Sabtu, 28 Februari 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 16

Assalamualaikum.

Penyakit yang dialami sebenarnya mengajar orang yang mengalaminya mengenai ikatan dalam kehidupan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang penting dan indah, iaitu saling hormat menghormati dan perasaan berkasih sayang.

Ikatan ini boleh menyelamatkan manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain, kerana sifat ini menyebabkan seseorang itu hidup dalam kealpaan, terasing dan liar serta menghilangkan sifat kasihan belas daripada dirinya.

Sebagaimana Tuhan menjelaskan di dalam al-Qur’an surah al-‘Alaq ayat 6 dan 7 bererti,

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Kerana dia melihat dirinya serba cukup.”

Sekiranya seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan sihat yang berpanjangan, kemungkinan dia bersifat tidak memerlukan orang lain. Jiwa amarahnya itu tidak memberikan penghormatan selayaknya pada hubungan persaudaraan. Dia juga tidak memiliki perasaan rahmat dan belas kasihan pada mereka yang ditimpa musibah.

Berbeza pula dengan keadaan sebaliknya, seorang yang ditimpa penyakit lebih memahami betapa lemahnya dia. Dia juga memerlukan orang lain bagi membantu menghilangkan bebanannya. Dengan itu, dia menghormati saudara-saudaranya yang beriman kerana menjaganya ataupun yang datang menziarahinya semasa sakit.

Di samping itu, dia memiliki perasaan kasih sayang yang merupakan sifat keislaman yang penting pada mereka yang ditimpa musibah. Sekiranya mampu dia pasti menghulurkan bantuan kepada mereka. Sekiranya tidak, dia mendoakan mereka ataupun menziarahi serta bertanya khabar mengenai keadaan dan kesihatan mereka.

Dengan itu, dia sudah melaksanakan satu sunnah yang dituntut dan memperoleh balasan pahala yang besar.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************

Tiada ulasan: