Isnin, 8 September 2008

Pengubat Hati : Si Da'i Cilik

Assalamualaikum.

Bangun sahur pagi ni, tersenyum sendirian ummi melihatkan anak patung strawberry yang ditinggalkan oleh anak-anak, buah hati ummi, di bilik. Siap bertudung! Punyalah kreatifnya dia orang...

Lebih mengharukan lagi bila mengingatkan dialog dari bibir si kecil Atiqah Maisarah yang berumur 4 tahun..."Ummi, comel tak anak patung strawberry ni? Dah tutup auratpun, kan ummi?" Dan disampuk pula oleh si kakak, Aisyah Farihah (6 tahun): "Memanglah...tak baik tak tutup aurat. Dosa dia nanti!"...sambil si kakak, Amirah Zahidah yang berumur 9 tahun menjeling ke arah anak patung tadi dan kemudiannya bersuara.."Hmmm...tutup aurat cam tu mana sempurna lagi tu dik! Tudung kena tutup paras dada! Haaa tu...kenapa tak pakai kain tu??? Hi,hi,hi,hi,hi..." Punyalah kuatnya si kakak Amirah tergelak...!!! Perbualan singkat yang membawa seribu pengertian...!

Teringat pula ummi gelagat si Aisyah ketika usianya baru menjangkau 5 tahun...sambil menunggu giliran mengaji al-qur'an di rumah jiran, sempat lagi dia berdakwah pada teman-teman mengajinya yang kadang pakai tudung, kadang tak pakai. Nak tahu apa katanya? "Awak nak tahu tak? Ummi saya cakap, kalau kita tak pakai tudung, sehelai je rambut yang nampak, 1000 tahun kita kena bakar kat api neraka! Awak sanggup ke kena bakar lama kat api neraka tu?"...dan natijah daripada dakwah si da'i cilik ini, anak jiran yang tak pernah bertudung masa main petang-petang tu dahpun bertudung! Alhamdulillah...hati anak-anak kecil mudah nak dibentuk, kan?

Menyentuh bab aurat, terasa bersalahnya diri ini apabila setiap hari berhadapan dengan gadis-gadis manis, remaja zaman kini yang tidak lagi menutup aurat dengan sempurna...mampukah aku menjadi da'i sebagaimana si da'i cilik tadi???

Marilah sama-sama kita renungi dan hayati sebahagian daripada kata-kata saifulislam.com dalam artikel beliau yang bertajuk 'Sekerat Islam'...

TUDUNG SILAM


Tidak dapat saya nafikan, bahawa jiwa ini lebih sejahtera ketika orang perempuan kita tidak pandai menggayakan fesyen dengan tudung. Bermula dengan tidak bertudung, kemudian bertudung bawal dan kemudian bertudung labuh serta bulat, dan mungkin sebahagian memilih untuk berpurdah. Terpulang. Tudung di kala itu adalah suatu perjuangan untuk seorang wanita Muslimah membina jati dirinya.

Memakai tudung ialah suatu proses besar yang memerlukan pengorbanan.

Namun tudung mengalami evolusi, seiring dengan nasyid dan ‘perkara-perkara Islam yang lain’ apabila kreativiti ditumpahkan kepadanya supaya tudung jangan lagi dikaitkan dengan imej bosan, tidak menonjol dan distinguished from others. Bertudung tetapi masih boleh kelihatan ‘cantik’. Lantas pelbagai cara pemakaian tudung berlaku, pelbagai fesyen diketengahkan, seiring pula dengan busana Muslim yang terkini, diangkat menjadi industri antarabangsa.

Tetapi di manakah kerisauan saya?

TUDUNG CACAT

Konflik berlaku apabila kita melihat kebelakangan ini, penggayaan fesyen dilabelkan sebagai Islam sedangkan ia amat jauh dari menepati hukum asas Islam. Tudung dipakai sekerat dengan membiarkan bahagian depan terkeluar… ia dikategorikan sebagai Islamik dan sesuai untuk menonjolkan imej seorang Hajjah.

Dari tudung yang cukup untuk melindungi leher dan dada, artis-artis yang telah berhijrah ini mula mengurangkan tudungnya kepada sekadar menutup rambut tetapi dibiarkan telinga, leher dan dada terdedah.

Apabila pakaian-pakaian seperti ini semakin berleluasa, ia menghantar satu mesej yang salah kepada masyarakat. Pemakaian seperti ini dianggap sebagai telah menyelesaikan tuntutan Islam, sedangkan ia masih jauh lagi dari ukuran Islam terhadap apa yang dinamakan sebagai hijab. Lebih khuatir lagi, apabila nama-nama besar dalam industri fesyen memberikan sentuhan mereka untuk mencantikkan lagi ‘pakaian cacat’ ini, dan ia diperagakan atas nama Busana Islam!

Terpulang, jika tudung mahu dihias cantik dengan labuci dan renda. Terpulang jika jubah mahu dibuat dari material hebat seperti French Lace dan sebagainya. Tetapi tudung hanya menjadi tudung apabila ia berjaya melindungi rambut, telinga, leher dan dada seorang wanita yang mahu mentaati Allah di dalam pakaiannya. Jubah hanya menjadi jubah apabila ia berjaya melindungi rupa tubuh seorang perempuan kecuali muka dan tapak tangannya.

Sebagai pendakwah, saya tetap menghargai perubahan beransur yang berlaku dari seorang yang berpakaian seksi kepada berpakaian yang lebih sopan, serta sehelai kain yang diletakkan di atas sebahagian kepala. Dakwah boleh mendefinisikannya sebagai ’suatu perubahan’. Namun untuk difahamkan bahawa pakaian sedemikian adalah fesyen Islam, busana Islam dan sudah memenuhi tuntutan Islam… ia adalah suatu pencemaran kepada kefahaman Islam.








Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah 2: 208]

Saya tidak akan memadamkan catatan pengorbanan Muslimah yang berusaha untuk menutup aurat mereka dengan sempurna hingga diludah di kampus-kampus. Saya tidak akan pencilkan catatan pengorbanan sebahagian artis yang meninggalkan dunia glamour yang melumpuri kehidupan mereka demi untuk menghayati ajaran Islam yang betul. Segala perit pahit mereka tidak harus terpadam oleh fesyen baina-baina (sekerat-sekerat) yang semakin berleluasa sekarang ini.

INPUT PROSES OUTPUT

Juga tidak harus dilupa, tudung itu adalah proses. Sama juga seperti solat dan puasa. Syariat mengkehendaki seorang Muslim dan Muslimah berpakaian dengan pakaian tertentu, melakukan ibadah tertentu, tujuannya adalah untuk memproses hati dan tingkah laku. Memakai tudung bukan tanda seorang itu sudah baik, sebaliknya untuk seseorang memperbaiki diri dia harus memakai tudung dengan sedar (full of consciousness). Bukan dia baik dengan alasan dia bertudung, sebaliknya kalau hendak jadi baik, kenalah bertudung.

Orang yang berpakaian kerana Allah, hanya ada Satu Tuhan yang mahu digembirakannya. Orang yang berpakaian untuk menyedapkan mata manusia memandang, akan menjadi hamba kepada tuhan-tuhan kecil yang mahu digembirakannya.

Apakah nawaitu kepada perubahan itu? ...Baca Artikel Penuh Di Sini...

**************************************************************************************

2 ulasan:

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

Assalamualaikum..

Kak Ummi..suka artikel akak yang ini..:)terpikat juga pada anak patung strawberry tu heheh

Huda setuju dengan apa yang akak cakap..sedih sgt2 bila tengok anak-anak gadis pada masa kini yang bertudung hanya sekadar tutup rambut dan telinga dan pakaian menjolok mata..
adik2 kecil pun tahu menutup aurat..
Sedih bila mengenangkan perkara ini, lebih2 lagi bila berjalan ternampak anak-anak gadis ini..ada yang berjalan dgn mak dan ayah tapi pakaian tetap menjolok mata ditambah tudung sekadar menutup kepala...
Ini juga mengingatkan diri kita juga yang mudah lupa..mudah2han Allah beri kita ruang untuk menghayati agama Islam dengan sebaik-baiknya..insyaAllah...

miss N berkata...

Dr Ummi,
Salam. sampai anak patung pun dipakaikan tudung, sejuk perut ibu mengandung, tak gitu..