Rabu, 26 November 2008

Antara Kejayaan Dan Kebahagiaan

Assalamualaikum.

Kali ini Ummi nak kongsikan ilmu yang Ummi dapat daripada Ucapan Perasmian Majlis Ihtifal SRIP Tahfiz baru-baru ini yang disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Khairuddin Aman Razali. Sangat menyentuh hati dan menjadi pedoman yang amat baik untuk kita para ibubapa dalam proses mendidik anak-anak. Inilah antara isi kandungan yang dapat Ummi petik dan diolah semula dengan lenggok gaya penulisan Ummi yang tersendiri..he,he. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan…

Semua Orang Nak Bahagia

Dalam kehidupan di dunia ini, tidak ada orang yang inginkan kecelakaan. Semua orang nakkan kebahagiaan. Antara cemerlang dan kecundang, semua orang inginkan kecemerlangan. Antara terbilang dan terkebelakang, semua orang nak jadi terbilang. Tiada siapa yang ingin kecundang dan tiada siapa yang ingin terkebelakang. Semua orang nak berjaya. Tetapi adakah kejayaan seseorang itu merupakan jaminan kebahagiaan? Dan apakah konsep kejayaan yang sebenarnya di dalam Islam?

Marilah sama-sama kita merenung hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bilamana mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalan kecuali 3 perkara (1) Sedekah jariah (2) Ilmu yang dimanfaatkan (3) Anak soleh yang berdoa untuknya.”

Rupanya tiga perkara itulah yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sebenar-benarnya. Antaranya ialah anak soleh yang akan mendoakan kita sesudah kita meninggalkan alam yang fana ini.

Mana Satu Pilihan Hati?

Cuba kita renung kepada 2 situasi ini :

Situasi 1 :

“Anak saya walaupun tak pandai baca qur’an dan selalu tinggal solat tapi bidang akademik cukup cemerlang. Exam UPSR baru-baru ni dapat 5A!”

Situasi 2 :

“Anak saya tak dapat 5A tapi baca qur’an, masyaAllah! Sembahyang tak pernah tinggal, hormat orang tua.”

Agaknya yang mana satu pilihan kita?

Dalam Islam, sudah tentulah situasi yang kedua itu yang akan menjamin kebahagiaan kita di alam akhirat kerana minima tanda aras kejayaan yang perlu kita tetapkan adalah untuk menjadikan anak-anak kita sebagai anak-anak yang soleh. Namun sebagai umat Islam yang cemerlang kita perlu berusaha sedaya upaya kita untuk melahirkan generasi yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Alangkah nikmatnya jika sekiranya kita mampu mewujudkan situasi yang ke-3 ini.

Situasi 3 :

“Anak saya, Alhamdulillah. Sembahyang cukup dijaga, mengaji lancar dan akademikpun cemerlang. UPSR baru-baru ni Alhamdulillah dapat 5A”

Walaubagaimanapun kita perlu menerima hakikat bahawa kadang-kadang tak semua anak kita ini menjadi dalam bidang akademik walaupun kita dan dia dah berusaha sedaya upaya. Ibarat setandan kelapa ; dalam 10 biji buah kelapa tu, kadang-kadang ada juga sebiji buah kelapa yang ‘komeng’ (tak elok). Ibarat buah nangka ; dalam banyak-banyak ulas, kadang-kadang tak semuanya manis, ada juga seulas dua yang masam.

Kesimpulannya, tak mungkin semua anak kita boleh menjadi ‘the best’ tetapi kita mesti berusaha membawa semua anak kita sekurang-kurangnya ke aras tanda minima proses pendidikan di dalam Islam iaitu untuk menjadikan anak-anak kita sebagai anak-anak yang soleh. Kita mesti berusaha ke arah itu walau bagaimana perit sekalipun!

Proses Pentarbiyahan

Kewujudan sekolah-sekolah Islam adalah sebagai salah satu usaha ke arah mewujudkan suasana atau bi’ah yang soleh. Dalam usaha kita mendidik anak-anak ke arah menjadi anak-anak yang soleh, sudah pasti environment (suasana) memainkan peranan yang amat penting.

Dalam proses pendidikan anak-anak atau dalam bahasa Arabnya disebut tarbiyyah, anak-anak akan melalui beberapa proses atau peringkat pentarbiyahan. Bermula dari kemampuan bayi untuk mendengar, diikuti dengan kemampuannya untuk melihat dan akhir sekali kemampuannya untuk berfikir atau merasa dengan hati. Setiap proses yang dilalui ini memerlukan sokongan (support). Sokongan inilah yang dinamakan tarbiyyah.

Bermula daripada anak dilahirkan, tarbiyyah paling awal adalah dengan mendengarkannya laungan azan atau iqamat dan seterusnya memperdengarkannya perkataan-perkataan atau bunyi-bunyi yang elok. Apabila anak sudah mampu melihat, tarbiyyah kita adalah menunjukkannya benda-benda yang baik dan perkara-perkara yang baik. Apabila anak sudah boleh berfikir, di sinilah bermulanya proses tarbiyyah yang agak berat kerana setiap apa yang diperdengarkan dan setiap apa yang diperlihatkan akan memberi kesan yang mendalam kepada pertarbiyahan diri mereka. Elok input yang diterima, maka InsyaAllah eloklah output yang akan terhasil.

Ibubapa juga harus memahami bahawa proses pentarbiyahan ini adalah bersifat global. Pendidikan bukan bersifat sebahagian. Ia bersifat menyeluruh! Oleh kerana itu amatlah tidak wajar jika sekiranya para ibubapa hanya mengharapkan pihak sekolah untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan adalah sesuatu yang bersifat berterusan.

Bagaimana mungkin anak yang soleh akan terbentuk jika di satu pihak membina dan di satu pihak yang lain bertindak meruntuhkan apa yang telah dibina. Di sekolah anak di ajar mengaji, di rumah senaskhah al-qur’anpun tak disediakan. Di sekolah anak diajar nasyid, di rumah lagu-lagu rock yang berkumandang. Di sekolah anak bertudung litup, di rumah aurat anak tak terjaga. Di sekolah anak ditegah dari menonton televisyen, di rumah tv dan astro terpasang sepanjang siang dan malam! Ringkasnya, di sekolah amalan Islam diterapkan, di rumah amalan jahiliyah pula yang mengambil alih!

Lantaran itu, marilah kita bekerjasama dalam memberikan tarbiyyah yang terbaik buat anak-anak kita. Sediakan untuk mereka bi’ah (suasana) yang soleh sepanjang masa kerana proses pentarbiyahan adalah proses yang berterusan bermula dari mereka mencelikkan mata di pagi hari sehingga di waktu tidurpun, proses pentarbiyahan tetap berjalan.

Mudah-mudahan anak-anak kita nanti akan menjadi seorang insan yang BERJAYA dan BERBAHAGIA. Bahagia untuk dirinya, juga bahagia untuk kedua ibubapanya di dunia dan di akhirat yang kekal abadi. InsyaAllah…

*************************************************************************************

Sabtu, 22 November 2008

Sambutan Hari Lahir & Anugerah Baiti Jannati !

Assalamualaikum.

Hari ni cuaca begitu mendung sekali. Bukan sahaja di luar klinik, malah di dalam klinikpun mendung! Apa tak mendungnya...pagi ni, Abi belikan Ummi cermin mata separa gelap untuk dipakai bila mengadap komputer! Huwaaaa...Tak selesanya. Sebenarnya ikhtiar untuk mengurangkan masalah retinal migraine Ummi yang akhir-akhir ini makin kerap menyerang. Uishhh...tak pernah hayat pakai cermin mata, rasa semacam aja. Dah tu kena gelak oleh staff klinik pulak. "Alamak doktor! Macam mak datinlah!" Hi,hi,hi....sekali-sekala jadi mak datin. Tapi kalau patient datang, tak kuasa le Ummi nak pakai cermin mata gelap ni. Dikatakan buang tebiat pulak doktor ni, kan ke haru!

Posting kali ni - Sambutan Majlis Hari Lahir kakak Amirah dan adik Atiqah serta Majlis Penganugerahan Baiti Jannati! Lagi sekali Ummi kena spendkan masa untuk download gambar-gambar upacara majlis. Aduhai...nampak gaya lepas ni Ummi kena tukar profesionlah pulak.

19 Nov: Sambutan Hari Lahir Amirah & Atiqah

Kakak Amirah dan Adik Atiqah sebenarnya merupakan kembar tak sama tahun! Dah ditakdirkan kedua-duanya dilahirkan pada tarikh yang sama (19 November) dan hari yang sama (Jumaat) walaupun beza tahunnya adalah 5 tahun.



Maka setiap tahun, hari lahir mereka akan disambut bersama. Kali ni Ummi tak sempat nak buat 2 kek. Yang satu nipun siap dalam keadaan bahan yang tak cukup dan resipi yang diubahsuai. Apa taknya, malam sebelum sambutan kena hadir meeting, balik dah tengah malam. Esoknya dah janji dengan anak-anak nak buat sambutan di awal pagi! Huhuhu....



Acara dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Abi. Mudah-mudahan anak-anak membesar sebagai mujahid dan mujahidah.



Happy Birthday Kakak Amirah & Adik Atiqah! Hmm..tak de tiup-tiup lilin tau. Niat diadakan majlispun untuk doa selamat dan tautan hati antara ahli keluarga.

Acara Penyampaian Hadiah Hari lahir Untuk Adik Atiqah



Pemberiah hadiah dari kakak Aisyah untuk adik Atiqah. "Bestlah adik dapat hadiah. Birthday Kak Aisyah lambat lagi!" Biasalah ayat tu keluar dari mulut Aisyah. He,he...



"Yang ini dari kakak untuk adik. Lepas ni adik kena bagi kat kakak juga tau!" Agaknya gitulah kakak bisik kat telinga adiknya tu kot...



"Hah! Yang Angah kasi ni paling besar tau! Lain kali giliran hari lahir Angah, adik kena kasi yang lagi besar!" Uisyhh..betul ke Angah cakap cam tu? Hihi...



"Yang dari Ummi ni mestilah lagi special!" Alahai Ummi...patut le selalu sakit belakang. Cara kasi hadiah tupun dah tak betul! Mana boleh terbongkok-bongkok macam tu.



Hadiah dari Abi pula untuk Atiqah. Apa agaknya tu, ya? Hahh..ni baru cara yang betul. Tak de le jadi sakit belakang cam Ummi. Uihh! Steady sokmo Abi kita ni..he,he...

Acara Penyampaian Hadiah Hari Lahir Untuk Kakak



"Hahhh..nasib baik adik kasi hadiah juga kat kakak. Kalau tak, siap adik!" Hi,hi..kakak mesti marah Ummi tulis gini ni. Saja je kakak. Suka tengok kakak marah. Hihi...



"Alahhh kakak. Lain kali kakak sambut birthday sama Aisyahlah pulak..." Kih,kih,kih. Tiap-tiap tahun Aisyah cakap : "Tak acilah Atiqah boleh sambut hari lahir sama-sama dengan kakak. Aisyah tak boleh..." Huhuhu...apa nak buat...



"Lepas ni, kalau ada hadiah lebih tu, kongsi-kongsilah dengan Angah ya. He.he.."



Hmmm..nasib baik yang si kakak ni ada sikit tinggi dari adik dia. Taklah terbongkok sangat Ummi.



Amacam? Sebijik macam rupa Abi tak? Jowo mari nih! Hahaha...

Anugerah Kecemerlangan Baiti Jannati



Akhirnya tiba saat yang sangat-sangat di tunggu oleh Angah terutamanya. Acara tahunan penyampaian hadiah kecemerlangan untuk anak-anak. Angah menerima hadiah pelajar terbaik tahap 4 Madrasah Ahsanul Ulum. Ummi Abi sangat-sangat menghargai pencapaian Angah ini kerana walaupun dalam usia yang termuda di kelasnya, Angah telah berjaya mengatasi rakan-rakan lain yang beza usianya jauh lebih tua dan lebih lama berada di madrasah tersebut. Alhamdulillah. Semoga kecemerlangan Angah ini menjadi perangsang untuk dirinya terus cemerlang di masa akan datang. Sebagaimana yang selalu Ummi Abi ingatkan - 'Biarlah kejayaan yang dicapai di dunia ini menjadi jambatan untuk kejayaan yang kekal di akhirat sana'. InsyaAllah...



Kali ini kakak menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Terbaik SRIP Tahun 3 sesi 2008 di peringkat Baiti Jannati pula. Wah! Banyak le kakak kumpul hadiah.



Hah! Aisyah bukan main lagi tak sabar-sabar tunggu giliran namanya pulak dipanggil. Tapi kali ni tak de pentas le, ya Aisyah. He,he. Aisyah menerima hadiah dari Ummi dan Abi untuk Pelajar Terbaik Pra Sekolah TISPIN Sesi 2008.



Tersenyum lebar Angah dengan piala dan hadiah yang diterimanya.



Kakak tetap cool and steady...



Aisyah tersenyum simpul dengan piala dan hadiah galakan dari Ummi dan Abi...



Tunggu apa lagi. Buka ajalah hadiah tu! Detik yang betul-betul menggembirakan semua anak-anak. Ummipun tumpang senang hati tengok anak-anak gembira...



Penat dah Abi tangkap gambar. Abipun nak join buka hadiah juga!



Angah bersama piala dan hadiah kecemerlangan...excellent!



Tu dia kakak bersama piala dan hadiah birthday serta hadiah kecemerlangan...seronoknya!



Aisyah bersama piala dan hadiah kecemerlangan...best!



Alamak! Ini doktor mana pulak yang duk memancing ni? Haru, haru...



Piala-Piala Kecemerlangan Baiti Jannati...!



"Dalam banyak-banyak hadiah, hadiah piala inilah yang paaaaaaaling Angah suka dan tak akan Angah lupakan!" Itulah kata-kata Angah. Alhamdulillah. Semoga menjadi pendorong dan semangat buatmu, anakku.



Akhir sekali, Ummi tumpang main hadiah untuk kakak - mosaic sticking game! Haha...amacam? Cantik tak itik yang Ummi buat ni?

*************************************************************************************

Rabu, 19 November 2008

Doktorpun Sakit Juga?

Assalamualaikum.

Segala puji bagimu ya Allah yang telah mengurniakan untukku nikmat yang terlalu besar, nikmat yang melimpah-ruah yang tidak terbalas bahkan tak mungkin terbalas oleh hambaMu yang dhaif ini.

Alhamdulillah, pagi ini Ummi bangkit dalam keadaan kepala yang lebih ringan dari biasa dari sebuah tidur yang lena. Walhal semenjak awal Syawal, setelah hampir sebulan setengah lamanya, tidur malam tak pernah lena dek serangan batuk yang bertalu-talu dan bekerja di siang hari dalam keadaan kepala yang sentiasa berdenyut dek serangan migraine.

Ya Allah, dalam keadaan diri yang baru sembuh dari kesakitan ini, begitu terasa sekali betapa besarnya nikmat kesihatan yang Engkau kurniakan. Amatlah benar sekali bait yang menyebut bahawa hampir seluruh kebahagiaan dan kenikmatan hidup bergantung pada kesihatan. Makanan yang lazat tidak lagi memberi erti apabila diri dalam kesakitan. Tilam yang empuk tidak lagi membawa makna dalam keadaan diri yang tidak berupaya melelapkan mata. Maha suci Allah. Terlalu besar nikmat sihat itu rupanya!

Doktorpun Sakit Juga?

Ada yang menanyakan Ummi : “Doktorpun sakit juga?”

Bukankah doktor juga seorang manusia biasa? Malah doktorlah manusia yang paling layak diuji Allah dengan kesakitan. Seorang doktor yang pernah merasai kesakitan akan lebih memahami keperitan yang diluahkan oleh seorang pesakit. Bukan kita memohon sakit tetapi apabila Allah menghantarkan kesakitan itu buat kita, pasti ada hikmah di sebaliknya. Namun jarang sekali antara kita mampu bersabar dengan kesakitan yang menimpa.

Setiap kali diserang sakit kepala, setiap kali itulah Ummi terbayang betapa sabarnya Junjungan kita, Rasulullah SAW. Ya Allah..dikatakan sakit kepala yang menimpa baginda 2x lebih berat dari sakit kepala yang paling teruk menimpa manusia biasa! MasyaAllah…sedangkan diri ini tak habis-habis mengeluh dengan sedikit kesakitan yang menimpa. Subhanallah…setiap kali kepala ini terasa bagai nak pecah, setiap kali itulah terbayang bagaimana Rasulullah SAW menahan derita di saat-saat akhir kewafatannya.

“Ya Allah, ampunilah diri ini yang terlalu lemah menghadapi ujian yang Engkau kurniakan walhal ujian itu adalah anugerah dariMu untuk penghapusan dosa-dosaku.”

*************************************************************************************

Isnin, 17 November 2008

Tahniah Buat Anak-Anak Ummi!

Assalamualaikum.

Sabtu, 15 November 2008 - Dalam keadaan kepala yang berdenyut-denyut dan batuk yang tak henti-henti serta badan yang seram-sejuk, kugagahkan jua diri ini melangkah ke Dewan Seri Budi bagi menyaksikan detik-detik bersejarah buat kedua-dua puteri Ummi - Amirah Zahidah dan Aisyah Farihah.

Alhamdulillah, satu memori yang penuh bermakna. Ummi abadikan di sini agar ianya tak luput dalam ingatan dan sebagai memenuhi janji Ummi untuk anak-anak tercinta yang cukup-cukup suka dengan pengabadian kisah-kisah mereka di blog Ummi.



Majlis Ihtifal Dan Khatam Al-Qur'an SRIP Tahfiz (Sekolah Kakak Amirah) & TISPIN (Prasekolah Adik Aisyah)



Sebaik sahaja selesai majlis perasmian - acara persembahan Taekwondo oleh pelajar-pelajar SRIP Tahfiz. Cukup menarik! Lagi-lagilah time diaorang patahkan papan!



Persembahan nasyid oleh pelajar-pelajar Tahun 3 SRIP Tahfiz. Siapa si kecil molek yang jadi solo tu?



Wah! Kakak Amirah rupanya. Setiap tahun jadi solo nasyid disebabkan suaranya yang begitu gemersik dan merdu bak 'Ummi'nya. He,he,he..jangan ada sesiapa tegur Ummi perasan pulak...



Persembahan bercerita dalam Bahasa Inggeris. Petah sekali adik ini bercerita kisah 'peacock and the eagle'.



Yang ini cukup menyeronokkan. Dikir Arab dengan tajuk 'Madrasati Jannati'! Dengar anak-anak kecil ni berdikir dalam Bahasa Arab, sebijik slang macam Tok Sheikh Arab!



Yang ni pulak siapa? Tak lain tak bukan, adik Aisyah Farihah yang sedang bercerita kisah 'rama-rama cantik dan rama-rama hodoh'! Petah dan bersemangat sekali dia bercerita sampai Ummipun 'ternganga'. Tak ada sangkut langsung! Seronok habis Ummi dengar...lagi-lagilah bila dengar cerita yang dikarang sendiri oleh Umminya..! Hihihi...



Habis bercerita, terus Aisyah mengetuai rakan-rakannya menyanyikan lagu rama-rama dengan begitu bersemangat sekali. Hahh..kan dah kata, anak-anak Ummi ni mesti kena jadi solo sebab memiliki suara yang merdu bak Ummi. Kah,kah,kah,kah....lagi-lagi perasan.



Aisyah dan rakan-rakannya beraksi seperti rama-rama. Mujur tak terbang betul aja. Kalau tak, susah Ummi nak tangkap!



Masih ingat kisah Aisyah nak naik pentas? Tu dia! Tak sabar-sabar Aisyah nak melangkah kaki ke pentas untuk menerima hadiah!



Memang sah! Aisyah memang seronok naik pentas dengan langkah yang gagah dan bersemangat sekali!



Akhirnya tercapai jua hasrat hati Aisyah nak naik ke pentas untuk menerima hadiah...



"Yes! Aisyah dah dapat! Aisyah dah dapat! He,he,he"..agaknya begitulah kata hati Aisyah. Aisyah ni, fokusnya memang dahsyat!



Kakak Amirah pula dipanggil untuk menerima hadiah...cool and steady..itulah kakak...



Wah! Sekali lagi Aisyah naik ke pentas dengan langkah gagah beraninya untuk menerima sijil tamat prasekolah beserta 'gambar ijazah'...



Puas hati sungguh Aisyah dapat naik pentas berulangkali...



Dua tahun berturut-turut, kakak Amirah diisytiharkan 'Juara Pertandingan Hafazan'. Alhamdulillah, semoga cita-cita kakak untuk menjadi 'Doktor Hafizah' tercapai...seorang doktor yang dadanya dipenuhi kalam Allah...



Majlis diakhiri dengan upacara khatam al-qur'an. Setiap tahun kakak akan mengkhatamkan al-qur'an pada setiap Ramadhan semenjak di Tahun 1 dan setiap tahun jugalah kakak turut diraikan di majlis khatam al-qur'an di sekolahnya. Segala puji bagiMu ya Allah...Al-Qur'an panduan hidup kami!



Mana kakak? Selalu sahaja terselit di celah-celah ramai kerana saiznya yang memang kecil-kecil cili api. Membesarkan kakak cukup mudah bagi Ummi tapi nak 'membesar'kan badan kakak cukup bermasalah! Huhuhu...



Hahh..tu dia kakak di barisan belakang, paling kanan. Tengok apa tu kak? Tajamnya renungan! Renungan masa depan barangkali???



Adik bongsu, Atiqah Maisarah menemani kakak-kakaknya ber'posing' dengan hadiah masing-masing. Sebelum ni kalau ditanya, Atiqah memang tak nak sekolah. Lepas tengok kakak-kakaknya naik turun pentas tak henti-henti untuk terima hadiah, Atiqah dah tak sabar-sabar lagi nak bersekolah!



Nasi semangat (yang bunga kuning tu) untuk khatam al-qur'an...hadiah dari Nek Wan sebagai pembakar semangat untuk cucu-cucunya. Walaupun Wan tak dapat hadir bersama kerana penyakit lumpuh, doa Wan tak pernah putus...'moga anak cucunya sentiasa cemerlang di dunia dan di akhirat'. Terimakasih Wan dan terimakasih yang tak terhingga juga untuk Ki yang turut hadir dalam majlis penganugerahan ini! Cukup suka hati cucu-cucunya dengan kehadiran Ki.



Aisyah Farihah bersama Piala Pelajar Terbaik Pra 2 2008! Akhirnya kesedaran dan kesungguhan di peringkat akhir 'untuk naik ke pentas' mendatangkan hasil!



Amirah Zahidah bersama Piala Pelajar Terbaik Tahun 3 2008 dan Piala Johan Hafazan Tahap 1! Usahamu yang sungguh-sungguh memang melayakkan dirimu untuk kesemua anugerah itu, anakku. Ingat lagi tulisan Tokki pada sampul surat hadiah tu? 'Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan. Di mana ada ilmu, di situ pintu kebaikan."



Aik? Yang kecik nipun dapat piala ke? Apa tidaknya. Atiqahpun nak nombor 1 juga! Pinjampun, pinjam le...asal dapat posing sama...



Aisyah bersama rakan baiknya, Raja Sofea yang juga merupakan saingan sengitnya dalam akademik. "Tahun depan kita sekolah sama lagi dan kita lawan lagi, ya." kata Aisyah.



Piala kemenangan kakak Amirah dan Adik Aisyah. Sayangnya, sekolah Angah Anas (Maahad Ahsanul Ulum) tak dibuat majlis penganugerahan. Walaupun Angah juga dapat tempat pertama di sekolahnya tapi tak ada piala. Tak pe Angah. Nanti Ummi Abi kasi Angah piala di 'Majlis Khas Penganugerahan Baiti Jannati'. Tunggu ya! Semoga kejayaan yang dicapai di dunia menjadi jambatan untuk kejayaan yang kekal di akhirat sana...



Cita-cita Aisyah ingin menjadi Peguam Hafizah...seorang peguam yang dadanya dipenuhi kalam Allah. Semoga tercapai cita-citamu, anakku..Ameen.



Sijil Anugerah Pelajar Terbaik Pra 2, milik Aisyah Farihah...telah Ummi simpan elok-elok di dalam fail anugerah anak-anak.



Sijil Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 3 milik kakak Amirah. Kakak punya fail anugerah dahpun penuh! Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!



Sijil Pemenang Pertandingan Hafazan. Moga kalam Allah sentiasa bersama-samamu, anak-anakku...



Akhir sekali, ribuan terima kasih tak terhingga buat Abi tersayang yang dari awal sampai akhir, tak duduk-duduk kerana tugas khasnya setiap tahun - memvideokan Majlis Anugerah anak-anak untuk diabadikan di dalam CD agar kenangan dan memori indah ini tidak lenyap dan hilang begitu sahaja. Ia bakal menjadi pendorong dan semangat untuk sekalian anak cucu generasi di masa hadapan. InsyaAllah...

*************************************************************************************