Khamis, 4 Jun 2009

Jadikan Kesihatan Sebagai Medium Dakwah!

Assalamualaikum.

Maaf. Agak lama Ummi menyepi. Antara perkara yang paling tidak Ummi gemari adalah membiarkan pengunjung hampa dengan blog yang tidak di update. Maaf sekali lagi dari Ummi.

Niat dihati sepulangnya dari Konvensyen Kebangsaan Papisma, terus masukkan entry baru. Tapi macam-macam pula halangannya. Email yang lama terbiar tak berjawab, perlu Ummi utamakan.

Kali ini suka Ummi berkongsi bersama pengunjung sekelumit ilmu yang Ummi perolehi di sepanjang program selama 3 hari.

Forum Kesihatan Sebagai Medium Dakwah

Ahli Panel : (1) Ustaz Alwi bin Muda (2) YB Dr Lo' Lo' Hj Mohd Ghazali

Tuntutan Syahadah:

Dakwah adalah merupakan tuntutan syahadah. Sebagai umat Islam tidak cukup untuk kita sekadar mengucap dua kalimah syahadah tanpa kita melaksanakan tuntutan-tuntutannya. Dakwah adalah salah satu daripada cabang tuntutan syahadah.

Dakwah merupakan kerja asasi yang dibawa oleh junjungan mulia kita, Rasulullah saw. Kerana itulah ada ulamak meletakkan hukumnya fardhu ain walaupun sebahagian ulamak mengkategorikannya sebagai fardhu kifayah. Malangnya, ramai antara kita yang tidak mengambil hirau akan kewajipan ini.

Setiap daripada kita sebenarnya telah Allah sediakan ruang dan peluang untuk berdakwah. Malangnya, ramai para da'ie tidak memanfaatkan ruang dan peluang yang ada, apalagi untuk meneroka peluang baru. Sebagai contoh, kenapa kita tidak memanfaatkan ICT untuk berdakwah sedangkan masyarakat sentiasa tercari-cari.

Contoh yang lain, tidak salah juga untuk seorang doktor menyampaikan kuliah maghrib atau menyampaikan khutbah Jumaat. Asalkan setiap ilmu berkaitan bidang kepakarannya dikaitkan dengan aqidah, digambarkan dengan kebesaran Allah, nikmat Allah dan sebagainya. Tidak semestinya mereka yang bertitle ustaz sahaja yang layak!

Sayangnya, seringkali peluang sebegini terhalang oleh suatu undang-undang atau peraturan yang menjadikan permit atau tauliah sebagai syarat. Namun, itulah ujian dan cabaran kerana golongan yang tidak mendapat sokongan ummah akan sentiasa menutup ruang-ruang dakwah yang boleh diisi. Maka kita sebagai NGO perlu menggembeling tenaga bersama untuk mengambil peluang menggunakan apa jua ruang dakwah yang belum terisi.

Saidina Ali sewaktu menjadi khalifah dalam sesi lawatannya ke masjid di bawah jajahannya di Basrah, pernah mendengar seorang budak menyampaikan kuliah. Lalu Saidina Ali menguji budak tersebut dengan dua pertanyaan.

"Apakah tonggak agama?"

"Tonggak agama adalah WARAK." Jawab si budak tadi.

Bertanya lagi Saidina Ali ;

"Apakah peruntuh agama?"

Maka menjawab si budak tadi ;

"Peruntuh agama adalah TAMAK."

"Tepat sekali!" Kata Saidina Ali dan terus dibiarkannya budak tadi meneruskan kuliahnya kepada orang-ramai.

Budak tadi itulah yang kita kenali sebagai Hasan Basri.

Ini menunjukkan bahawa siapapun layak menyampaikan dakwah asalkan kena pada tempatnya. Namun golongan munafik sentiasa menjadikan alasan si anu dan si anu tidak layak hanya semata-mata kerana tiada permit yang meluluskan.

Cabaran Usaha Dakwah:

Rasulullah saw mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud:

"Bercakaplah dengan manusia kadar aqal mereka"

Kerana itu kita mesti memahami siapa orang yang hendak kita dakwahkan atau dengan kata lain siapa mad'u kita. Seorang pendakwah mesti faham akan mad'u-nya, barulah cabaran dalam usaha-usaha dakwah akan dapat dilimitasikan.

Sabda Nabi saw yang bermaksud:

"Orang mukmin itu berhadapan dengan lima musuh:
1. Orang mukmin yang dengki

2. Orang kafir yang sentiasa memerangi kita

3. Orang munafik yang benci pada kita

4. Syaitan yang menyesatkan

5. Nafsu yang kita turuti."


Sebagai doktor atau kakitangan kesihatan, banyak ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk berdakwah.

Pengalaman yang lepas, pernah Dr Lok Lok sendiri sewaktu menziarahi seorang makcik yang kakinya dipotong, apabila ditanya adakah makcik solat di sepanjang beliau dirawat di hospital? Makcik tersebut menjawab tidak kerana dia tidak tahu macamana nak bersolat dalam keadaan kakinya telah dipotong dan nak bersolat di katil hospital. Maka terus Dr Lok Lok mengajar beliau bersolat dan semenjak hari itu makcik tadi tidak pernah meninggalkan solat walaupun dalam keadaan tidak mampu berdiri.

Ini menunjukkan bahawa peluang untuk kita berdakwah di hospital dalam ruang lingkup mengajak pesakit menunaikan kewajipan solat amat luas. Kadang-kadang pesakit tidak solat bukan kerana tidak mahu bersolat tetapi kerana terhalang oleh sikap kakitangan sendiri yang tidak menyediakan ruang dan masa untuk mereka. Apalagi untuk memberikan tunjuk-ajar.

Kita sebagai doktor atau kakitangan kesihatan sewajarnya apabila keluar rumah setiap hari, berniat untuk mengislahkan seorang pesakit. Setiap daripada kita sebenarnya ada kemampuan ke arah itu.

Kita mengingatkan pesakit untuk solat, untuk menutup aurat - itu adalah merupakan satu dakwah!

Pernah juga pengalaman Dr Lok Lok dipanggil untuk menyambut kelahiran seorang 'Minah Bohsia' di Raudhatul Sakinah, Sungai Buluh. Sewaktu proses bersalin, kita boleh memperingatkan mereka betapa sakitnya siksa Allah ke atas dosa-dosa kita jika kita tidak bertaubat, berbanding kesakitan yang dialami semasa bersalin.

Perlu juga diingat untuk kita merawat pesakit secara holistik. Sebagai contoh, kalau pesakit itu bermasalah kurang darah atau anaemia, kita tengok dulu sama ada dia mampu atau tidak nak membeli ayam, daging atau hati sebelum kita menasihatkan mereka untuk mengambil makanan tersebut.

Pandangan Masyarakat Terhadap Profesional Kesihatan

Masyarakat biasa memandang seorang doktor dalam sudut pandang yang sangat tinggi. Kerana itulah apabila seorang guru menanyakan seorang murid apa cita-cita mereka, hampir kesemuanya akan menjawab : "Nak jadi doktor!"

Masalahnya masyarakat jarang memandang bahawa kerja doktor ini adalah kerja seorang da'ie. Oleh kerana itu, sewajarnyalah kita sebagai doktor atau kakitangan kesihatan mengambil segala ruang lingkup dan peluang untuk memperdalamkan ilmu ukhrawi dalam menjadikan diri kita sebagai seorang da'ie. Sebagaimana kisah Ibnu Sirin sewaktu menghadapi raja yang gering. Kesemua bomoh ketika itu gagal merawat penyakit yang dihidapi oleh raja kecuali Ibnu Sirin. Apabila beliau ditawarkan pelbagai hadiah yang lumayan lantaran kejayaannya mengubati baginda raja, apa yang Ibnu Sirin pinta hanyalah kebenaran untuk beliau membaca semua buku yang ada di dalam istana baginda!

Sentiasalah menasihati pesakit berkaitan :

1. Sakit adalah merupakan satu ujian darpada Allah swt ke atas hambaNya.
2. Usaha dan ikhtiar dalam merawat penyakit sangat perlu kerana berubat adalah merupakan perintah agama.
3. Yakinkan pesakit bahawa kesembuhan itu sesungguhnya dari Allah swt yang Maha Menyembuhkan.
4. Jauhi yang haram.
5. Tanamkan aqidah pada mereka untuk redha di atas segala ketentuanNya - rujuk hadith qudsi: “Andai kamu tidak redha dengan ketentuanKu maka carilah Tuhan selainKu.”

Kepentingan Dan Keberkesanan Profesional Kesihatan Dalam Arus Politik Semasa

Doktor sebenarnya seorang yang sangat sesuai untuk terlibat dalam politik kerana mereka merupakan kader-kader yang telah biasa menghadapi cabaran dan mehnah! Namun perlu diingat, untuk terlibat dalam politik secara langsung ia memerlukan pengorbanan yang besar. Namun kita tidak perlu merasa takut kerana Allah tidak menguji seseorang hambaNya melainkan ia memang mampu untuk menghadapi ujian yang diturunkan.

Seorang profesional kesihatan seharusnya sentiasa menunjukkan dakwah bilhal, dakwah secara perbuatan. Jadikan diri kita sebagai contoh. Anggap setiap pesakit itu adalah ibu kita, kakak kita, abang kita agar kita bukan sekadar bertanggungjawab ke atas penyakitnya, tetapi kita turut bertanggungjawab ke atas kesedarannya ke arah yang lebih baik.

Kita sebagai doktor dan da'ie mesti dilihat as 1 person. Kitalah doktor, kitalah da'ie. Konsultansi (medical advice) kita kepada pesakit seharusnya bersekali dengan panduan untuk kehidupan seorang mukmin.

Kalau kita sebagai pensyarah perubatan, skop kita dalam dakwah juga cukup luas. Lagilah jika sekiranya kita yang membuat sillibus.

Walaubagaimanapun perlu diingat, untuk mengubah sikap dan pandangan seseorang, kita memang memerlukan masa. Maka bersabarlah...

Sesungguhnya segala yang baik itu dari Allah dan segala kelemahan dan kekurangan adalah kerana kejahilan dan kedhaifan diri penulis sendiri. Semoga Allah mengampuni dosa-dosaku samada yang disedari atau yang tidak kusedari. Kuakhiri penulisanku ini dengan lafaz Astaghfirullahal'azim.

*************************************************************************************

3 ulasan:

Jacknaim berkata...

salam! Alhamdulillah, bermakna sangat2 artikel ini..

tp kadang2 kita lupa bahawa kita hanya penyampai

kadang2 sedey jugk bila suh pt sembahyang tp diorg xnak...

aida berkata...

salaam..k.han,

mabruk2...!!

mantop ulasan nya..

jzkk atas perkongsian,
doakan km nk xm ni.

luv ya..muahxx!

Kak Han berkata...

Jacknaim; Itulah lumrah kehidupan pendakwah..kita hanya mampu menyampaikan ,hidayah adalah dari Allah jua.Yg penting kita tidak akan pernah berputua-asa dlm usaha-usaha dakwah kita.Seeru 'ala barakatillah.

Aida; Barakallah.Moga ada manfaatnya dlm perkongsian ini.Mmuahh!Hihi..