
Sekiranya penyakit itu tidak mengandungi pengertian yang indah, pasti Tuhan yang maha Mencipta lagi Maha Pengasih tidak akan menguji makhlukNya yang dikasihi daripada kalangan hambaNya dengan pelbagai jenis penyakit.
Nabi Muhammad SAW menjelaskan, “Golongan manusia yang banyak terkena bala adalah para nabi, kemudian para wali, kemudian golongan yang seumpama mereka dan begitulah seterusnya.”
Orang yang teruk dikenakan bala adalah Nabi Ayub, seorang yang penyabar. Kemudiannya diikuti pula oleh para nabi yang lain, kemudian para wali dan juga para salihin. Kesemua mereka menerima penyakit dengan menganggapnya sebagai ibadat ikhlas dan hadiah ketuhanan.

Sekiranya kita berhasrat menyertai kumpulan nurani ini, kita perlu bersyukur di samping banyak bersabar. Sekiranya kita sentiasa mengadu, ini menyebabkan mereka enggan menggabungkan kita bersama kumpulan mereka. Bahkan kita mencampakkan diri sendiri ke dalam gaung kealpaan. Seterusnya kita melalui jalan yang penuh dengan kegelapan.
Ada beberapa jenis penyakit apabila diakhiri dengan kematian, boleh menyebabkan orang yang mengalaminya memperoleh syahadah atau mati syahid yang hakiki seterusnya mendapat kedudukan wali di sisi Tuhan.

Apabila seseorang ditimpa kesakitan, secara tidak langsung perasaan cinta mereka pada kehidupan dunia serta keseronokan di dalamnya juga dapat dikurangkan. Selain daripada itu, kita dapat mengelak daripada bergantung harap sepenuhnya kepada kehidupan duniawi.
Ia juga dapat mengurangkan perasaan sedih dan pahit kerana berpisah dengannya seperti yang dialami oleh ahli dunia semasa mereka meninggalkan dunia ini. Bahkan penyakit boleh menyebabkan ia berasa kasih dan suka kepada kematian.
- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'
*************************************************************************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan