Rabu, 3 September 2008

Kanak-Kanak Di Anak Tirikan Di Masjid ?

Assalamualaikum.

Sebulan Se
belum Ramadhan

……Hubby mengajukan satu cadangan yang cukup menggembirakan dan merisaukan diriku. Kenapa? Apa pengumumannya? Kata Abi,

“Ummi, sepanjang Ramadhan nanti, apa kata kita tutup aja klinik sesi malam?Boleh kita bawa anak-anak solat terawih di masjid dan beri peluang pada staff kita sama untuk solat terawih lebih awal atau turut sama ke masjid.”

“Biar betul?” balas Ummi.
“Betullah tu..” jawab Abi.

Kala itu, berbaur di hati Ummi antara rasa gembira dan risau. Gembira kerana telah lebih 9 tahun lamanya, Ummi dan Abi bersolat terawih secara berjemaah hanya selepas jemaah di masjid telahpun bersurai. Apa tidaknya, setiap malam kami terpaksa run clinic. Time clinic sesi malam jam 8.00 hingga 10.00 malam. Dah tentulah pukul 10.00pm tu jemaah kat masjid dah mula ‘moreh’..kita baru nak solat dalam keadaan diri yang terlalu letih, kekadang kelopak matapun terasa berat macam pikul simen 10 kilo! Nasib le klinik dekat ngan masjid, rasa selamat sikit nak lepaskan anak-anak lelaki yang dah hampir baligh tu berjemaah sama di masjid.

Habis tu kenapa masih risau? Apa tak risaunya..dah lebih 9 tahun klinik tak pernah tutup sesi malam, tiba-tiba nak tutup? Tak ke pelanggan marah dan cabut lari? Aduhai….

2 Minggu Sebelum Ramadhan

Akhirnya dengan satu tekad, akan kuanggap cadangan Abi itu sebagai satu arahan dari seorang suami (walaupun hubbyku tak pernah memaksa) supaya hatiku tak lagi terkata-kata. Cepat-cepat Ummi taip pengumuman yang berbunyi ‘Sepanjang Ramadhan–Klinik Ummi Hanya Dibuka Pada Waktu Siang Sahaja. Malam-Tutup’ dengan tujuan supaya hati Ummi tak lagi berbelah bagi. Maka kepulangan suamiku petang itu kusambut dengan jawapan bahawa cadangannya telah kupersetujui. Tersenyum lebarlah Abi akhirnya… Alhamdulillah, setelah 2 minggu lamanya Ummi berfikir panjang sebelum dapat membuat keputusan!

Malam Pertama Ramadhan

Tibalah jua akhirnya saat yang dinanti-nanti, bulan yang ditunggu-tunggu - bulan penuh keberkatan! Malam ini adalah malam pertama kami akan berterawih di masjid…

Kata Abi, “Kalau nak dikira, lebih afdhal Ummi solat berjemaah bersama anak-anak (perempuan) di rumah aja. Lainlah Abi dan Angah. Muslimin, apa alasanpun, lebih afdhal solat kat masjid. Tapi Abi nak bawak jugak Ummi ngan anak-anak (perempuan) ni sebab nak kasi peluang Ummi ngan anak-anak dengar kuliah/tazkirah yang diselitkan di celah-celah solat terawih tu.”

Maka malam itu selepas maghrib, awal-awal lagi Ummi dan anak-anak bersiap. Sampai aja di masjid, terus Ummi, Amirah (9 tahun) dan Aisyah (6 tahun) solat tahiyyatulmasjid sementara menunggu masuk waktu Isyak. Hampir waktu Isyak, datang seorang makcik kepada kami. Terus diarahnya Ummi mengalih anak-anak ke saf belakang dengan katanya, “Budak kecik, alih ke belakang!”

Dengan suara kesal, Ummi menjawab, “Kenapa makcik? Setahu saya, ustaz cakap tak de masalah budak-budak kecik solat sama saf dengan kita. Apalagi budak-budak ni. Dah mumayyizpun, walaupun tak baligh lagi!”

Sambil menjeling ke arah Amirah dan Aisyah yang sememangnya berbadan kecil, ditanyanya pula pada Ummi; “Dah mumayyiz ni?”..sambil menjuihkan bibirnya pada anak-anak Ummi dengan suara yang agak tidak puas hati.

Maka menjawablah pula diriku dengan agak sinis (astaghfirullahal’azim);
“Yalah..lebih dari mumayyiz lagi dah..”

Terus makcik tu diam dan azanpun berkumandang…

Selesai azan, Ummi, Amirah & Aisyah terus bangun mengerjakan solat sunat qabliyyah Isyak. Bila tiba time nak solat Isyak, Ummi tengok makcik tu, yang berdiri di sebelah kiri Aisyah, menggelabah cari orang lain untuk mengambil saf di sebelahnya. Dalam hati ummi tertanya-tanya, agaknya makcik ni ingat tak sah solat kat sebelah budak kecik kot? Maka untuk mengubati keresahan hati beliau, terus Ummi berikan laluan kepada makcik tadi untuk mengambil tempat di sebelah kanan Ummi. Biar Ummi sahaja yang menyambung saf dengan anak-anak Ummi.

Namun rupanya kekesalan di hati Ummi tak berakhir di situ sahaja. Bila Ummi cuba rapatkan saf, masing-masing makmum cuba menjauhkan diri untuk mendapatkan keselesaan tempat. Astaghfirullahal’azim. Yang mampu dirapatkan, hanyalah anak-anak kecil yang berada di sebelah kiri Ummi. Begitu juga saf di hadapan dan di belakang Ummi..renggang serenggang-renggangnya! Nak ku isi lompang yang ada, tak termampu olehku lantaran terlalu banyak lompang yang berselerak.

Selesai solat Isyak, kulihat kedua-dua anakku yang masih kecil ini, terus bangun bersama-samaku mengerjakan solat sunat ba’diyyah tanpa disuruh. Sedangkan makcik-makcik yang lebih dari mumayyiz dan lebih dari baligh itu tidakpun turut serta. Ada pula yang mengambil kesempatan bersembang dengan jemaah di sebelah sementara menunggu bilal iqamat untuk solat sunat terawih…

Usai solat terawih, Angah (Anas) yang dah berumur 11 tahun juga turut merungut apabila dia dihalau dari saf hadapan supaya ke saf paling belakang dalam saf kanak-kanak. Tahu ajalah bila kanak-kanak dikumpulkan serentak, tak ke haru-biru jadinya. Lebih ramai yang bermain-main dari yang solat. Terfikir juga Ummi, inilah sebenarnya yang menjadi punca kebisingan tak terkawal sewaktu solat sedangkan kalau kanak-kanak tadi diletakkan bersebelahan dengan ibu atau bapa, sudah tentu tidak ada yang berani nak membuat bising atau mengharu-birukan suasana.

Dalam perjalanan pulang, termenung seketika diri ini mengingatkan sikap masyarakat kita terhadap anak-anak kecil yang mula diajar berjinak untuk mencintai masjid. Apalagi di sepanjang perjalanan, kulihat anak-anak muda merempit di sana-sini dengan pakaian yang tidak senonoh dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda baru pulang dari masjid. Maka terdetik di hati ini..”Siapakah yang nak dipersalahkan kalaupun anak-anak muda zaman sekarang tidak lagi mencintai masjid? Sedangkan anak-anak kecil yang baru belajar dan baru nak diajar untuk mencintai masjidpun dihalau oleh diri-diri kita yang mengaku telah dewasa dan baligh!?”

Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri ini dalam mendidik anak-anak, zuriat keturunanku agar menjadi insan yang bertaqwa…

Nota 1 :

Posisi kanak-kanak dalam saf solat berjemaah

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami." (Hadis Riwayat Bukhari, no. 727)

Berkenaan dengan hadis ini, al-Imam ash-Shan’ani menyatakan, “Dan posisi makmum yang terdiri dari dua orang adalah di belakang imam, dan anak kecilpun turut diambil kira keberadaan tempat duduknya (bersama saf lelaki dewasa – pen.) dan dapat melengkapkan barisan saf. Dalam hadis disebutkan lafaz yatim, ini menunjukkan anak kecil, kerana tidak disebut sebagai yatim bagi yang telah baligh. (Rujuk: Subulus Salam, jil. 1, m/s. 652)

Menurut Sheikh al-Albani: Tidak mengapa anak-anak berdiri di saf kaum lelaki dewasa, jika saf tersebut masih ada ruang. Dan solatnya kanak-kanak lelaki yatim bersama Anas di belakang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah hujjah dalam masalah ini (saf kanak-kanak adalah bersama saf lelaki dewasa). (Rujuk: Tamamul Minnah, m/s. 311)

Nota 2:

Berdiri di dalam saf bukan hanya sekadar berbaris lurus, tetapi juga dengan merapatkan kaki dan bahu antara satu dengan yang lainnya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97)

Maklumat lanjut berkaitan 'Saf Di Dalam Solat' - Sila rujuk di sini...

**************************************************************************************

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

its good to know about it? where did you get that information?

Tanpa Nama berkata...

very awsome.

Tanpa Nama berkata...

To Finance Tune Up...Tq for visiting this blog.Which information do u mean?I've just added new information in this article...please read again...

kin hashim berkata...

kak han..betul la.. biasa sgt senario gitu berlaku kat masjid2, saya pun penah jumpa keadaan tuh... kesal pon ada....

Tanpa Nama berkata...

Tulah Kin.Kak Han sampai berangan cam ni..Kalaulah sebelum solat tu,imam-imam atau bilal-bilal main peranan bagi kefahaman kepada ahli jemaah bab kedudukan kanak-kanak yg sebenar dlm saf solat berjemaah,kan ke bagus?Tengok2 apa Abi jawab,"Camana nak terangkan yg betul,hari tu Abi solat kat satu masjid,bilal siap umum mintak kanak-kanak yg belum khatan buat saf berasingan di blkg!"Aduhai..konpius,konpius kalau gitu...

iNsAn KerDiL berkata...

salam..ikb time kecik2 dulu pun same je cam anak2 kak ummi..memang dok saf paling belakang skali...huhuhu..camne la gaknye care nak bgtau kat makcik2 kat masjid tu...tapi mak ikb akan solat kat saf paling tepi supaya ikb n adik dapat solat kat sebelah mak kat saf yang depan....