Assalamualaikum.
Wahai Hamba Allah Yang Ditimpa Kesakitan,
Sebenarnya sakit yang kita alami umpama tindakan sebuku sabun. Ia membersihkan segala kekotoran yang ada pada diri kita. Penyakit yang dialami itu membuang segala dosa dan menyucikan diri daripada semua kesalahan kita.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, “Tidak ada seorang muslim yang ditimpa kesakitan, melainkan Tuhan menggugurkan kesalahan-kesalahannya, sebagaimana dedaunan pohon yang berguguran.”
Dosa adalah penyakit yang berterusan dalam kehidupan yang abadi. Dalam kehidupan di dunia ini, ia adalah penyakit sebenar yang menimpa hati, perasaan dan roh. Sekiranya kita bersabar dan tidak mengadu mengenai penyakit di dunia, kita pasti terselamat daripada penyakit-penyakit di akhirat kelak.
Apabila kita lalai pada dosa-dosa kita, lupa pada akhirat dan cuai pada Tuhan, saya tegaskan kita pasti menghadapi suatu penyakit yang berbahaya! Malah ia lebih berbahaya berjuta kali ganda daripada penyakit-penyakit dunia yang sementara itu. Jauhkan diri kita daripada penyakit berbahaya ini!
Penyakit itu lebih berbahaya kerana hati, roh dan jiwa kita terikat dengan seluruh benda yang wujud di atas dunia ini. Juga kerana segala saluran perhubungan sudah terputus dicantas oleh pedang perpisahan dan kehilangan, lalu menyebabkan kita mengalami luka yang dalam.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi sekiranya kita merasakan kematian itu bersifat abadi selama-lamanya, kerana ketiadaan pengetahuan mengenai akhirat. Pada masa itu kita seolah-oleh memiliki kewujudan yang sakit dan mempunyai luka sebesar bentuk dunia ini.
Ini memaksa kita supaya mencari rawatan ataupun ubat yang hakiki bagi merawat kewujudan kita yang sebenar itu sebelum ia dipisahkan, dilebur dan dihancurkan oleh pelbagai jenis penyakit dan kecederaan yang tidak terkira banyaknya.
Saya yakin, kita tidak menemui rawatan ataupun penawarnya melainkan dengan rawatan keimanan dan ubatnya yang mujarab. Jalan ringkas bagi mencapai rawatan itu adalah dengan melihat melalui tingkap ‘kelemahan’ dan ‘kefakiran’ yang menjadi fitrah manusia. Tingkap ini pula hanya terbuka dengan mengenepikan penyakit fizikal yang diselubungi kealpaan. Dengan itu kita mencapai peringkat pengetahuan mengenai kekuasaan dan rahmat luas Tuhan yang maha Berkuasa dan Maha Agung.
Orang yang tidak mencapai pengetahuan kepada Tuhan, menanggung keresahan dan bencana di kepalanya seluas dunia ini dan segala isinya. Tetapi bagi orang yang berpengetahuan mengenai Tuhannya, dunianya dipenuhi dengan cahaya dan kegembiraan yang sebenar.
Ini dapat dirasakan melalui kekuatan iman yang ada dalam dirinya. Kekuatan ini pula berbeza daripada seorang kepada seorang individu yang lain. Kesakitan zahir lenyap apabila timbulnya limpahan kegembiraan sebenar dan penawar yang terbit daripada keimanan.
-Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960)
******************************************************************************************************************
Selasa, 2 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan