Khamis, 5 Februari 2009

PERAK : Pesanan TG Nik Aziz Nik Mat

RAJA DAN DEMOKRASI

1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.

2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”

3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman.Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas.

Firman Allah S.W.T. bermaksud :
“Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45).

Wallahua’lam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS

Bertarikh : 9 Safar 1430
5 Februari 2009.

*************************************************************************************

2 ulasan:

aja49 berkata...

Keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak adalah terlalu tergesa-gesa dan tandus kebijaksanaan.

Shahibul Afzan Wahab berkata...

terima kasih dr ummi atas artikel ini...