Ahad, 27 Julai 2008

Aaaaa...Tensionnya Aku!

Assalamualaikum.

Alhamdulillah hari ni berpeluang kembali ummi memulakan sembang bersama pengunjung blog yang dikasihi. Kebosanan dan keletihan yang teramat sangat di hari semalam, terubat hari ini bila dapat kembali menulis di blog. Aik..pelik jugak. Bosan boleh hilang bila menulis? Sebenarnya setiap individu pasti ada caranya yang tersendiri untuk menghilangkan kebosanan, keletihan, kerungsingan dan keresahan yang dirasai. Hah..dah sebut pasal keresahan ni, apakata kita buka sembang bab masalah keresahan pulak?

Apa Itu Keresahan?

Keresahan sebenarnya merupakan salah satu bentuk gangguan mental yang paling biasa berlaku. Ia dicirikan sebagai satu perasaan takut, ketakutan yang amat sangat atau kerungsingan mengenai suatu perkara yang dianggap menjadi ancaman kepada kesihatan fizikal atau mental seseorang, tidak kiralah sama ada perkara itu benar atau khayalan.

Ia merupakan satu tindak balas emosi dan fizikal yang subjektif. Ia timbul apabila kita merasa amat takut bahawa kita mungkin tidak mampu untuk menangani sesuatu yang akan/telah berlaku atau takut bahawa seseorang atau sesuatu akan menyebabkan kita hilang kawalan.

Adalah normal bagi seseorang itu merasa resah apabila dia mengalami tekanan. Ia akan mendorong kita melakukan tugas/kerja yang lebih mencabar dan menyediakan diri kita untuk berhadapan dengan situasi yang lebih sukar. Walau bagaimanapun, adalah tidak normal apabila kita merasa amat resah tanpa sebarang sebab yang munasabah atau rasa takut dan resah yang keterlaluan sehingga mengganggu kehidupan harian kita. Keresahan berlebihan boleh mengurangkan kemampuan kita untuk menangani sesuatu situasi dan ini akan menimbulkan gejala-gejala somatik (tanda-tanda keresahan).

Apakah Tanda-Tanda Keresahan?

• Denyutan nadi dan/atau kadar pernafasan yang cepat.
• Menjangka sesuatu yang terburuk dalam mana-mana keadaan.
• Jantung yang berdebar-debar.
• Kemerosotan prestasi kerja.
• Berpeluh.
• Rasa 'kecut perut'.
• Loya dan cirit-birit.
• Badan yang menggigil atau menggeletar.
• Sesak nafas.
• Sukar hendak tidur.
• Rasa sakit yang tidak ketahui puncanya (seperti sakit kepala).
• Hilang keyakinan dan tidak mampu membuat keputusan.
• Tidak dapat menumpukan perhatian.
• Sering merasa tidak sabar, kecewa dan mudah meradang.
• Susah untuk menelan atau merasa seperti ada gumpalan di kerongkong.
• Kebas/rasa menyucuk pada tangan, kaki atau pada bahagian badan yang lain.

Apakah Kesan Buruk Akibat Keresahan Yang Berlarutan?

Mereka yang menderita keresahan yang teruk cenderung untuk menyisihkan diri daripada masyarakat. Mereka akan mengasingkan diri dengan duduk di rumah sahaja bagi mengelakkan bersemuka atau berjumpa dengan orang dan menghadapi situasi-situasi yang boleh membuatkan mereka resah.

Hampir keseluruhan masa yang ada dihabiskan dengan merasa bimbang dan resah sehinggakan sedikit sahaja masa yang tinggal untuk perkara-perkara lain. Adakalanya keresahan ini hadir dengan gejala-gejala yang dinamik.

Pengurusan Sendiri

• Cari punca tekanan yang menyebabkan keresahan dan tanganinya secara langsung. Kurangkan pendedahan diri anda kepada perkara-perkara yang boleh menyebabkan anda murung.

• Libatkan diri anda dalam aktiviti-aktiviti mental/fizikal apabila ada sesuatu perkara yang membimbangkan anda.

• Elakkan daripada bergantung kepada ubat-ubatan yang boleh mengubah mood apabila sahaja anda menghadapi masalah. Semua ubat-ubatan ini tidak dapat menyelesaikan masalah ataupun memberikan penyelesaian jangka panjang.

• Walaupun tiada diet tertentu yang boleh diambil untuk menghindarinya, cuba elakkan dari mengambil kafein, bahan-bahan perangsang yang lain, alkohol dan nikotin.

• Anda mungkin memerlukan kaunseling daripada kaunselor terlatih atau ahli terapi untuk menjalani terapi perlakuan kognitif.

• Bersenam secara tekal. Ikuti rutin senaman jasmani yang tetap dan seboleh-bolehnya yang melibatkan senaman aerobik.

• Makan makanan yang menyihatkan dan mengikut jadual. Elakkan daripada melangkau waktu makan.

• Jika anda cenderung mengalami masalah gula dalam darah yang rendah, makan lebih kerap iaitu lima atau enam kali sehari dalam kuantiti yang kecil setiap kali. Elakkan pengambilan makanan manis secara tetap, tetapi bawalah sumber gula yang segera pada setiap masa (contoh: setin kecil jus oren) jika anda cenderung mengalami reaksi gula darah yang rendah.

• Memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Sikap yang positif akan membantu anda mengatasi atau melupakan perasaan resah anda.

• Rancang jadual harian anda supaya melibatkan apa yang anda boleh kendalikan sama ada dari segi fizikal mahupun mental.

• Berlatih untuk menghadapi peristiwa/situasi yang akan dilalui yang mana ia pernah meresahkan anda sebelum ini atau dirasakan akan menyebabkan anda resah. Beberapa kali sebelum ianya berlaku, bayangkan diri anda berada dalam keadaan tenang dan terkawal semasa peristiwa berkenaan.

• Persiapkan diri anda untuk menghadapi gejala-gejala keresahan jika anda merasakan anda mungkin akan mengalaminya.

• Latihan ketenangan diri - Latihan untuk merehatkan otot-otot dalam dan teknik biomaklumbalas boleh digunakan untuk membantu pembelajaran dan menenangkan diri anda.

Apakah Ubat Yang Digunakan Bagi Mengatasi Keresahan?

Rawatan ubat-ubatan lebih berkesan apabila digabungkan dengan terapi psikologi. Peluang untuk gangguan berulang semula dapat dikurangkan apabila rawatan gabungan ini digunakan.


Ubat yang biasa digunakan adalah sebagaimana berikut:

A. Benzodiazepines

Contoh: Diazepam, Alprazolam, Lorazepam dll. Kumpulan ubat-ubatan ini telah menggantikan barbiturat untuk merawat gangguan keresahan. Ubat-ubatan ini digunakan bagi menghilangkan rasa gementar atau ketegangan serta membantu mereka yang mengalami kesukaran untuk tidur.

Walaubagaimanapun ubat-ubatan tersebut turut mempunyai kesan sampingan yang kurang disenangi seperti:
• pergerakan janggal atau tidak stabil
• pening atau rasa ringan kepala
• mengantuk
• sebutan/perkataan menjadi tidak jelas

Berjumpalah dengan doktor/pegawai farmasi jika anda mengalami kesan-kesan sampingan yang berlarutan atau ianya menyusah dan menggusarkan anda.

B. Beta Blocker

Contoh: Propranolol, Atenolol dll. Penggunaan beta blocker dapat mengurangkan gejala-gejala autonomik seperti terketar-ketar, berpeluh dan sebagainya.

C. Antidepressant

Contoh: Clomipramine, Fluoxetine dll. Biasanya keresahan yang berkait dengan kemurungan akan dirawat dengan antidepressant.

Jalanilah pemeriksaan doktor untuk mengesan sebarang kesan sampingan.

Kaedah Perubatan Islam

Dari pemerhatian ummi, sebenarnya banyak kes keresahan berpunca daripada dua keadaan iaitulah kegagalan untuk mengawal perasaan marah dan kegagalan diri kita untuk memaafkan kesalahan orang lain. Mungkin andaian ummi ini kurang tepat, namun dua keadaan yang ummi sebutkan tadi, jika diteliti betul-betul sememangnya kerapkali berlaku pada kita sehingga membawa kepada keresahan, kerungsingan, ’tension’ dan sebagainya.

Apakata kita teliti sedikit apa yang ditulis oleh Dr Danial Zainal Abidin daripada bukunya yang bertajuk : Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran.

Emosi diberikan Tuhan bukan untuk diletupkan tetapi untuk dikawal supaya ia dapat disalurkan pada tempat yang betul. Berpandukan hadis-hadis dan pandangan ulama, beberapa pendekatan boleh dilakukan bagi mengawal marah.

1. Mengingatkan diri, betapa sayangnya Tuhan kepada kita apabila kita tidak marah. Mengikut laporan daripada Ibn Majah, nabi berkata, ”Tidaklah seorang hamba meneguk satu tegukan yang lebih besar pahalanya daripada meneguk kemarahan dan dikawal kemarahannya semata-mata kerana mengharap wajah Allah.”

2. Memfokuskan pemikiran kepada akhirat. Mengikut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, pada zaman Bani Israel, semasa raja-raja menjadi murka, ahli-ahli hikmatnya akan memberikan kepada raja-raja itu selembar kertas yang tercatat di dalamnya kalimat-kalimat, ”Kasihanilah orang miskin. Takutlah akan mati. Ingatlah akhirat!” Raja-raja itu akan membacanya sehingga kembali ketenangan dihatinya.

3. Mengingatkan diri akan kemudaratan dan kesan negatif yang bakal menjejaskan maruah dan diri kita apabila kemarahan dan perasaan benci yang dihasilkannya itu dibiarkan berterusan. Hal ini disebutkan oleh Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin.

4. Ingatkan diri berkenaan betapa buruknya rupa serta keadaan kita semasa sedang marah. Kiaskan diri dengan kehodohan dan keburukan rupa orang lain yang pernah kita lihat semasa mereka sedang marah. Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali berkata, ”orang yang marah keadaannya adalah sama dengan anjing yang galak dan binatang yang buas. Sebaliknya orang yang tenang keadaannya adalah seumpama nabi-nabi, wali-wali, alim ulama dan ahli hikmat. Seseorang boleh memilih untuk menyerupai binatang yang buas atau manusia yang terpuji.”

5. Mencari punca kemarahan dan kemudian merawatnya. Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali berkata, ”Berfikirlah untuk mengenali punca yang menyebabkan seseorang marah sehingga membawanya untuk membalas dendam. Tidak dapat tidak perasaan itu pasti ada puncanya.”

6. Menyalurkan tenaga marah kepada perbuatan lain yang bermanfaat seperti mengambil wuduk. Mengikut Imam Abu Daud, nabi berkata, ”Apabila marah salah seorang di antara kamu hendaklah dia mengambil wuduk. Sesungguhnya perasaan marah itu dari api.”

7. Meninggalkan tempat atau suasana yang menimbulkan kemarahan kita untuk seketika. Mengikut Ibn Abi Dunya, nabi berkata, ”Apabila nabi marah dan baginda sedang berdiri baginda akan duduk. Apabila baginda sedang duduk baginda akan berbaring. Maka hilanglah perasaan marahnya.”

8. Berbaik sangka dan tidak bersangka buruk dengan orang yang kita marahi. Berkemungkinan perbuatannya yang menyebabkan kita marah berlaku secara tidak sengaja ataupun disebabkan oleh hal-hal kecemasan yang kita tidak ketahui.

Mengikut sebuah laporan oleh Ibn Abi Dunya, nabi berkata, ”Tiga perkara tidak ada seorangpun yang akan terlepas daripadanya, iaitu, bersangka buruk, meletakkan kesialan pada sesuatu dan berdengki. Mari aku ajarkan kamu bagaimana hendak keluar dari perkara-perkara ini. Jika kamu bersangka buruk jangan dibenarkan sangkaan itu. Jika kamu berasa sial atau nasib tidak menyebelahi kamu, teruskan saja (kebaikan) yang hendak kamu lakukan. Jika kamu berdengki, jangan bertindak melampaui batas.”

9. Mendiamkan diri, memejamkan mata serta mengosongkan minda bagi meredakan perasaan marah. Imam Ahmad dan Baihaqi melaporkan kata-kata nabi yang bermaksud, ”Apabila kamu marah maka diamlah.” Kemudian, kita susuli dengan zikir kepada Tuhan kerana ia mempunyai penawar yang mampu mendamaikan jiwa. Sehubungan dengan ini, dalam surah ar-Ra’d ayat 28 tuhan menyatakan, ”Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.”

10. Berikan kemaafan. Tuhan menyatakan dalam surah al’A’raf ayat 199, ”Berikanlah kemaafan, ajaklah kepada makruf dan berpalinglah dari golongan yang jahil.”

Sesungguhnya golongan yang suka memberi maaf adalah orang yang berjiwa besar. Ketenangan dan kedamaian akan meliputi hati mereka sebagai anugerah daripada Tuhan. Dengan itu, mereka dapat memberikan tumpuan kepada perkara yang penting untuk cemerlang dalam hidup. Justeru, apabila kita berdendam dengan seseorang, pujuklah diri untuk berkata, ”Aku memaafkannya kerana Allah.” Ulangilah kalimat ’kerana Allah’ beberapa kali kerana itulah kekuatan yang akan memampukan kita memaafkan orang lain. Kemaafan yang diberikan kerana Tuhan tidak merugikan. Dalam surah asy-Syura ayat 37, Tuhan memuji beberapa golongan. Antaranya, ”Mereka yang apabila marah, mereka memberi maaf.”

Sehingga bertemu lagi...siiru ’ala baarakatillah...

*************************************************************************************

Tiada ulasan: