assalamualaikum.
Sebelum hantar anak ke sekolah pagi ni, sempat ummi membelek-belek Majalah Mastika keluaran Ogos dan terbacalah ummi sebuah artikel bertajuk "Untukmu, sahabatku...". Jom sama-sama kita tatap isi kandungannya sehingga ke nukilan yang akhir...sungguh mendalam makna yang tersirat di sebalik apa yang tersurat.
Hari itu, dua orang sahabat baik mengembara meninggalkan kampung mereka bagi mencari tempat yang lebih makmur untuk memulakan penghidupan baru. Setelah sehari berjalan, tiba-tiba tercetus perselisihan faham antara dua sahabat itu ketika mereka sampai di sebuah persimpangan.
Sahabat pertama, yang besar dan tegap tubuhnya, tanpa berfikir panjang telah menampar sahabat karibnya itu kerana tidak bersetuju mengambil simpang ke kiri. Sahabat yang ditampar tadi terkejut. Dia tidak menyangka sahabat karibnya tergamak berbuat demikian.
Airmatanya bergenang. Sahabat yang kurus dan kecil badannya itu termenung seketika. Dia mengambil sebatang kayu, lalu memandang ke tanah.
'HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENAMPAR PIPIKU' tulisnya di atas pasir tempatnya berdiri.
Mereka terus berjalan meredah hutan dan bukit, hinggalah sampai di sebatang sungai yang dalam dan bertebingkan batu-batu besar. Dua sahabat itu meneguk air sungai tersebut dan kemudian mandi untuk menyegarkan kembali badan yang letih.
Entah bagaimana, tiba-tiba sahabat yang berbadan kecil serta kurus itu tergelincir dari atas batu tempatnya berdiri, lalu dihanyutkan arus sungai yang deras. Hampir saja sahabat ini lemas. Tetapi dia bernasib baik kerana sahabat yang berbadan besar serta tegap berjaya menyelamatkannya.
Dia atas tebing yang dipenuhi batu-batu besar itu, sahabat yang berbadan kurus mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang telah menyelamatkannya. Kemudian dia menulis pada permukaan sebongkah batu besar berhampiran sungai tersebut dengan perkataan, 'HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENYELAMATKAN NYAWAKU'.
Sahabat yang bertubuh besar itu terpinga-pinga. Dia bertanya, "Selepas aku menampar mukamu, kau tulis di atas pasir. Sekarang, selepas aku selamatkan kau daripada lemas, kau tulis pula di atas batu. Kenapa?"
Jawab sahabat yang bertubuh kecil, "Apabila seseorang melukakan hati kita, catatkan ia di atas pasir supaya ia akan terkambus apabila ditiup angin kemaafan. Tetapi apabila seseorang itu membuat kebaikan kepada kita, nukilkannya di atas batu supaya angin kemarahan tidak mampu memadamkannya."
Disalin semula oleh Ummi ; Dipetik dari Mastika-Ogos 2008 m/s 29
*************************************************************************************
Khamis, 24 Julai 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
indahnya bahasa pujangga...susahnya untuk dipraktikkan. kalau aku kena tampar, tak jumpe dah dengan sahabat tu. aku terajang dia balik....
Hari itu, dua orang sahabat baik mengembara meninggalkan kampung mereka bagi mencari tempat yang lebih makmur untuk memulakan penghidupan baru. Setelah sehari berjalan, tiba-tiba tercetus perselisihan faham antara dua sahabat itu ketika mereka sampai di sebuah persimpangan.
-hari ini
Catat Ulasan