Isnin, 15 September 2008

Ubat Hati : Aku Seorang Musafir

Assalamualaikum.

Tajuk Asal Artikel : Manusia Yang Berteduh Di Bawah Pohon Rendang
Oleh : Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat

Dipetik Daripada Buku Bertajuk : Taqwa
Terbitan : Anbakri Publika Sdn Bhd
Harga Buku : Sem.Malaysia RM17.00 ; Sabah/Sarawak RM19.00
Pengedar : Cari sendiri kat kedai buku le...he,he...Ummi tolong iklankan je. No sharing-sharing punya...
Kenapa Mesti Baca : Penat ummi taip balik kat sini, takkan tak nak baca kot...hu,hu,hu...

Baca & Hayatilah...

Abdullah bin Mas’ud adalah seorang sahabat yang juga murid setia Rasulullah SAW di mana jua baginda berada. Beliau sentiasa meneliti dan mencatit setiap apa jua yang diucapkan oleh Rasulullah SAW serta mengambil pengajaran daripada setiap perbuatan baginda. Demikianlah caranya beliau menimba ilmu.

Suatu ketika, Abdullah bin Mas’ud melihat Rasulullah SAW sedang berbaring. Apabila baginda bangun dari tempat pembaringannya, beliau terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang baginda. Ini disebabkan tikar alas tidur baginda diperbuat daripada daun kurma yang kasar, maka kesan tikar itu amat ketara. Timbul rasa belas kasihan di hati Abdullah bin Mas’ud.

Berkata Ibnu Mas’ud, “Ya Rasulullah, sekiranya engkau perintahkan aku untuk mencari sebidang hamparan yang lembut untukmu nescaya aku akan berusaha mendapatkannya.”

Tetapi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang. Selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan.”

Hadith Rasulullah SAW itu adalah suatu peringatan terhadap manusia, bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya dunia ini hanyalah tempat persinggahan untuk membuat persiapan mencari bekalan bagi menghadapi suatu penghidupan yang abadi di akhirat kelak.

Inilah hakikat yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, tentang kehidupan di dunia ibarat singgah berteduh di bawah sepohon kayu untuk menghilangkan letih atau singgah mencari bekalan. Selepas badan kembali segar, seharusnya mereka tidak lalai untuk meneruskan perjalanan.

Contoh yang diberi oleh Rasulullah SAW tentang kehidupan di dunia ini amat mudah difahami. Meskipun baginda menyebut ibarat singgah sejenak berteduh di bawah pohon yang rendang tetapi kadangkala manusia menjadi asyik dan terlena, apatah lagi jika pohon tempat berteduh itu sedang berbuah lebat dan ranum. Berehat sambil makan buah-buahan serta hembusan bayu yang nyaman sungguh mengasyikkan.

Walaupun ia disebut singgah hanya sekejap, namun ia bergantung kepada umur manusia, lazimnya antara sekitar 60 tahun, iaitu sekitar umur Rasulullah SAW. Jika dibandingkan dengan umur dunia, tentulah tidak lama. Apatah lagi jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat, yang ukuran sehari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Maka kehidupan yang disebut singgah sebentar di dunia itu hanyalah satu detik yang amat singkat.

Masa yang sangat singkat itu adalah suatu kesempatan yang mesti dihargai. Jika kesempatan itu tidak diisi sepenuhnya untuk menyediakan bekalan kerana dilalaikan oleh kenikmatan matabenda yang tidak seberapa, maka kesempatan kedua tidak akan ada lagi. Manusia yang dilalaikan dengan kehidupan dunia akan menghadapi penyesalan yang tidak berkesudahan. Dalam al-Qur’an telah digambarkan:

“Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, kami akan mengerjakan amal yang soleh. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”

Surah as-Sajdah (32:12)

Demikianlah sesalan orang yang lalai akan peranan mereka dihidupkan di dunia. Mereka cuba memohon kepada Tuhan agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh, selepas mereka melihat dengan mata kepala sendiri datangnya hari akhirat, seperti yang dikhabarkan oleh para rasul semasa di dunia dahulu.

Ad-dun ya darul amal. Dunia adalah tempat melakukan segala amal atau kerja, dan setiap amalan menurut apa yang telah digariskan oleh para rasul. Dengan adanya rasul bagi setiap umat, ini bererti manusia telah dibekalkan segala keperluan. Bekalannya ialah akal, ilmu, aqidah, harta dunia, masa dan tubuh badan.

Manusia mesti beramal atau bekerja bagi menyediakan bekalan hari akhirat. Bekalan hari akhirat itu bukan sekadar ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Tetapi sebarang urusan yang melibatkan harta dunia seperti bertani, berniaga, nelayan, usahawan, pengurusan serta pentadbiran dan seumpamanya. Semuanya akan menjadi urusan akhirat jika ia dilakukan mengikut garis yang ditetapkan oleh syariat.

Visi akhirat bagi manusia bukan sekadar menghubungkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat-ibadat khusus, tetapi juga mesti melakukan perhubungan sesama manusia, sama ada dalam urusan muamalat atau juga dalam urusan kemasyarakatan, kenegaraan dan urusan-urusan lain seumpamanya adalah merupakan kepelbagaian dalam menyediakan bekalan akhirat untuk menempuh satu perjalanan yang jauh. Oleh itu bekalan juga harus berpadanan.

Jika hidup di dunia dalam masa yang singkat ibarat berteduh di bawah pohon, manusia mesti menggunakan segala peluang yang ada. Masa yang begitu singkat mesti digunakan semaksimum mungkin bagi membina kepakaran dan kesungguhan dengan menggunakan modal yang ada iaitu ilmu, akal, tenaga, tubuh badan, harta dunia, akidah dan syariah serta modal-modal yang lain bagi menjamin bekalan akhirat dapat dipenuhi.

Meskipun kehidupan di dunia ini diibaratkan singgah sebentar sekadar berteduh di bawah pohon, namun ia amat bererti bagi seorang musafir yang berjalan jauh ketika hari panas. Mereka pasti mengambil peluang untuk berehat serta makan dan minum untuk memulihkan tenaga fizikal dan dapat juga melakukan amal ibadah untuk kekuatan dan bekalan rohaninya.

Demikianlah hakikat dunia yang disebut sebagai gelanggang melakukan amal dan segala gerak kerja manakala akhirat sebagai negara menerima balasan. Jika di dunia yang singkat waktunya ini terlalai dengan kenikmatan yang sementara, dibimbangi bahawa penyesalan akan menunggu di akhirat.

*************************************************************************************

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Subhanallah..ana bila balik kg tidur atas tilam yg keras pun kdg kala merungut sakit badan, padahal Rasul SAW tidur beralaskan pelepah kurma sahaja..