Jumaat, 18 Julai 2008

Kenapa Perutku Kembung Lagi?

Salam.

Bertemu kembali kita dalam ruangan ’sembang-sembang penyakit’. InsyaAllah kali ni, ummi nak bawakan masalah yang selalu sangat berlaku di kalangan kita. Apa dia? Apalagi kalau bukan masalah kembung! Hai, sebut pasal kembung ni, teringat pulak teka-teki yang diutarakan oleh anak ummi. ”Ummi,ummi..dalam banyak-banyak ikan, ikan apa selalu sakit?” Kitapun pura-puralah kerut kening, buat-buat pikir dulu..kasi nampak susah soalan tu..he,he. ”Haa..ummi tahu! Ikan kembung!” ”Betul! Pandailah ummi ni..” Ehm..ehm...mana tak pandai, dah selalu sangat keluar soalan gitu..hi,hi.

MACAMANA RASANYA KEMBUNG?

Waa..ini soalan manyak susah mau jawab lo..Yalah, kalau tak pernah rasa, macamana nak terangkan ya? Rasa kembung tu..rasa macam perut kembunglah. Setakat yang ummi tahu, istilah lain untuk kembung perut ni, sebu perut. Tapi ada juga pesakit yang datang jumpa ummi, tak cakap perut kembung, tapi komplen perut masuk angin. Hah..sama jelah tu. Kalau masih tak paham jugak, ummi cadangkan pi makan pisang putar banyak-banyak dan tunggulah penangannya. Betul ke boleh jadi kembung? Entah..orang tua-tua cakap, makan pisang putar mentah-mentah, kembung perut jadinya. Sebab tulah pisang putar selalunya dijadikan adunan jemput-jemput pisang..kena goreng (masak) dulu baru boleh dimakan. Allahua’lam.

MACAMANA BERLAKUNYA KEMBUNG?

Kembung berlaku disebabkan oleh penghasilan gas berlebihan (nitrogen,hydrogen, carbon dioxide, oxygen, methane) di dalam perut dan usus semasa proses penghadaman. Yang ini kita kategorikan puncanya daripada sumber dalam (endogenus). Kebiasaannya, gas/angin yang terbentuk ini akan dikeluarkan semula melalui mulut dengan cara sendawa. Tetapi sebahagian darinya akan masuk semula ke dalam usus menyebabkan berlakunya kembung.

Selain daripada itu, kembung juga selalu terjadi akibat menelan udara masuk. Yang ini pulak, kita kategorikan puncanya daripada sumber luar (eksogenus). Perasan tak budak-budak kecik yang menyusu botol, selalu sangat menghadapi masalah perut kembung? Selalunya ummi akan tanya pada ’parents’ cara diaorang pegang botol susu. Selalu juga ibu-ibu atau bapa-bapa ni pegang botol susu sambil lewa je. Tak tonggengkan botol susu tu betul-betul. Jadi yang masuk dalam perut ’baby’ separuhnya susu, separuh lagi angin (udara)! Mana tak kembungnya.

Satu lagi soalan ’favourite’ ummi, pernah tak bila anak menangis, mak ayah bagi botol susu kosong je untuk si anak hisap? Selalunya time tengah-tengah malam tu le, malas nak bangun buatkan susu lain. Hah, kalau dah memang macam tu, yang kena dirawat ialah sikap malas mak dan ayah si anak tu aja. Betul tak?

Pada asalnya, gas yang terhasil daripada proses penghadaman ini tak berbaupun. Yalah, namanya lagi gas, mana ada bau. Malangnya, apa yang menyebabkan ia berbau adalah kerana semasa proses penghadaman berlaku, tindakan pemecahan protein turut menghasilkan asid butirik (yang mengeluarkan bau tengik) dan hidrogen sulfat (yang mengeluarkan bau seperti telur tembelang)! Maka bayangkanlah, apabila kedua-dua bau ini digabungkan, mana tak pengsannya bau kentut engkau cik abang oii..(aik, cik abang je ke?..he,he)

Bau busuk kentut juga adalah akibat tindakan bakteria mikroflora yang banyak di dalam usus dan/atau daripada simpanan najis di dalam usus. Tu pasal le, makin lama kita tak buang, makin power le baunya!

APAKAH PENYEBABNYA?

Kembung lazimnya disebabkan oleh:

• Menelan angin (seperti anak yang menyusu botol kosong)
• Menelan airliur yang kerap (akibat masalah loya atau penyakit ‘gastroesophafeal reflux’ ) juga mengakibatkan kemasukan angin.
• Makan dengan tergesa-gesa (tak sempat nak hadam, dah telan dulu)
• Makan makanan yang sukar dihadamkan (nanti ummi sertakan jadual contoh makanan)
• Makan terlalu banyak (sehingga mengganggu proses penghadaman)


Kembung yang berlebihan mungkin merupakan gejala dari:

• Penyakit Crohn
• Diverticulitis
• Sesetengah jangkitan bakteria dan protozoa di dalam sistem penghadaman
• Penyakit dalam usus
• Alahan terhadap laktosa
• Pembiakan bakteria di dalam usus (disebabkan oleh sesetengah antibiotik)

GEJALA/TANDA-TANDA


• Perut sebu atau kembung
• Kentut


SOALAN YANG PERLU DITANYA

Adakah kembung itu diikuti oleh rasa sakit yang amat sangat di bahagian atas abdomen berserta dengan loya dan muntah, mata atau kulit menjadi kekuningan?

• Jika YA berjumpalah doktor
• Jika TIDAK teruskan dengan soalan di bawah


Adakah kembung berlaku selepas mengambil antibiotik?

• Jika YA berjumpalah doktor
• Jika TIDAK - tumpukan kepada penjagaan sendiri.

PETUA PENJAGAAN SENDIRI:

• Jauhi diri kita dari memakan makanan yang boleh menyebabkan angin (atau mengambilnya sedikit sahaja). Ini merupakan langkah bijak mencegah dari kembung.

Makanan yang telah diketahui menyumbang kepada kembung adalah:

Epal

Aprikot

Kekacang

Peach

Bran

Pear

Brokoli

Bertih jagung

Brussel sprout

Prun

Bunga kobis

Raisin

Lobak merah

Sorbitol

Kobis

Bawang

Kacang (kering, dimasak)

Kacang soya

Hasil tenusu (mereka yang alah terhadap laktosa)



Walaubagaimanapun, makanan ini juga membekalkan zat makanan tertentu (kecuali sorbitol). Jadi ummi nasihatkan, janganlah ditinggalkan terus makanan yang disenaraikan ini. Lagipun tak semestinya semua makanan tu memberikan kesan yang sama kepada semua orang.

• Sediakan senarai semua makanan yang anda makan selama beberapa hari. Catatkan bila dan berapa kali anda terkentut atau sendawa (nak kira berapa kali tu, slow-slow je le..tak payah announce kuat-kuat ). Jika anda mengeluarkan gas berlebihan selepas minum susu, cuba kurangkan atau jauhi dari mengambilnya. Sekiranya masalah ini berlarutan, jauhi semua makanan yang mungkin menyebabkan kembung.

• Sekiranya anda mendapat alahan terhadap laktosa, gunakan hasil tenusu yang rendah laktosa. Anda juga boleh menggantikan Lactaid iaitu sejenis enzim laktosa yang dapat dibeli di kedai. Ia perlu diambil bersama hasil tenusu untuk menghadamkan laktosa di dalamnya.

• Elakkan kemasukan angin semasa makan atau minum. Macam mana tu? Dipercayai makan dengan gelojoh lebih memudahkan angin masuk ke dalam perut. Memang tepatlah contoh yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW, apabila makan dikunyahnya dahulu berulangkali (ada yang mengatakan sehingga 40x) sebelum ditelan. Oleh kerana itu amatlah disarankan agar kita makan dengan perlahan dan kunyah makanan tersebut keseluruhannya. Begitu juga apabila minum, minumlah dengan menghirup beransur-ansur, jangan diteguk sekaligus.

• Ubat Simethicone boleh meredakan kembung dengan meleraikan tompokan-tompokan angin di dalam perut yang boleh menimbulkan kembung. Ubat ini boleh didapati dari doktor atau dibeli di kedai ubat atau farmasi. Kebiasaannya ubat ini datang dalam bentuk air (‘syrup’) atau pil yang perlu dikunyah.


• Kurangkan meminum minuman bergas.

• Jangan mengambil gula-gula getah kerana lebih lama gula-gula getah dikunyah, lebih banyak angin yang masuk ke dalam perut. Ummi perasan juga masalah ni yang selalu berlaku bila ’travelling’ jauh-jauh. Selalunya pemandulah...bila nak hilangkan ngantuk, mulalah kunyah gula-gula getah.

• Elak dari memakan makanan tanpa gula yang mengandungi sorbitol atau xylitol di mana kedua-duanya sukar dihadamkan dan boleh merangsang pembiakan bakteria yang membantu pengeluaran angin.

PENCEGAHAN:

Di samping mengubah diet, anda boleh memperkuatkan otot dubur (anal sphincter) untuk menolong mengurangkan kembung. Untuk ini anda boleh melakukan Senaman Kegel.

Kaedah Senaman Kegel:

• Baring melentang, bengkokkan lutut dan jarakkan kaki 12 inci antara satu sama lain.
• Kemut otot-otot di sekeliling dubur (sama seperti ketika anda menahan kentut) dan biarkan seberapa lama yang boleh - sehingga 20 saat.
• Rehatkan otot tersebut perlahan-lahan, tarik nafas dalam-dalam dan ulangi proses ini.
• Senaman ini juga boleh dilakukan ketika anda berdiri dalam bilik mandi, atau duduk (semasa memandu) atau semasa buang air kecil.

KAEDAH PERUBATAN ISLAM:

Tidak syak lagi, Islam telah memberikan garispanduan lengkap berkaitan adab-adab makan dan minum. Kalau adab-adab yang dianjurkan Islam dituruti, hasilnya InsyaAllah kita pasti terpelihara daripada penyakit-penyakit yang diakibatkan oleh gangguan sistem penghadaman.

Untuk itu, ummi perturunkan di sini beberapa kaedah pencegahan dan rawatan dari sudut perspektif Islam yang mungkin boleh dikaitkan dengan masalah penghadaman yang sedang kita perbincangkan.

1. Makanlah makanan yang halal lagi baik (berzat)

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168 ;
”Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

2. Jangan makan dan minum berlebihan

Rasulullah SAW telah bersabda:
”Tidak ada bekas yang lebih keji yang diisikan oleh anak Adam daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukan juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.”
(Tarmizi, Ahmad, Ibn Majah dan Nasai)

3. Duduk dengan betul ketika makan atau minum

Rasulullah SAW telah bersabda:
”Janganlah makan sambil bersandar”
(Bukhari, Tirmizi & Abu Daud)

Dalam hadith lain diriwayatkan bahawa:
”Sesungguhnya ar-Rasul melarang seseorang makan sedang ia berbaring di atas mukanya”
(Ibn Majah, Abu Daud & An-Nasa’i)

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa:
”Nabi melarang seseorang meminum sesuatu sambil berdiri”
(Muslim)

Maka cara yang betul ialah seperti yang diriwayatkan:
”Sesungguhnya ar-Rasul duduk untuk makan dalam keadaan tawarruk di atas kedua-dua lutut baginda. Dan diletaknya tapak kaki kiri di atas belakang (dorsum) kaki baginda yang kanan”
(Ibn Qaiyim)

Sebenarnya kedudukan seperti ini ketika makan akan membantu melancarkan proses penghadaman.

4. Jangan tidur selepas makan

Berhubung ini ada diriwayatkan bahawa:
”Ar-Rasul melarang seseorang tidur selepas makan dan sesungguhnya perbuatan itu mengeraskan hati”
(Abu Nuaim)

Telah berkata Imam Ibn Qaiyim: ”Oleh itu di antara nasihat tabib-tabib untuk mereka yang hendak menjaga kesihatannya ialah: Berjalan beberapa langkah selepas makan malam walaupun sehingga 100 langkah dan jangan tidur terus selepas itu kerana ini boleh mendatangkan kemudaratan yang besar!”

5. Jangan dihabiskan minuman dengan satu teguk

Berhubung ini Rasulullah SAW telah bersabda:
”Janganlah kamu minum dengan satu teguk seperti cara meminumnya unta. Akan tetapi minumlah dengan dua ataupun tiga (teguk). Dan sebutlah ’Bismillah’ bila kamu (hendak) meminum dan pujilah Allah (yakni katalah ’Alhamdulillah’) bila kamu selesai.
(Tarmizi)

Imam Muslim meriwayatkan : ”Cara seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW lebih menghilangkan dahaga, lebih menyihatkan dan lebih menghadamkan.”

6. Koyak dan potong makanan yang keras untuk memudahkan mengunyah

Rasulullah SAW telah bersabda:
”Gigitlah daging (sedikit demi sedikit dengan gigi kamu). (Cara ini) lebih mengenakkan dan lebih menghadamkan.”

7. Amalkan pengambilan madu

Rasulullah SAW telah bersabda:
”Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi tiga kali setiap bulan, penyakit merbahaya tidak akan mengenainya.”
(Ibn Majah)

Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a, bahawasanya seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: ”Sesungguhnya ada seorang saudaraku yang sakit perut.” Nabi bersabda: ”Minumkan kepadanya madu.” Kemudian lelaki itu pergi, lalu datang kembali sambil berkata: ”Telah kuminumkan kepadanya madu tetapi tidak ada perubahan.” Kata-kata itu diucapkan dua atau tiga kali dan setiap kali lelaki itu mengatakannya, Nabi tetap menjawab: ”Minumkan kepadanya madu.” Akhirnya pada kali yang ketiga atau keempat, baginda bersabda: ”Allah pasti benar dan yang tidak benar adalah perut saudaramu itu.”
(Bukhari & Muslim)

Rujukan:

- Konsep Perubatan Islam (Dr Danial Zainal Abidin)
- Sistem Pengubatan Di Zaman Rasul (Ibnul Qayyim Al-Jauziyah

*************************************************************************************

1 ulasan:

ainhany berkata...

salam ramadan dan salam ziarah pn ummi,

terkesan..
mnjadi asbab dan penyebab..sefgalanya benar belaka..Mhn share untuk pedoman bersama.

terima ksih